Laman Webantu KM2A1: 4741 File Size: 10.2 Kb * |
H. Rais: Spesis Yang Mengancam Atau Terancam? By Rozaid Rahman 16/6/2001 11:08 pm Sat |
[Kerajaan tentunya tidak tahan dengan kritik atau sudah tertewas
dikritik kerana tidak mampu mematahkan hujah. Tuduhan menghasut dan
penangkapan ISA adalah langkah mudah pemimpin negara yang sudah lemah
dan tidak bermaya lagi kerana apa yang dilukirkan oleh Hihamuddin itu
benar belaka atau ada logiknya. Kerajaan merasa terancam oleh Hishamuddin kerana kerajaan memang pincang.
Jika tidak tangkapan melalui akta ISA atau hasutan tidak akan dirancang.
- Editor] http://www.agendadaily.com/details.php?id=36
Analisa Oleh ROZAID RAHMAN KUALA LUMPUR, Jumaat 15 Jun - Benarkah seorang makhluk bebas seperti
Hishamuddin Rais benar-benar merbahaya sehingga mampu mengancam
keselamatan negara? Sekurang-kurangnya itulah pandangan pihak berkuasa di Kementerian Dalam
Negeri (KDN) yang telah mengklasifikasikan beliau sebagai 'militan jalanan'.
Sukar untuk kita 'dispute' rumusan yang dibuat oleh pegawai-pegawai penyiasat
yang mengumpul data mengenai Hishamuddin kerana kita tidak mengekorinya
sebagaimana mereka mengekorinya sepanjang masa.
Menurut laporan laman web Malaysiakini.Com, aktivis sosial itu yang kini sedang
ditahan selama dua tahun di kem Kamunting telah dituduh mendakwa 'pilihan
jalan raya' adalah langkah terbaik untuk mengantikan kerajaan bukannya
'pilihan raya umum'. Pertuduhan KDN KDN, lapor Malaysiakini, mendakwa Hishamuddin telah berkata bahawa dalam
sejarah politik dunia, tidak ada seorang diktator yang dapat dijatuhkan melalui
pilihan raya. Hanya ada satu jalan sahaja untuk menumpaskan rejim seperti ini -
tidak lagi dalam pilihan raya tapi dalam pilihan jalan raya.
Laman web itu yang telah memetik salinan laporan KDN berhubung aktiviti
Hishamuddin sehingga membawa kepada penahanannya selama dua tahun di
Kamunting, melaporkan bahawa aktivis itu mengeluarkan kenyataan berkenaan
ketika berucap di hadapan 500 orang dalam satu ceramah anjuran sebuah parti
politik di Taman Tuanku Jaafar, Seremban pada 21 Oktober tahun lalu.
Menurut laporan Malaysiakini lagi, KDN dalam perintah tahanan terhadap
Hishamuddin menyebut: 'Hasutan sedemikian itu boleh merangsang orang ramai untuk bertindak
menggulingkan kerajaan yang sah dengan cara kekerasan di luar undang-undang
yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.'
Bekas pemimpin pelajar itu juga dituduh melakukan perkara yang sama semasa
berucap di ceramahnya yang dihadiri lebih kurang 3,000 orang di Sentul, Kuala
Lumpur pada awal Oktober 1999, lapor Malaysiakini memetik salinan daripada
laporan KDN berhubung penahanan Hishamuddin.
Selain beliau, tiga lagi pemimpin Parti Keadilan Nasional yang turut
ditahan di kem itu Naib Presiden Tian Chua, Ketua Pemuda Mohamad
Ezam Mohd Nor dan ahli jawatankuasa pusat parti itu Saari Sungib.
