Laman Webantu KM2A1: 4986 File Size: 39.1 Kb * |
PRM: Ucapan Dasar Presiden Pada Kongres ke 34 By Dr Syed Husin Ali 17/7/2001 2:02 am Tue |
Di bawah ini ialah teks penuh Ucapan Dasar yang dibentangkan oleh Dr Syed
Husin Ali dalam Kongres Nasional PRM ke-34 di Kuala Lumpur pada 15hb Julai
2001. Ucapan ini terbagi kepada tiga perkara penting, iaitu: (a) analisis
tentang keadaan politik semasa, (b) cabaran terhadap Barisan Alternatif, dan
(c) percantuman antara PRM dengan keADILan.
Saya mengucapkan syukur kerana kita dapat berjumpa sekali lagi. Hari ini
kita bersidang dalam Kongres Nasional PRM yang sangat penting. Kita berada
di persimpangan jalan yang bersejarah untuk menentukan masa depan PRM.
Sebagaimana yang kita semua ketahui, dalam kongres ini nanti kita akan
membincangkan sebuah resolusi dan mengambil keputusan mengenai percantuman
dengan Parti Keadilan Nasional. KEADAAN POLITIK, EKONOMI DAN SOSIAL
Sebenarnya bukan PRM saja, bahkan negara kita juga sedang berada pada
persimpangan jalan yang penting lagi bersejarah. Dari segi politik kita
menyaksikan sebuah pemerintahan serta pucuk pimpinan yang semakin kehilangan
kewibawaan dan bertambah bobrok akibat dasar pemerintah dan amalan pemimpin
BN yang tidak tentu arah dengan membelakangkan demokrasi, keadilan dan
kebajikan rakyat ramai. Akibatnya negara bertambah lemah dan rakyat semakin berpecah. Sebahagian
besar rakyat dari semua kaum, terutama sekali Melayu, sudah kehilangan
kepercayaan terhadap parti pemerintah dan pucuk pimpinannya. Pucuk pimpinan
pemerintah pula semakin bersifat kuku besi dan perkauman sempit.
Ekonomi negara semakin menggelincir turun. Empat tahun lalu Asia, termasuk
negara kita sendiri, telah dilanda oleh krisis kewangan yang serius. Krisis
tersebut lebih banyak menyerang syarikat serta tokoh korporat yang
besar-besar. Tetapi ia tidak berapa menjejaskan kehidupan rakyat peringkat
rendah. Walaupun ada buruh yang kehilangan pekerjaan, akan tetapi ada sektor
ekonomi desa (terutama sekali kelapa sawit) di mana pendapatan rakyat naik,
kesan daripada pertukaran wang yang ditetapkan oleh pemerintah.
Akan tetapi kini satu jenis krisis ekonomi yang berbeza sedang berlaku. Ia
menyerang terutama sekali sektor pertanian. Akibatnya harga hasil pertanian
jatuh dan pendapatan rakyat tani menurun. Berikutan kemerosotan ekonomi di
Amerika, beberapa buah kilang di negeri ini juga terjejas operasinya dan
ramai pekerja dibuang kerja. Keadaan ekonomi negara dan rakyat masih belum
pulih dan mungkin akan mengambil masa yang lama lagi untuk pulih kepada
keadaan sediakala. Dari segi sosial pula kadar kemiskinan yang meningkat, jurang perbezaan
pendapatan yang melebar di antara golongan kaya dengan miskin dan penumpuan
kekayaan di kalangan segelintir kerabat serta suku sakat pemimpin negara
menimbulkan masalah kesempitan hidup dan pengangguran. Seterusnya ia
menjelmakan juga bermacam-macam masalah sosial yang lain seperti ketegangan
hubungan kaum, rasuah, pembaziran dan pilih kasih.
Selain itu masalah salah guna dadah, pembuangan bayi hasil hubungan bebas
luar nikah, perogolan serta pembunuhan, dan budaya samseng atau gangster
semakin meluas. Masalah-masalah ini sudah menjangkit sampai kepada
murid-murid sekolah. Panduan agama serta moral melalui pendidikan sangat
kurang dan sering ia ditenggelami oleh pengaruh nilai-nilai buruk dari
masyarakat barat yang disalurkan melalui media elektronik, terutama sekali
televisyen. BN (dulu Perikatan) sudah memerintah negeri ini lebih daripada 42 tahun.
Masalah-masalah politik, ekonomi dan sosial yang dinyatakan tadi berpunca
daripada dasar dan amalan pemerintahan yang sama. Perdana Menteri Datuk
Seri Dr Mahathir Mohamad mengakui dalam Perhimpunan Agung UMNO tiga minggu
lalu bahawa dasar serta amalan pemerintah telah gagal untuk mengubah nasib
orang Melayu. Walaupun segelintir orang Melayu telah menjadi jutawan dan ada
sebilangan yang menjadi pegawai tinggi, namun majoriti rakyat jelata Melayu
dan juga bukan Melayu banyak masih di takuk lama.
Akan tetapi Mahathir menghina, menyindir dan menyalahkan orang Melayu
sendiri kerana keadaan mereka yang tidak banyak berubah. Katanya ini
disebabkan oleh 'Orang Melayu mudah lupa'. Sebenarnya punca utama kebanyakan
orang Melayu masih tertinggal ialah pemimpin seperti Mahathir, yang sudah
lupa akan rakyat. Beliau mengutamakan kepentingan segelintir orang Melayu
dan bukan-Melayu yang rapat hubungan dengannya, bukannya kepentingan rakyat
ramai daripada pelbagai kaum yang memang sudah lama terbiar.
