Laman Webantu KM2A1: 4768 File Size: 9.6 Kb * |
BK: Memoir Said Zahari: Memapar Kezaliman dan Mengetuk Hati Nurani By Nenek Kebayan 19/6/2001 6:32 pm Tue |
[Pergolakkan di Nanyang dan penerbitan buku Memoir Said Zahari
sedang menyediakan sesuatu yang menanti. Cengkaman terhadap dunia
kewartawanan itu perlu ditentang kerana itulah harga dan maruah diri.
Penjajahan minda akan merosakkan bangsa untuk tempoh yang agak lama
sehingga orang melayu kini terus me-layu jadinya walaupun kita telah
dihadiahkan dengan pelbagai isu yang mahal-mahal belaka tetapi gagal
dijulang sebaiknya. Krisis ekonomi telah menelanjangkan tembelang kroni manja. Fitnah
terhadap Anwar telah menyedarkan betapa akhbar sudahpun dipulas telinga.
Dan kini tindakkan dua hakim yang arif lagi berani telah menunjukkan
institusi kehakiman dan polis telah menjadi alat politik pihak yang
menerajui kuasa. Kita tidak akan menang selagi tidak ada yang sanggup
menempuh risiko dan berkorban. Tidak ada hadiah untuk diri sendiri
melainkan satu kebebasan yang amat mahal untuk rakyat yang hidup tertekan.
Itu sudah cukup untuk mengukir satu senyuman.....
- Editor] Memoir Said Zahari: Memapar kezaliman dan mengetuk hati nurani
Pak Said adalah tokoh wartawan zamannya; memuncak sebagai Pengarang
Utusan Melayu. Beliau seangkatan dengan Samad Ismail, Usman Awang,
Keris Mas, Asraf, Salim Kajai - yang sinonim dengan dunia kewartawanan
dan Sasterawan Melayu. Dan dalam dekad-dekad mendebar sebelum dan
setelah kemerdekaan, beliau sempat bergaul dengan tokoh-tokoh utama
Umno, dan turut berada dalam lengkongan pejuang-pejuang kebangsaan
seperti Dr. Burhanuddin al-Helmy, Ahmad Boestamam dan Ishak Hj
Muhammad. Sebagai pengarang, beliau prihatin dengan perjuangan kebangsaan,
bertekad mempertahankan prinsip kebebasan akhbar sebagai suara umat dan
bukan alat tunggangan kabilah atau parti. Demikianlah dikira semangat
sebahagian besar pengarang dan wartawan ketika itu, degil mempertahankan
maruah dan kewibawaan akhbar. Tunku Abdul Rahman Putra dan lain lain pemimpin UMNO mula membantah
kerana mempertikai dasar dan liputan akhbar. Seperti juga Yusuf Ishak, beliau
menyusul dengan memberi liputan utama, sekitar 70 peratus kepada UMNO
dan kerajaan Perikatan; dan selebihnya kepada lain-lain parti dan
pertubuhan Melayu. Tunku murka dan Umno memutuskan untuk mengambil alih Utusan dan
menyerahkannya supaya dikendali oleh Ibrahim Fikri. Maka berlaku lah
mogok selama hampir 100 hari yang bersejarah. Pak Said diusirkan,
dinyahkan buat selama-lamanya dari Persekutuan Tanah Melayu!
Di Singapura, beliau terus menjadi pengarah dan kemudiannya memimpin
Parti Rakyat Singapura, sambil menjalin hubungan rapat dengan Parti Buruh
dan Barisan Sosialis di bawah pimpinan Lim Chin Siong dan lain-lain seperti
James Putucheary. Lee Yuan Yew, pemimpin PAP, setelah gagal memujuk Pak Said
bersekongkol dengannya, akhirnya menggunakan ISA memenjarakan Pak
Said selama 17 tahun! Hanya setelah 6 tahun dalam tahanan beliau difitnah
sebagai komunis tanpa sebarang bukti atau didakwa di mahkamah. Maka kian
pudarlah kisah Pak Said, dibicara secara terbatas dalam lengkongan politik
pembangkang Singapura. Di Malaysia beliau dianggap orang asing, hinggakan Utusan turut
mencelanya. Kedua-dua bersubahat menggunakan media yang dikongkong
untuk meyakinkan rakyat mengenai bahaya komunis dan menggolongkan
pengkritik dan tokoh progresif sebagai komunis belaka. Hinggakan pejuang
kebangsaan dan pergerakan Islam meragui samada nasib tokoh-tokoh ini
perlu mendapat pembelaan. Demikian bahaya fitnah dan kongkongan media yang berjaya mengelirukan
rakyat sekurang-kurangnya buat seketika. Hanya segelintir rakan-rakannya
yang setia termasuk Dr Syed Husin Ali; juga Usman Awang, yang
menyegarkan kisah perjuangan Pak Said dalam sajaknya yang hangat tetapi
mengetuk hati nurani: Atas nama "undang-undang", Alhamdulillah, sekarang Pak Said bebas dan dapat pula kembali ke Malaysia.
