Laman Webantu KM2A1: 4879 File Size: 13.9 Kb * |
SAUK 2: RAW 1 - Operasi Luarbiasa Untuk Tujuan Luarbiasa Juga By Panglima Sauk 3/7/2001 8:07 pm Tue |
[Mahathir memang suka benda yang besar dan luarbiasa
kerana ia akan mendapat perhatian yang juga besar dan
sedikit luarbiasa. Ini diharapkan akan dapat mengaibkan
satu parti lawan agar kaum bukan Islam, khususnya kaum
Cina tidak merapati mereka. Kata kunci 'negara islam
dan hudud versi PAS' menjadi satu senjata Mahathir untuk
menakutkan kaum Cina sehingga agak ramai yang terpedaya.
Jika dan seandainya konsep negara Islam dan hudud oleh
PAS itu tidak betul mengapa pihak alim ulamak dan mufti
dalam negara ini tidak pula membangkangnya? Mengapa
Mahathir sahaja? Apakah dia lebih banyak berilmu dari
semua? Bukankah kerajaan sendiri telah mengeluarkan arahan
hanya mereka yang bertauliah sahaja boleh memberi kuliah
dan tafsiran ugama?. Kebencian Mahathir terhadap PAS begitu terserlah dalam
setiap kali perhimpunan agung Umno. Dia telah mencuba
pelbagai putarbelit tetapi masih tidak berjaya. Sekarang
dia menghina bangsa melayu pula sedikit lebih dari biasa.
Memang nampak benar dia amat sukakan sesuatu yang luarbiasa.
Bukankah Anwar pun menerima tuduhan yang amat luarbiasa dan
sakit luarbiasa? Yang peliknya dia tidak pula mengizinkan
Anwar mendapat rawatan luarbiasa. Mahathir sebenarnya semakin mendedahkan dirinya adalah
dalang segala-galanya. Kebakaran di UM baru-baru ini
juga luarbiasa ... kerana ia dapat menyediakan modal
untuknya berbicara. Mahathir berharap kejadian yang luarbiasa itu akan
menyediakan pulangan yang luarbiasa juga. Tetapi
dia lupa itu cuma sebentar sahaja. Lama-lama ia
akan terbongkar jua. Bukankah mahkamah hari ini
sudah membuktikannya? Itupun luarbiasa juga......
- Editor] http://members.nbci.com/_XMCM/xumno/feu_panglima_sauk01.html
Oleh: Panglima Sauk 1. Prolog: Di muka surat akhbar perdana hari ini tertera gambar Perdana Menteri
Malaysia sedang makan dengan 'rakyat biasa'. Ini adalah satu strategi
baru UMNO yang cuba memenangi hati orang Melayu. Tetapi, 'rakyat biasa'
yang digambarkan itu adalah Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria,
Dato Ismail Rauf bekas exco Perak dan Dato Ahmad Hambal Yeop Majlis
bekas ketua bahagian UMNO Parit. Di meja yang sama Menteri Besar Perak
tidak kelihatan kerana itu adalah jamuan makan Perdana menteri dengan
'rakyat biasa'. Cuma Dato Majid Hussein menjadi wakilnya, kerana beliau
adalah Setiausaha Negeri Perak yang mewakili pegawai pentadbiran kerajaan.