PEMBANGUNAN SIAPA? Selama 20 tahun lalu, sejak Mahathir menerajui pemerintahan negara, agenda
yang sering ditekankan ialah PEMBANGUNAN. Mahathir tidak memberikan tumpuan
besar kepada pembangunan desa seperti mana yang dilakukan oleh Allahyarham
Tun Abdul Razak Hussein. Beliau mula-mula memberikan perhatian kepada
pembangunan industri. Perindustrian di negeri ini belum berjaya lagi; ia
masih bergantung kepada teknologi asing dan budaya perindustrian belum
meluas ke bawah di kalangan rakyat.
Belum berjaya pun pembangunan industri, Mahathir cuba membawa negara
melompat kepada peringkat lebih tinggi, iaitu Teknologi Maklumat. Untuk
menggalakkan perkembangan ini beliau berusaha mendapatkan nasihat, sokongan
dan modal terutama dari luar untuk membina Koridor Raya Multimedia (MSC).
Banyak tanda menunjukkan bahawa projek ini sedang menghadapi kegagalan.
Salah satu akibat buruk daripada pembangunan perindustrian dan teknologi
maklumat ini ialah ia menambah lebarkan lagi jurang sosio-ekonomi di antara
golongan kaya dengan miskin dan kawasan maju dengan mundur.
Kita tidak boleh menafikan bahawa pembangunan adalah satu matlamat yang
baik. Malangnya, jenis pembangunan yang ditumpukan oleh Mahathir bersifat
pembangunan fizikal. Sehingga dalam projek MSC pun, salah satu aspek yang
dipentingkan ialah pembinaan bangunan-bangunan. Oleh kerana projek MSC itu
mungkin tidak berjaya sepenuhnya, bahkan boleh jadi gagal sama sekali,
Mahathir sedang bersedia untuk menjadikan Koridor Raya itu sebagai kawasan
'bio-valley'. Dalam kawasan ini akan didirikan bangunan-bangunan atau
pusat-pusat pendidikan, perdagangan, hiburan dan sebagainya. Anggaran
perbelanjaan yang dijangkakan dalam tempoh 10 tahun akan datang ialah
sebanyak RM10 bilion. Dengan ini akan diutamakan lagi pembinaan bangunan.
Sudah menjadi satu ketaksuban bahkan kegilaan di kalangan pucuk pimpinan BN
mengutamakan pembinaan bangunan-bangunan yang paling besar, paling tinggi
dan paling mahal di rantau ini dan kalau boleh di seluruh dunia. Semua orang
sudah faham bahawa segala projek pembangunan itu, walaupun tidak
menguntungkan dari segi ekonomi dan membazir, sebenarnya sangat-sangat
disukai oleh mereka yang rapik dengan pucuk pimpinan negara sebagai punca
terbaik untuk mendapat kekayaan besar dengan cepat.
AKIBAT PEMBANGUNAN BN Pembangunan dengan ertikata membangunkan berbagai-bagai jenis binaan
projek-projek mega yang membuka peluang kekayaan cepat itu bukan bererti
pembangunan yang sebenar. Kita melihat ada tiga akibat buruk daripada jenis
pembangunan ini. Pertama, ia menggunakan sumber kewangan serta hasil negara yang banyak untuk
projek-projek yang tidak menguntungkan rakyat ramai, terutama yang
berpendapatan rendah dan sederhana, secara langsung atau tidak langsung. Ada
anggaran bahawa jumlah wang yang habis digunakan untuk projek-projek mega
dalam 20 tahun yang lalu mencecah angka RM200 bilion. Alangkah baik jikalau
wang sebanyak itu digunakan untuk pendidikan, kesihatan dan perumahan
rakyat. Kedua, oleh kerana projek-projek mega itu membuka peluang berbagai-bagai
kontrak besar dan kecil yang boleh memberikan pendapatan sangat lumayan,
maka ia menjadi rebutan. Tetapi akhir sekali kebanyakannya diagih-agihkan
kepada segelintir suku sakat dan sahabat handai belaka, melalui sistem
pilih kasih. Selain itu perlumbaan untuk mendapatkan peluang projek dan
kontrak itu juga menimbulkan perlumbaan untuk merebut jawatan pimpinan di
peringkat cawangan, bahagian dan pusat UMNO-BN. Jawatan pimpinan boleh
menjamin mendapatkan peluang menjadi kaya cepat. Ia menjadi punca politik
wang. Mereka yang mempunyai wang menggunakan wang mereka untuk mendapat jawatan.
Dengan jawatan itu mereka berharap dan boleh mendapat kekayaan. Ertinya,
melalui kuasa politik mereka dengan mudah mendapat kekayaan. Politik wang
datang bersama-sama rasuah, dan penyakit ini sudah merebak dari atas sampai
ke bawah. Akan tetapi, serangan pemerintah terhadap penyakit bahaya ini
berlaku hanya pada peringkat bawah - di kalangan ikan bilis - dan tidak
sampai kepada peringkat atas - di kalangan jerung dan paus - yang selalunya
dilindungi. Ramai pemimpin UMNO-BN yang diketahui secara meluas sebagai
pengamal rasuah dan maksiat masih dilepaskan begitu saja, selagi mereka
sanggup mengampu pucuk pimpinan. Ketiga, perlumbaan untuk cepat dapat pangkat dan menjadi kaya berleluasa di
peringkat atas dan merebak ke peringkat bawah. Bukan saja dalam UMNO-BN
bahkan di seluruh masyarakat ia menimbulkan nilai-nilai kebendaan. Wang
serta kekayaan hampir-hampir dianggap sebagai tuhan. Nilai kebendaan ini
melemahkan lagi nilai-nilai moral bahkan keagamaan dalam masyarakat. Nilai
kebendaan ini juga boleh meruntuhkan ikatan hubungan kekeluargaan serta
persahabatan. Selain pengaruh songsang dari barat dan timur, nilai kebendaan ini
menimbulkan keruntuhan kekeluargaan dan kerosakan moral dalam masyarakat,
yang kini menjangkit kepada muda-muda mudi, sampai kepada murid-murid
sekolah. Ini bererti bahawa pembangunan yang menekankan aspek fizikal serta
ekonomi saja, dan mengabaikan pembangunan sosial serta kerohanian bukanlah
merupakan pembangunan yang tulen. Di sinilah terletaknya kelemahan projek
pembangunan yang dilaksanakan oleh pemerintah sekarang.
