Laman Webantu KM2A1: 4946 File Size: 14.2 Kb * |
TJ SP MGG: Politik Telur Di hujung Tanduk By M.G.G. Pillai 13/7/2001 12:33 am Fri |
MGG 1361 [Umno dan MCA sebenarnya semakin kronik dilanda masalah cuma
ia disorokkan sahaja. Lim Ah Lek gagal kerana surat yang dikirimnya
telah disorok oleh Pos Malaysia yang baru ditelan oleh seekor
raksakasa. Raksaksa yang sama jugalah yang menelan Nanyang tetapi
masih belum kenyang-kenyang. Sekarang isu UTAR dihidangkan agar
Likas nanti dapat dibaham. Tetapi keputusan Hakim Md Kamil bukan
sebarangan kerana di dalamnya tercatat satu konspirasi menipu
sehingga sanggup membunuh untuk menang. Mengapa polis tidak
menyoal siasat kerana angka pengundi hantu itu mencecah ribuan
banyaknya. Tidak mungkin tiada yang kenal siapakah yang menjadi
dalang. Bak kata MGG dan penterjemah - usaha ketiga-tiga pemimpin BN ini
lebih berbentuk memperkasakan kuasa sendiri dengan segala macam
cara sehingga media dan Pos Malaysia pun sanggup dicemari. Namun
realitinya mereka semua tidaklah seunggul dulu lagi - jika tidak
mereka akan sanggup berdepan dengan akhbar dan pelajar serta
pengundi sendiri tanpa dikawal rapi. Harakah Politik Telur Di hujung Tanduk (Politics by the skin of Mahathir's teeth)
Oleh: MGG Pillai Kalau Perdana Menteri Mahathir Mohammad mentadbir negara dengan
kedudukannya laksana telur di hujung tanduk, dia memang pintar
untuk menyorokkannya. Sejak musuh ketatnya yang sebelum itu
ditabalkan menjadi penggantinya, Dato' Seri Anwar Ibrahim,
disumbat dalam penjara pada 1998, Mahathir telah bertindak tanpa
banyak kejayaan untuk menyekat gelagat orang yang dipenjaranya itu
daripada mengkotak-katikkan cara hidupnya. Kabinet pimpinannya
hanya bertugas untuk memanaskan kerusi mereka, parlimen hanya
untuk diperlekehkan sahaja, dan projek serta rancangan yang
bernilai berbilion ringgit itu sengaja diumumkan berulang-ulang
sedangkan Khazanah negara sudah pun kering kontang. Parlimen sudah
menjadi tempat cop perakuan sahaja, itupun kalau dia fikirkan
perlu menggunakan nama dewan rakyat itu. Tetapi, dia amat
memerlukan parlimen kini, cuma keperluan itu sudah dikenakan harga
yang sungguh tinggi yang dia tidak pun bersedia sama sekali.
Mereka sudah mendesak segala butiran dan penjelasannya terhadap
dasar pembaziran negara, antara lainnya.
Persetujuan Parlimen tidak pernah dirayukan ketika berbilion
ringgit dihamburkan untuk membina pelbagai projek mega seperti
Putra jaya, Lebuhraya Utara Selatan, laluan pengangkutan transit,
KLIA, penswastaan harta kerajaan kepada para kroni, pak-pacak,
sukusakat golongan yang berkuasa. Perdana Menteri dan Menteri
Kewangan merupakan dua orang manusia yang membuat keputusan siapa
yang sepatutnya membaham apa, dan apabila projek itu kantul
seperti beberapa projek penswastaan yang lain, mereka pun
merencana bagaimana projek itu boleh diselamatkan, selalunya
dengan membeli semula projek itu semua seolah-olah mengingatkan
mereka yang gagal itu agar tidak susah-susah untuk berjaya.
