Laman Webantu KM2A1: 4732 File Size: 6.3 Kb * |
Ibu Ezam: Tembak Sahajalah Saya - Siapa Penakut Sebenarnya? By BICT 15/6/2001 9:04 am Fri |
Sumber: [r4mc] / http://www.keadilanhuluselangor.zzn.com
Tembak sahajalah saya, kata ibu Ezam
KAMUNTING - Ibu Ketua Pemuda keADILan, Puan Isah 'berterus-terang'
dengan pihak polis dan meminta mereka 'menembak sahaja beliau'
daripada dilengah-lengahkan didalam perjalanan ke Kamunting untuk
melawat Saudara Ezam Mohd. Noor. Saksi yang menyertai konvoi kenderaan dari Kuala Lumpur ke Kamunting
hujung minggu lalu menceritakan bagaimana keluarga tahanan telah
sengaja 'dilengah-lengahkan' oleh pihak berkuasa melalui dua sekatan
jalanraya sebelum sampai ke Kamunting.
Keluarga Saudara Tian dan Saudara Mohd. Ezam telah ditahan polis di
kedua-dua sekatan tersebut. Malah, di satu sekatan, bapa kepada
Saudara Hishamuddin telah 'ditahan' seketika dan diberitahu bahawa
beliau tidak dibenarkan untuk melihat anaknya - sehingga beberapa
orang lain dari rombongan itu menjelaskan perkara yang sebenarnya.
Kecewa dengan tindakan melengah-lengahkan konvoi tersebut, Puan Isah
dikatakan telah meminta pihak polis untuk 'menembak sahaja' beliau
daripada menyekatnya menemui Saudara Ezam. Selepas itu, barulah
kenderaan keluarga beliau dibenarkan meneruskan perjalanan ke kem
tahanan Kamunting. Mahathir sekadar jaguh TV: Ibu Ezam
IPOH: Puan Isah Osman, ibu kepada Ezam Mohd Noor, Ketua Pemuda
Keadilan yang masih ditahan di bawah ISA, berkata Dr Mahathir Mohamad
sekadar jaguh di kaca televisyen, tetapi penakut tidak berani
bersemuka dengan keluarga tahanan ISA.
Beliau membandingkan kewibawaan Ezam dengan Dr Mahathir Mohamad dan
anak-anaknya yang penuh dengan kuasa dan kekayaan. Beliau kata beliau
tidak gentar sama sekalipun dengan Perdana Menteri. Walaupun kali ini
adalah kali yang keempat puteranya ditahan oleh polis, beliau tidak
bersedih atau menangis kerana anaknya menentang kezaliman. Beliau
hanya bersabar dan berdoa. Biro Penyelarasan Masyarakat Cina Parti Keadilan Negeri Perak telah
mengadakan satu ceramah Mansuhkan ISA yang dinamakan "Ceramah
Tuntutan Keadilan" di Dewan Chin Woo, Ipoh, 13 Mei lalu. Selain
daripada Puan Isah, ahli panel yang diundang khas untuk memberi
ceramah adalah Cikgu Khalil Shah (Pengerusi Keadilan Negeri Perak),
Dr Sanusi Osman (Setiausaha Agung PRM), Koh Swe Yong (Bendahari PRM),
Dr Xavier Jeyakumar (Ahli MPT Keadilan), Puteri Reformasi Nurul Izzah
Anwar Ibrahim, Cik Jane Lee Soo Chen (Ketua Pemuda Dewan Perhimpunan
Cina Selangor) dan YB Azmin Ali (ADUN Ulu Kelang, Selangor).
Walaupun cuba bertemu dengan Perdana Menteri dan Ketua Polis Negara,
Isah dilarang dan hanya dapat berjumpa dengan wakil-wakil mereka
sahaja. "Adakah mereka ini tidak berani berjumpa dengan saya?"
tanyanya. Isah memberi amaran tangan yang menghayun buaian boleh menghancurkan
kuasa pemerintah. Beliau berkata, "Tiada kuasa kezaliman yang boleh
berkekalan. Kebenaranlah yang akan menewaskan kezaliman."
Dalam ucapan pembukaan ceramah, Dr Lee Boon Chye selaku Pengerusi
Penganjur dan Penolong Setiausaha Keadilan Negeri Perak mengingatkan
para hadirin keistimewaan hari 13 Mei 2001. Ini kerana ia bukan
sahaja Ulang Tahun Peristiwa 13 Mei, tetapi Perayaan Hari Ibu tahun
ini juga jatuh pada hari yang sama. "10 orang ibu menderita kerana nasib anak belum pasti diketahui.
Bahkan mereka tidak tahu anak mereka berada di mana," kata beliau.
"13 Mei juga mengingatkan kembali peristiwa pertarungan antara kaum.
Tetapi kini, keadaan sudah berubah. Rakyat sudah mula sedar dan
menolak isu-isu perkauman yang sering digunakan oleh pihak kerajaan
BN khasnya UMNO, MCA dan MIC untuk mendapatkan undi dalam pilihanraya
dan memecah-belahkan perpaduan rakyat."
Tambah beliau, "Kini, satu kempen memansuhkan ISA (AIM) telah
dilancarkan bukan sahaja untuk membebaskan semua tahanan ISA, tetapi
juga untuk membebaskan 22 juta penduduk Malaysia yang tertekan di
bawah Akta ISA yang zalim." Cikgu Khalil pula menceritakan betapa hebatnya tentangan rakyat kini
terhadap penyalahgunaan ISA sejak undang-undang ini diperkenalkan
oleh pihak British yang masih memerintah pada tahun 1948 untuk
menentang kegiatan Komunis yang subversif dan ganas.
Dr Sanusi Osman pula kagum dengan kesemua 10 tahanan ISA sebagai
pemimpin muda sekarang yang penuh bersemangat dan patriotik. "Hanya
dua buah negara di dunia ini yang masih mengamalkan undang-undang ISA
iaitu Malaysia dan Singapura. Di Malaysia, ia digunakan untuk
menangkap pejuang-pejuang rakyat yang menentang penyalahgunaan kuasa,
penyelewangan, kekejaman dan kezaliman pihak pemerintah," katanya.
Dr Xavier Jeyakumar memberitahu para hadirin bahawa apabila pihak
British memperkenalkan ISA, ada peruntukan "judicial preview"
(semakan kehakiman) yang mem-bolehkan seseorang tahanan ISA itu
membawa kesnya ke mahkamah untuk perbicaraan. Ini sering berlaku
dalam tahun-tahun 50-an dan 60-an. Tetapi Perdana Menteri Mahathir Mohamad telah menggunakan kuasa
parlimen untuk mengugurkan peruntukan ini pada satu ketika dulu.
Dengan itu, tidak ada lagi peluang perbicaraan di mahkamah untuk
sesiapa yang dikena-kan tahanan ISA untuk masa kini.
Jane Lee Soo Chen berkata, "Sudah bermula satu gerakan politik yang
baru dan diterima oleh rakyat. Ia merupakan satu pukulan kepada
politik perkauman yang dipraktikkan oleh kerajaan BN."
Puteri Reformasi Nurul Izzah mewakili keluarganya memberikan sokongan
kepada semua orang tahanan ISA dan keluarga mereka masing-masing.
Sebagai penceramah terakhir, Azmin Ali merayu semua penyokong
reformasi tidak berasa terlalu sedih atas hukuman penjara 18 bulan
pada dirinya. "Kejadian ini hanya satu dari siri tekanan dan ugutan
dari pihak pemerintah. Kalau itulah perancangan pihak tersebut,
rakyat akan terus bangkit menentang kezaliman," katanya.
|