SISTEM KAPITALIS KRONI Krisis kewangan menjejaskan kedudukan syarikat-syarikat serta tokoh-tokoh
korporat besar yang dianggap sebagai kroni, dan banyak yang tenat oleh
kerana tanggungan hutang dan kemerosotan perniagaan. Berbilion-bilion wang
rakyat dan hasil negara disalurkan untuk menyelamatkan syarikat dan tokoh
korporat ini. Melalui Danaharta, hampir RM48 bilion wang rakyat - daripada
cukai, simpanan PETRONAS, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan juga Kumpulan
Wang Pencen - digunakan untuk menyelamatkan mereka daripada hutang yang
tidak boleh dibayar. Sebaliknya, sedikit sekali wang rakyat yang diperuntukkan bagi membantu
petani-petani. Seperti yang sering saya sebut, kira-kira RM2 bilion
dibelanjakan untuk menyelamatkan seorang anak PM daripada syarikat
perkapalan miliknya yang nyaris tenggelam, akan tetapi cuma RM1 bilion saja
dikeluarkan untuk membantu kira-kira 300,000 penoreh yang menanggung beban
kejatuhan harga getah. Begitu juga, sebanyak RM1.9 bilion telah dibayar
untuk seorang korporat kroni bagi menyelamatkan sahamnya dalam syarikat
penerbangan kebangsaan yang hampir lingkup, walhal cuma RM500 juta saja
diagihkan kepada lebih 100,000 orang pekebun kecil kelapa sawit, walaupun
mereka menderita apabila harga sawit kini jatuh daripada RM800 kepada hanya
RM200 satu tan. Tidak pelik semua ini berlaku. Kesemuanya adalah akibat daripada dasar dan
sistem kapitalisme kroni yang didukung dan dilaksanakan oleh pimpinan BN.
Sudah tentu sekali sistem seperti ini akan mengayakan dan menyelamatkan
hanya segelintir kroni dan bukannya rakyat terbanyak. Kekayaan negara
bertumpu hanya pada tangan segelintir orang, manakala ramai rakyat terus
hidup papa kedana. Sebagai contoh, Datuk Samy Vellu pernah mengisytiharkan bahawa seluruh
masyarakat India memiliki harta sebanyak RM6 bilion. Di kalangan mereka ini
ramai yang hidup di bawah paras kemiskinan sebagai pekerja estet. Akan
tetapi baru-baru ini seorang India dari Malaysia disenaraikan sebagai
seorang daripada 100 orang terkaya dalam dunia. Harta yang dimiliki atau
dikuasai oleh beliau seorang, seorang saja, ialah sebanyak RM16 bilion.
Beliau ini sangat rapat hubungannya dengan pucuk pimpinan BN.
RAKYAT BOSAN DAN MENENTANG Apabila ekonomi negara bertambah merosot dan kesusahan rakyat semakin
meningkat, maka keadaan politik bertambah menyulitkan lagi bagi pemerintah.
Berikutan krisis kewangan, penyingkiran serta pengaiban Anwar Ibrahim,
peristiwa mata lebam Anwar, tuduhan palsu ke atasnya, penubuhan GERAK,
pembentukan BA, perhimpunan jalanan, kezaliman polis, kemerosotan kehakiman,
hukuman enam tahun penjara ke atas Anwar atas tuduhan rasuah, maka pengaruh
UMNO-BN merosot. Orang Melayu memindahkan sokongan mereka kepada
parti-parti BA, terutama PAS. UMNO-BN mengalami kekalahan besar dalam
pilihanraya umum 1999, walaupun dapat mempertahankan majoriti dua-pertiga
dalam parlimen. Kemudian berlaku pula kejatuhan ekonomi pertanian, Anwar dihukum penjara
sembilan tahun lagi atas tuduhan liwat, perhimpunan rakyat membantah
hukumannya meningkat, pemimpin-pemimpin BA menyertai beberapa perhimpunan
aman, Anwar sakit belakang dan tidak dibenarkan keluar untuk berubat, GMI
ditubuhkan dan lebih banyak bantahan diadakan. Kesemua ini menyebabkan
Mahathir dan UMNO semakin tidak popular di kalangan orang Melayu dan juga
sebahagian daripada orang bukan Melayu.
