Laman Webantu KM2A1: 4729 File Size: 10.3 Kb * |
TAG SP 170: 1,001 Malam di Malaysia.... [ATimes] By Anil Netto 14/6/2001 8:19 pm Thu |
TAG 170 [Sesudah hampir 1,000 hari Anwar dipisahkan dari rakyat dengan
jeriji besi, pengaruh beliau masih belum padam lagi. Malah ia semakin
mengancam sehingga Mahathir pula yang seperti kesakitan dan menggelabah
sekarang ini. Kalau isu Anwar menyedarkan orang melayu dan menggigit Umno,
Isu Nanyang pula telah membangkitkan kesedaran masyarakat Cina sehingga
retak MCA dibuatnya. Sekarang dua isu kehakiman pula menjelma di saat
perhimpunan agung Umno semakin tiba. Tanpa sokongan kaum Cina dan pengundi
hantu undi siapa lagi yang boleh diharapkan untuk memenangkan BN nanti?
Sekarang pihak polis bertopeng sudah terngangga disergah oleh Hakim Hishamuddin.
Pihak SPR dan Hakim bertopeng pula sudah teraib oleh Hakim Muhammad Kamil.
Apakah tidak lama lagi akan muncul satu lagi keaiban? Perhimpunan agung nanti
mungkin akan memberikan beberapa jawapan....
- Editor] 1,001 Malam di Malaysia.... (1,001 Malaysian Nights....) Oleh: Anil Netto Kini, 1,000 malam akan mengingati peristiwa itu kembali, bertepatan pada 16
Jun nanti. Akan terimbau hari kenangan di tahun 1998 ketika Anwar memimpin
puluhan ribu rakyat marhaen Malaysia melangkahkan tapak di tengah-tengah
ibukota sambil melaungkan kata keramat 'Reformasi' berkali-kali dan
'Mahathir-Undur' bertubi-tubi. Secara kasarnya tidak banyak yang berubah sejak hari yang sungguh
bersejarah, walaupun Anwar ditangkap juga akhirnya. Kini, beliau menahan
kesakitan tulang belakang yang terselisih dan 'cervical spondylosis' yang
amat pedih. Dengan penyakit yang menghambat nafasnya itu, dia terpenjara
untuk 15 tahun lamanya. Insan yang pernah satu ketika dulu dianggapnya
sebagai seorang guru tetapi kini sudah bertukar menjadi seteru, Mahathir
Mohamad, yang sudah pun menjangkau 76 tahun usianya, sudah menghampiri
ambang ke-20 tahun memegang tampuk kuasa, namun belum menunjukkan keinginan
untuk bersara. Namun, di sebalik dasar suasana akan terserlah satu pergolakan yang semakin
terdedah - dalam politik, media, masyarakat, malahan dalam badan
kehakimannya. Dalam setiap detik pergolakan semua itu terkait juga haruman
nama insan yang satu ketika dulu dianggap menjadi pewaris takhta peninggalan
Mahathir, walaupun 32 bulan sudahpun berlalu dia dianiayai dan tersorok di
sebuah kamar berjeriji besi, menghalangnya bertentangan mata dengan sesiapa
yang mahu berinteraksi. Semakin ketara kini, wawasan Mahathir mahukan sebuah negara yang berstatus
maju pada 2020, yang pernah memacu harapan dan keghairahan negara, sudah
semakin nampak lompong. Pada suku pertama tahun ini sahaja, ekonomi negara
hanya mampu membangun setakat 3.2 persen sahaja, jauh sekali bezanya dengan
capaian 8.3 persen yang dijangkau tahun yang lalu. Selain kejatuhan ekonomi
Amerika Syarikat yang dikatakan penyebab utama kejatuhan itu, ada satu
kesedaran betapa keyakinan politik sudah lama menghilang. Kini, wawasan 2020
seorang diktator tua sudah tidak lagi diminati orang.
Pada 1 Jun, kawan Mahathir yang paling akrab, dan sungguh berkuasa dan kaya
raya, Daim Zainuddin melepaskan jawatannya sebagai Menteri Kewangan negara,
sebelum berlangsungnya persidangan tahunan UMNO pada 21 Jun nanti. Ketika
berkuasa, Daim bukannya popular sangat di banyak tempat dan beliau kerap
dihantui kritikan hebat kerana urusan niaga yang dahsyat-dahsyat. Apatah
lagi dengan pelbagai usaha penyelamatan terhadap syarikat anak-didik dan
para kroni yang tidak disenangi. Ramai pengamat yang berkata pengunduran
Daim akan mendinginkan segala kritikan hangat yang mungkin dicetuskan pada
hari perdebatan. Prospek ketumbuhan semakin malap, Mahathir masih mencuba merangkul kuasa
dengan menahan 10 aktivis reformasi pada April lalu dengan penggunaan ISA
yang paling zalim itu. Empat antara mereka sudah pun dikeluarkan daripada
tahanan. Kemarahan rakyat semakin meluap tetapi disebarkan melalui ruangan siber
menyebabkan kerajaan semakin kecut sehingga memikirkan perlu mengekangnya.
Sejak penyingkiran Anwar itu, Internet telah memainkan peranan yang paling
jitu menyemarakkan gerakan reformasi walaupun halangan dan hambatan semakin
diketatkan setiap hari. Hari-hari kebelakangan ini contohnya, Laman
Reformasi yang satu ketika dulu merupakan laman terkemuka pergerakan
reformasi telah digodam untuk kedua kali. Kali ini ada diselitkan pesanan
yang berunsurkan pro-Mahathir pula.
