Laman Webantu KM2A1: 4866 File Size: 16.1 Kb * |
TAG SP 186: Piramid Di Malaysia By Harun Rashid 1/7/2001 12:15 pm Sun |
[Negara sudah semakin tidak berwang sehingga dana simpanan warga
tua pun menjadi pertaruhan. Bank sudah tidak berani menjamin kerana
hutang sedia ada pun masih belum dilangsaikan. Danaharta tenat kerana
hartanah sukar dijual sehingga cukai levi dihapuskan. Pasaran saham
pula menjunam teruk sehingga kawalan modal dihapuskan. Tetapi rezab dalam
negara tidak pula bertambah melainkan berkurang dan sambutan pelabur
masih tidak menyakinkan. Sekarang bon pula mahu dikeluarkan dengan janji
sebagai manisan. Soalnya bagaimana pelabur mahu mempercayainya lagi jika
janji royalti pun sanggup dimungkirkan? Malah Mahathir baru sahaja
membidas teruk orang asing sebagai dalang dan mengejek negara Australia.
Sudah tentu pelabur luar tidak akan berminat dan tawar hati untuk
melabur di Malaysia. Lagipun skandal bon PNB masih belum diselesaikan
- bagaimana pelabur tidak menjadi keresahan.
Mahathir sebenarnya tidak pandai menjaga mulut dan ini amat memudaratkan
Malaysia. Dia semakin menambahkan hutang dan beban yang akan menghenyak
generasi akan datang. Dia menguruskan ekonomi laksana sistem piramid
untuk mengabui mata. Namun semua pelabur yang cerdik tahu tidak ada sistem
piramid ekonomi yang berjaya... walaupun penjaminnya terkenal seluruh dunia.
Jika satu di bawah tercabut, akan runtuhlah semua... dan ramai akan menderita.
- Editor] 29hb Jun 2001 Piramid Di Malaysia (Pyramids of Malaysia) Matawang negara-negara di Asia Tenggara jatuh dengan teruknya ketika 1997-98
dulu. Masih banyak lagi yang terperap di paras bawah berbanding dengan kadar
tukaran dengan Euro dan US dollar dan besar kemungkinan trenda itu akan
menunjukkan kadar yang di bawah juga. Mantan menteri kewangan, Daim, telah menjadi bahan kemarahan dan kini
masalah yang berkaitan dengannya sudahpun disorokkan di bawah hamparan
sahaja sambil memberikan ruang untuk semua anak-didiknya menerima kumbahan
kemarahan itu. Pelaburan yang ada kaitan dengan tajaannya dulu sudah menjadi
sasaran jualan yang betalu-talu, menyebabkan keadaan pasaran semakin
longlai, merudum sebagai bukti. UEM, Renong, Time, Time.Com dan berbakul
lagi kaunter saham yang teruk tahap kemuflisannya sedang menantikan libasan
algojo termasuklah saham-saham yang pernah menjadi pegangan mantan menteri
kewangan itu. Kini sudah tidak ada sumber kewangan yang mudah untuk
menyelamatkan syarikat itu semua.
Bank-bank yang dulu galak memberikan ruang melanjutkan tempoh hutang kini
dihantui semakin banyak hutang bertapuk yang tidak akan ada tepiannya.
Agensi-agensi kerajaan yang diwujudkan untuk menyerap hutang bertapuk yang
tidak berbayar itu sudah semakin nazak kerana bebanan yang tidak
tertanggung. Penyaluran dana kerajaan untuk Danaharta, Danamodal dan Agesi
Penstrukturan Hutang sudah semakin semput, dan rancangan sudah diumumkan
betapa rencana penyelamatan itu akan ditutup.
Setiap hari senarai nama penghutang semakin panjang. Permohonan untuk
melanjutkan tempoh bayaran si penghutang lama semakin panjang juga
disebabkan kedaan pasaran yang semakin menjerut disebabkan kenyataan yang
karut-marut. Urusniaga 'put-option' yang terkenal itu kini ditangguhkan lagi
sekali. Bagaimanakah pasaran negara boleh berwibawa dan dikira berkualiti
seandainya janji mulut sesaorang tokoh niaga sudah tidak boleh dikira laku
lagi? Pasaran dikira mulia seandainya janji mulut dianggap perjanjian yang
tidak ada kemungkirannya. Tawaran harga secara laungan yang satu ketika dulu dikira laku, adalah satu
urusniaga yang dikira sah kerana orang keliling mendengarnya dan menyaksikan
urusannya. Kegagalan memperakukan perjanjian lisan itu boleh membuat
sesaorang disingkir daripada sesuatu pasaran bursa seperti juga mereka yang
memberi arahan kepada seorang broker melalui telefon dikehendakki
menghormati urusan itu apabila terlaksana. Mereka yang culas, tidak kira apa
alasannya, mendapati akaunnya ditutup dan namanya pun disenarai-hitamkan
juga. Itulah cara panduannya. Bertentangan dengan amalan dunia, di Malaysia, sesuatu kontrak perjanjian
boleh dikira bukan begitu sehinggalah seorang perdana menteri membuat
perakuannya kepada perjanjian tersebut. Ada satu peristiwa bersejarah di
mana beliau mengumumkan betapa pembayaran yang menyangkuti kontrak
perjanjian bayaran royalti boleh ditukar kepada taraf pembayaran wang ihsan
sahaja. Dengan itu beliaupun membalun jumlah wang yang patut dibayar itu
untuk dirinya dan juga parti politik pimpinannya.
