Laman Webantu KM2A1: 4923 File Size: 8.8 Kb * |
TAG SP 198: Perang Siber By Harun Rashid 9/7/2001 7:58 pm Mon |
[Dulu kerajaan mengatakan laman web pro-reformasi adalah fitnah
semata-mata tetapi ia tetap popular dan akhbar pula yang semakin
merosot jualannya. Kemudian kerajaan menyelar kununnya beberapa
laman dibiayai oleh pihak asing tetapi itu pun tidak berjaya.
Sekarang ia mahu menyerang dengan akta pula setelah serangan berbentuk
sabotaj, pencerobohan dan godaman (hacking and cracking) gagal juga.
Semua reaksi kerajaan ini membayangkan tulisan penulis siber tidaklah
sia-sia dan sudah mengenai sasarannya. Malah Mahathir sendiri
turut gerun dengannya sehingga internet turut diselarnya dalam
perutusan merdeka pada tahun lepas keseluruh negara.
Jika musuh berdiam itu bermakna ada sesuatu yang tidak kena dengan
perjuangan kita. Jutaan terima kasih kepada semua penulis siber
kerana tintamu sudah mencekik penyangak negara. Bukankah pena
itu senjata yang amat berbisa kerana ia boleh menggegarkan negara
lebih dahsyat dari segala bom yang ada?
"The ink of the pen of scholars is more valuable than the blood of
martyrs" (Hadis) (Cyber War) Oleh: Harun Rashid. Menteri 'de facto' undang-undang, yang sering dikaitkan dengan tesisnya itu,
telah mengumumkan rencana serangan 'peluru berpandu' terhadap musuh khayalan
di alam siber. Senjata yang hebat ini dikatakan menepati sasarannya, berbeza
dengan model terdahulu yang mengecewakan. Bukan sahaja ia gagal
menghancurkan sasarannya, tetapi ia mudah melantun balik untuk menjejaskan
'buah kerandut' pahlawan-pahlawan teknologi mereka yang ketandusan
pengalaman. Kini, syak wasangka umum sudah pun diperakui. Perbuatan menggodam (hacking)
laman-laman web yang begitu dedikasi mendedahkan salahlaku ahli-ahli politik
Malaysia yang jijik itu disyaki telah dibiayai oleh menteri-menteri Malaysia
sendiri. Namun, sehingga kini perkara itu masih belum disahkan. Pengumuman
menteri tentang peperangan alam siber itu, bererti peperangan akan semakin
menggila. Perkara ini akan menjadi lebih terperinci, sehinggakan terserlah nanti
ketidak-seimbangan terhadap agihan sumber. Kita tentu ingat akan beberapa
konflik di Asia Tenggara, di mana kuasa dan kecanggihan senjata pihak yang
berkuasa beradu-domba melawan taktik gerila yang bersenjata ringan tetapi
lebih lincah daripada pencabarnya. Babak pertempuran telah dipindah masuk untuk disesuaikan dengan suasana
siber yang tidak bersempadan dan tidak mudah dipertahankan. Semua itu adalah
khayalan, yang diberi sokongan persis satu permainan komputer, dengan
penggunaan teknologi yang baru. Masalahnya dengan parti-yang-berkuasa ini
adalah mereka kelihatan telah mengambil semua itu dengan serius sekali.
Pertikaian kecil yang terjadi, yang tertumpu kepada kesungguhan untuk
mengelakkan penapisan secara terus, kini berubah menjadi parah, dengan
adanya niat kerajaan untuk bertindak kasar. Ini akan melibatkan jentera
perundangan negara , bersama-sama dengan senjata terulungnya, polis cawangan
khas (SB), yang bertindak secara fizikal untuk mencekup musuh dan komputer/
senjatanya, kedua-duanya akan melalui soal-siasat yang intensif.
Hanya segelintir yang terlepas deraan ini. Ada yang akan menghilangkan untuk
selamanya. Ramai yang akan muncul semula (dibebaskan) tanpa sebarang
ingatan, satu fenomena yang sukar untuk dijelaskan mengikut pemahaman
insani. Di dalam banyak kes, mereka yang 'mati otaknya' dan terpaksa
bergantung penuh kepada orang lain ini, dibawa ke depan mahkamah hanya untuk
memerhati perjalanan kes pendakwaan ke atas diri mereka.
Hakim tidak mudah perasan betapa manusia yang berada di dalam kandang orang
salah itu adalah zombi yang tidak boleh berfikir lagi dan tidak dapat
memahami prosiding mahkamah. Polis cawangan khas memang pakar di dalam
putar-balik minda (turning) mangsanya, dan ini membawa maksud menterbalikkan
mereka menjadi orang yang terlalu lemah dan tidak berdaya untuk berbuat
apa-apa. Memang tiada percubaan untuk melindungi dan mempertahankan insan yang lemah
ini, sama ada oleh peguam yang dilantik atau hakim yang duduk mengadili kes.
