Laman Webantu KM2A1: 4910 File Size: 12.7 Kb * |
TDPWN 2: Prolog - Ekonomi Mengangkat Martabat Bangsa By Khalid Jafri 8/7/2001 11:16 am Sun |
[Mahathir sebenarnya telah gagal kerana orang melayu semakin
punah sejak beliau menerajui negara. Penagih dadah melayu lebih
ramai dari penuntut universiti dan negara menjadi semakin miskin
serta jenayah menggila kini semakin menjadi-jadi sehingga pelajar
sekolah dan polis sendiri terlibat sama. Sudah tidak ada ketakutan
lagi untuk melakukan jenayah kerana wang sudah menjadi raja di negara
ini. Padahal ini semua boleh dielakkan jika Mahathir betul-betul
bekerja malangnya dia telah mengerjakan segala-galanya sehingga
punah semuanya. Dia bukan sahaja melindungi penyangak malah
memartabatkan pula penyangak bersiri seperti Daim sedangkan ada
banyak lagi tokoh ekonomi yang bersih dan amat pakar di negara ini.
Mahathir sebenarnya pakar yang paling tidak berguna yang asyik
berpura dan bermain silap mata. Apabila ribut ekonomi melanda
terserlahlah semua rahsia. Jika beliau hebat Malaysia sudah lama
dapat menyaingi Singapura. Sekarang dana dan rezab negara sudah
bagai kerak nasi sahaja bakinya sedangkan yang lapar berjuta-juta.
- Editor] Ihsan FeU Ekonomi Mengangkat Martabat Bangsa
Tanggungjawab mengangkat martabat bangsa adalah satu agenda untuk
memantap dan memapankan kedudukan ekonomi negara. Ia tertumpu
kepada perpindahan paradigma tentang ekonomi perpindahan dari
paradigma yang lama kepada paradigma yang baru. Oleh itu, apa
yang wajar ditekankan di sini ialah, ekonomi kebendaan.
Sebaliknya, ekonomi adalah sebahagian dari masalah kemanusiaan
serta permasalah moral dan akhlak. Secara khususnya, agenda mengangkat martabat bangsa menekankan
kepada perubahan paradigma, perubahan pendekatan dan perubahan
pengertian mengenai ekonomi perubahan dari pandangan barat kepada
pengertian pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang serasi dengan
negara ini. Seperti yang diperkatakan oleh Perdana menteri menerusi Wawasan
2020, pertumbuhan ekonomi di negara maju terkini hanya berasaskan
kepada kekuatan industri dan teknologi.
Corak kemajuan barat ini wajar dijadikan perbandingan kepada
kemajuan yang hendak diwujudkan di negara ini. Malaysia mahu
mencapai taraf negara maju. Kemajuan yang mahu dicapai pula bukan
cuma berasaskan kepada kekuatan industri dan teknologi sahaja.
Malaysia mahu kemajuan yang digandingi oleh institusi
kekeluargaan yang kukuh, dimensi budaya yang segar serta kekuatan
akhlak dan rohani yang tetap sebati dengan cara hidup rakyatnya.
Jadi pengertian ekonomi barat diguna-pakai di negara ini perlu
drombak. Ini perkara pokok supaya orang Melayu, umat Islam serta
rakyat Malaysia seluruhnya dapat membezakan pengertian ekonomi
yang dikupas, dimengerti dan diolah oleh Barat dengan pengertian
ekonomi yang serasi dan selaras degnan perkembangan terkini
tanahair, khususnya dalam konteks menjayakan Wawasan 2020.
Inilah satu tanggungjawab utama yang harus ditekankan dalam
melaksanakan agenda mengangkat martabat bangsa. Tanggungjawab ini
penting kerana sesuatu bangsa tidak akan bermartabat semata-mata
kerana ia kaya dari segi ekonomi kebendaan.
Sesuatu bangsa akan hanya bermartabat sekiranya kekayaan ekonomi
itu menonjol dan diagihkan dengan saksama. Sesuatu bangsa akan
hanya bermartabat jika ia memiliki kekuatan rohani, akhlak dan
berbudaya. Sesuatu bangsa itu akan hanya bermartabat kalau ia
mempunyai wadah memperjuang dan meningkatkan mutu hidupnya
sendiri. Sebaliknya, sesuatu bangsa itu tidak akan bermartabat sekiranya
kesejahteraan ekonomi masih menyaksikan penindasan, kerakusan
kuasa, penyelewengan serta ketidak-adilan sosial yang meluas.
Sesuatu bangsa juga tidak bermartabat kalau ia lesu dari segi
budaya dan lemah dari segi ilmu dan teknologinya akibat
perjuangannya yang tidak mempunyai isi.
Kalau rakyat Malaysia mahu mentafsir ekonomi tanpa melihatnya
dari sudut permasalah kemanusiaan, moral dan akhlak maka beberapa
masalah besar yang melanda barat pasti akan berlaku di sini.
