Laman Webantu KM2A1: 4754 File Size: 4.4 Kb * |
AM: Yahaya Ismail: HQ Umno Kebudak-budakkan By Rosli Ismail 18/6/2001 9:41 am Mon |
[Mungkin reformis kurang senang dengan akhbar Bebas tetapi yang
peliknya Umno juga kurang senang. Sudah tentu kerana tidak mahu
dikritik memanjang sedangkan itu berguna juga untuk membaiki apa
yang terkurang. Kalau beginilah sikap Umno ia tidak akan mampu
bertahan kerana parti pembangkang sendiri mengizinkan wartawan
lawan ataupun bebas membuat liputan. Isu Akhbar BEBAS Dilarang Buat Liputan:
Yahaya Ismail Kata HQ Umno Kebudak-budakan
Oleh ROSLI ISMAIL KUALA LUMPUR, Ahad 17 Jun - Ketua pengarang akhbar tabloid Bebas,
Yahaya Ismail menyifatkan keputusan Ibu Pejabat Umno melarang media yang
dicopnya pro-pembangkang meliputi Perhimpunan Agung Umno 21 Jun ini
sebagai satu tindakan 'kebudak-budakan' yang boleh menjejaskan kredibiliti
parti itu sendiri. Katanya beliau tidak menduga Umno yang melaung-laungkan soal
menegakkan demokrasi telah mengeluarkan satu bentuk larangan yang
boleh mencetuskan pandangan serong orang-ramai terhadapnya.
'Saya tidak kisah jika tidak dapat pas akhbar untuk membuat liputan perhimpunan
itu kerana sebenarnya banyak cerita menarik lain mengenai Umno yang boleh
dikutip di serata coffee house dan di luar Dewan Merdeka tapi apa kena mengena
akhbar saya dengan pro-pembangkang,' katanya dengan nada kesal.
Yahaya menegaskan demikian ketika mengubungi Agendadaily hari ini
untuk mengulas mengenai larangan berkenaan yang turut melibatkan
akhbar miliknya. Ia diumumkan oleh Setiausaha Agung Umno Tan Sri Khalil Yaakob dalam satu
majlis taklimat kepada para wartawan mengenai perhimpunan itu semalam.
Selain Bebas turut dilarang membuat liputan perhimpunan itu ialah akhbar internet,
Malaysiakini.Com dan HarakahDaily. Ini adalah kali pertama dalam sejarah Perhimpunan Agung Umno sekatan
seumpama itu dibuat. Khalil memberitahu media yang tidak berdaftar dan tidak mempunyai kad
perakuan akhbar dari Jabatan Penerangan Malaysia tidak akan dibenarkan
membuat liputan pada Perhimpunan Agung itu yang bermula dengan persidangan
Pemuda dan Wanita pada 20 Jun. Serentak dengan itu Yahaya mempersoalkan sikap double standard Ibu Pejabat
Umno mengenai hal ini kerana membenarkan media luar negeri yang kerap dicop
memutarbelitkan berita mengenai Malaysia membuat liputan Perhimpunan Agung
itu. 'Tidakkah ini menjadi bahan tertawa orang. Media asing yang asyik
menghentam kita dibenarkan tetapi media dalam negeri diketepikan. Di
mana lojiknya larangan itu,' tegasnya lagi.
Yahaya yang telah mengikuti perhimpunan itu sejak bertahun-tahun lamanya juga
berkata setahu beliau Pas, Dap dan Keadilan sendiri tidak pernah melarang media
arus perdana meliputi perhimpunan agung mereka.
'Kenapa Umno perlu over react sampai begitu sekali? apa teruk sangatkah akhbar
tabloid macam kita ni,' tegasnya. Wartawan veteran itu yang terkenal dengan kelantangannya bersuara menambah,
akhbar miliknya yang diterbitkan dua kali sebulan itu mempunyai Permit
Penerbitan (PP) daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan bukan sebuah
suratkhabar haram. Bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) ini berkata, sejak diterbitkan
akhbarnya mengambil sikap tidak memihak dan memuatkan artikel-artikel yang
mengkritik perkara-perkara yang dirasa tidak betul dalam Umno.
'Ini semata-mata untuk menyedarkan mereka tentang kepincangan itu agar para
pemimpin parti itu tidak tidur dibuai mimpi. Tak kanlah akhbar saya kena siar
semua cerita bodek baru boleh dibenarkan masuk ke dalam Dewan Merdeka,'
katanya. Yahaya berkata, beliau berharap para pemimpin Umno mengambil sikap terbuka
dan memahami peranan media dan tidak membuat keputusan-keputusan yang
dilihat orang sebagai tidak matang dan penuh dengan emosi.
Katanya para pemimpin yang baik dan dihormati adalah mereka yang sanggup
menerima kritikan untuk memperbaiki diri sendiri bukan meletakkan hijab di
hadapan mata sehingga tidak nampak lagi dunia nyata.
|