Laman Webantu KM2A1: 4749 File Size: 23.5 Kb * |
TAG SP 173: B1 Pengalaman Seorang Wiramarhaen Yang Bergaya By Sheryll Stothard 17/6/2001 11:35 pm Sun |
TAG 173 [Mengimbau perjalanan hidup Hishamuddin Rais atau Isham Rais
yang semangat juangnya tidak lekang walau kemana pun beliau
dibuang atau terhumban. Dia masih seperti dulu-dulu dan tetap
mengancam walaupun kerap diselimuti oleh tuduhan berunsur dongengan.
Tidak kenal maka tidak cinta - oleh itu kisah hidupnya perlu
dibaca agar ia dapat menjawab mengapa beliau amat dikehendakki
oleh pihak berkuasa. Ia bukan kerana bom atau senjata di tangan -
tetapi semangat juang yang tetap membara walau kemana dicampakkan
dirinya. (Isham Rais: Adventures of a trendy rebel - Part 1)
Oleh: Sheryll Stothard Beberapa hari selepas Hari Raya, pada lewat petang pada bulan Oktober
tahun 1975, sebatang tubuh berdiri di tebing sebatang sungai yang
terletak di utara pekan Golok. Untuk sampai ke Thailand hanya
memerlukan lima minit berakit merentasi air yang cetek itu.
Waktu maghrib hampir tiba, masa yang sangat sesuai untuk menyeberangi
sungai itu. Beliau mengarahkan pengayuh sampan yang sudah tua itu
untuk membawanya ke seberang dengan tambang 20 sen. Beliau tidakpun
menoleh ke belakang apabila mereka memulakan perjalanan ke sebelah
sana. Hanya apabila beliau menjejakkan kakinya di atas bumi negeri
Thai barulah beliau melontarkan pandangan ke belakang.
"Saya masih ingat pokok buluh di tebing sungai dan lelaki tua
mengayuh sampan kembali ke sebelah Malaysia. Matahari sedang
terbenam. Itulah buat pertama kalinya saya merasai satu kebebasan."
Oliver Stone hampir-hampir menangis.
Sesuatu yang melucukan tentang saat-saat penggambaran filem ini
berkenaan sejarah Malaysia adalah, sewaktu semua drama ini
ditayangkan di sempadan Thai-Malaysia kepada seorang penonton pakcik
nelayan dari Rantau Panjang, ahli-ahli dari cawangan khas (SB)
membuat spekulasi sama ada Hishamuddin Rais adalah termasuk di dalam
kumpulan para pembantah yang bertudung di Sydney yang membuat
demonstrasi terhadap kunjungan rasmi Perdana Menteri Malaysia Tun
Abdul Razak. Tanpa mereka sedari, selepas setahun bersama-sama gerakan bawah
tanah, Wiramarhaen yang paling bergaya di Malaysia itu, akhirnya
pergi meninggalkan Malaysia. Pemberontakan tidak dapat bertahan lama
di Malaysia. Sekurang-kurangnya, tidak sebelum zaman Mahathir dan
Anwar. Secara tradisi, penanaman "nilai-nilai" seperti kewarakan,
kemuliaan, rasa hormat dan budi bahasa yang bercampur baur dengan
sistem feudal yang kita warisi melalui arahan tersembunyi dan
merbahaya dari satu kuasa baka, begitu menyukarkan untuk benih-benih
pemberontakan bercambah. Jebat telah mendapat pengajaran yang amat
bermakna manakala Tuah menerima imbuhan di atas kesetiaannya.
Penangkapan Borong Pada satu pagi Ahad, 8 Dis. 1974, beberapa ribu pelajar di Malaysia
telah mendapat pengajaran yang amat bermakna. Selepas seminggu para
pelajar berperang dengan gas pemedih mata dan Unit Simpanan
Persekutuan (FRU), pihak universiti akhirnya menyerah dan membuka
pintu pagar kepada pihak berkuasa. Segerombolan polis menyerbu masuk
ke dalam kampus bermula pada pukul 2.00 pagi di Universiti Malaya
Kuala Lumpur untuk melakukan tangkapan secara besar-besaran. Para
pelajar diarahkan untuk berbaris dan diperiksa - sesiapa yang
termasuk di dalam "senarai" sebagai pembakar semangat dibawa pergi.