Semalam, laman web yang sama telah menyiarkan laporan mengenai
sebab-sebab Tian Chua ditahan di bawah ISA dengan memetik dari sumber yang
sama. Tian pula didakwa cuba menggunakan internet untuk menghasut orang ramai
supaya berhimpun dalam demonstrasi-demonstrasi yang berlaku di sekitar ibu
negara. Selain dua pertuduhan menghasut itu, Hishamuddin turut dihadapkan dengan tiga
lagi alasan, lapor Malaysiakini. Pertama menghadiri dua perjumpaan sulit dengan
anasir-anasir reformasi dan satu lagi tuduhan menyertai demonstrasi anjuran
gerakan reformasi. Beliau dituduh terlibat dengan gerakan reformasi sejak 14 April 1999 hingga
ditangkap di pejabatnya di Bangsar, Kuala Lumpur 14 April lalu. Jerita Batin & Suara Kebebasan Bagi umum, lebih-lebih lagi pembaca kolum tetapnya, jeritan batin
Hishamuddin berhubung suara kebebasan sudah semacam satu khutbah
harian atau mungkin mingguan, bergantung kepada sejauh mana
kekerapan seseorang itu membaca tulisannya atau mendengar
ceramahnya celotehnya (ceramah?). Tetapi orang masih tidak jemu-jemu membaca karyanya kerana ia kaya dengan
unsur-unsur sindiran tajam tetapi halus dan adakalanya humor.
Ada orang berkata, kerjaya Hishamuddin di jalanan adalah seperti kita masuk ke
pejabat. Tetapi konotasi itu pun tidak benar juga kerana bukan setiap hari dia
berdemonstrasi. Pada kebanyakan masa (jika tidak menghadiri forum atau majlis), Hishamuddin
dengan mudah boleh ditemui di tempat lepaknya di Bangsar Utama setiap petang
di bawah restoran mamak di mana pejabatnya terletak betul-betul di atas restoran
tersebut. Pernah selepas Hishamuddin ditahan di bawah ISA, kawan-kawannya berkata,
entah-entah pegawai Special Branch dah lama mengendap Hishamuddin dengan
menyamar sebagai pekerja restoran itu. Tetapi Hishamuddin tidak kisah dengan itu
semua. Mungkin juga dia telah lali bermain aci-aci lot dengan pihak berkuasa.
Adakalanya jika dia terasa dia sedang diperhatikan, dia langsung meninggalkan
teman-teman lain yang duduk semeja dengannya di kedai mamak itu.
Dia akan menghilangkan diri secara tiba-tiba dan tidak kembali lagi.
Kawan-kawan menganggap, Hishamuddin berbuat demikian untuk mengelak
orang yang sekadar datang bersembang dengannya turut terpalit jika sesuatu
berlaku padanya. Pertemuan Terakhir Kurang lebih seminggu sebelum Hishamuddin ditangkap, penulis secara kebetulan
singgah sebentar di restoran di bawah pejabatnya untuk minum teh tarik dengan
seorang teman lagi. Tiba-tiba dia muncul. Seperti biasa juga Hishamuddin apabila bertembung
dengan penulis, perkara pertama yang dia nak tahu sangat ialah perkembangan
terkini dalam Umno. Dia ternyata mengikuti dan berminat untuk mengetahui perkembangan dalam Umno
dengan tekun dan serius. Dan apabila kita bercerita mengenai perkembangan
politik Umno, dia tidak pernah 'potong' jalan atau menyampuk di tengah jalan.
Dia akan mendengar dan kemudian barulah kami terlibat dalam 'perdebatan'
hangat. Pengalaman dan intelektualitinya seringkali menjadikan dia ke hadapan
dalam setiap hujah tetapi dia akur dengan hujah orang lain apabila ada unsur
logik dan justifikasi. Malah dia juga sempat komen tentang laman web penulis dengan berkata langkah
untuk menjadikan 80 peratus kandungan berita dan rencana dalam bahasa
kebangsaan adalah satu langkah yang tepat.
'Kalau nak orang baca tentang politik, kamu memang kena pergi ke medium
bahasa Melayu,' katanya. Hishamuddin adalah seorang penagih internet.