Akhbar-siber bebas, Malaysiakini, masih lagi dikerumuni setiap hari. Namun,
kebebasan media percetakan semakin tertambat apabila dua akhbar harian Cina
akan diambil-alih oleh MCA, yang merupakan parti politik nombor dua
terbesarnya dalam gagasan parti yang memerintah negara. Akan tetapi, dalam
beberapa hari selepas itu tertubuhlah satu Perikatan Penulis Bebas yang
mengandungi lebih dari 90 orang penyumbang yang menghentikan sumbangan
mereka kepada dua akhbar harian itu. Dalam masa dua minggu selepas
pengambil-alihan itu, tiga laman web yang bebas dan menggunakan Bahasa Cina
sebagai pengantarnya dilahirkan dan memulakan peranannya.
Pengambilan akhbar Cina oleh MCA itu telah menggegarkannya kerana ada pihak
penentang yang mahukan mesyuarat tergempar parti diadakan untuk menyekat
pembeliannya. Pada masa yang lalu, MCA telah memainkan peranan utama dalam
menarik majoriti undi Cina memangkah calon BN. Seandainya masyarakat Cina
yang merupakan 25 persen undi yang ada seluruh negara berpecah belah, ia
akan memberi musibah kepada Mahathir, lebih-lebih lagi apabila sokongan
Melayu terhadap UMNO sudah jauh tersasar sejak Anwar diusir keluar.
Sememangnya, pada pemilu 1999, parti pembangkang terutama PAS dan Keadilan
yang dipimpin oleh isteri Anwar, Wan Azizah telah mendapat laluan yang baik
menerbus pangkalan tradisi sokongan Melayu. Satu barisan pembangkang yang
baru sangat menjalin ikatannya, kini mampu mengaum lantang menyanggah
barisan yang memerintah pada pemilu yang dijangkakan pada 2004 nanti.
Pencetus kecemasan orang Melayu ialah mata lebam yang dialami oleh Anwar
ketika dalam tahanan untuk siasatan, sehingga membuatkan rakyat marah
terhadap undang-undang yang zalim. Ketua Polis Negara yang membaham mata
Anwar, Rahim Nor terpaksa melepaskan jawatannya dan baru sahaja dibebaskan
daripada penjara atas hukuman selama dua bulan. Dia diberikan potongan satu
pertiga kerana berkelakuan baik dalam tahanan dan dibebaskn pada Sabtu lalu.
Pergerakan anti-ISA dan anti-ambil-alih-media sebagai contohnya,
melambangkan satu bentuk kebangkitan rakyat marhaen dalam era reformasi.
Walaupun sebahagian besar masyarakat masih apatetik, keresahan di kalangan
masyarakat Melayu dan Cina akan menghantui pentadbiran Mahathir sehingga
tercungap dibuatnya. Igauan ini menjadi hebat lagi apabila badan kehakiman tiba-tiba bertindak
keluar daripada kepompong yang menjerut martabatnya selepas tersingkirnya
ketua hakim negara yang sungguh berwibawa ketika itu, pada 1988 dulu.
Penyingkiran Tun Salleh Abas secara aibnya dan diikuti oleh pengguguran lima
Hakim Mahkamah Tinggi yang bersatu cuba membantunya menyebabkan badan
kehakiman itu menjadi satu badan yang kehilangan martabatnya. Akibatnya ia
terjerumus ke kancah kehinaan yang penuh kebajingan yang tidak mudah
dimuliakan semula dengan mudahnya. Akan tetapi dalam jangka masa beberapa minggu yang terbaru, para hakim telah
menaikkan kening manusia dengan tindakan berani mereka. Yang terbaru
terserlah Jumaat yang lalu apabila seorang hakim di Sabah membatalkan
keputusan kerusi DUN Likas yang dimenangi oleh BN berasaskan daftar pengundi
yang tidak sah. Daftar itu dikatakan telah dipenuhi oleh nama bukan warga
Malaysia dan juga pengundi hantu. Tindakan hakim itu menggegarkan
keseluruhan proses pengundian di Malaysia. Akan tetapi gegaran yang lebih
hebat meledak apabila hakim Muhammad Kamil Awang, menyatakan bahawa dia
telah menerima panggilan telefon menggesa beliau membatalkan kes itu tanpa
perlu didengar dulu - satu pendedahan yang menggoncangkan masyarakat guaman
hingga mencetuskan taufan kontroversi. Kemudian, dia menyebut pula bahawa
manusia yang menelefon pada pertengahan 1999 dulu mengarahkannya membatalkan
petisyen itu merupakan ketuanya dalam badan kehakiman.
Apabila setiap hakim mencetuskan perilaku membetulkan sesuatu, bersemaraklah
harapan besar di merata negara, walaupun hanya segelintir yang menaruh
harapan akan berlakunya perubahan. Sesungguhnya, Mahathir terus mencengkam
kuasa di Putrajaya, yang merupakan pusat pentadbiran negara, sedangkan
negara yang dizaliminya sudahpun berubah tanpa berpatah balik lagi.
Adalah semakin sukar untuk menudung keresahan rakyat. Mungkin itulah
bahananya yang dicetuskan walaupun secara kecilan oleh tindakan memenjarakan
seorang insan di Sungai Buluh. Walaupun dia terpenjara di kamar kecil,
pengaruhnya yang besar tidak pernah terpencil untuk melakar suasana politik
tanahair seperti yang telah mengalir 1,000 hari lamanya.
Terjemahkan SPAR-03-027 Asal: AsiaTimes: http://www.atimes.com/se-asia/CF14Ae02.html atau KM2: 4274 - 1,001 Malaysian Nights.... |