Laman Webantu KM2A1: 4731 File Size: 3.6 Kb * |
Kos Tiket MAS berbeza di Malaysia & Singapura By Lim Guan Eng 15/6/2001 9:43 am Fri |
[BUNGARAYA] Kos Tiket MAS berbeza di Malaysia & Singapura
Kenyataan Akhbar Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Lim Guan Eng 14 Jun 2001
- Rakyat dipaksa membayar RM8 sesaham MAS, sungguhpun harga pasaran sahamnya
di Bursa Saham Kuala Lumpur hanya RM3.60 sesaham, ataupun bayaran lebihan
premium sebanyak 122%. Jelas harga saham yang dibayar adalah terlalu tinggi
bila MAS mengalami kerugian sebanyak RM1.3 bilion dalam tahun 2001. Wang
rakyat sebanyak RM1.8 bilion tidak akan mendapat pulangan bila MAS dijangka
menghadapi kerugian lebih teruk sebanyak RM1.32 bilion dalam 2002 sebelum
menurun kepada kerugian RM255 juta dalam tahun 2003.
Dengan pulangan negatif daripada pelaburan RM1.8 bilion ini, adalah
keterlaluan MAS bercadang untuk menaikkan tambang domestik ke atas rakyat
Malaysia. MAS harus ingat bahawa rakyat sudah membayar harga tinggi
menyelamatkan MAS yang tidak mahu dibayar oleh mana-mana pihak. Adakah
menaikkan tambang domestik cara MAS membalas budinya kepada rakyat Malaysia?
MAS juga tidak mengambil kira kepentingan nasional dan rakyat bila
menetapkan tambang penerbangan daripada KLIA lebih tinggi daripada
penerbangan daripada Singapura. Saya telah menerima aduan rakyat bertanyakan
mengapa tambang penerbangan MAS daripada Singapura ke Melbourne adalah
Singapore Dollar 540 sedangkan penerbangan MAS daripada KLIA ke Melbourne
adalah RM 2015(off-peak) dan RM2116(peak).
Kalaupun 540 Singapore dollar ditukarkan kepada RM, ia hanya RM1150 ataupun
hampir 50% lebih murah daripada penerbangan daripada KLIA sebanyak RM2100.
Perlu ditegaskan destinasinya sama, hanya tempat bertolak tidak sama. Kalau
pun terbang daripada KLIA ke Singapura untuk pergi ke Melbourne, hanya
tambahan RM444 ataupun RM1,600 kesemuanya, yang jauh lebih murah daripada
penerbangan MAS daripada KLIA sebanyak RM2100.
Tindakan MAS ini merugikan rakyat Malaysia yang ingin bertolak daripada
KLIA. Ia juga tidak bersemangat nasional kerana merugikan KLIA yang akan
kehilangan pendapatan 'airport tax" bila ramai rakyat Malaysia, khususnya
dari kawasan Selatan akan memilih bertolak daripada Singapura.
Adalah pelik sekali MAS sebagai sistem penerbangan nasional seakan-akan
menggalakkan rakyat Malaysia menggunakan lapangan terbang Singapura.
Saya telah bertanyakan perkara ini dengan pejabat tiketing MAS yang terkejut
tentang soalan saya dan tidak dapat menjawab. Oleh itu, MAS mesti
menjelaskan mengapa kos tiket penerbangan MAS ke Melbourne daripada
Singapura adalah 50% lebih murah berbanding dengan kos tiket penerbangan
daripada KLIA. - LIM GUAN ENG - |