Contohnya, Amerika Syarikat. Negara ini terkenal sebagai satu
kuasa besar dan maju. Tetapi, ia masih berhadapan dengan suasana
yang paling mendukacitakan seperti rusuhan secara berleluasa di
bandarya Los Angeles beberapa tahun lalu. Setelah berlaku tragedi
tersebut barulah timbul sedikit kesedaran tentang perlunya campur
tangan Kerajaan untuk memastikan supaya golongan yagn miskin
wajar dibantu dan kaum-kaum minorit pula wajar diberi pembelaan
dan sebagainya. Apa maksudnya sebuah negara yang besar dan kaya raya kalau kaum
kulit hitam hidup melarat dan warna kulit dijadikan simbol
perbezaan mutlak. Inikah yang dikatakan birokrasi aygn paling berjaya dan sistem
ekonomi liberal yang harus dijadikan model untuk Malaysia?
Bagaimanapun di Malaysia kesedaran mengenai tanggungjawab
tersebut telah wujud sejak 70-an. Tanggungjawab membela golongan
miskin dan minoriti ini akan diteruskan melalui dasar ekonomi
yang lebih pragmatik.. Sebab itulah Malaysia perlu lebih bijaksana dan wajar mewujudkan
model yang lebih baik. Malaysia harus memperlihatkan model
ekonomi yang subur dan lebih berjaya. Malaysia harus menghasilkan
teknologi yang canggih serta kewujudan sebuah masyarakat yang
bergerak maju berlandaskan kekuatan akhlak dan moral yang
tinggi. Jadi jelaslah di sini bahawa satu dari tanggungjawab mengangkat
martabat bangsa ialah untuk mengisi kekuatan dan perjuangan
bangsa dalam pelbagai bidang. Ini signifikan kerana Malaysia mahu
menjadi negara maju dan pada waktu yang sama, mahu juga muncul
sebagai sebuah negara yang berbudaya dan prihatin terhadap
permasalahan rakyatnya. Apa yang dilakukan di Malaysia adalah serasi dengan latarbelakang
sosial, ekonomi dan budaya di negara ini. Namun begitu, apa yang
dilaksanakan di negara ini juga kelihatan sebagai sesuatu yang
universal. Contohnya kini wujud kalangan cendekiawan Barat yang insaf bahawa
ekonomi tidak dapat dipisahkan dengan persoalan moral dan akhlak.
Beberapa golongan pemerhati sosial antarabangsa juga telah lama
berpendapat bahawa kemelesetan ekonomi sejak Perang Dunia Kedua
adalah manifestasi kepada kelesuan moral.
Hakikat ini adalah realiti yang nyata. Lihatlah kewujudan sektor
korporat yang tenggelam dalam nafsu mengaut keuntungan meskipun
mereka menyedari kerakusan tersebut boleh menghancurkan kekuatan
ekonomi. Contohnya Pasaran Saham New York. Menurut istilah seorang
wartawan Wall Street Jounal, Pasaran Saham New York telah menjadi
sarang penyamun dan tempat penjenayah yang bergerak secara
berleluasa. Contoh-contoh lainnya memang berbagai. Umpamanya terdapat negara
maju yang sanggup berbelanja berbillion dollar untuk perlumbaan
senjata. Tetapi, segolongan rakyatnya tetap mencemuh perbelanjaan
untuk golongan miskin dan melarat di negaranya sendiri.
Inilah di antara contoh klasik tentang dasar ekonomi yang
kehilangan prioritinya dan masyarakat yang telah kehilangan
wawasan moralnya. Realiti ini menjadikan negara terbabit terjebak
dengan beberapa permasalahan besar. Satu lagi contoh ialah tentang beberapa skandal jenayah kolar
putih seperti skandal kewangan yang dilakukan oleh orang-orang
yang berkuasa dan ahli-ahli perniagaan sama ada kecil, sederhana
atau peringkat korporat ini menginsafkan semua pihak di Malaysia
bahawa sesuatu usaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan
memajukan negara wajarlah mempunyai wawasan moral demi mengangkat
martabat bangsa. Sebab itulah strategi pembangunan ekonomi Malaysia haruslah
memberi penekanan kepada aspek keilmuan, moral dan budaya. Inilah
yang membezakan pengurusan sistem ekonomi Malysia dengan yang
wujud di Barat. Beberapa ahli sosiologi barat, seperti Peter Berger kini
mengakui bahawa kepesatan pertumbuhan ekonomi di Asia Timur
adalah bertunjangkan budaya Asia. Hakikat ini amat bertentangan
dengan beberapa pandangan sebelumnya. Dulu beberapa sarjana barat
berpendapat bahawa jika Timur ingin maju, ia perlu meniru
kebudayaan Barat. Dulu, contohnya Weber berpendapat bahawa Islam dan dinamisma
ekonomi adalah dua aspek yang bertentangan. Sekarang, Peter
Berger menyebut bahawa ekonomi di Asia Timur amat berbeza dengan
