Laman Webantu KM2A1: 4898 File Size: 20.9 Kb * |
SAUK 3: RAW 2 - Perang Malaikat Sabung Berjuara By Panglima Sauk 5/7/2001 8:16 pm Thu |
[Catatan Panglima Sauk menunjukkan banyak perkara dan
adegan yang luarbiasa berlaku di hulu sana. Aqal yang
waras sukar menerimanya kerana pengganas itu seperti
sengaja mengundang bahaya. Malah mereka bergembira
menjamu selera dan bermain peluru agar mudah diburu
oleh pihak berkuasa. Apa yang menarik kerajaan semakin
galak menghidang fakta setiap kali paparan mereka dicabar.
Akhirnya ia menyiarkan beberapa gambar yang sekaligus
menelanjangkan kisah sebenar tanpa ia sedar. Gambar askar
yang berbalut menunjukkan dia sebenarnya tidak tercedera
separah mana sehingga perlu dikejarkan merata. Gambar tali
gantung yang rendah pula mentertawakan kita kerana semua
yang ditangkap itu besar-besar belaka. Dan gambar Jaafar
Puteh lagi menambah curiga - dialah hero dan dialah pengganas
dalam satu masa. Filem Bollywood pun tidak sanggup menipu
sedemikian rupa - kerana logiknya langsung tiada.
Orang melayu dikatakan mudah lupa tetapi jika sesuatu itu
luar biasa ia akan dikenang sentiasa. Aib dan malu misalnya
sukar padam walaupun bertahun-tahun lamanya. Bukankah ramai
naib presiden Umno diaib dengan amat dahsyatnya? Malah
pembangkang pun terkena sama seperti Md Sabu sehingga
terkejut akan kita. Tentu Ku Li masih belum lupa gambar
tengkolok yang muncul tiba-tiba. Mahathir mempunyai banyak
mata-mata yang bertopeng di mana-mana oleh itu semua perlu
berwaspada - termasuk Pak Lah juga. Mana yang sukar dijerat
akan dihujani khabar angin - dan kini sandiwara pula. Ini
semua tektik Yahudi belaka. Mengimbau Kembali Tragedi Sauk http://members.nbci.com/_XMCM/xumno/feu_panglima_sauk02.html
PERANG BERMALAIKAT SABUNG BERJUARA
Oleh: Panglima Sauk Apa yang dikatakan sebagai operasi tentera terbesar sejak berakhirnya
zaman dharurat komunis dulu, kini sudah dianggap bahan ketawa pula.
Semakin ramai rakyat yang memperlekehkan 'kisah benar' yang dikeluarkan
oleh pihak kerajaan. Walaupun Mahathir, Paklah dan Najib Tun Razak
bersilih-ganti menegeluarkan pendapat mereka mengenai episod rompakan
senjata itu, semakin ramai rakyat yang berfikir semua itu adalah kerja
dalangan yang layak dimasukkan dalam skrip filem Hollywood. Kenapa
mereka tidak fikirkan skrip Bollywood ataupun skrip filem keluaran
Hongkong, belum pula ada sesiapa yang mahu pertikaikan. Setakat ini,
ramai yang fikir Episod RAW (Rompakan Askar Wataniah/Rejimen Askar
Wataniah; pilihlah yang mana satu) sudah layak diselitkan dalam filem
Hollywood. Tetapi, 'RAW' dalam bahasa Ingeris bererti 'mentah'. Apakah
episod ini menunjukkan kementahan beberapa pihak yang terbabit dengannya,
hanya masa akan menjadi penentunya.
Memang terdapat beberapa elemen intrig yang menyoal minda kita
bagaimanakah episod rompakan itu boleh tersekat jalanan skripnya di Sauk?
Apakah kerana Kampung Jenalek Hulu itu sebuah perkampungan Melayu yang
meminggiri kawasan dusun buah-buahan yang memudahkan sesiapa sahaja
bersembunyi di situ? Malahan bunyi tembakan memang sudah lama di dengar
di keseluruhan kawasan Kampung Jenalek itu sebelum berlakunya rompakan
senjata tersebut. Kerana itu apabila tercetus bunyi tembakan yang semakin
galak pada pagi Ahad yang lalu, orang kampung tidak memperdulikannya
sehinggalah tercetusnya berita ada orang kampung yang ditangkap.