Selepas itu timbul serangan Mahathir terhadap Suqiu, dan muncul pula isu
Sekolah Wawasan, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Damansara, penahanan 10
orang aktivis politik dan reformis di bawah ISA dan pengambilalihan akhbar
Nanyang Siang Pau dan China Press oleh MCA dengan restu, jikalau tidak
arahan, Mahathir. Kemarahan masyarakat Cina terhadap BN serta para
pemimpinnya bertambah kuat. STRATEGI UMNO-BN MENARIK SOKONGAN
Mahathir bimbang terhadap kemerosotan sokongan kepadanya secara peribadi dan
juga terhadap UMNO-BN. Beliau gusar kerana hal ini akan menjahanamkan
peluang mereka dalam pilihanraya akan datang. Oleh kerana itu, dari sekarang
lagi Mahathir dan pak-pak turut penting di sekeliling pinggangnya memikirkan
dan melaksanakan strategi untuk mendapatkan semula sokongan daripada
pengundi Melayu dan bukan-Melayu. Pemerintah cuba berusaha untuk memulihkan
ekonomi, akan tetapi rakyat melihat bahawa mereka yang dipulihkan ialah
syarikat-syarikat serta tokoh-tokoh korporat yang besar, terutama
kroni-kroni terkenal saja. Pemerintah secara langsung dan melalui parti-parti komponen cuba menguasai
semua media dan menggunakannya dengan penuh untuk menaikkan pucuk pimpinan
BN dan memburuk-burukkan pimpinan BA pula. Pada masa yang sama mereka
mengharamkan penerbitan-penerbitan alternatif, seperti Eksklusif, Detik
serta Wasilah dan merampas akhbar-akhbar terbitan parti pembangkang untuk
menakutkan pengedar-pengedarnya. Jabatan 'main kotor' di bawah Perdana Menteri dan pihak Cawangan Khas (SB)
terus-menerus menyebar berbagai-bagai rancangan propaganda palsu serta
perang urat-saraf untuk memburukkan parti lawan dan mengugut serta
menakutkan rakyat sehingga mereka merasa terpaksa menyokong UMNO-BN.
Secara khusus, untuk mendapatkan sokongan Melayu, UMNO cuba memperbaiki
imejnya, konon sebagai tempat bergantung orang Melayu. Pucuk pimpinan UMNO
menonjolkan diri mereka sebagai bercita-cita untuk menyatupadukan orang
Melayu-Islam, manakala parti-parti dalam BA pula dituduh mahu menimbulkan
perpecahan. Pada hal, selama ini Presiden UMNO yang paling banyak sekali
melakukan perkara-perkara tidak senonoh yang memecahbelahkan lagi orang
Melayu. Sangat lucu sekali mendengar beliau berkokok kononnya hendak
menganjur perpaduan. Selain itu, UMNO dan para pemimpinnya menimbulkan diri mereka sebagai juara
'hak istimewa orang Melayu' juga. Pada hal, manakala mereka dan kunco-kunco
mereka hidup dalam serba kemewahan, rakyat jelata Melayu masih ramai lagi
hidup dalam kemiskinan, tinggal dalam gobok-gobok buruk, memakan makanan
tidak berkhasiat dan kadang-kadang tidak mampu untuk membayar yuran
peperiksaan anak-anak sekolah mereka. Kita semua mengetahui bahawa atas nama
'hak istimewa' beberapa kerat orang kaya Melayu dan juga bukan Melayu
menjadi bertambah kaya. Sebaliknya, petani-petani Melayu Iban, Kadazan,
Bajau dan lain-lain, pekerja estet India, peniaga kecil Tionghua masih hidup
dalam serba kesusahan. Untuk mendapatkan sokongan bukan Melayu pula, khususnya orang Tionghua,
mereka menimbulkan momokan kononnya BA berpecah belah dan tidak mampu
memerintah, dan jikalau berkuasa akan menimbulkan hanya huru-hara dan
pergaduhan kaum. Pada hal BN dan parti-parti di dalamnya yang kini retak
menunggu belah. Mereka sering membakar api perkauman untuk mendapatkan
sokongan lebih besar. Pergaduhan yang berlaku di Taman Medan tidak lama dulu adalah berpunca
daripada tindak-tanduk perkauman pihak pemerintah. MIC cuba mendapatkan
sokongan orang India di sana dengan berbagai-bagai sogokan. Tetapi mereka
gagal, kerana mangsa kematian dan kecederaan masih belum mendapat pembelaan
penuh. Tambahan lagi, pucuk pimpinan BN sering menakut-nakutkan orang bukan
Melayu bahawa jikalau BA menang, ia akan dipimpin oleh PAS, yang pasti akan
cuba menubuhkan Negara Islam dan menyekat kebebasan rakyat.
TAKTIK KOTOR UMNO-BN DAN KESBAN
Kami bimbang bahawa jikalau segala rancangan kotor pemerintah BN ini tidak
berjaya, maka mereka akan mengambil tindakan-tindakan yang lebih bahaya.
Kami ingin memberi ingatan bahawa ada unsur dalam kerajaan dan parti-parti
BN, khususnya UMNO, yang cuba hendak mencetuskan kekacauan, jikalau boleh.
Polis digunakan bukan saja untuk memukul dan menangkap 'reformis', bahkan
memaksa sesetengah pengetua pusat pengajian tinggi supaya bertindak membuang
pelajar-pelajar yang dituduh, tanpa bukti yang kukuh, sebagai mengancam
keselamatan semata-mata kerana mereka menyokong 'reformasi'.
Seorang pelajar UiTM, Rafzan Ramli, telah dibuang tanpa diberi peluang yang
adil untuk membela diri. Tetapi Rafzan telah diterima balik untuk belajar.
Tetapi enam orang pelajar yang ditangkap bersama beliau kerana menyertai
perhimpunan aman sedang menunggu dibicara. Pelajar IKM bernama Khairul
Anuar Ahmad Zainuddin, telah ditahan di bawah ISA selepas pihak SB gagal
menekan pihak IKM supaya membuang beliau. Selepas itu, Presiden Majlis
Perwakilan UM, Mohamad Fuad Mohd Ikhwan, juga telah ditahan di bawah ISA.