Para pemerhati tahu dia tidakpun merupakan satu pihak dalam kontrak itu. Si
penerima bayaran yang kini merupakan satu negeri pantai timur yang sudahpun
dikuasai oleh parti pembangkang, sudah mengemukakan saman. Kini mahkamah
sedang menimbangkan permohonan itu. Perdana menteri tidak punyai alasan
kerana membalun hak orang lain selain dari amat memerlukan wang itu. Dia
seharusnya bersedia untuk melunaskan wang itu termasuk faedah, denda, kos
mahkamah dan apa yang berbangkit semuanya. Keadilan akan terlaksana juga dan
dalam hal ini adalah diharapkan keadilan itu dilaksanakan sebaiknya.
Perdana menteri telah menetapkan kadar tukaran ringgit kepada dollar US
secara tetap dengan kadar RM3.80 kepada setiap dollar. Namun, di pasaran
bebas ia masih terapung-apung berbanding matawang lain. Dengan megah dia
berkata, penetapan kadar itu telah menyelamatkan negara berbanding nasib
yang menghenyak negara jirannya. 'Tidak siapa yang untung berniaga matawang
kita,' katanya. 'Ringgit kita hanya laku di negara kita.' Dia memang benar
dalam dua perkara itu. Tetapi ada pula masalah yang lainnya.
Ada beberapa perkara yang dia sengaja pengapkan. Malaysia yang dihuni oleh
23 juta manusia terpaksa menjadi penjamin kepada ringgit. Ini bererti, Bank
Negara memberikan jaminan kepada sesiapa sahaja dalam dunia ini bahawa
setiap RM3.80 adalah sama nilainya dengan satu dollar. Samalah dengan Bank
Negara bersuara: 'Bawalah RM3.80 dan saya akan tukarkan dengan satu dollar.'
Ini juga membawa makna betapa seorang yang haprakpun akan tahu bahawa
jaminan itu hanya laku selagi ada simpanan dollar untuk menukar ringgit yang
dibawa itu. Kalau si haprak itu membawa ringgitnya untuk ditukar selepas
simpanan dollar kehabisan, bererti dia akan kecewa akhirnya. Apabila semua
dollar sudah disorokkan dan si haprak itu masih perlu menggunakan dollar
itu, terpaksalah beliau menerima kadar tukaran matawang yang ditetapkan oleh
pasaran. Apabila bank negara culas melunaskan permintaan tukaran ringgit,
bererti hancurlah jaminan kadar tetap matawang negara.
Inilah yang mencetuskan satu soalan, berapa banyak lagi simpanan dollar
negara? Mereka berkata cukuplah untuk mengongkosi pengimportan barangan
selama empat bulan dengan menggunakan dollar yang tersimpan. Mungkin betul
dan mungkin tidak. Bank Negara sedang mengaturkan penjualan bon dengan beberapa institusi
Amerika sebagai penjamin urusan itu untuk mendapatkan dollar. Si haprak tadi
tentu faham kenapa Malaysia memerlukan banyak wang dollar sekarang ini. Ada
yang diperlukan bagi menaja pembangunan haprak. Ada yang diperlukan untuk
menyelamatkan perusahaan para kroni yang sudah kantul. Tentu kita masih ingat
kisah Timedotcom di mana agensi kerajaan menjadi penjamin urusan jualbeli
saham terbaru syarikat itu. Tentu ramai yang teringatkan bagaimana dana awam
daripada Tabung Pencen dan dana pelaburan telah digunakan untuk memenuhkan
saku dan kantung mantan menteri kewangan dan para sahabatnya.