Kalau disingkap sejarah silam, tempat di mana kumpulan 'perompak'
bersembunyi sekarang ini adalah satu tapak pembalakan yang terkenal sebelum
itu, sebagai sarang komunis. Kira-kira empat tahun yang lalu pernah berlaku
satu episod di malam hari apabila terjadinya peristiwa heret mengheret
seorang peniaga Cina yang akhirnya ditembak dan ditinggalkan di kawasan
semak di situ. Malahan, dalam tahun 1987, berlaku satu peristiwa apabila
pihak pasukan keselamatan berjaya membunuh empat orang komunis di
perkampungan Cina di situ. Bayangkan, bagaiman peristiwa kemunculan
komunis di situ tiga puluh tahun selepas negara mencapai kemerdekaannya
dan selepas kawasan itu lama diisytiharkan bersih daripada ancaman komunis.
Oleh itu, orang kampung memang tidak berani sangat keluar di tengah malam
buta semata-mata untuk menyiasat bunyi yang ganjil yang mungkin
mencurigakan. Setiap bunyi yang kedengaran di malam gelita hanya mampu
diselidiki di siang hari. Itu pun kalau-kalau difikirkan ada ayam dan hasil
tanaman yang dicuri ataupun hartabenda yang sudah dibawa lari. Kerana itu
apabila berlaku bunyi tembakan di hujung 'baruh', ada penghuni kampung yang
cuba membalas bunyi itu dengan membakar mercun. Ini merupakan budaya
kampung, setiap bunyi dibalas dengan bunyi dan setiap laungan dibalas
dengan laungan jua. Inilah budaya lawan-melawan dan sambar-menyambar,
secara acah-acah sahaja. Apa bezanya sangat dengan budaya orang Melayu
berpolitik? Kalau orang di hilir meraung, orang di hulu pun sambut dengan
meraung juga Kalau orang di bukit bersiul panjang orang di paya bersiul
panjang juga. Lainlah kalau yang menyambut siulan itu sudah tidak pun bergigi.
Mana mungkin dia menyambut siulan panjang bila mulut sudah kurang
berpagar lagi? Setiap kali perkampungan bergegar dengan tembakan yang bertalu-talu dan
apabila disahkan betapa tembakan itu adalah satu pertempuran, orang
kampung pun mula gelabah. Ada yang sibuk memanggil anak dan cucu agar
masuk ke rumah sebelum menutup pintu. Si suami mencari si isteri, si isteri pula
mula mencari anak dan cucu. Ayam dan itik pun mula bertempiaran kerana
mereka pun kebingungan. Apa punya kerja ini, fikir mereka. Manusia sudah
semakin gila, bertembak-tembakan tak tentu hala. Yang anihnya, binatang
ternakan tidak pernah lari ke kandang dan reban apabila berlakunya bunyi
tembakan. Mereka lebih suka berkumpul di satu tempat yang difikirkan
selamat. Di waktu itu mereka tidak mahu memikirkan reban dan kandang
sebagai tempat yang selamat. Begitu juga dengan burung-burung. Mereka
lebih rela terbang jauh daripada sarang mereka. Mungkin kerana takutkan
peluru sesat yang menghala ke udara? Inilah masanya burung-burung menguji
kekuatan sayapnya untuk terbang jauh menyelamatkan nyawa. Yang peliknya
ayam dan itek pun bersayap juga, tetapi kenapa tidak sanggup menggunakan
kepaknya untuk terbang ke tempat yang selesa?
