Laman Webantu KM2A1: 4775 File Size: 10.4 Kb * |
PAU: UMNO, Mahathir, Daim dan Orang Melayu By Tengku Mazlan 20/6/2001 10:31 pm Wed |
[Umno bersidang lagi tetapi tanpa seorang bendahari. Alangkah peliknya
hal ini di saat presidennya melaung anti politik wang dan korupsi. Makin
pelik lagi kerana presidennya sendiri menerima 'lapuran' penyata di saat akhir
menjelang perhimpunan agung parti. Lain orang yang menjaga, lain orang
pula yang membentang. Sudah tentu mana-mana yang berlubang tidak akan berjawapan.
Lagipun Daim tidak pun menemui Mahathir untuk memberi penjelasan. Dia cuma
menyerahkan lapuran dan lari jauh meninggalkan negara sekarang. Sila amati
perkara ini kerana Daim menjauhi semua orang - baik wartawan mahupun perwakilan.
Nampak sangat semua mahu diperbodohkan dan wang seperti sudah dikerjakan.
- Editor] Oleh: Tengku Mazlan Kuala Lumpur semakin sesak kini. Kesesakan itu kerap tertumpu di
persekitaran PWTC kerana di situ nanti majlis tepuk-tepuk akan bergema lagi.
Secara teknikalnya itulah dia majlis persidangan UMNO yang pertama di alaf
baru ini. Secara teknikalnya juga itulah persidangan yang kalau mengikut
perlembagaan parti adalah satu perjumpaan yang akan dipenuhi pelbagai
debaran, tandatanya dan yang akan berkesudahan dengan lebih banyak kekusutan
dan kekalutan. Media massa kepunyaan UMNO dan BN sudah pun menunjukkan segala persiapan
mega untuk pelancaran persidangan itu. Maklumlah 2,000 perwakilan daripada
seluruh negara termasuk para wakil daripada negara luar dan hampir 1,000
wartawan yang datang daripada segala ceruk dunia, katanya. Itulah dia
persidangan tahunan parti utama negara ini yang dikatakan mengamalkan
demokrasi. Cuma, wartawan Malaysiakini dan Harakah tidak akan diberi
undangan kerana mereka tidak sama martabatnya dengan wartawan asing yang
akan melaporkan persidangan itu ke negara mereka, seolah-olah orang luar
yang akan datang memangkah kertas undi pada pilihanraya negara ini
seterusnya. Keseluruhan persidangan hanya tidak melebihi lima hari, tetapi persiapannya
sudah bermula lebih daripada lima bulan yang lalu. Sejak itu pelbagai
peristiwa sudah pun direncana bertahap-tahap dan berlapis-lapis kerana semua
itu adalah peristiwa yang banyak maknanya. Apabila semuanya dianyam laksana
pemandangan yang indah, jadilah segala peristiwa itu satu pelan induk yang
cantik hasilnya menjadi tabir-tabir kelentongan yang menghiasi dinding PWTC
itu dalam lakaran 'mosaic-photo' betapa hebatnya UMNO dibawa kepimpinan
seorang diktator tua. Kita tidak mahu mengulang-ulang segala peristiwa itu kerana tidak perlu.
Tetapi kita mesti menyoal diri kita berapa lamakah lagi orang Melayu akan
terus tertipu oleh segala kelentongan itu?
Peletakan Jawatan Daim Semua orang geger dengan apa yang disebut peletakan jawatannya kerana banyak
yang menyebut persaraannya itu adalah satu paksaan untuk menghukum Daim
kerana memandai-mandai menguruskan ekonomi negara yang semakin teruk
keadaannya. Namun, ada yang mengatakan, Daim mengundurkan diri kerana tidak
tahan dengan segala kerenah si diktator tua itu lagi.