Apakah yang mereka bincangkan agaknya? Apakah mereka membincangkan kisah
wanita Melayu yang ditangkap di Restoran The Ship di Damansara Utama
ataupun kisah askar bajingan yang menyamar untuk merompak senjata canggih
daripada dua kem tentera di Gerik? Kalau membincangkan perihal wanita di
'The Ship' tentu sekali Dato Majid Hussein mampu berinteraksi sakan dengan
Dato Seri Mufti. Rumah Majid Hussein hanya selaung suara daripada 'The Ship'
itu. Yang labih hampir dengan restoran tersebut ialah Rahim Noor. Rumahnya
memang setapak dua sahaja dari situ. Apapun yang dibualkan oleh Mahathir bersama tetamu khasnya kali itu, sudah
tentu dia tidak dapat melupakan keadaan negara yang menjadi perhatian seluruh
dunia masakini. Inilah pertama kalinya Majlis Tertinggi UMNO mengadakan
mesyuarat bulanannya di luar Kuala Lumpur. Ipoh menjadi pilihan utama mereka dan
majlis itu telah diwarnai oleh beratus askar Gerak Khas yang mengawal bandaraya
itu sedangkan kereta perisai diletakkan di beberapa pintu masuk bangunan yang
penting di bandar itu. Penduduk di Ipoh tentu tertanya-tanya kenapa perlunya
kawalan keselamatan yang ketat seperti itu. Ramai di kalangan penduduk Ipoh yang
belum biasa dengan pemandangan seperti itu kerana mereka lebih selesa melihat
pemandangan demikian di TV dan pawagam sahaja. Tetapi, kini gambaran itu boleh
dilihat dengan jelas di depan mata. Memang belum pernah berlaku sebelum ini, tidak juga ketika Tengku Abdul Rahman
Putra masih menjadi Perdana Menteri. Hanya di zaman Mahathir barulah kelihatan
kereta perisai digunakan sebagai kawalan berjaga-jaga ketika Perdana Menteri
bermesyuarat dan beristirahat. Ini adalah satu gambaran betapa keselamatan
negara sudah tergugat. Tidak cukup dengan serangan Virus Nipah ataupun JE
yang melanda seluruh Kedah dan juga Pulau Pinang dan berkemungkinan besar
sedang menjalar ke kawasan perkampungan Siam seperti di Sungai Tiang dan juga
Kampung Tas dan persekitarannya. Bagaimana pula keadaan negara yang diserang
oleh kedatangan pendatang tanpa izin (pendatang haram) yang dibiarkan
berleluasa kerana kemampuan untuk membenterasnya memang tidak ada? Kini,
serangan ancaman terbaru sudah menjelma pula. Ia adalah sesuatu yang tidak
pernah difikirkan akan berlaku kerana tidak siapa yang sanggup mengaku bahawa
perkara begini bolehpun berlaku. Siapakah yang boleh sangka tentera Malaysia yang dikatakan paling dihormati di
antara pasukan tentera Dunia Ketiga dan dikatakan setaraf dengan pasukan
tentera Dunia yang maju telah dicemarkan dengan berlakunya rompakan
terang-terangan di malam hari? Hampir semua akhbar perdana menyiarkan ceria
ini dengan tajuk "Senjata Tentera di Curi". Kalau satu senjata hilang, ia bolehlah
dikatakan telah dicuri orang. Tetapi kalau kecurian itu dilakukan secara
terang-terangan dengan tipu helah ia bukan satu kecurian lagi. Ia adalah satu
rompakan. Adalah sesuatu yang tidak masuk akal apabila senjata canggih boleh dibawa keluar
dengan tipu helah. Ia lebih menakjubkan apabila taktik rompakan itu dilakukan di
dua kem tentera yang berasingan oleh kumpulan yang sama. Patut jugalah Najib
sanggup berkata betapa "kejadian berkenaan yang dirancang secara professional
serta rapi." Sememangnya, kejadian rompakan itu dilakukan begitu profesional sehinggakan
berita perdana pun menganggapnya sebagai satu cerita sensasi yang boleh dibikin
filem dan ditonton untuk tayangan perdana ala-Hollywood. Mungkin kalau
rompakan itu berlaku hanya pada satu kem, pembikinan filem boleh diberikan
secara bertaraf Bollywood sahaja. Disebabkan ia dilakukan pada lebih daripada
satu kem tentera maka taraf penghormatan sudah dinaikkan sedikit tinggi lagi.
Semua akhbar perdana sibuk dengan catatan jenis senjata yang dirompak. Begitu
juga dengan siaran televisyen tajaan Mahathir Mohammad. Hanya MGG Pillai ada
menulis perkara yang lebih serius lagi terutama sekali dengan penggunaan tiga
kenderaan berwarna hijau dan bernombor ala-tentera. Tulisan Pillai ada
menyatakan penggunaan trak pengangkut bermuatan tiga-ton untuk mengangkut
peralatan yang dirompak itu. Secara tidak langsung laporan akhbar dan media
kerajaan memberikan perhatian kepada taktik yang telah digunakan oleh para
perompak dan ada pula komen akhbar dan TV yang menyatakan betapa adanya
orang Melayu yang bangga kerana taktik itu dilakukan oleh anak watan.