Kini, empat hari sudah berlalu, cerita rompakan senjata di dua kem tentera
sudah pun menjadi satu berita hangat hingga melariskan akhbar. Siaran berita
TV dan radio pun menjadi program yang diminati semula. Episod RAW akan
mengubah cara hidup ramai manusia. Pertama sekali, orang kampung di
Jenalik Hulu sudah merasakan betapa pentingnya mereka itu sekarang ini
walaupun satu ketika dulu hanya saudara mara terdekat sahaja yang mengenal
mereka. Kini, telefon di rumah mereka sentiasa berdering kerana rakan dan
taulan mahukan berita terkini untuk dijadikan perbandingan dengan cerita
skrip olahan kerajaan. Semua berita yang dipaparkan oleh media massa adalah
seirama bunyinya dan sehaluan tujuannya. Kerana itu dunia bebas di luar sana
mahukan berita yang lebih meyakinkan lagi. Penduduk Kampung Jenalik Hulu
adalah harapannya yang terakhir kini. Disebabkan kejadian hebat berlaku di
Jenalik Hulu, penduduk di kampung berdekatan pun turut merasakan
glamornya. Kampung Jenalik Hilir, Kampung Ngor, Kampung Changkat, Sauk,
Kuak dan Kati dan banyak lagi kampung yang lain sudah mula merasakan
keseronokan glamor itu. Sekarang ini, penduduk sebenar di Jenalik Hulu dinasihatkan keluar dari rumah
mereka kerana kerajaan takutkan peluru sesat. Kerana itu ada yang
menumpang di rumah anak-anak dan juga menantu. Ada yang menumpang di
rumah saudara mara yang terdekat di situ. Mereka terpakas akur dengan
arahan, tetapi mereka tidak mahu pergi berjauhan. Di awal pagi mereka mahu
pulang ke rumah untuk membuka reban dan mungkin pintu dan jendela rumah
agar angin rimba masuk menjamah. Makanan ayam dan itek perlu diletakkan
dalam takung makanannya, jika tidak ternakan akan menjeruk rasa dan
bermasam muka. Kerana biasa dengan rezki murah di pagi hari, kalau kini
ditiadakan juga tentu ada ternakan yang merasakan diri mereka sudah mula
didera. Cukuplah dengan bunyi tembakan yang membingitkan telinga
sepanjang masa, takkan makanan pun mahu dicatu ataupun dihentikan pula.
Akibatnya, mungkin ada ternakan yang meragam dan mogok. Ada yang tidak
mahu bertelur kerana terencat dan terkejut. Bayangkanlah kalau setiap kali
meneran untuk mengeluarkan telur mereka dikejutkan oleh letupan senapang
dan bom. Jangan dikatakan ayam dan itik yang mahu bertelur. Manusia yang
sedang mengandung pun boleh keguguran. Ternakan bunting pun boleh mati
beragan. Demikianlah kelirunya penghuni kampung Jenalik Hulu hinggakan suasana
kekeliruan itu menjalar jauh ke perkampungan yang berdekatan. Dalam dunia
teknologi ini, apa yang berlaku di sana masih boleh diikuti oleh orang luar
dengan bijaksana. Panggilan telefon yang dilakukan oleh saudara mara jauh
dan dekat memberikan lapuran semasa yang terperinci dan tepat. Malahan
lapuran itu lebih meyakinkan kerana ia tidak ditapis dulu oleh Jabatan Perang
Saraf parti yang memerintah dan jabatan kerajaan.
Kalau kita baca lapuran di akhbar dan juga meneliti gambaran dan bayangan
yang ditunjukkan di kaca TV kita mungkin mahu bertanya, kenapakah berita
episod rompakan tentera itu dibiarkan tersebar luas seolah-olah tidak ada
elemen rahsia kenegaraan yang perlu diperamkan? Apakah kerajaan tidak
merasa malu dengan episod itu sehinggakan membenarkan media massa
bermaharajagila membuatkan laporan yang menyeluruh terhadapnya?