Ia adalah satu persendaan kepada keadilan, ala Malaysia. Dunia pasti akan
dapat melihat banyak lagi kes yang serupa di masa yang akan datang.
Tugasan menteri undang-undang semakin jelas digariskan. Porfolionya kini
termasuk serangan baru yang bakal dilancarkan ke atas Internet, terutamanya
laman-laman web yang berbisa. Beliau bercadang untuk mengnyahkan laman
tertentu pilihannya sendiri, yang mungkin dianggap bersifat penghinaan oleh
pemilik/ pengurus laman web. Ia membawa maksud penghapusan maklumat secara
teknologi. Keadaan yang sama berlaku di dalam Third Reich (regim Nazi), satu
lagi regim yang bersifat kuku besi.
Menteri yang patuh itu tidak berkelayakan untuk memulakan perang siber.
Pemahamannya tentang teknologi baru hanya terhad kepada mengupah
penggodam-penggodam komputer (hackers) untuk menyebabkan kerosakan dan
menggaji pekerja-pekerja kerajaan untuk mengirim virus-virus kepada
pihak-pihak pembangkang melalui emel. MITI, yang berkaitan dengan hubungan
perniagaan antarabangsa, baru-baru ini didapati bersalah kerana dengan
sengaja menghantar virus-virus kepada alamat-alamat yang terpilih, walaupun
ini kemudiannya dinafikan, di atas alasan 'tidak sengaja'. Bukti-bukti yang
ada menunjukkan sebaliknya. Menteri yang patuh ini mula menampakkan dirinya sebagai menteri maklumat
songsang, lebih banyak terlibat di dalam menyalah-tafsirkan undang-undang
dari melaksanakannya. Penelitian yang lebih rapi tentang bahasa yang
digunakannya mengundang perbandingan dengan penggunaan komputer terhadap
tesis yang telah dihasilkannya. Hasilnya memudahkan tekaan betapa wujudnya
jejari lain yang memegang penanya, dulu. Keengganan beliau memperakui hasil
kerja tersebut mempermudahkan andaian betapa memang wujud kelompongan dalam
pertalian hubung-kait itu. Penyalahgunaan media cetak dan elektronik memang menjadi pilihan regim
diktator pada satu masa dahulu. Penggunaan kaedah yang serupa bagi mengawal
komunikasi dan berita akan gagal dalam zaman yang baru, satu perkara yang
menteri-menteri di Malaysia nampaknya tidak berupaya untuk memahaminya.
Bilangan laman web adalah melebihi sebarang keupayaan untuk memusnahkannya,
dan ia boleh diklonkan, disalin secara 'mirror image' dan diwujudkan semula
jauh lebih pantas lagi dari sebarang usaha untuk mengenal-pasti dan
menyeranginya. Menteri berkenaan barangkali boleh merujuk kepada satu kes di mana satu
perisian komputer dihasilkan bagi membolehkan pemindahan dari CD dilakukan.
Apabila mahkamah mengarahkan laman web ini untuk membuang tawaran tersebut,
perisian komputer itu dengan cepatnya disebarkan kepada lebih dari 1500
laman baru dalam beberapa jam sahaja. Begitulah hebatnya keupayaan internet
untuk menghalang pengawalan terhadap isi kandungannya.
Walaupun kenyataan-kenyataan umum dibuat bahawa pengisytiharan perang yang
baru itu bukanlah merupakan langkah penapisan Internet, adalah sukar untuk
mengenepikan kesimpulan ini. Jika tidak, bagaimana pula cara menilainya?
Jika ini merupakan satu pengisytiharan perang, bahana akibat yang akan
tercetus adalah dahsyat sekali. Kemampuan pemilik bebas komputer untuk
bertindak-balas adalah menakutkan sekali. Ia mungkin bermula dengan
pemboikotan firma-firma komputer yang menggunakan komponen elektronik
bikinan Malaysia, sehinggalah kepada usaha mengnyahkan semua laman web
kerajaan Malaysia. Keseluruhan struktur IT Malaysia memang terdedah pada bahaya. Satu gencatan
senjata yang segera seharusnya menjadi pilihan parti-yang-berkuasa.
Seandainya serangan ke atas pelajar-pelajar berterusan, dan para tahanan ISA
tidak dibebaskan, Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) boleh diserang oleh
jurutera-jurutera muda yang memuncak kebenciannya akibat dari taktik-taktik
penindasan yang digunakan. Kemudahan IT yang lain juga terdedah kepada
bentuk ancaman yang serupa. Parti-yang-berkuasa di Malaysia belum bersedia
untuk menghadapi sebarang konfrontasi yang aktif di medan pertempuran siber.
Diharapkan menteri yang dikatakan setia itu memahami masalah ini.
Terjemahan: SPAR-09-019
Link Reference : Harun Rashid Worldview: Cyber War |