Beliau dapat menyaksikan perubahan besar persekitaran; lonjakan ekonomi
dan gedung mega pencakar langit. Malangnya, undang-undang zalim warisan penjajah yang usang tetap
terpelihara sebagai senjata menekan rakyat; kongkongan Umno ke atas
Utusan lebih ketat. Kita dapat bandingkan perbedaan-perbedaan akhbar di
dua zaman. Utusan tatkala bebas diterajui pengarang handalan dan wartawan wibawa,
dikagumi ilmu dan bahasa mereka. Mereka lebih yakin dengan kebolehan diri
dan mampu mengajak rakyat berfikir. Agenda mereka ialah memperkasa
rakyat, menentang kezaliman dan imperialisme. Mereka tidak mahu digelar
pengarang picisan, wartawan upahan berebut menerima bintang dan
anugerah. Dalam memoirnya, Pak Said menyebut bukan semata liputan terhadap
gerakan Melayu lainnya yang tidak disenangi penguasa ketika itu. Liputan
ucapan Aziz Ishak, Menteri Pertanian yang membela masyarakat desa dan
usahanya membangunkan kilang baja urea memecah monopoli taukey yang
menindas petani juga dianggap bercanggah dengan kepentingan Umno!
Justeru kerana kejayaan Umno menguasai Utusan, maka dilebarkan pengaruh
untuk mengambilalih kumpulan New Straits Times. Rasional awalnya
disenangi kerana perubahan milik tempatan dari milik asing. Malangnya,
pemilikan tersebut berhasrat memperkukuh penguasaan dan kongkongan
kapitalisme dan kronisme pemerintah terhadap media yang mirip dengan
pendekatan penjajah sebelum ini. Ini disusuli dengan MCA mengambil alih The Star dan China Press. Dan kini,
pengalaman mogok Utusan dikenang semula dengan kontroversi pemilikan
Nanyang Siang Pau. Buku Pak Said tidak seluruhnya mencatat kisah gusar dan gundah. Beliau
mengungkapkan "tanda-tanda perubahan" manakala menyaksikan
keghairahan 580 wartawan mengemukakan memo menuntut kebebasan
akhbar, dalam tahun 1999. Sebenarnya dalam memo terakhir, jumlah wartawan yang menandatangani
hampir 1000 orang. Penguasa masih mengenepikannya. Malahan secara
angkuh, bekas pengarang Utusan yang agak perak sebagai jaguh politik baru
mencemuh memo tersebut sebagai memenuhi agenda asing.
Kita dapat bayangkan betapa dangkalnya pemikiran pengarang tersebut.
Maka tidak hairanlah jika mutu akhbar di bawah rejimnya begitu merosot.
Pastinya Tenung & Tilik kali ini bukan sekadar kritikan buku Said Zahari,
Meniti Lautan Gelora: Sebuah Memoir Politik, atau versi Inggerisnya: Dark
Clouds at Dawn. Buku tersebut mencatat pengalaman amat berharga dan diolah dengan
menarik sekali. Pengantar buku oleh Usman Awang dan Jomo KS serta
ulasan Rustam A Sani dalam media alternatif dapat menyelami hasrat
pengarang. Di sini, kita lebih cenderung mengajak kalangan muda menelaah buku,
merenung sejenak, sehingga terketuk dhamir, suara hati; bagaimana mungkin
di negara merdeka - Malaysia dan Singapura - seorang insan boleh
dicampak bagaikan sampah, merengkok di penjara hampir dua dekad?
Apakah kezaliman menjolok tidak dapat membangkitkan kemarahan meluap,
cemuhan jijik menolak kebiadapan penguasa? Apa maksudnya karamah
insaniyah, keadilan dan kemanusiaan yang wajib ditegakkan dalam negara
merdeka dan berdaulat? Hampir empat dekad berlalu. Pengalaman Pak Said bagi kebanyakan rakyat
mirip persoalan sejarah. Namun kita bersyukur kerana kisah dan padah yang
menimpanya terungkai juga akhirnya. Ia harus dijadikan iktibar agar kezaliman
tidak berulang; dan pendorong bagi pejuang.
Pak Said terpaksa membayar dengan harga sungguh mahal, terpisah dari
keluarga, dirampas seluruh kekuatan zaman mudanya; dan hanya kembali ke
gelanggang masyarakat setelah menjangkau umur 70 tahun. Ini bukan sejarah
penindasan penjajah. Ia berlaku di bumi kita setelah merdeka! Kisah beliau
mengetuk hati nurani; tetapi bukan untuk diratapi.
Senjata ganas, kuasa rakus, penafian hak dan kebebasan masih satu
kenyataan. Ini bermakna sistem masih mencengkam dan penguasa ketiadaan
conscience. Andaikata penguasa punyai dhamir, kezaliman tidak diredai;
rasuah tidak didalangi; dan hak rakyat tidak dinodai.
Kita ulangi Salut buat Said Zahari: karyanya mempertahankan semangat dan
daya juang yang kental. "Kerawang berkasi" tidak membuatnya gentar dan
sesal dengan mesej kebebasan dan keadilan. Memoir adalah catatan
pengalamannya dan pengajaran buat kita.
Beliau menukil dalam pendahuluannya: Inna ma`al `usri yusra: sesungguhnya
dalam setiap kesukaran itu ada kesenangannya.
Naskhah buku tersebut dalam bahasa Melayu dan Inggeris dikirim pengarang
dan editor kepada Sdr. Anwar Ibrahim di penjara. Beliau membelek
sepuasnya: menyatakan rasa hormat dan kagum kepada Pak Said.
Katanya: "Experto Credite! Kita meyakini dan menimba pengalaman bapa yang telah mengharungi pahit getir perjuangan. Bak mutiara kata pujangga lama: bijak dan handal sekali orang yang memaafkan meskipun tidak melupakan." |