Barisan Nasional yang memerintah hanya merupakan sambungan
tempelan UMNO yang tidak relevan, berguna hanya untuk menyerlahkan
wajah sebuah kerajaan yang pelbagai kaumnya telah pun bersidang
untuk pertama kali sejak 1995. Pertemuan itu memberikan gambaran
betapakah pentingnya dalam dasar negara. Persidangan itu
dilaksanakan kerana Perdana Menteri mahu memperkasakan
cengkamannya terhadap pemerintahan negara, dan mahukan satu
kepastian berbentuk multi-kaum bahawa dia tidak dipulaukan seperti
keadaan yang sebenarnya. Walaupun banyak janji-janji yang
dihamburkan seperti penubuhan Bangsa Malaysia ataupun kelahiran
Negara Malaysia yang diimpikan, ia hanya merupakan omongan kosong
UMNO untuk rakyat Malaysia yang semakin sedar masa depan mereka
yang semakin kelam. Seperti biasa, isu yang penting dan hangat
semasa tidak pun diselesaikan. Yang lebih penting daripada Bangsa
Malaysia ialah jurang pemisahan antara penduduk di bahagian timur
dan barat Malaysia yang semakin mudarat. Masyarakat bumiputra di
bahagian Timur sudah semakin merasakan jangkauan ketuanan orang
Semenanjung ke atas hidup seharian mereka.
Apakah benar UMNO begitu serius dengan persoalan Bangsa Malaysia?
Presiden UMNO kerap bercakap mengenai hak asasi Melayu dan negara,
yang mengikut pandangannya lebih penting daripada hak-hak kaum
yang lain. Presiden Barisan Nasional pula bercakap mengenai
hak-hak rakyat Malaysia dan negaranya. Demikianlah caranya Perdana
Menteri dengan lidah bercabangnya bercakap kepada satu arah di
satu ketika dan kepada arah yang lain pada ketika yang berbeza
pula. Oleh kerana manusia yang bercabang lidahnya itu adalah
manusia yang sama membuatkan Mahathir menjadi bahan ketawa
mendengarkan cadangannya di persidangan BN itu; apabila keadaan
politik sudah menekan, terserahlah kepada presiden UMNO
memutuskan. Ketika itu dia tidak mengharapkan sokongan rakyat
Malaysia, cuma kepada orang Melayu sahaja.
Tidak ada banyak yang berbeza dalam apa yang diucapkan dan
dilakukannya selama ini terutama sekali selepas 1998, yang
berlainan daripada semua ini. Apapun yang akan terjadi dan
dituturkannya berpuluh kali, penonjolan pentadbiran negara ini,
walaupun wujudnya segala perlembagaan dan hukum-hakam yang meniru
barat, adalah cenderung kepada unsur kemelayuannya UMNO memang
mengekalkan kuasa politiknya, tetapi pengaruh budaya Melayu yang
menyalutinya selama itu sudah lama hilang berlalu. Kod etika
feudal Melayu yang sungguh berserabut ciri-cirinya adalah
unsur-unsur kelakuan yang berhubung rapat dengan politiknya.
Adalah menjadi satu kemestian, seorang pemimpin yang disanjung
penuh kemuliaan tidak seharusnya menjatuhkan air-muka pengikutnya
dengan penuh keaiban. Justeru, apabila Mahathir mengaibkan Anwar Ibrahim, dia melanggari
sumpah setia kod etika kepimpinannya, walaupun secara mistik dan
berlagenda mempunyai daya tarikan terhadap alam politik Melayu
seiras kuasa yang wujud kepada Magna Carta yang mencengkam King
John. Itulah perjanjian diraja yang ditandatangani di Runnemede
pada abad ke-13 dulu yang menentukan hukum-hakam politik British
hingga ke hari ini. Mahathir cuba memesongkan perhatian rakyat dengan menaikkan taraf
Kolej TAR (Tengku Abdul Rahman) menjadi Universiti TAR, sebagai
bahan memujuk sokongan Cina yang sudah lama meninggalkannya.
Masyarakat Cina terutama sekali MCA memang memuji-muja Mahathir
kerana keputusan itu. Lagipun MCA amat memerlukan bahan lencongan
selepas episod pembelian Nanyang Press. Mujurlah diwujudkan sebuah
universiti kelolaan MCA yang mengikut Ling Liong Sik akan
dijadikan pusat fakulti perubatan, mengikut rancangan. Dia
mengharapkan lencongan terbaru itu akan mengeluarkan segala bahang
yang menyelimuti kisah sekolah wawasan dan masalah jumlah Sekolah
Cina di bawah sistem pendidikan negara.