Serbuan besar-besaran ke atas universiti-universiti ini dipanggil
Operasi Mayang - atau Operasi "menghentikannya dari awal-awal lagi"
(mayang merujuk kepada tunas sesuatu tumbuhan).
Di seberang tambak, Singapura turut mengambil tindakan yang sama.
Mereka yang terlibat di dalam penangkapan ini menyertai Anwar
Ibrahim, yang penahanannya seminggu lebih awal telah menyemarakkan
kebangkitan pelajar pada 3 - 8 Disember.
Melalui Operasi Mayang, seruan Anwar supaya para pelajar bangun
menjadi "Suara Nurani Hati Majoriti" yang mengadakan perhimpunan di
seluruh negara dari 1971 hingga 1974 telah berjaya disenyapkan.
Para Wiramarhaen telah dikumpul dan disumbat ke dalam lokap, Akta
Universiti dan Kolej dipinda, sebarang bentuk penentangan dan
bantahan yang baru bermula daripada para pelajar dimusnahkan dengan
berkesan dekali. Apa yang mengejutkan setiap orang, adalah sesuatu
yang tidak pernah berlaku sebelum ini di mana ISA (Internal Security
Act) telah digunakan ke atas beberapa orang pemimpin pelajar,
termasuk Anwar, yang berada di Kem Tahanan Kamunting di Taiping
selama dua tahun. Walau bagaimanapun. Seorang pelajar telah berjaya
memboloskan diri. Beliau adalah Hishamuddin Rais, dan merupakan -
untuk sekian lamanya - duri yang menikam buat Malaysia, satu kenangan
silam yang ingin dilupakan apabila negara ini telah mengecewakan
generasi mudanya. Kelas tahun 1974: Bulan Nov, 1994 - sewaktu saya sampai di Baze II, majlis telahpun
berlangsung dengan meriahnya. Ia adalah satu majlis tahunan
penghujung tahun buat Turnaround Managers Inc. Group, sebuah syarikat
urusniaga korporat berprofail rendah tetapi menjalankan projek-projek
yang berprofail tinggi. Kepakaran mereka - mengambil alih
projek-projek dan syarikat-syarikat yang tenat dan menjadikan
sebaliknya, begitu juga dengan nama syarikat. Saya memerhati orang
ramai yang berhimpun itu - Halim Saad berdiri di satu sudut sedang
berbual-bual bersama dua lelaki bekas pelajar Kolej Melayu Kuala
Kangsar (MCKK). Beberapa eksekutif kanan dari Renong bertukar-tukar
bahan jenaka dengan seorang penulis urusniaga di bar. Saya dapat
mengenalpasti beberapa wajah yang tidak asing lagi dari industri
pengiklanan. Tidak salah lagi ianya membariskan kumpulan yang
bercampur baur. Dari tanggapan pertama yang dibuat sekali imbas itu, walau
bagaimanapun, saya menyedari sesuatu yang mengaitkan kesemua mereka
bersama adalah bahawa kebanyakannya berusia empat puluhan, tidak
kurang daripada itu. Saya dapat melihat Hishamuddin - yang dikenali
sebagai "Isham" Rais di kalangan teman-temannya - dengan agak mudah
di celah-celah kesesakan itu. Saya berada di sana atas jemputannya
untuk bertemu dengan beberapa lagi ahli Kelas '74 Universiti Malaya
yang terkenal itu. Kamaruzzaman Yacob merupakan Presiden Persatuan
Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) pada masa berlakunya tindakan
keras pelajar pada tahun 1974. Beliau menghabiskan masa selama dua
tahun di Kamunting, ditahan di bawah ISA. Alim Latif, kini sebagai
pembantu editor bersama Utusan Melayu, merupakan editor akhbar
persatuan, Mahasiswa Negara, Adi Satria, seorang pengarah kanan di
agensi pengiklanan McCann-Erickson, pada masa itu merupakan naib
setiausaha PMUM telah juga menghabiskan masa selama lebih kurang dua
tahun di Kamunting bersama-sama Kamaruzzaman dan Anwar Ibrahim.