Kami membantah keras tindakan polis mencerobohi hak asasi pelajar-pelajar
ini. Apabila berlaku kebakaran Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, dengan
cepat tanpa menunggu hasil siasatan rasmi, sesetengah pemimpin BN menuduh
kononnya ia dilakukan oleh 'mahasiswa militan'. Mereka menggertak akan
mengambil tindakan terhadap pelajar yang dengan mudah dicap sebagai
anti-kerajaan. Tetapi tidakkah pelajar mempunyai hak untuk menyuarakan sikap
politik mereka? Jikalau pihak pemerintah boleh membuat tuduhan liar bahawa ada anasir
pelajar yang menyebabkan kebakaran itu, mengapa pula tidak boleh pihak
rakyat mengesyaki mungkin ia dilakukan oleh 'jabatan main kotor' pemerintah
untuk membuka jalan mengambil tindakan keras ke atas pelajar-pelajar
universiti? Barangkali perlu diingatkan di sini bahawa beberapa waktu yang
lalu pihak berkenaan telah mengesyorkan supaya DTC dirobohkan supaya boleh
didirikan bangunan 'lebih hebat'. Berita terkini menyatakan bahawa hasil
siasatan menunjukkan kebakaran itu disebabkan oleh masalah elektrik. Tetapi
sekarang ini polis pun hendak menyiasat. Adakah mereka hendak membawa bukti
dusta bahawa pelajar yang membakar? Sekarang ini ISA terus digunakan untuk melemahkan gerakan 'reformasi' serta
parti pembangkang yang dituduh sebagai mengancam keselamatan. Kami mengutuk
tindakan polis lebih tiga bulan lalu menahan 10 orang aktivis politik dan
reformis di bawah ISA dengan tuduhan yang tidak masuk akal dan tidak pernah
dibuktikan. Ini suatu tindakan provokasi. Kami percaya pihak pemerintah
melalui 'jabatan main kotor' dan SB gatal tangan untuk mencetuskan kejadian
yang tidak diingini. Selepas itu mereka boleh membuat tuduhan liar yang
tidak perlu mereka buktikan dalam mahkamah ataupun di mana-mana pun, dan
kemudian menangkap lebih ramai lagi pemimpin pembangkang secara semberono
dengan menggunakan ISA. Kita melihat bagaimana mereka yang ditahan di bawah ISA baru-baru ini
dituduh mahu menjatuhkan Kerajaan BN secara kekerasan; dan mereka dituduh
juga merancang menggunakan alat-alat letupan dan senjata api. Kononnya
mereka juga membuat hubungan sulit dengan pihak luar untuk mencetuskan
keganasan. Dalam Perhimpunan UMNO tiga minggu lalu, Mahathir mengecam hebat
terutama sekali PAS serta pemimpin-pemimpinnya yang konon mahu
memecahbelahkan orang Islam. Sebelum itu, pihak polis membesar-besarkan
berita tentang kumpulan-kumpulan bersenjata (yang terlibat dalam rompakan),
sebagai mempunyai hubungan dengan golongan militan luar negeri yang kononnya
hendak menegakkan Daulah Islamiah. Kami melihat ada tangan tersembunyi dari badan-badan tertentu di bawah
pemerintah BN yang ingin cuba mengaitkan semua ini dengan PAS. Mereka
tidak akan berhenti membuat provokasi dengan mencetuskan kekacauan, apabila
bersedia untuk menyalahkan PAS, dan kemudian mengambil tindakan ke atas
pemimpin-pemimpin tertentu PAS, dan seterusnya cuba melumpuhkan parti itu.
Taktik ini pernah digunakan oleh pemerintah penjajah dan Perikatan dulu
terhadap golongan kiri. Kami memberi ingatan supaya pemerintah jangan hendak
mencuba semula taktik-taktik lama yang kotor ini terhadap mana-mana parti
alternatif. Soal ancaman keselamatan negara akan terus dibesarkan oleh UMNO-BN bersama
rancangan pembangunannya. Sejak zaman penjajahan lagi pemerintah telah
menggunakan satu strategi untuk menentang dan mematahkan pemberontakan di
negeri ini, terutama oleh komunis. Strategi ini dikenali sebagai KESBAN
(Keselamatan dan Pembangunan). Nampaknya, strategi ini kini sedang
dihidupkan kembali oleh pucuk-pimpinan BN untuk menangani pihak lawan
politik mereka, supaya boleh terus berkuasa. Mereka tidak akan berjaya
kerana pembangunan tidak menguntungkan rakyat dan masalah keselamatan
sengaja dibuat-buat dan dibesar-besarkan saja.
Sangat keji sekali bahawa pemerintah BN sekarang ini meniru taktik-taktik
kotor lagi usang yang diwarisi daripada penjajah untuk menindas kebangkitan
rakyat. BERSEDIA UNTUK PERUBAHAN Pucuk pimpinan UMNO-BN sekarang ini semakin sasau dan hilang akal. Mereka
gelabah kerana sokongan untuk mereka semakin merosot di kalangan rakyat dari
semua lapisan dan keturunan. Mereka semakin dibenci. Mereka sedar bahawa
dengan kuasa rakyat dan kudrat Allah, mereka akan jatuh tersungkur.
Kejatuhan mereka mungkin berlaku tidak lama lagi atau mengambil masa yang
agak panjang. Akan tetapi ia pasti akan berlaku, Insha Allah. Kita dari
pihak BA sekarang ini perlu memikirkan apakah yang akan berlaku dan membuat
persediaan untuk tempoh selepas Mahathir. Sebenarnya, kita bukan menentang
hanya Mahathir. Beliau melambangkan UMNO-BN serta segala dasar jelek yang
dijalankan olehnya. Usaha kita bukan ditujukan semata-mata supaya Mahathir saja berundur.
Mahathir berundur tidak akan membawa banyak perubahan, sebagaimana Tun Daim
Zainuddin berundur daripada segala jawatannya dalam kerajaan dan parti tidak
membawa apa-apa pertukaran. Begitu juga siapa saja yang mengganti Mahathir
dari kalangan pimpinan UMNO sekarang (termasuk Datuk Abdullah Badawi), tidak
mungkin boleh menjanjikan reformasi yang bererti.