Apakah yang sudah dicapai oleh persidangan Barisan Nasional itu?
Habukpun tidak ada. Begitulah kalau diadakan satu persidangan
besar satu hari untuk menyorot perjuangan enam tahun lamanya. Para
perwakilan dipilih secara rawak, kerana tidak ada mesyuarat
tahunan peringkat cawangan dan bahagian gagasan BN itu.
Kewujudannya hanya akan bernafas apabila muncul pilihanraya untuk
menonjolkan simbol persekongkolannya. Dan berfungsi sebagai
'longgokan sampah' untuk menampung ahli politik yang sudah usang
dan terbuang. Setiausaha agung BN yang ada merupakan bekas
Setiausaha Agong UMNO yang masih ada gahnya seluruh negara
setanding gahnya ketika menguruskan UMNO dulu. Bagaimanakah gahnya
seruan seorang presiden BN, sedangkan sebelum ini dia berucap di
hadapan majlis Melayu selaku presiden UMNO, melaungkan kepentingan
ketuanan Melayu? Kenapakah pemimpin BN menggelabah bertempiaran setiap kali
tercetusnya cabaran? Kalau kebenaran didedahkan, Barisan Nasional
sebagai sebuah parti politik, gagal melunaskan apa yang
dijanjikannya selama ini. BN tidak pernah merelakan pertumbuhan
amalan politik yang sehat, kerana mahu mengamalkan satu dasar khas
di mana pemimpin yang telah dipilih tidak boleh dicabar oleh
sesiapa. Ini merupakan satu amalan oligarki yang mementingkan
keistimewaan. Sudah wujud lapisan pemimpin yang berdarjat dalam setiap parti
komponen BN, sesiapa tidak dibenarkan menceroboh lapisan itu
melainkan diundang. Seorang pemimpin parti komponen BN yang
berusia 80 tahun masih sanggup memegang jawatannya selagi dia
diperlukan. Ada seorang menteri kabinet yang merupakan orang yang
paling lama di kementeriannya, sedangkan seorang lagi pegawai yang
sama lama perkhidmatannya di kementerian itu ialah seorang
pemandu. Pada mulanya ahli kabinet itu menganggotai kementerian
itu ditahap penubuhannya sebagai seorang setiausaha politik dan
naik berdikit sehingga menjadi seorang menteri dalam tempoh 27
tahun lamanya. Tidak hairanlah kalau dia menunggu tempoh
lengkapnya perkhidmatan selama tiga dekad sebelum berfikir untuk
bersara. Para pemimpin BN tidak membenarkan orang Ling menyoal mereka.
Presiden MIC, S. Samy Vellu kerap bengkeng apabila disoal.
Demikian yang ditunjukkannya ketika mengadakan lawatan di Kampung
Medan untuk mengagihkan buah tangan kepada penduduk di sana untuk
rakaman kamera dan TV. Keadaan sudah banyak berubah dan BN masih
tidak sedar akan fenomena ini. Tidak ramai pemimpin kabinet UMNO
yang berani berhadapan dengan para pengundi mereka lagi, sehingga
memudahkan pihak pembangkang melawat kawasan mereka sebagai
pengganti. Begitulah, ketika Dr. Ling membeli Nanyang Press dalam satu
putar-belit politik, kerana tidak menyedari kesan tentangan yang
mungkin dicetuskannya. Dia telah memilih jalan memintas peraturan
parti dan cuba memperlekehkan para penentangnya. Apabila
timbalannya, Lim Ah Lek bersama tujuh ahli jawatankuasa Majlis
Tertinggi parti membantah, Ling bertindak untuk melecehkan hasrat
mereka. Lim Ah Lek bertindak-balas mengirimkan surat penjelasan
kepada 2,400 ahli perwakilan parti yang menghadirkan diri untuk
Mesyuarat Tergempar Parti. Surat itu memberikan penjelasan kenapa
Lim dan tujuh rakan seperjuangannya menolak pembelian itu. Surat itu
semuanya tidak pun sampai kepada yang patut menerimanya.