Selepas Isham membuat pembukaan, seseorang berimej korporat
menepuknya dari belakang dan tertawa, "Jadi bagaimana dengan ahli
komunis kegemaran kita?" Mereka yang lain semua tertawa, Isham yang
paling kuat sekali. Sebelum sempat Isham menjawab, seseorang yang
lain telah datang menyeretnya untuk dibawa bertemu dengan seorang
lagi teman lama yang telah menghilangkan diri.
Saya berdiri di pinggir dunia asing yang tertutup ini memerhatikan
Isham yang bergerak di celah-celah kesesakan mereka yang pernah satu
ketika dahulu menjadi Wiramarhaen, kini menggerak dan mengoncangkan
dunia korporat, membangkitkan kenangan silam yang telah pudar ditelan
masa dan perubahan. Kemesraan dan perasaan saling mempercayai
menyelubungi suasana pertemuan semula pada malam itu.
Selepas 20 tahun, anak yang telah meninggalkan keluarga untuk hidup
sendiri telah pulang semula ke pangkuan. Apabila datang berita
mengenai orang buangan Malaysia yang paling terkenal akan kembali ke
Malaysia "tanpa syarat" - saya menjadi tertarik. Kebanyakan dari masa
saya di Universiti Malaya telah digunakan untuk membincangkan keadaan
yang menyedihkan mengenai hal-ehwal kegiatan pelajar - atau tiada
langsung - di negara ini. Terlalu sedikit untuk membuat pilihan dari
badan-badan utama pelajar yang kurang bersifat perkauman seperti PMUM
dan semua kumpulan yang tanpa segan-silu bersifat perkauman yang
berselindung di sebalik apa yang di panggil sebagai
persatuan-persatuan "bahasa". Di antara nama-nama yang muncul di dalam "Ke manakah perginya semua
aktivis?" pemikiran yang mendalam kami adalah "Pengasas Suara Nurani
Hati Majoriti" sendiri, Saudara Anwar Ibrahim (kini Datuk Seri).
Biarpun nama Anwar seringkali digunakan di dalam perbincangan kami,
ketokohannya telah hilang. Beliau yang merupakan Menteri Pendidikan
(pada masa itu), telahpun membuang imej sebagai Wiramarhaen dan
menjadi ahli parti pemerintah yang dihormati. Beliau adalah graduan
UM yang telah berbuat baik, menjadi isyarat kepada kami untuk
berusaha bersungguh-sungguh. Semangat Yang Bebas Secara tidak langsung (walaupun bukan salahnya), kenaikan Anwar yang
mendadak di dalam barisan kerajaan telah menimbulkan satu pengaruh
yang negatif terhadap aktiviti-aktiviti yang tulen. Kini,
pemimpin-pemimpin pelajar yang bercita-cita tinggi menyimpan niat
lain di dalam agenda mereka - dan muncullah baka baru yang ingin
mengikuti jejak Anwar. Mereka menirunya di dalam serba serbi, sehinggakan menguasai
sepenuhnya gaya pidato beliau. Pergilah ke mana-mana ceramah anjuran
PMUM, debat atau demonstrasi sekarang dan anda akan memahami apa yang
saya maksudkan. Satu-satunya perkara yang tidak dapat ditiru oleh
kumpulan yang cabuk ini adalah kesanggupan Anwar untuk dipenjarakan
atas sebab pegangannya. Kemudian sekali lagi, mereka mempunyai alasan
untuk memainkan isu-isu kemiskinan dan imperialisme di dalam agenda
mereka, berbanding dengan konsert-konsert ganas dan membuat
gesaan-gesaan berbau keagamaan terhadap rakan-rakan sebaya mereka.