Itulah yang terjadi sebelum mantan menteri kewangan itu cabut lari. Apakah
bon-bon terbitan perbandaharaan Malaysia disokong oleh kredit yang sahih
kepunyaan kerajaan Malaysia? Perdana menteri yang mengatakan bahawa dia
masih baru menjadi menteri kewangan negara mengsahkan kewujudan kesahihan
itu. Beberapa tawaran bon telah dipasarkan pada tahun yang lalu. Kebanyakannya
gagal mendapatkan pembeli yang memuaskan. Tidak ramai orang yang berwang
berminat berniaga dengan sebuah negara yang curang dengan janjinya. Terlalu
tinggi risikonya. Inilah kenyataannya yang dihadapi oleh para pengurus yang
bertugas dengan bersenjatakan statistik berasaskan panduan pelaburan, dan
diamanahkan untuk menggunakan (dan merugikan) dana kepunyaan orang lain.
Kisah ini tentunya mudah diceritakan oleh mantan menteri kewangan yang kini
mudah ditemui di segenap penjuru dunia untuk merayu pegawai bank
antarabangsa untuk membeli tawaran baru bon negara.
Sebab sebenar bon Malaysia tidak berapa laku ialah kerana para menteri
negara ini adalah manusia haprak yang tidak memenuhi janji mereka. Mereka
gemar berbohong untuk menyelamatkan diri dan negara. Menteri perdagangan
antarabangsa telah mencabar satu kumpuan peniaga untuk mewujudkan satu
agensi pencegah rasuah dan seandainya didapati bukti wujudnya rasuah ataupun
kelakuan yang tidak beretika, 'beritahu kami mengenainya' kata menteri
wanita ini. Inilah cakap kosong yang tidak membawa sebarang erti, kerana perdana menteri
dan para jongosnya memang sudah mempunyai BPR yang tidakpun bergigi untuk
menghalang proses pihak yang berkuasa membalun harta negara. Terdapat sumpah
mahkamah betapa perdana menteri sengaja menyekat siasatan BPR sedangkan
seluruh dunia mengetahui betapa hapraknya perdana menteri bedebah ini. Dia
pernah memperlekehkan seorang hakim yang berani mengatakan betapa pihaknya
bersalah kerana meliwat proses pilihanraya dan melakukan manipulasi kepada
perkiraan undi sambil berkata: 'Dia sepatutnya membawa perkara itu untuk
pertimbangan saya.' Hakim itu dan juga seluruh dunia sedar akan gelagat perdana menteri setiap
kali perkara semacam itu dikemukakan kepadanya. Dia mudah melindungi
kejijikan itu semuanya untuk menyungkup perjalanan pengadilan negara. Dia
menentukan kekebalan imuniti kepada semua sukusakat, pak-pacak, kroni dan
ahli keluarganya. BPR pernah mengumumkan satu siasatan melibatkan pemalsuan
bon bernilai lima bilion dollar, yang boleh disediakan dalam tempoh dua
minggu. Pengumuman itu dibuat Januari dulu, ekoran siasatan Julai yang lalu.
Sejak itu pengarah BPR telahpun dialihkan, dan selepas itu tidak ada lagi
sebarang berita mengenai siasatan itu. Tidakpun ada sebarang tindakan
terhadap perdana menteri yang menyekat proses pengadilan, tidak juga
mengenai bon palsu, seperti juga berdozen kes-kes yang sepatutnya didakwa
sejak lama dulu. Berbekalkan keburukan ini Malaysia kini berusaha menawarkan bon yang
berbilion nilainya di pasaran dunia. Bukannya dalam matawang ringgit, tetapi
dalam US Dollar. Untuk menarik sokongan dalam negara, Perdana Menteri telah
melancarkan siri cemuhan terhadap 'barat yang keparat', yang dipenuhi
jentera media yang 'membohong dan berfitnah' serta mempunyai 'penyangak
matawang yahudi' yang rakus. Kini dia sendiri meminta-minta masyarakat barat
yang dicercanya itu agar membeli surat janji Malaysia kerana terlalu
memerlukannya untuk membazirkan lagi wang itu semua untuk projek yang
membazir seperti Ampangan Bakun, dan untuk menentukan rencana Piramid
Kewangan Malaysia terus bernyawa.
Untuk membolehkan negara membayar balik hutang dollar yang sudah semakin
matang kini, Malaysia memerlukan lebih banyak dollar lagi untuk
disediakannya. Hutang semakin bertapuk kerana keperluan membayar pokoknya
mengikut perjanjian dulu termasuk faedah 'bunga' yang terkumpul kini.