Mungkin tidak ramai yang mengetahui betapa kem yang diserang oleh perompak
itu terletak di satu bahagian negara ini yang amat sukar perjalanan untuk
menghampirinya. Grik dan Pengkalan Hulu adalah dua pekan kecil yang memang
terkenal sejak zaman komunis dulu. Perjalanan di antara dua pekan ini adalah satu
perjalanan yang menakjubkan kerana keadaan sekeliling yang sungguh indah dari
aspek pemandangan semula jadi. Keadaan hutan yang mengimbau pemandangan
memang mempersonakan kerana inilah satu batang jalan di mana ratusan jiwa askar
Malaysia dan British yang pernah terkorban. Sesiapa yang memandu kenderaan
menyusuri jalan ini (kebanyakannya jalan yang baru dibuat menggantikan jalan lama)
akan nampak kesan jalan lama yang berada nun di bahagian sebelah kanan yang
menyusuri anak sungai yang memang jernih lagi
airnya. Gerik yang ada pada hari ini adalah satu pekan yang sudah besar kerana adanya
satu stesen bas yang baru sangat dirasmikan oleh Menteri Besar. Di bahagian
belakang stesen bas itu ada pula gerai makan yang luas untuk menampung
kedatangan pengunjung yang berhenti di pekan itu untuk berehat sebelum
menyambung perjalanan ke arah Lenggong dan Kuala Kangsar. Kalau kita
menghampiri Gerik dari arah Ijok ataupun Taiping kita akan bertemu bahagian Gerik
Lama yang memang amat kotor keadaanya, seolah-olah bahagian pekan lama itu
sudah merupakan satu pekan terbiar. Di zaman komunis dulu, inilah bahagian yang
penuh aktiviti kerana terdapat dua hotel lama yang sentiasa penuh dihuni oleh para
pengembara. Sesiapa yang mahu ke utara daripada Gerik terpaksa melepasi Balai Polis Gerik
yang terletak di satu bahagian anak bukit yang mampu mengawasi setiap
pergerakan kereta yang lalu di hadapannya. Perjalanan akan menghala Simpang
Batu Dua di mana jalan berpecah, satu menghala ke Pengkalan Hulu (Keruh) dan
satu lagi adalah jalan Lebuhraya Timur Barat menghala ke Kota Bharu. Banding
terletak kira-kira 30 kilometer daripada Grik di sepanjang Lebuhraya Timur-Barat
itu. Di sinilah letaknya kem tentera di mana para perompak yang menyamar itu
telah merampas 17 laras Rifel M-16, beberapa laras Steyr Rifel dan kira-kira
6,000 butir peluru. Kejadian berlaku kira-kira pukul 3.00 pagi (ini merupakan satu
anggaran kerana waktu yang tepat hanya Allah yang tahu. Segala catatan di
akhbar dan TV berbeza kerana kesamaran waktu yang diberikan itu) Dari kem itu
mereka telah bergerak ke arah Gerik dan pada jam 4.15 pagi mereka telah
merompak banyak senjata lagi. Kita tidak mahu rakamkan jenis senjata yang
dirompak secara terperinci sehinggalah jumlah itu telah disahkan oleh pihak
tentera. Khabarnya Menteri Pertahanan akan membuat satu pengumuman pada
hari Rabu ataupun Khamis nanti. Setelah merompak, konvoi perompak dikatakan telah behenti di Lawin untuk
mengisi minyak. Mereka berpatah ke arah Selatan menghala ke Lenggong. Dari
Lenggong mereka berhenti di sebuah pekan kecil yang bernama Sauk. Kenapa
mereka berpatah balik itu adalah satu misteri. Terdapat beberapa pekan kecil
daripada Lenggong menghala ke Kuala Kangsar. Di antara pekan kecil itu yang
mudah diingat ialah Sauk, Kuak dan Kati, barulah Kuala Kangsar. Kalau kita
menyusuri jalan itu daripada Kuala Kangsar ke arah Lenggong keadaan tanah di
sekeliling ialah berbukit bukau di bahagian kiri jalan dan kawasan rendah di
bahagian kanan. Ini adalah disebabkan pada satu masa dulu jalan dibuat
berhampiran anak sungai. Apabila pembetulan dan pembangunan dilaksanakan
kerja-kerja menarah kaki bukit dilakukan untuk membesarkan jalan. Jikalau
rompakan terakhir dilakukan pada jam 4.15 pagi bererti konvoi itu terpaksa
meredah jalan Lenggong ke Kuala Kangsar ketika azan berkumandang di udara. Ini
bererti, kalaulah 'siren' (semboyan) kecemasan digerakkan di kedua kem tentera
itu, pihak polis dan tentera tentu sudah mampu mengadakan sekatan jalan di
sepanjang jalan Lenggong-Kuala Kangsar. Untuk mengelakkan mereka dicam dan
ditangkap pihak perompak terpaksa bersembunyi di siang hari.