Isham, walau bagaimanapun, sama sekali berbeza. Beliau adalah,
seperti Anwar, seorang yang akan mengingatkan kita bahawa pernah pada
suatu masa dahulu, para pelajar di universiti lebih memberansangkan,
bijak dan begitu prihatin terhadap isu-isu yang sebenar. Namun, tidak
seperti Anwar, beliau tidak pernah ditangkap dan diasuh kembali
memasuki aliran utama di dalam masyarakat Malaysia. Beliau tidak
pernah berada cukup lama untuk menjadi bahan sendaan. Kenangan
tentang keperwiraannya itu sentiasa terpelihara. Ini menyerlahkannya
sebagai satu ikon yang sempurna yang dapat menarik golongan muda kita
dan (saya akui kini) idealisme yang masih mentah dan sikap untuk
bangun memberontak berdasarkan suara nurani hati yang sepatutnya
dimiliki oleh semua golongan muda yang mempunyai rasa hormat terhadap
diri sendiri. Professor KS Jomo dari Fakulti Ekonomi Universiti Malaya turut
mengingati diri Isham Rais dengan bayangan yang hampir serupa, namun
tidaklah sebegitu idealistik seperti anggapan para belia kita. "Isham
adalah pemimpin yang diiktiraf di kalangan kumpulan pelajar
bertentangan budaya yang cukup bergaya. Beliau merupakan seseorang
yang amat kental semangatnya berdikari dan gemar membuat kejutan.
Semangat ini tidak semestinya berteraskan politik." Jomo, yang pada
masa itu menyampaikan kuliah di USM, telah dipertemukan dengan Isham
melalui seorang pelajarnya, sebaik sahaja sebelum insiden Tasik Utara
pada bulan September 1974. "Beliau telah menjual kepada saya satu salinan cetak rompak "The
Enemy" oleh Felix Green." Jomo mengenang kembali secara sinis. "Anda
harus ingat bahawa di dalam tahun 70-an, adalah begitu bergaya sekali
untuk menjadi seorang aktivis. Terdapat unsur-unsur ekstrovert dan
menunjuk-nunjuk di dalam kumpulan-kumpulan yang sebenarnya tidak
begitu terlibat di kedua-dua universiti, UM dan USM. Mereka inilah
yang sebenarnya begitu "bergaya" itu - rambut panjang, penampilan
bersahaja yang dibuat-buat. Saya tidak fikir Isham berjaya meyakinkan
sesiapapun yang beliau adalah seorang ahli yang berdisiplin bagi
mana-mana organisasi sayap kiri. Begitu juga sekarang." "Malahan,
saya sering menegaskan bahawa penindasan terhadap pelajar-pelajar
tahun 1974 itu adalah satu kes penyekatan yang melampau. Maksud saya,
dengan meletakkan Anwar di Kamunting. Saya tidak fikir ada sesiapapun
yang akan percaya bahawa Anwar adalah satu ancaman kepada keselamatan
negara, kecuali mungkin kepada mereka yang tidak berfikir dan terlalu
berimaginasi." Peguam Philip Koh, yang merupakan pelajar tahun pertama fakulti
undang-undang UM tempoh 1973-74, menyatakan bahawa sebahagian pelajar
yang penuh bersemangat dengan "darah muda" pada masa itu telah
tersilap langkah. "Walau bagaimanapun ada satu idealisme yang tidak
dapat ditemui pada kehidupan yang nazak dan tidak menarik langsung
yang dilalui oleh para pelajar pada masa sekarang." Koh adalah
penolong setiausaha Persatuan Undang-undang UM semasa peristiwa
tindakan keras itu. "Sebagai pelajar-pelajar tahun pertama, kami lebih banyak bertindak
sebagai pemerhati di dalam semua kekecohan itu. Walau bagaimanapun
kami tidak memisahkan diri kami dari isu-isu tersebut. Saya dapat
memahami perspektif Isham kerana ia mengatasi batas perkauman bagi
menangani isu perjuangan golongan-golongan tertentu di dalam
masyarakat." Walaupun Koh berpandangan positif tentang apa yang
berlaku di dalam tempoh tersebut, beliau menyatakan rasa kesalnya
terhadap tindak-balas ganas yang keterlaluan oleh puak sayap kanan
yang menyusul selepas itu. "Kawalan ketat yang dikenakan adalah
menyeluruh, dari mengetatkan lagi Akta Universiti dan Kolej (AUKU)
kepada tindakan meracun pokok-pokok di Sudut Pidato. Tujuan
universiti diwujudkan sebagai pusat penyelidikan dan pembelajaran
yang bersungguh-sungguh telah hilang."