pola pembangunan ekonomi Barat. Perkembangan pendapat seperti ini, jelas membuktikan bahawa
beberapa sarjana barat kini mulai menerima hakikat bahawa sudah
wujud pola pembangunan bukan Barat yang boleh diterima dan
dipraktikkan. Kini, sudah terbukti, hakikat bahawa kebudayaan bukan barat boleh
menghasilkan kemajuan adalah benar. Pandangan seperti ini telah
menimbulkan kesulitan kepada sarjana Barat yang selama ini
beranggapan hanya Barat dan kebudayaan barat sahaja yang boleh
membawa kemajuan. Justeru itu, Samuel Huntington, seorang professor dari Universiti
Harvard, berpendapat bahawa pergeseran di masa hadapan adalah
pergeseran tamadun, bukannya pergesran idealogi atau antara
negara. Dalam keluaran terbaru jurnal Foreign Affairs, beliau menulis
'The fundamental source of conflict in this new world will not be
primarily ideological or primarily economic. The great divisions
among humankind and the dominating source of conflict will be
cultural. The clash of civlisation willl dominate global
politics.' Huntington meminjam istilah 'clash of civilisation' ini daripada
Orientalis terkenal yang sentiasa mengingatkan dunia Barat
tentang kebangkitan pengaruh Islam yang akan mencetuskan
pertembungan peradaban. Dulu, ideologi memang amat penting.
Sekarang ideologi tidak lagi penting akibat terkuburnya fahaman
komunis di Russia dan Eropah Timur. Tetapi, apa yang Huntington nampak sebenarnya ialah, seolah-olah
satu amaran tentang munculnya blok budaya baru. Umat yang
bermaruah mampu dan perlu mengurus politik dan ekonominya.
Sebenarnya dalam konteks ini, Huntington mengingatkan semua
pihak, atau memberikan ingatan kepada pentadbiran Amerika
Syarikat, supaya melihat gejala di atas dari perspektif yang
baru. Sesiapa yang cuai akan tenggelam dan tersisih dengan dunia
seluruhnya. Pihak Barat kini melihat kekuatan budaya dan peradaban ini
sebagai suatu kekuatan baru yang akan mencabar kekuatan politik
mereka. Sebab itulah mereka menekankan soal pertembungan budaya
ini sebagai suatau yang baru dan begitu mencabar.
Bagi semua pihak di Malaysia, perbicaraan tentang mengangkat
martabat bangsa itu bukannya untuk 'clash'. Sebaliknya ini adalah
untuk menebus maruah, untuk memelihara kemerdekaan,
memperkukuhkan ekonomi dan membuktikan rakyat Malaysia mempunyai
harga diri sebagai manusia. Inilah perbezannnya. Sebab itulah
Islam menekankan prinsip perbezaan kaum dan budaya untuk kenal
mengenal dengan maksud hormat menghormati.
Sebenarnya, pandangan Huntington tentang 'clash of civilisation'
ini bukan baru. Lima puluh tahun yang lalu, seorang pemikir Arab
yang terkenal pernah menyebut tentang dialog antara tamadun dan
budaya. Orang Islam yang waras menganjurkan dialog untuk kenal
mengenal. Sebab itulah Huntington berpendapat bahawa perbezaan atau
pertembungan antara manusia dan kekuatan yang menyebabkan konflik
dan pertembungan. Pertembungan budaya akan menguasai politik
dunia. Pandangan tersebut kini menggemparkan. Majalah-majalah
akademik antarabangsa dan pemikir-pemikir Barat bertelagah
mengenainya. Sebab itu dianjurkan supaya golongan eksekutif di Malaysia
mengikut pemikiran terkini supaya mereka lebih bersedia dan tidak
terjebak dengan perancangan dan perencanaan mereka sendiri. Semua
pihak di negara ini juga seharusnya menerima hakikat bahawa akan
berlaku perubahan dalam pemikiran masyarakat Barat.
Lebih ramai sarjana barat akan menerima kenyataan bahawa akuilah
dunia ini bukan milik satu kaum, satu agama atau satu budaya.
Terimalah kenyataan tentang wujudnya kepelbagaian budaya, agama
dan kaum. Dan yang penting dan paling utama sewajarnya kita
menerima kenyataan bahawa Malaysia akan menentukan sistem
politik, ekonomi dan mengangkat mertabat bangsanya.
Atas hujah ini beberapa golongan di Malaysia kini sering
menganjurkan supaya sektor korporat turut sama dalam memberikan
sumbangan kepada usaha memperkukuhkan dan memperbaharui budaya
bangsa. Penganjuran idea seperti ini amat relevan kerana kekuatan
dan kesuburan budaya bangsa pasti akan memberikan sumbangan
secara langsung terhadap kemantapan ekonomi negara.
(daripada ms 1-17)
|