Laman Webantu KM2A1: 4788 File Size: 8.9 Kb * |
BK: Nasionalisme Haprak Menunggu Mati By Adlan Benan Omar 21/6/2001 8:14 pm Thu |
[Pemimpin negara sedang bersembunyi dibawah selimut
anti globalisasi kerana ia menggugat kedudukkan mereka.
Globalisasi bukanlah sesuatu yang mengancam selagi ia
tidak memusnahkan identiti. Melayu seseorang tidak akan
hilang dengan globalisasi tetapi pemimpin yang mencengkam
serta bertindak ganas merampas hak rakyat akan dinyahkan
pergi. Itulah antara nilai murni globalisasi yang sengaja
dicemuh pemimpin Umno kini kerana ia tidak berpihak kepada
kezaliman mereka. Itu nationalis haprak namanya.
- Editor] Nasionalisme Haprak Menunggu Mati
Adlan Benar Omar Bercakap dalam suatu seminar di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
baru-baru ini, penganalisa politik Graham Fuller menyatakan bahawa tidak
ada pihak yang mampu menghalang globalisasi, walaupun ianya membawa
kepada "kehilangan semua budaya yang berbeza, menjurus kepada hanya
budaya barat namun begitu ianya akan membawa manfaat, sekalipun kepada
Malaysia". Pernyataan sebegini tentunya menggusarkan kebanyakan pihak yang
terkumpul di bawah tajuk "nasionalis haprak" seperti yang diperkenalkan
oleh Tan Sri Musa Hitam. Kewujudan fenomena globalisasi menjadikan para
politikus yang mengetengahkan keunikan sebagai alasan untuk mengekalkan
undang-undang yang kuno dan bodoh sebagai tidak lagi relevan dalam
percaturan politik antarabangsa. Namun begitu, telahan Fuller bahawa globalisasi adalah penukaran
budaya-budaya indigen dengan budaya Barat adalah kurang tepat.
Globalisasi kerap digambarkan oleh musuh-musuhnya sebagai agenda
Amerika Syarikat mahupun korprat besar seperti Coca-Cola dan
McDonalds. Sekali pandang, mungkin begitu. Tetapi, dilihat secara realiti globalisasi
bukanlah satu fenomena baru, malah ianya pernah dialami dalam berbagai era
yang terdahulu, termasuk di rantau ini.
Globalisasi bukanlah satu fenomena yang disengajakan. Ianya wujud kerana
kehendak manusia untuk menjadi sama kaya, sama senang, sama bebas dan
setaraf dengan jiran-jiran. Dalam abad kedua Masihi, golongan tertakluk di
bawah Empayar Rom menuntut agar mereka juga diberi hak yang sama
seperti golongan penakluk. Mereka mahu mempunyai kuasa memilih perwakilan dan perlindungan dari segi
undang-undang yang serupa dengan seorang rakyat Rumawi yang seraya
berbangga berhujah "civis Romanus sum" ("aku ini rakyat Rom"). Atas
kesedaran ini Maharaja Marcus Aurelius, yang terkenal kerana fahaman dan
pemikirannya yang cukup moden dalam buku "Meditations", membuka
kerakyatan Rom kepada semua etnik dan bangsa dari Dubrovnik di Balkan,
hinggalah ke Colonia di utara Rhine, sampai ke York di Pulau Britain.
Kejayaan Rom dalam sepuluh abad seterusnya diasaskan oleh sikap
keterbukaan golongan pemerintah terhadap konsep globalisasi.
Globalisasi Rom membawa kepada penerimaan budaya dominan masyarakat
Itali tengah. Bahasa Rom menular hingga penghujung benua Eropah. Dalam
bahasa, perkataan-perkataan Rumawi mula digunakan di Parsi dan benua
Arab. Malah dalam kitab-kitab Melayu seperti Hikayat Merong Mahawangsa nama
Rom digembar-gemburkan sebagai empayar contoh. Sistem kewangan Rom
diterima pakai di negara-negara Timur Tengah dan India - perkataan "dinar"
contohnya dicungkil dari perkataan Rom" denarius" bermaksud wang emas.
Tetapi, penguasaan budaya Rom bukanlah proses satu hala. Sebaliknya,
negara-negara yang menerima budaya Rom turut mengeksport budaya
mereka. Ini pula diterima dan diolah oleh rakyat Rom dan menjadi sebati
dengan hidup mereka. Contohnya, Rom menerima agama Kristian dari
Palestin, lantas agama itu berkembang dan akhirnya Rom sendiri menjadi
pusat gereja Katolik yang masih merangkumi jumlah penganut paling ramai di
dunia. Seterusnya, pada zaman kekhalifahan Bani Umayyah, fenomena yang sama
meliputi dunia Islam. Pemerintahan Bani Umayyah menghadapi tekanan agar
golongan "mawla" atau etnik bukan Arab yang memeluk Islam mendapat layan
yang serupa di bawah naungan kerajaan Islam. Pemerintahan Umar bin Abdul
Aziz yang singkat itu banyak tertumpu kepada isu percukaian antara
golongan Arab dan mawla, lantas menjelang zaman Abu Abbas Al-Saffah
dan Abu Jaafar Al-Mansur, khalifah menerima pentadbir dan elit pemerintah
daripada semua etnik tanpa mengira samada mereka mempunyai darah Arab.