Setiapkali seseorang cuba mendapatkan bekalan wang baru untuk memberi nafas
kepada pembayaran hutang lama yang tertunggak, usahanya itu mempunyai
ciri-ciri pembikinan piramid ataupun Skim Ponzi. Ponzi telah dipenjarakan,
kerana rencana para pengendali bilik dandang, dan bukannya oleh pegawai
perbendaharaan negara. Semua kad kredit negara sudah habis digunakan sehingga hadnya. Kini, lebih
banyak kredit kad baru diusahakan pula untuk membayar hutang kad kredit yang
lama. Tidak adapun usaha menyatukan segala hutang yang bertapuk itu.
Tidakpun ada perunding kewangan untuk memberi nasihat bagaimana berbelanja,
ataupun berusaha merencana jadual bayaran semula. Sebaliknya, hanya rencana
berbelanja besar dan cemuhan terhadap orang asing, yang dikatakan mempunyai
'nafsu globalisasi' sebagai sandaran motivasinya.
Perdana Menteri sudah ditagih takdir untuk makan sendirian. Tidak ada
sesiapa yang akan menghampiri meja makannya. Dia telah mungkir janji terlalu
banyak kali. Bukan sahaja dia mungkir tetapi juga suka berbohong dan menipu.
Seorang pembohong memang mudah kehilangan penyokong, dan dalam hal ini
negara akan turut menerima padahnya. Dia suka membenci dan dirinya memang
penuh kebencian. Cemuhannya yang terbaru yang berbau perkauman adalah seiras
gelagat Korporal Shickelgruber yang telah memukau para bajingan untuk
mengimpikan ketuanan kebangsaan (Germany over everyone - Jerman mengetuai
semua). Inilah saranan yang memperakukan tindakan pengkebumian beramai-ramai
sebagai satu pencapaian masalah terakhir untuk menyelesaikan masalah
negaranya. Kerana itu dia telah mampu menarik pengaruh penyokong haprak si
perdana menteri. Seandainya bon terbaru Malaysia itu tidak laku, kerana para pembeli akan
memperlekehkannya, burung-burng hantu akan pulang ke sarangnya membawa
kembali segala taiknya untuk menghujani Putrajaya. Akan tegaklah segala
menteri haprak parti yang berkuasa, berdiri tegak dan akur kepada arahan
haprak yang terbaru tanpa menyedari dan melihat apa yang berlaku dan
mencatatkan segala peristiwa. Namun, generasi muda akan sedia bercerita, seperti juga orang luar negara.
Malangnya, para menteri hanya sanggup mendengar suara tuannya, yang semakin
nyaring dan gering, membebel sebagai penghasut perkauman, yang berselindung
di sebalik pakaian seorang Melayu beragama Islam. Sekumpulan manusia haprak
dalam partinya itu turut menjadi bebal sama.
Semakin meninggi harapan rakyat yang mengaggap beliau laksana seorang pemain
seruling dalam satu hikayat purba, yang akan mengundurkan diri bersama
tikut-tikus mondok yang begitu setia mengekori gelagatnya. Hanya selepas itu
barulah segala penangkapan palsu dihentikan, dan akan berkhir juga sandiwara
mahkamah yang dilakonkan selama ini. Barulah tahanan politik dapat
dibebaskan. Barulah kebebasan bersuara, kebebasan akhbar, dan kebebasan
berhimpun secara aman dapat dikembalikan. Hanya selepas itu barulah dapat
dijamin perlindungan terhadap keganasan polis, dan pendakwaan politik boleh
dipertahankan, diselia dan dikuat-kuasakan oleh badan kehakiman yang bebas
dan dihormati. Hanya selepas itu barulah kedaulatan para Sultan dan raja-raja dapat
dikembalikan, dan martabat Suruhanjaya Pilihanraya dapat dikekalkan seperti
yang dimestikan dalam perlembagaan. Barulah rasuah, kecurian dan gelagat
tidak bermoral dikalangan orang atasan dapat dibenterasdan sesiapa yang
melakukannya didakwa oleh pegawai yang bebas dan amanah di mahkamah terbuka.
Hanya selepas itu barulah semua hakim mengeluarkan keputusan pengkhakiman
yang bijaksana dan adil, bebas daripada segala tekanan daripada penguasa
yang berdendam ataupun mengkritik. Hanya selepas itu barulah pembunuhan
politik dapat dihentikan. Hanya selepas itu semua, barulah sesuatu bon yang dihiasi mohor kerajaan
Malaysia dianggap laku dan sesuai untuk dipasarkan sebagai satu alat
komersial yang berharga. Tamat Terjemahan SPAR-05-013
Link Reference : Harun Rashid Worldview: The Pyramids of Malaysia |