Apakah pihak tentera sendiri tidak memikirkan elemen rahsia ketenteraan yang
tergugat dengan tersebar luasnya episod itu? Semakin lama perkara ini berlalu,
semakin ramai pemberita luar akan datang berpusu, semakin kalut lagi analisa
rakyat yang ingin serbatahu. Apakah jadinya nanti, terbukakah rahsia
sebenarnya episod ini? Pihak kerajaan melalui kenyataan yang dibuat oleh Najib Tun Razak dan juga
Ketua Polis Negara sudah semakin yakin bahawa kumpulan perompak itu
adalah satu kumpulan yang ada sangkut-paut dengan kegiatan ajaran Islam.
Sama ada ajaran itu yang betul ataupun yang sesat, belum dapat dipastikan
lagi. Yang nyata, di hutan itu mereka mengenakan kopiah putih dan "serban
merah dan serban putih". Apa makna kenyataan itu seperti yang disiarkan oleh
hampir semua akhbar perdana (melainkan akhbar Bahasa Cina), masih lagi
samar-samar. Apakah ada yang berserban berwarna merah dan ada pula
yang berserban berwarna putih ataupun serban itu mempunyai dua jalur
warna, merah dan putih laksana bendera Indonesia ataupun Singapura, masih
tidak diketahui. Polis ada juga membuat kenyataan betapa bilangan kumpulan jahat itu sudah
pun bertambah dua kali ganda. Semasa merompak dulu bilangannya adalah lima
belas orang. Kini sejak berada dalam hutan itu, bilangannya bertambah
menjadi tiga puluh orang, dan mungkin lebih. Dengan lain perkataan, kini
sudah ada dua platun kumpulan bersenjata secara haram yang sedang
dikepung oleh pasukan tentera yang berjumlah 2,000 askar itu.
Di sini muncul satu soalan: Bagaimanakah kumpulan yang dikatakan
mengandungi orang Melayu, India dan Iban boleh berkumpul di hutan itu
sambil memakai kopiah dan sarban? Semalam kita diberitahu mereka ini adalah satu pasukan yang memang pakar
dengan senjata. Kalau begitu, apakah perlunya mereka mencuba senjata yang
dirompak itu dengan menembaknya di angkasa sambil bertakbir? Apakah
mereka sengaja mahu menarik perhatian pasuakan tentera kerajaan yan
sedang mengepung mereka itu? Kalau memang pakar senjata apakah mereka
perlu lagi menguji setiap senjata yang ada?
Tersebarnya kisah permulaan episod RAW ini sudah diterima oleh sebahagian
rakyat negara ini dengan perasaan yang penuh curiga. Mereka tidak perlu
mengetahui apakah tujuan sebenarnya rompakan itu dilakukan. Mereka juga
tidak perlu tahu secara terperinci jenis senjata dan bilangannya yang dilarikan.
Mereka lebih senang membuat penganalisan apakah motif sebenarnya episod
itu dimulakan. Rompakan dilakukan di dua kem tentera yang berasingan. Jarak jauh di antara
dua kem itu adalah sekitar tiga empat puluh kilometer. Dengan perjalanan
berliku di kawasan itu walaupun dilakukan di malam hari, satu jam diperlukan
untuk konvoi. Lapuran akhbar mengatakan rompakan pertama terjadi pada
jam (lebih kurang) 3.15 pagi dan rompakan di kem yang lagi satu pada jam
4.15 pagi. Maklumat yang rasmi melapurkan betapa 15 orang perompak yang
berpakaian seragam tentera telah menggunakan tiga buah kenderaan 'Pajero'
untuk alat pengangkutan mereka. Tidak disebut pula kenderaan lain yang
digunakan untuk mengangkut kelengkapan perang yang dirompak itu. Hanya
MGG Pillai ada menyebut penggunaan trak muatan 3 tan bagi tujuan tersebut.
Nampaknya MGG Pillai lebih terkini daripada semua media massa tajaan
kerajaan. Kalau kita lihat peta kawasan di mana rompakan dilakukan kita akan dapati
jalan yang paling sesuai untuk melarikan diri ialah ke arah utara menghala ke
Pengkalan Hulu. Pekan ini yang dulunya diberi nama Keruh, adalah amat
hampir kepada sempadan Siam. Dari situ perjalanan boleh membawa kita ke
Baling yang juga berada di sempadan negara dengan Thailand.