Penerimaan keserataan dan kesejagatan ini menjadi mudah apabila budaya
Islam diterima oleh semua etnik yang memeluk agama itu. Keseragaman
aqidah tidak bermakna tidak wujud kepelbagaian di serata dunia Islam. Malah
wujudlah pula pencorakan agama yang lebih kaya dan tersendiri, lantas
menidakkan pendapat sesetengah kaul bahawa kemasukan bangsa lain ke
dalam rangkuman Islam lantas mencairkan peranan budaya Arab.
Tentangan terhadap globalisasi diwujudkan oleh golongan pemerintah yang
tidak bertanggungjawab. Malah, mereka menimbulkan sikap was-was dan
takut di kalangan rakyat supaya mereka menolak sebarang unsur yang
berkaitan dengan budaya Barat, sungguhpun ianya bermanfaat, seperti hak
asasi manusia, demokrasi liberal dan budaya bebas mengkritik melalui media
massa. Pemimpin yang ingin mengekalkan pemerintahan kuku besi kerapkali
menjadikan globalisasi sebagai musuh utama. Mereka mengetengahkan
:nilai-nilai tersendiri" seperti "nilai Asia", "budaya tradisi Melayu" dan
sebagainya, konon menyatakan bahawa nilai-nilai ini terancam oleh
globalisasi. Kerapkali pemimpin "haprak" inilah yang paling jauh dari
nilai-nilai ketimuran. Sejarah membuktikan bahawa pemimpin-pemimpin ini berbohong. Nilai Asia
dan nilai Melayu (jika ianya benar-benar wujud) tidak luntur akibat globalisasi
yang membawa agama Hindu, Buddha dan Islam, ke rantau Asia Tenggara.
Orang Melayu masih kekal Melayu, sungguhpun nenek moyangnya pernah
bertukar agama tiga kali. Keutuhan budaya itu berasas kepada penerimaan
globalisasi yang cerdik dan adaptif, sambil mengekalkan ciri-ciri tersendiri.
Tidak ada orang Melayu Islam yang dicap sebagai Arab semata-mata kerana
anutannya ialah agama Islam. Begitu juga, tidak luntur keMelayuan seseorang
yang makan burger atau bifstek.
"Nasionalis haprak" lantas wajar ditakrifkan sebagai "Luddite" atau golongan
kuno dan kolot yang tidak mahu berubah mengikut arus kemodenan. Mereka
tidak bijak menyusur arus teknologi dan menerima pemindahan pengetahuan.
Yang paling menyedihkan, apabila mereka sedar bahawa penolakan itu menyebabkan
mereka tertinggal, mereka semakin xenofobik, semakin menghentam dunia
luar, umpama orang gila yang meracau-racau kerana tidak dapat memahami
pergerakan dunia di sekelilingnya. Kumpulan "haprak" ini menimbulkan kaedah-kaedah yang tidak masuk akal
sebagai justifikasi tindakan mereka. Wujudlah paradoks dan fikiran setengah
masak seperti "kediktatoran baik" dan "firaun baik" yang sebenarnya
merupakan alasan akademik yang tidak berasas, kontang dan dangkal. Bau
kepentingan sendiri menusuk hidung hinggakan kita mulai sedar inilah alasan
yang turut diberi oleh sang negarawan syok sendiri seperti Hitler, Stalin dan
baru-baru ini Milosevic atau Pinochet.
Franklin Roosevelt pernah berkata, "Tidak ada yang perlu ditakuti kecuali
ketakutan itu sendiri". Puak anti-globalisasi ini sebenarnya takut dengan
bayang-bayang sendiri. Mereka sedar tidak ada orang yang waras dalam
dunia ini sanggup dibelenggu oleh undang-undang restriktif yang menyekat
kebebasan berkumpul, berdiskusi dan mencetak idea-idea masing-masing.
"Nasionalis haprak" takut kehilangan kuasa dan kedudukan kerana hanya
sang sapi dan sang kerbau yang mahu ditenggala dan dicucuk hidungkan.
Manusia moden tidak mahu diperlaku sedemikian.
Telahan dan kupasan Tan Sri Musa Hitam itu menggambarkan golongan ini
masih wujud dalam negara kita, malah mereka sedang berkuasa. Namun,
kerana globalisasi tidak pernah disengajakan dan merupakan satu fenomena
semulajadi, golongan yang semakin berani menentang ideologi songsang ini
semakin ramai dan hati para "nasionalis haprak" ini semakin sakit.
"Nasionalisme haprak" sedang menunggu saat matinya. Itu sudah pasti, kita
tunggu dan lihat. Adlan Benan Omar, 28 tahun, lulusan Sarjana Undang-undang dan Sejarah
Universiti Cambridge, adalah Exco Pemuda Keadilan Malaysia dan penerima
Anugerah Belia Negara 1997.
|