Apa jenis pemimpinkah si Daim itu yang selama ini dilaungkan sebagai seorang
bijaksana yang tidak ada tolok bandingnya? Kadir Jasin dalam 'The Other
Tots' (NST - Other Tots ms 9) ada menyebut pujian yang meninggi terhadap
sumbangan bedebah yang diam ini. Kalau Daim benar-benar seorang bestari,
kenapakah dia tidak tunggu sehingga berlangsungnya persidangan UMNO itu
sebelum meletakkan semua jawatannya? Kenapakah dia melepaskan semua tugasnya
tetapi tidak pula kerusi Parlimen Merbuk?
Kenapakah Perdana Menteri menerima peletakan semua jawatan yang
penting-penting tanpa menyuruh Daim menimbangkannya semula dan menunggu
sehingga selesai persidangan UMNO. Bukankah penyata akaun UMNO sudah lama
diperamnya sejak 17 tahun yang lalu? Kenapakah Daim dikatakan masih
mengemukakan buku-buku dan rekod kepada PM sedangkan dia sudah bersara?
Apakah itu akaun peribadi yang mereka sama-sama kongsi? Kenapakah tidak ada
seorang pemimpin UMNO yang berani menyoal 'kenapakah Daim dibenarkan
meletakkan jawatannya' sebelum akaun parti dibentangkannya? Orang Melayu
khasnya mahu tahu apa sebenarnya akaun itu dan berapa banyakkah hutang
tertunggak UMNO kepada bank-bank selama ini yang dikatakan tidak pernah
dilunaskannya sehinggakan Bank Bumiputra lingkup lebih tiga kali? Kalau Daim
sudah bersara, kenapakah jawatannya dipegang oleh PM dan tidak oleh orang
lain? Soalan-soalan ini menunjukkan betapa peletakan jawatan Daim itu
direncana begitu rupa oleh kedua mereka untuk menipu dan membohongi orang
Melayu khasnya dan seluruh masyarakat Malaysia secara amnya.
Pemimpin UMNO yang semakin biadap
Sejak lima bulan yang lalu kita nampak betapa ramai pemimpin UMNO yang
semakin biadap kepada bangsanya. Cuba lihat apakah yang dimaksudkan oleh
Rafidah dan Aziz Shamsuddin bila menyarankan orang Melayu yang tidak puas
hati dengan kerajaan agar berhijrah ke negara lain. Apakah mereka ingat
Malaysia ini negara datuk moyang mereka? Apakah mereka fikir orang Melayu di
alaf baru ini semakin ramai semacam katak di bawah tempurung. Cuba Aziz
Shamsuddin jawab dulu, apa jadinya dengan cek yang dibayar oleh syarikat
minuman 'mineral water' yang bertulis nama arwah isterinya dan dicuri oleh
seorang anggota PLUS ketika kemalangan keretanya dulu. Sampai bilakah
perbicaraan itu mahu ditangguhkan? Cuba tanya Rafidah, kenapakah tarif
minyak sawit yang dijual di India kena cukai sebanyak 300 persen sedangkan
minyak soya Amerika hanya dikenakan 45 persen? Berapa bilionkah tuntutan
kerajaan Thailand terhadap Malaysia kerana tidak membuka pasaran negara
kepada kereta bikinan Thailand? Kenapakah rakyat Malaysia terpaksa
menanggung beban harga kereta PROTON yang dijual lebih murah di luar negara?
Gelagat Rafidah dan Aziz Shamsuddin yang marah-marah kepada rakyat yang
tidak sebulu dengan mereka adalah satu kelakuan biadap dan kalau mengikut
istilah dulu-dulu boleh dianggap 'kurang ajar'. Mereka harus meminta maaf
sebelum terlambat. Sikap Rafidah dan Daim itu sudah direncana terlebih awal lagi sebagai satu
amaran kepada perwakilan UMNO jangan suka memandai-mandai untuk
mempersoalkan perjalanan kerajaan UMNO dan rejim Mahathir. Apabila amaran
itu diulang-ulang di akhbar-akhbar secara terus terang ia membawa kiasan
betapa Mahathir tidak akan memaafkan setiap perwakilan yang berani
mengungkit keadaan ekonomi negara yang teruk ini.