Kesemua mereka bertanggungjawab atas segala dasar dan amalan yang dijalankan
oleh Mahathir sekarang. Mereka sama-sama bergelumang dengan najis korupsi,
salah guna kuasa dan juga keruntuhan moral yang telah mengotori
pemerintahan di bawah Mahathir selama 20 tahun. Mereka sama-sama mengocak
kekotoran dasar berasaskan sistem kapitalisme kroni yang merosakkan
nilai-nilai luhur dalam masyarakat. Kita mahu menjana reformasi tulen. Syarat pertama ialah menjatuhkan
pemerintahan BN, kalau boleh secepat mungkin dalam pilihanraya akan datang.
Hanya selepas itu baru kita boleh menegakkan perubahan atau reformasi dalam
sistem politik, ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan dan lain-lain,
supaya tercapai matlamat rakyat untuk keadilan, demokrasi, perpaduan dan
kebajikan bagi semua. Sekarang ini pemerintah bertambah zalim kerana kuasa
semakin berpusat pada tangan seorang pemimpin gila kuasa yang menggunakan
berbagai-bagai cara untuk menundukkan rakyat. Namun ada juga sedikit-sedikit
tanda perubahan. Kita mengalu-alukan beberapa orang hakim yang membuat keputusan berani
berhubung kes-kes tanah pusaka Orang Asal, tahanan ISA, pilihanraya Likas
dan peguam Anwar, Zainur Zakaria. Akan tetapi sebagai satu tonggak penting
dalam demokrasi, kewibawaan sistem kehakiman masih jauh daripada pulih.
Begitu juga, dua tonggak lain yang tidak kurang penting dalam demokrasi,
iaitu polis dan media masih belum profesional dan bebas. Memang menjadi
tugas penting kita untuk mengembalikan kewibawaan mahkamah, profesionalisme
polis dan kebebasan akhbar. Ini boleh berlaku sekiranya kita dapat
menggantikan sistem pemerintahan yang zalim serta bersifat kuku besi hari
ini dengan sistem pemerintahan baru yang lebih adil, demokratik, telus dan
bertanggungjawab kepada rakyat. PERKEMBANGAN MENGGALAKKAN BA Untuk mencapai matlamat membawa perubahan dalam pemerintahan, Barisan
Alternatif (BA) mempunyai peranan yang penting. Sejak ditubuhkan sebelum
pilihanraya yang lalu, dalam banyak hal BA sebenarnya semakin mantap sebagai
sebuah gabungan parti-parti pembangkang. Mula-mula ia berjaya membawa empat
parti pembangkang, iaitu PAS, keADILan, DAP dan PRM, dalam satu gabungan
sungguhpun mereka mempunyai ideologi serta politik berlainan. Ramai yang
tidak percaya bahawa PAS dan DAP, yang sering banyak bertentangan, telah
bersetuju berganding bahu dalam gabungan ini untuk menentang Barisan
Nasional (BN). Pihak BN meramalkan bahawa BA akan pecah sebelum pilihanraya yang lalu.
Sebaliknya, BA telah berjaya menguatkan jalinan hubungan dengan menerbitkan
sebuah Manifesto Bersama bertajuk 'Ke Arah Malaysia Yang Adil' dan
membentangkan Belanjawan Alternatif. Walaupun terpaksa melalui jalan
beranjau, mereka berjaya meletakkan calon satu lawan satu dengan BN dalam
hampir semua kawasan pilihanraya. Sungguhpun BA mencapai kejayaan yang agak
besar dari segi undi, dengan meraih kira-kira 44 peratus daripada jumlah
yang dibuang, namun ia memenangi tidak sampai 30 peratus daripada kerusi
parlimen. Sekali lagi para pemimpin BN meramalkan sudah tentu parti-parti alternatif
akan bercerai-berai. Mereka terperanjat bahawa BA berterusan, walaupun tidak
begitu mantap. Majlis Pimpinan BA terus mengadakan mesyuarat, hampir sebulan
sekali, dan berjaya mengadakan beberapa majlis perbincangan yang melibatkan
pemimpin-pemimpin kanan dari semua parti. Sebuah Sekretariat dan 20 buah
biro telah ditubuhkan. Sekretariat ini bergerak cergas, dan kebanyakan biro
dapat menjalankan tugas mereka dalam bidang masing-masing, walaupun
penyertaan dari sesetengah parti dalam aktiviti-aktiviti beberapa biro
masih belum memuaskan lagi. Di peringkat beberapa buah Negeri dan juga
Bahagian struktur kerjasama telah dapat juga diwujudkan.
Banyak kenyataan bersama telah dikeluarkan oleh Majlis Pimpinan BA yang
menyatakan pendirian mereka mengenai berbagai-bagai isu melibatkan politik,
ekonomi, pendidikan dan kehakiman dan sebagainya. Begitu juga banyak ceramah
bersama diadakan di mana pemimpin-pemimpin penting semua parti hadir. Lebih
penting lagi, pemimpin-pemimpin semua parti alternatif sanggup turun ke
padang untuk menyertai beberapa perhimpunan aman untuk membantah
tindakan-tindakan zalim pemerintah dan juga mengemukakan memorandum yang
menyatakan pendirian bersama parti-parti BA kepada pelbagai pihak.