Bagi mereka yang kebanyakannya memasuki UM selepas 1974, kepulangan
Isham Rais ke Malaysia telah dibayangkan sebagai perjalanan
pengalaman bukan dongengan, yang saya rasakan telah menjangkaui
batasan masanya. Di dalam banyak hal, saya sendiri mewakili
pelajar-pelajar selepas era 1974, yang mewarisi AUKU yang lebih ketat
dari kelas '74. Dari satu segi, mengkagumi mereka, dari satu segi
yang lain, merasa marah kerana semangat tinggi mereka itu telah
menyebabkan sayap kami dipatahkan, suara kami dilenyapkan dengan
berkesan sekali. Mereka telah mengalahkan kami sehingga kepada
peringkat itu - mereka telah dianggap pahlawan yang gugur syahid.
Semua yang muncul selepas itu tidak dapat menandinginya.
Sungguhpun tidak akan ada Anwar Ibrahim yang lain, kini ada Isham
Rais. Orangnya sendiri. Bagaikan sebuah ikon dalam keadaan diawet
dengan sempurna sekali yang terperangkap di dalam jurang masa. Apa
lagi yang dimahukan oleh seorang bekas penuntut UM?
Pembentukan Seorang Wiramarhaen:
Walaupun kebanyakan orang lebih suka percaya bahawa kerjaya Isham
Rais sebagai seorang Wiramarhaen yang bermatlamat bermula di Lembah
Pantai, saya lebih percaya yang semuanya bermula di Jelebu, Negeri
Sembilan, tempat di mana zaman kanak-kanaknya dihabiskan. Oleh kerana
beliau telah dimasukkan ke sekolah pada usia yang lebih muda dari
sepatutnya oleh ibunya yang merupakan seorang guru, Isham yang masih
muda itu begitu cepat terserlah dengan tanda-tanda untuk menjadi
lebih matang dari umurnya. Beliau sangat kuat membaca - kesemuanya,
dari Jules Verne kepada akhbar di dalam tulisan jawi.
Berada di bawah umur adalah sesuatu yang akan menghantuinya semasa di
Universiti selepas itu - apabila semua orang dengan gembiranya ke
Singapura menggunakan passport sendiri bagi melakukan lawatan antara
universiti. Isham menamatkan persekolahan menengahnya di Kolej Melayu
Kuala Kangsar (MCKK) - satu lagi perkara yang dikongsi bersama Anwar.
Malahan, biarpun Anwar telah meninggalkan MCKK untuk melanjutkan
pelajaran di UM, beliau masih ingat akan kunjungan yang kerap dibuat
oleh Anwar ke kolej itu untuk apa yang dikenali pada masa itu sebagai
Malam Pidato pada setiap hari Khamis dan Jumaat.