Siapakah yang memberi arahan kepada Pos Malaysia menahan
penghantaran surat itu? Ataupun apakah PMB (Pos Malaysia Berhad)
membuang sahaja surat pekeliling secara pukal, seperti yang saya
syaki, sebagai satu amalan biasa? Saya sendiri tidak kehairanan
lagi apabila menerima kad jemputan upacara ucap-selamat di
kedutaan; berminggu-minggu selepas perginya orang yang harus
diraikan. Saya menerima satu kad jemputan minggu lalu, yang
diposkan pada pertengahan Mei untuk jamuan Jun 12; satu minggu
selepas Pesuruhjaya Tinggi Pakistan dan isterinya berlepas
pulang. Setelah selesainya mesyuarat tergempar MCA untuk membenarkan
pembelian Nanyang Press, dan memberikan kemenangan kecil kepada
Dr. Ling, beliau telah pergi berjumpa Dr. Mahathir keesokan
harinya. Dr, Ling meminta agar Mahathir mengnyahkan penyokong kuat
Lim, Dato' Chua Jui Meng daripada barisan kabinet yang ada.
Permintaan itu ditolak. Seruan Dr. Ling agar partinya bersatu padu
membawa kesan yang sama seperti seruan Mahathir mahukan penubuhan
negara Malaysia. UMNO beranggapan, dalam hal ketuanan Melayu, hanya parti itu yang
berhak menentukannya dan mentadbir negara. Semua parti politik
yang lain diperlekehkannya sebagai parti nyamuk sahaja walaupun
usia parti itu sama tuanya dengan UMNO (Silap MGG nii - UMNO yang
ada, UMNO Baru(a) sahaja. Baru berhingus lagi...!!! penterjemah).
Hanya UMNO yang mempunyai keupayaan untuk memerintah, yang lain
pasti akan gagal. Hanya UMNO yang boleh mengepalai satu gagasan
parti pelbagai kaum yang mampu mentadbir negara secara berkesan.
Keangkuhan ini telah merobah fokus sebuah parti politik yang
membesar dan berupaya menghadapi pemilu yang bermusim untuk
menjadi parti yang tidak boleh dikalahkan. Inilah yang tidak boleh
diperkasakan. UMNO dan BN tidak berusaha untuk menjadikan
kewujudan mereka itu terus relevan dan berkekalan kepada tiga
lapisan generasi pengundi yang telah menonjolkan mereka. Gagasan
ini sudah menjadi takut melihatkan kemunculan parti pembangkang
yang berbentuk kepelbagaian kaum dan berusaha pula untuk
menumpaskan kemunculan tentangan itu. Itu sebabnya pemimpin BN
kerap memberikan siaran lintas langsung kepada masalah yang mereka
bayangkan sedang dihadapi oleh DAP dan PAS dalam usaha mewujudkan
sebuah negara Islam, sedangkan mereka tidak sedar betapa merekalah
yang menyediakan batu asas penubuhan negara berunsur konsep itu.
Bukankah itu yang membolehkan PAS menguasai Kelantan pada 1990 dan
diikuti oleh penguasaan Terengganu pada 1999?
Akan tetapi, keangkuhan ini disumbang secara kecilan pula oleh
beberapa parti pembangkang yang selesa untuk memanjangkan
pemikiran dan tanggapan BN dalam hal ini, kecuali PRM dan PAS.
PRM bertegas dengan kepercayaannya bahawa rakyat akan terus
terpesona dengan sogokan BN untuk berpendirian yang berbeza
sedangkan PAS berpegang kepada ajaran Islam dalam menyanggah isu
ketuanan Melayu. Kini, Dr. Mahathir hanya berusaha menampal
lubang-lubang kepincangan politik yang mula merekah di merata
tempat yang tidakpun disangkanya. Lagi kerap dia berlagak begitu
lagi teruk gelagatnya berpusing-pusing mengikut satu putaran
politik yang membuatkannya terus pening. Semakin samarlah masa
depan BN dalam penentuan peranannya. Selagi semua ini tidak
berubah secara drastik dan penuh dramatik, jasad BN yang semakin
kematu itu akan bertukar menjadi mayat yang mudah kaku.
Terjemahan: SPAR-01-027 |