Tetapi satu perkara yang masih gagal disetujui oleh parti-parti BA ialah
untuk mempunyai satu nama dan lambang yang boleh digunakan terutama sekali
bagi pilihanraya. Sebenarnya, nama dan lambang untuk pilihanraya ini tidak
melenyapkan nama dan lambang parti masing-masing. Namun begitu sehingga
sekarang kata sepakat masih belum dicapai. Oleh kerana itu, pihak musuh
sering dapat menuduh bahawa gabungan BA masih rapuh lagi. Ini mungkin ada
kebenarannya. Sebenarnya nama dan lambang yang sama itu bukan saja boleh
membuktikan perpaduan yang utuh dalam BA, bahkan ia akan memudahkan lagi
para pengundi untuk membuat pilihan. CABARAN UNTUK BA Ada anggota BA yang menegaskan bahawa masalah nama dan lambang bersama
hanya akan dapat diselesaikan setelah disetujui oleh setiap parti dan
setelah beberapa perbezaan dasar yang pokok dapat diatasi di antara semua
parti. Memang ada perbezaan pendirian tentang isu-isu pendidikan dan
kebudayaan, misalnya, akan tetapi ini mudah dan sebahagian besarnya sudah
pun diselesaikan. Akan tetapi ada isu yang sentiasa menjadi duri dalam
daging, terutama antara PAS dengan DAP, iaitu isu pembentukan Negara Islam.
Kita lihat bahawa baru-baru ini isu tersebut telah meletus lagi dengan lebih
hebat, sehingga boleh mengancam masa depan BA.
Sebenarnya pemimpin-pemimpin utama BA telah memulakan proses berukar fikiran
mengenai isu Negara Islam ini. Akan tetapi belum ada kata sepakat yang
dicapai, walaupun para pemimpin itu sudah mulai mempunyai pemahaman tentang
pendirian dan sikap masing-masing. Oleh kerana itu memang perlu sekali
proses perbincangan ini diteruskan sehingga tercapai kata sepakat mengenai
isu ini dan cara terbaik untuk menanganinya dari segi politik. Malang
sekali sebelum ini dapat berlaku, kontroversi sensitif telah meletup di
khalayak umum, kadang-kadang dalam bentuk tuduhan dan ugutan yang tidak
sewajarnya, melalui media milik pemerintah yang mempunyai agenda tersendiri.
Kita akui bahawa isu Negara Islam ini bukan berpunca daripada pemerintah,
dengan ertikata bukan BN yang hendak menegakkan Negara Islam. Akan tetapi,
apabila kontroversi mengenainya berlaku dengan cara yang tidak terkawal dan
melibatkan parti-parti dalam BA, maka tentulah ia dapat dieksploitasi oleh
media yang dimiliki parti-parti pemerintah untuk keuntungan mereka. Memang
strategi BN ialah untuk menakutkan para pengundi bukan Melayu terhadap BA
dengan menggunakan isu Negara Islam ini. Dengan disedari atau tidak disedari
kita nampaknya terjebak dalam perangkap mereka.
Memang benar bahawa isu Negara Islam ini perlu juga dibincangkan secara
terbuka dan telus. Tetapi masa, tempat dan salurannya mesti kita sendiri
yang menentukan. Jangan hendaknya sampai ia menimbulkan ancaman perpecahan
dan memburukkan imej BA kepada rakyat. Perbincangan tentang isu ini baik
diadakan di semua peringkat dalam BA dulu. Lebih baik lagi jikalau
perbincangan umum dilakukan setelah ada persefahaman di antara parti-parti
BA, supaya sasaran dapat kita tujukan terhadap parti-parti dalam BN dan
bukannya terhadap parti-parti sahabat BA sendiri.
Ekoran daripada kontroversi ini ada golongan kecil dalam BA yang berpendapat
mungkin lebih baik diadakan sistem 3+1, dengan maksud salah satu daripada
parti komponen yang tidak boleh bersetuju berundur dari BA. Sebenarnya,
jikalau ada pendapat seperti ini, buruk baik mengenainya mesti dibincangkan
juga secara mendalam dengan semangat persahabatan serta setiakawan, bagi
menentukan jenis perhubungan politik di antara mereka.
Tetapi, perlu diingat bahawa parti yang berundur itu tidak mungkin
membersihkan diri mereka daripada bermacam-macam tuduhan yang akan dilempar
oleh pihak BN, kerana telah 'bersekedudukan' begitu lama dalam BA. Tambahan
pula, apa saja tindakan yang boleh diandaikan sebagai perpecahan dalam BA
boleh melemahkan bukan saja gabungan BA akan tetapi setiap parti di
dalamnya. Mujurlah golongan terbesar dalam BA dan juga gerakan alternatif
masih mahu BA berterusan dengan lebih mantap lagi.
Sebenarnya tidak ada pilihan lain bagi kita melainkan menguatkan lagi asas
pergabungan BA dan memantapkan lagi perpaduan di kalangan anggotanya, supaya
ia boleh dianggap oleh sebahagian besar rakyat sebagai pilihan yang
'viable' dan alternatif yang diyakini. Satu cara melakukan ini ialah dengan
menguatkan lagi pegangan kepada Manifesto Bersama.
Manifesto yang ada masih boleh dibaiki. Senario politik sudah berubah,
berbanding dengan sebelum pilihanraya 1999 dulu, dan oleh kerana itu
beberapa pindaan atau perubahan perlu dilakukan ke atasnya. Dari sekarang
para pemimpin BA mesti duduk berbincang, supaya dapat diwujudkan Manifesto
Bersama baru yang boleh dipegang bersama. Isu-isu yang menimbulkan
pertentangan mesti diselesaikan. Jikalau mungkin, satu nama dan lambang
bersama dan penentuan calon untuk pilihanraya dapat dipersetujui lama
sebelum pilihanraya diadakan. Inilah cabaran besar bagi BA sebelum
pilihanraya akan datang. PERCANTUMAN PRM-KEADILAN Pada 11hb Jun 2000, Kongres PRM telah membincangkan soal percantuman dengan
Parti Keadilan Nasional (keADILan). Perbincangan bersemangat, hangat serta
berterus terang, dan ramai juga yang menentang atau menyatakan keraguan.