"Tempoh masa saya di MCKK telah meradikalkan pandangan saya," ia
mengingati kembali. Itu adalah era selepas tahun 1969, kenangan
rusuhan kaum masih lagi segar dalam fikiran pelajar-pelajar muda
Melayu di kolej tersebut. "Saya terperangkap dalam sistem yang pelik,
tinggal dengan 500 pelajar lelaki Melayu lain yang berkongsi satu
pandangan ideologik yang merujuk kepada kejadian 1969. Saya merasa
terpinggir oleh debat cetek yang berlaku apatah lagi saya enggan
mengambil posisi perkauman. Sebenarnya ketika detik inilah saya
dengan ikhlas ingin meninggalkan Kolej Melayu." Tetapi Isham terus
bertahan, bersama dengan kawan-kawan kelas pertengahan-atasan,
dibesarkan dalam sekolah berasrama penuh tulen yang dibentuk untuk
mempertahankan status quo, bukan untuk bangun menentangnya.
"Malahan," Isham ketawa sambil menceritakan hari-hari yang dilaluinya
di MCKK, "Cawangan khas (SB) mahu tahu kenapa dan bagaimana saya
boleh menyeleweng selepas dibesarkan dalam keadaan baik itu."
Jadi, mengapa anda berubah? Saya bertanya. "Saya sendiri tidak pasti,
tetapi secara teori mungkin disebabkan oleh rasa ingin tahu.
Keperluan untuk mengetahui adalah keperluan asas bagi saya. Saya
menyoal segala-galanya." Memanglah senang untuk mengimbas ke belakang dan memuji pandangan
bebas Isham, kita perlu pula untuk mengingati konteks tahun 1969 dan
ketakutan pada ketika itu. Pelajar-pelajar muda Melayu kolej ini
terpaksa pulang ke sekolah selepas cuti dengan menaiki keretapi yang
dikawal oleh tentera, dengan arahan tegas untuk tidak turun
sehinggalah mereka sampai ke Kuala Kangsar. Sudah tentu, rasa ingin
tahu mempengaruhi Isham. Apabila keretapi berhenti di Kuala Lumpur
dari Seremban, dia menyusup keluar ke Kampung Pandan untuk
menyaksikan kemusnahan rumah-rumah yang terbakar. Beliau terus ke
kolej, masih mempertahankan sikap anti perkaumannya.
Penuntut Tahun Pertama Yang "Punk":
Apakala Isham memasuki Universiti Malaya sebagai pelajar prasiswazah
pada tahun 1971, kampus itu memang aktif. Sudut Pidato di hadapan
perpustakaan utama universiti adalah tempat berkumpul pelajar-pelajar
membahaskan sesuatu isu. Ia juga menjadi tapak untuk pemimpin pelajar
memaklumkan rakan-rakan akan rancangan-rancangan yang sedang
dilaksanakan. "Universiti ketika itu sememangnya bebas," Adi Satria mengingati
kembali, dua dekad telah berlalu. "Ia adalah tempat di mana semua
pendapat boleh dibincangkan. Dan ketika itu terdapat banyak sekali
pendapat - sama ada nasionalisme atau sosialisme, kiri, kanan atau di
tengah-tengah. Semuanya ada di situ." Adi Satria adalah antara
teman-teman terawal Isham di kampus, kedua-duanya adalah pelajar baru
di kolej ke-5. Beliau merupakan naib setiausaha PMUM, dan juga adalah
antara pemimpin pelajar yang ditahan pada tahun 1974 dalam Operasi
Mayang. "Dalam banyak perkara, pendirian PMUM yang progresif dalam hal-hal
keadilan dan kesamaan sosial dikongsi oleh majoriti badan pelajar
yang lain. Idea-idea mungkin berbeza dan pelajar-pelajar secara
umumnya dihubungkan oleh satu matlamat yang sama," beliau
menjelaskan. "Tetapi kita bukannya hanya sebagai pembakar semangat.
Orang mudah untuk melupai bahawa ketika zaman kami, PMUM adalah
pertubuhan pelajar yang berfungsi sepenuhnya. Kami mengendalikan
system bas universiti, mengeluarkan biasiswa dan pinjaman. Tahukah
anda bahawa PMUM adalah pertubuhan pelajar yang terkaya di Asia
Tenggara (SEA) ketika itu?" Tanpa membuang masa Isham terlibat aktif di dalam pertubuhan itu,
bertanding dalam pilihanraya pada tahun pertamanya di sana. "Saya
bertanding untuk kerusi majlis sebagai pelajar tahun pertama.