Pasaran Saham Yang Sengaja Dipacu
Secara teknikalnya, semua pasaran saham global sedang menurun. Pengecualian
hanya terdapat di BSKL, walaupun Daim sebagai menteri kewangan yang baru
bersara dikatakan mempunyai kuasa ke atas lebih 50 persen kaunter
saham-saham utama negara. Apabila dilihat dengan kenaikan indeks komposit
sejak dua hari yang lalu dan dibandingkan dengan jumlah kaunter yang naik,
kita tahu bahawa pemacuan untuk menaikkan indeks itu sengaja dilakukan agar
indeks berada di lorong yang positif? Nisbah teknikal yang lain menunjukkan
pelabur asing sudah lama pergi dan pelabur runcit sudah lama menyepi. Ini
bererti Mahathir sebagai menteri kewangan yang terbaru sudah mengarahkan
agar indeks komposit tetap positif sepanjang persidangan tepuk-tepuk itu.
Siapakah yang empunya dana untuk tujuan itu kalau bukan segala tabung
simpanan rakyat seperti KWSP, KWAP, Tabung Haji, LTAT dan dana amanah yang
lain. Itu sebabnya saham Maybank, Arab-Malaysia, Tenaga dan Telekom akan
naik-turun bersilih ganti kerana inilah kaunter yang mudah dikotak-katikkan
untuk memacukan indeks pasaran.
Pengaruh Ekstrem dan Kuasa Asing
Demikianlah, segala persiapan kelentongan ini yang dirancang begitu lama
untuk mempersiapkan minda perwakilan agar terus akur dengan arahan seorang
diktator tua yang sialan. Untuk memperlekehkan PAS dan masyarakat Islam yang
semakin bertaqwa dan meninggalkan UMNO, diulang-ulang segala cerita khayalan
mengenai pembabitan kumpulan agama yang dikatakan tidak mementingkan dunia.
Itu sebabnya kes Al Maunah sengaja dipanjangkan di mahkamah, boleh ditunda
bila-bila suka untuk menyediakan bahan putaran minda mengikut suasana
negara. Kemudian dibuat pula kisah baru kemunculan satu kumpulan militan
yang merompak dan membunuh untuk memperkayakan kumpulan mereka sebagai
rencana menjatuhkan kerajaan. Untuk memutarkan minda ahli UMNO akan ketuanan Melayu yang mesti kekal
dengan UMNO, dicetuskan pula kisah kumpulan yang mahu menggulingkan negara
dengan penggunaan senjata. Ditangkap sepuluh pemimpin pembangkang dan
disumbat enam orang antara mereka bawah ISA walaupun sebarang bukti adanya
segala bom dan peledak roket itu masih tiada.
Demikianlah kisahnya betapa putar belit menipu, membohong orang Melayu akan
berterusan selalu. Persidangan tepuk-tepuk tangan yang terkini itu akan
menunjukkan segala maklumat diputar-belitkan sehingga ada ahli perwakilan
yang akan pulang nanti melinangkan air mata kerana dipukau dan dipersona
oleh laungan 'Hidup Melayu', 'Hidup Mahathir' yang bertalu-talu dan sengaja
didengungkan oleh muslihat elektronik sepanjang persidangan itu.
Berapa ramaikah antara yang pulang itu nanti dengan suaranya yang sudah
serak akan sedar betapa tandas Mahathir di Putrajaya (di mahligai airmata
rakyat) itu adalah jauh lebih mahal daripada kebanyakan rumah kampung Melayu
di seluruh negara? Berapa ramaikah antara mereka yang sedar betapa wang khazanah orang Melayu
yang sepatutnya tersimpan oleh Petronas sudah lama kehabisan kerana
kering-kontang perbendaharaannya dibalun dan disamun oleh dua bedebah yang
bernama Daim dan Mahathir itu sejak lama dulu?
Terlintaskah kepada semua perwakilan bahawa selagi Mahathir tidak
ditumbangkan, negara ini akan terus dilaknati Allah dan orang Melayu khasnya
akan terus merempat di negara kelahiran mereka?
|