Laporan terbaru yang diterima daripada wartawan reformis di Sauk melaporkan
pertempuran sengit masih berjalan ketika sebelum azan maghrib di Kampung
Jenalik yang terletak enam kilometer daripada Pekan Sauk. Ketua kampung di situ
ialah seorang yang bernama Abdul Halim yang satu ketika dulu adalah seorang
pegawai tentera yang berpangkat Waran Officer. Khabarnya beliaulah yang
mula-mula sekali yang menenangkan orang kampung ketika berlakunya tembak
menembak di kampung itu. Ramai orang kampung di situ yang terkejut ketika
meletupnya senjata canggih kerana mereka memikirkan ada orang kampung yang
membakar mercun untuk menakutkan ungka dan monyet yang cuba merosakkan
durian mereka. Kini Sekolah di Sauk, Kati dan Kuak sudah ditutup kepada
anak-anak sekolah kerana diambil alih oleh pihak tentera. Seluruh kawasan itu
sudah dikepung oleh pasukan tentera dan kawalan ketat sedang dilaksanakan.
Pengawasan daripada udara pun dilakukan untuk menentukan kesemua anggota
perompak itu dapat diberkas. Untuk memudahkan pembaca yang pernah menyusuri jalan Lenggong ke Kuala
Kangsar biarlah dirakamkan lokasi pekan-pekan kecil yang perlu dilalui oleh
'perompak berpakaian seragam itu: Lenggong- Kota Tampan, Raban, Kuak,
Jenalik, Sauk, Kampung Chua, Kati, Kampung Tiung, Changkat Jambu, Lubok
Merbau, Talang, Kuala Kangsar. Ternyhata mereka tertahan di Jenalik kerana
masalah keadaan perjalanan. Apakah mereka sengaja mahu menghala ke Kuala
Kangsar tanpa memikirkan kemungkinan adanya sekatan jalan raya untuk menahan
mereka? Ataupun apakah mereka sengaja mahu mengadakan satu pertempuran di
kampung Jenalik itu sambil memudahkan perjalanan sabahagian kumpulan mereka
keluar daripada kawasan itu? Kenapakah mereka pilih untuk lari ke arah Kuala
Kangsar sedangkan mereka mampu lari ke arah Keroh dan Baling? Apakah mereka
sudah memunggah sebahagian kelengkapan perang itu dengan menggunakan tasik
yang luas di Raban? Laporan terkini pada jam 2100 Hrs melaporkan tiga orang anggota 'penjahat' itu
telah ditangkap oleh pihak tentera. Nampaknya penduduk Kampung Jenalik yang sudah diarahkan pindah daripada
rumah mereka akan mendapati pokok buah-buahan mereka akan berlubang dan
bersarang peluru mesingan seperti yang berlaku kepada pohon-pohon kelapa di
rumah kediaman Arwah Ibrahim Libya dulu.
|