Pemenangnya adalah Megat Junid," Isham ketawa. "Pada dasarnya saya
adalah seorang anak muda "punk" tahun pertama yang baru bertanding di
dalam pilihanraya. Sudah tentu saya tewas!" Tanpa merasa kecewa,
beliau menyertai Mahasiswa Negara, bahagian penerbitan Persatuan
Pelajar, sebagai pemberita yang bertanggungjawab hal-ehwal
kebudayaan. Kesungguhan Isham membawa kepada pelantikannya sebagai setiausaha
eksekutif Gabungan Kesatuan Pelajar, satu jawatan yang disandang
dengan serius sehinggakan beliau memutuskan untuk mengambil cuti
sebatikal selama setahun dan menghabiskan kebanyakan masa tahun 1974
bekerja di dalam bangunan pertubuhan pelajar UM. "Ibu bapa saya
terkejut, mereka tidak memahami kenapa saya tidak mahu menghabiskan
pelajaran secepat mungkin dan mendapatkan pekerjaan selepas itu!"
Ini ialah era awal 70-an - masa di mana "kuasa pelajar" adalah di
puncaknya. Di seluruh dunia, mahasiswa berada di hadapan dalam
menjuarai berbagai isu, dari Perang Vietnam ke masalah dalaman
negara, seperti kemiskinan dan rasuah. Anwar dengan kata-kata seruan
kegemarannya kepada para pelajar supaya bangun bertindak untuk
menjadi "Suara Nurani Hati Majoriti" telah diambil dengan seriusnya
oleh pertubuhan pelajar, yang baru bermula untuk muncul sebagai satu
kuasa yang menggerunkan pada masa Isham menyertai UM.
Agenda Awam: Terdapat banyak alasan mengapa PMUM menjadi begitu kuat. Perpaduan di
kalangan berbagai Perkumpulan Mahasiswa dalam kampus adalah satu
faktornya. Alasan lainnya ialah hubungannya dengan
persatuan-persatuan mahasiswa lain, sama ada di dalam atau di luar
negara. Melalui Pertubuhan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia, mahasiswa
mempunyai hubungan dengan badan-badan pelajar antarabangsa di
Thailand, Singapura dan Hong Kong. "Ianya tidak dapat dielakkan.
Lagipun, isu-isu yang dikongsi - sama ada perang Vietnam atau isu
Palestin, kerana ini adalah isu-isu bersama dalam tahun 70-an.
Dalam kejatuhan dan ketakutan selepas 1974, terdapat banyak spekulasi
yang mengatakan PMUM dan badan-badan pelajar yang lain mempunyai
perhubungan dengan organisasi Intelligen Antarabangsa, seperti CIA
dan KGB. Dalam bukunya, Bersama Anwar ke Penjara, (1994),
Kamaruzzaman Yaakob mendedikasikan keseluruhan bab untuk menerangkan
bagaimana, sebagai pemimpin pelajar, dia telah "didatangi" oleh
berbagai kumpulan. Dalam pada kemungkinan ianya benar, kebanyakan
pelajar ketika itu percaya bahawa tidak satupun organisasi tersebut
berjaya. "Persatuan adalah terbuka dalam hubungannya dengan
pertubuhan-pertubuhan tersebut, seperti AlFatah, cabang PLO, sebagai
contoh," Isham menjelaskan. "Sebagai contoh, Abu Yacob, wakil PLO di
Malaysia ketika itu, telah diundang untuk memberikan ucapan dalam
forum-forum yang diatur oleh persatuan. Agenda kita adalah terbuka
dalam pengetahuan awam. Kita menyokong isu-isu tersebut secara tulen
dan ikhlas." ....bersambung.... Terjemahan: SPAR-09-007-1 Asal: Isham Rais: Adventures of a trendy rebel (Part 1)
http://www.malaysiakini.com/Column/2001/05/2001052801.php3
|