Akan tetapi akhirnya secara konsensus cadangan percantuman telah diterima
dan Kongres memberikan mandat kepada Jawatankuasa Pusat (JKP) untuk
melaksanakannya. Seminggu kemudian keADILan dalam Mesyuarat Agung Tahunannya juga
mengalu-alukan rancangan percantuman ini dan memberikan mandat yang sama
kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) mereka. Selanjutnya kedua-dua parti
telah membentuk Jawatankuasa Perunding masing-masing dan mereka telah
berunding banyak kali untuk mencari asas persetujuan bagi percantuman itu.
Hanya dalam bulan Mei tahun ini tugas mereka telah selesai. Hasil
persetujuan yang dicapai dari semasa ke semasa telah dibentangkan kepada JKP
untuk diluluskan. Tiga minggu lalu keADILan telah mengadakan Mesyuarat Agung Khas untuk
membincangkan resolusi mengenai percantuman, berdasarkan persetujuan yang
telah dicapai oleh Jawatankuasa Perundingan. Seperti kita tahu, majoriti
yang jelas (iaitu 63-64 peratus perwakilan yang mengundi) telah bersetuju
dengan percantuman dan memberikan kuasa kepada MPT untuk melaksanakannya.
Akan tetapi, sedikit masalah telah timbul oleh kerana undi majoriti
dua-pertiga tidak tercapai untuk meminda Perlembagaan keADILan, sesuai
dengan resolusi yang dikemukakan, bagi memudahkan proses percantuman itu.
Presiden keADILan YB Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail telah menyatakan bahawa
ini adalah masalah teknikal yang mereka harap akan dapat diatasi dalam
beberapa bulan lagi. Kita mengetahui bahawa masalah ini akan melengahkan
sedikit proses percantuman daripada jadual yang dirancang. Sudah tentu
selagi perlembagaan keADILan tidak dipinda secara sah, percantuman tidak
dapat dilaksanakan. Kami meyakini kenyataan Wan Azizah itu dan percaya
pimpinan keADILan akan berusaha dengan jaya untuk memperolehi undi
dua-pertiga yang diperlukan. Seperti di dalam keADILan, terdapat juga dalam PRM penentangan, keraguan dan
kurang penjelasan mengenai tujuan dan proses percantuman ini.
Rombongan-rombongan JKP yang turun untuk memberikan penerangan kepada
anggota dan bahagian PRM mendapati bahawa pada umumnya sebahagian besar
bersetuju dengan syarat-syarat untuk percantuman itu. Tetapi terdapat
kebimbangan terhadap masa depan yang melibatkan pembubaran PRM.
Saya dapat memahami rasa kasih sayang anggota terhadap parti yang lama
mereka sertai untuk memperjuangkan keadilan sosial. Namun, saya percaya dan
berharap perkara ini akan dapat dibincangkan dengan kepala yang dingin
serta hati yang terbuka sehingga kita dapat mencapai kesimpulan yang betul
lagi memuaskan. Saya ingin menyeru supaya kita semua akan mempertahankan
perpaduan selepas membuat keputusan. Saya kira tidak perlu dihuraikan semula di sini dengan panjang lebar apakah
matlamat yang diharapkan dan faedah yang boleh dicapai daripada percantuman
ini. Saya telah bentangkan perkara ini dalam ucapan dasar tahun lalu. Ia
telah banyak diperbincangkan dalam Kongres ketika itu dan juga dalam
majlis-majlis pertemuan di antara wakil-wakil pusat dengan
bahagian-bahagian. Secara ringkas bolehlah disebut kembali bahawa dengan
percantuman ini kita berharap akan timbul wadah baru politik yang bersifat
pelbagai kaum, yang boleh memainkan peranan lebih besar dalam kawasan
campuran (mixed constituencies) untuk pilihanraya akan datang dan
menjalankan tugas lebih penting dalam politik negara.
Sehubungan ini izinkan saya mengutip kembali apa yang telah saya ucapkan
tahun lalu untuk menegaskan perkara yang saya anggap penting sekali, yang
berbunyi demikian: 'Tetapi, bukan kemenangan dalam pilihanraya saja yang
menjadi perhitungan bagi menggalakkan percantuman ini. Bahkan yang lebih
penting ialah ia boleh mempelopori dan menawarkan aliran politik progresif
serta tidak perkauman, yang tegas berjuang untuk menegakkan pemerintahan
baru yang adil, demokratik, berdaulat, bersatu-padu, bermoral, telus dan
prihatin kepada kepentingan serta kebajikan rakyat.'
Kami menganggap bahawa parti yang dihasilkan daripada percantuman
PRM-keADILan kelak merupakan satu inisiatif yang baru. Ia memberi peluang
kepada PRM untuk melanjutkan perjuangan menegakkan Masyarakat Malaysia Yang
Adil melalui satu wadah yang lebih besar dan luas. Berdasarkan Manifesto BA,
perjuangan ini sebenarnya sama-sama didukung oleh parti-parti dalam BA. Kami
harap percantuman ini bukan saja menyatukan dua parti yang telah melalui
sejarah berbeza, akan tetapi dapat mengukuhkan lagi sebuah parti yang
mempunyai matlamat serta tujuan politik yang sama. Mudah-mudahan ia akan
dapat menjadi asas yang boleh memantapkan lagi perpaduan dalam BA.
Akhir sekali, dengan lafaz Bismillah, saya dengan penuh sukacita merasmikan
Kongres PRM yang ke-34 ini. Semoga Allah memberikan petunjuk dan hidayah
kepada kita semua. Dr Syed Husin Ali 15hb Julai 2001
|