Setiap pagi dia akan melayari berita terkini dan tidak akan tidur selagi tidak
melayari laman-laman kegemarannya untuk kali terakhir.
Kritis, Humor & Menghiburkan Beliau mempunyai kolum khas dalam Malaysiakini. Dan sekali sekala akan
menulis untuk ruangan Merdeka Square dalam majalah akhbar The Sun edisi
Ahad. Salah satu rencananya yang penulis tidak dapat lupakan ialah bertajuk
'Kaki Kayu' yang disiarkan dalam edisi Ahad The Sun beberapa bulan lalu.
Ia menceritakan pengalaman Hishamuddin berkunjung ke Stadium Shah Alam
untuk menyaksikan pertandingan akhir Piala Malaysia di mana pasukan yang
bertanding malam itu ialah Negeri Sembilan - negeri kelahirannya dan
pandangan kritisnya ke atas cara masyarakat Malaysia meraikan bolasepak dan
cara pemain bolasepak menghiburkan penonton dan penyokong mereka.
Sepertimana dirinya yang tidak hipokrit, Hishamuddin berterus terang dalam artikel
itu bahawa malam pertandingan akhir itu agak membosankan dan tidak lengkap
kerana tidak terdapat 'cheap red wine' dijual untuk mereka berpesta.
Kita boleh bilang dengan jari berapa ramai anak Melayu yang sangat berbakat
dalam bidang penulisan dengan menguasai kedua-dua bahasa Melayu dan
Inggeris dengan baik. Sama ada anda menyukainya atau membencinya, Hishamuddin adalah salah
seorang daripada penulis dengan anugerah bakat semulajadi. Pemerhatiannya
yang tajam dan mindanya yang kritis menjadikan penulisannya gagah dan
menghiburkan. Tulisannya bersahaja, kadang-kala halus dan ada ketika-ketikanya Hishamuddin
boleh membikinkan orang ketawa tanpa henti. Dia sering mengkritik secara satira
dan bersahaja tanpa memaksa-maksa pembaca menerima kritikannya itu.
Tetapi kini sudah pastinya mereka semua akan merindui tulisannya. Kita tidak tahu
bagaimanakah penghujung cerita sipendemo ini.
Cari Makan, Demo & Dr M Adalah amat sukar untuk ditelan hakikat bahawa seorang manusia sepertinya
boleh membawa bencana kepada negara jika dibiarkan bebas dan turun ke
jalanan setiap minggu atau bulan berdemonstrasi bersama-sama pelajar atau
golongan pro reformasi. Dia pernah berseloroh dengan penulis dan berkata jika Dr Mahathir Mohamad
letak jawatan sekarang, dia akan menjadi seorang penganggur. Bila penulis
bertanya, kenapa begitu, Hishamuddin dengan ketawanya yang berkikik-kikik
berkata, ini kerana dia tidak boleh 'cari makan' dengan berdemonstrasi lagi.
Maksud Hishamuddin, dia tidak lagi seronok melakukan kerja-kerja berdemo jika
Dr Mahathir sudah 'pencen'. Dia Adalah Dia Pernah orang berkata, dengan Hishamuddin ini apa yang hendak dihairankan
sangat kerana andai kata esok lusa, kerajaan lain berkuasa atau Anwar Ibrahim
sendiri menjadi perdana menteri, Hishamuddin akan mengelolakan satu demo baru
pula. Mungkin memprotes apa saja yang dia rasa tidak kena dengan jiwa bebasnya itu.
Hishamuddin Rais, kata mereka, perlu dibiarkan sebagaimana dirinya yang kita
semua kenali. Dia adalah dia walaupun siapa jua yang memerintah.
Tetapi sudah pastinya pandangan ini tidak akan dikongsi bersama oleh mereka di
KDN. Mungkin kerana dia adalah satu spesis yang mengancam bukan terancam.
|