Mungkin tidak ramai pembaca yang pernah memandu ke kawasan
pergunungan Gerik yang menghala ke Baling. Kawasan ini memang
bergunung-gunung. Tetapi daripada Gerik ia nampak rata dan rendah sahaja,
kerana itu adalah satu permulaan perjalanan yang jauh dan berbahaya. Satu
ketika dulu, perjalanan itu memang amat berbahaya. Tetapi kini, jalan baru
sudah dibuat dengan membelah kawasan pergunungan untuk memudahkan
perjalanan daripada Gerik ke Kelian Intan dan menghala ke Pengkalan Hulu.
Perjalanan daripada Gerik ke Pengkalan Hulu adalah satu perjalanan yang lebih
meyakinkan kalau mahu melarikan diri. Di kawasan yang bernama Tanah Hitam
terdapat bekas lombong bijih jenis terdedah ('open-cast-mine') yang satu
ketika dulu dipunyai oleh Rahman Hydraulics. Di bukit yang tinggi itu kita
masih mampu melihat kesan tapak perlombongan terbuka ini kerana masih lagi
terdapat tiang besar yang diperbuat dariapda besiwaja. Dari tiang besi inilah
tergantungnya tali kabel yang mengangkut bijih besi ke kilang. Yang menarik
sekali di tempat ini, ialah terdapatnya perigi lama dan terowong lama yang
bersimpang siur hasil penerokaan orang Siam di satu ketika sebelum
datangnya kuasa British di negara ini. Oleh kerana tempatnya tinggi dan
terdapatnya terowong yang merupakan laluan pintas ke sempadan dua
negara, kawasan ini amat sesuai untuk perompak melarikan diri mereka.
Sebarang usaha pihak kerajaan menghambat mereka ataupun mengepung
mereka akan menyulitkan operasi itu dan membahayakan nyawa.
Kalau niat sebenar perompak itu adalah untuk mencuri dan merompak
kelengkapan perang, mereka sepatutnya lari arah ke Baling. Segala unsur
melarikan diri dan keupayaan untuk menggunakan jalan alternatif seandainya
dikesan dan diserang lebih meyakinkan sesiapa sahaja menggunakan jalan
Gerik ke Baling itu daripada Gerik ke Kuala Kangsar. Inilah unsur-unsur yang
digunakan oleh Chin Peng dan Rasyid Maidin (Ketua parti Komunis Malaya
satu ketika dulu) ketika mereka sanggup untuk berunding secara terbuka
dengan Tunku Abdul Rahman dan David Marshall di Baling. Malahan,
walaupun masa sudah lama beredar, kalau kita pergi ke Baling masih lagi banyak
unsur-unsur lama yang terdapat di pekan itu seolah-olah ia berada pada satu
masa yang dibekukan ('time-warp'). Contohnya ialah menara jam yang dibina
pada 31.8.57 yang terletak di pintu masuk masjid pekan itu. Jam yang terletak
di bahagian atasnya sentiasa menunjukkan waktu yang menghampiri 12.00
sahaja, sejak sekian lama. Oleh kerana pekan Pengkalan Hulu adalah merupakan satu pekan kecil yang
lebih dihuni oleh orang daripada Pattani, adalah amat mudah sekali kalau para
perompak itu melarikan diri ke pekan ini kerana mudah menyusup ke seberang
sempadan. Kenapakah mereka tidak lakukan semua ini? Kenapakah merek
sanggup berpatah ke arah selatan untuk melarikan diri? Mungkin soalan ini
sudah dijawab dengan bertambahnya bilangan kumpulan itu di Jenalik Hulu.
Tetapi, dari manakah mereka bertemu untuk menambahkan kekuatan?
Kalau kita mahu mengambil kira laporan terakhir di TV, kini sudah terjumpa
beberapa buah kereta yang tersorok di satu pekan. Dalam kereta itu ada
identiti tuanpunya kereta dan juga kad identiti serta nombor keahlian kumulan
agama mereka. Kereta itu tersimpan di sebuah bengkel kereta yang dipercayai
bertanggungjawab mengecat tiga biji Pajero yang digunakan itu.
Terjumpanya kereta persendirian mereka itu amat mengelirukan lagi. Bukan
kereta itu yang membuatkan kita keliru. Tetapi terjumpanya kad yang
menyerlahkan identiti setiap ahli yang terbabit, kerana kad itu adalah kad
keahlian mereka dalam kumpulan ajaran agama. Bagaimanakah agaknya
kumpulan ini mampu sengaja menyimpan kad ajaran agama (yang mereka tahu
ditakrifkan sebagai ajaran agama sesat oleh kerajaan) sebegitu mudah dalam
kereta mereka? Lapuran terbaru mengatakan seluruh kawasan persekitaran Jenalik
diperintahkan berkefiu (curfew) bermula jam lapan malam hingga enam pagi.
Ini yang membuat keadaan tegang menjadi lebih sensasi. Bermacaam andaian
boleh dibuat lagi. Orang kampung tidak mudah tidur lena, terutama sekali
orang Sauk yang memang amat rapat persaudaraan mereka di kalangan
perkampungan persekitaran di situ. Tentu mereka berbincang sesama sendiri
apakah kesudahannya drama yang terkini itu. Apakah akan berpanjangan
sehingga munculnya 31.8.00 ketika negara menyambut ulang tahun
kemerdekaan? Tetapi, tentu banyak lagi soalan yang lebih penting yang
memerlukan jawapannya: Siapa yang akan menampung kerugian kalau durian
yang runtuh tidak berkutip dan dijual? Siapa yang akan membayar ganti rugi
kalau penoreh getah tidak boleh turun ke tanah? Siapa pula yang akan
memberi jaminan agar ayam dan itek yang terbiar di kampung halaman tidak
dicuri orang di tengah malam. Salah satu soalan yang memerlukan jawapan segera ialah bagaimanakah ada
askar kerajaan yang cedera kalau perompak tidak menyerang mereka? Mereka
mungkin terkena peluru yang jatuh dari angkasa. Bukankah para perompak itu
dikatakan sedang menguji senjata mereka? Yang anihnya kalau terkena peluru
sesat tanpa disasar oleh para perompak, bagaimanakah askar kerajaan itu
tidak pun mengalami pendarahan? Jenis peluru apakah yang mengena badan
tanpa mengeluarkan darah? Lihat akhbar perdana hari ini (5/7/00) askar yang
terkena tembakan itu mampu diberi balutan bandage dengan bajunya
tersangkut di badan. Inilah gambar yang amat mencurigakan rakyat biasa di
negara ini. Rakyat memang tahu kalau askar kita kena tembakan secara 'direct' tentu ada
yang rabak bahunya. Tetapi kalau terkena peluru daripada udara tidak begitu
bahananya. Namun, mesti ada luka dan berdarah juga. Tetapi, yang peliknya
perkara ini tidak berlaku. Askar itu dikejarkan ke hospital Taiping pula. Kenapa
tidak ke hospital Kuala Kangsar? Yang dimasukkan ke Taiping itu kenapa pula
dilarikan ke hospital Ipoh? Bukannya serius sangat lukanya kalau dia mampu
keluar daripada hospital sambl berjalan kaki.
Perang bermalaikat sabung berjuara, adalah satu pepatah Melayu yang
muncul setelah orang melayu mengenal ajaran Islam. Ia membawa erti betapa
kita sebagai umatNya perlu berusaha tetapi Dialah yang menentukan berjaya
tidaknya usaha rencana itu. Mungkin pepatah ini digunakan sebagai pedoman
juga oleh para perompak yang kini sudah berjumlah lebih tiga puluh orang
ramainya. Gelagat mereka itu yang menjadi soalan kita kini.
Memang banyak soalan lain yang penting lagi. Tetapi, apa juga soalan yang
akan muncul itu tentu ada satu soalan yang paling penting lagi: Siapakah
sebenarnya perompak yang memakai serban itu? Siapakah gerangan imam
besar mereka dan di mana? |