Laman Webantu KM2A1: 5014 File Size: 10.6 Kb * |
TDPWN 9: B13 - B14 Bank Diam Daim - Peranan Md Nasir dan Abdul Mutalib By Khalid Jafri 19/7/2001 9:05 pm Thu |
[Persoalan di sini Mahathir sebenarnya sudah lama tahu
Daim begitu aktif berniaga tetapi mengapa dia memberikan
kepercayaan sepenuhnya kepada Daim? Mahathir juga tahu kes
Datuk Harun dan Daim mengapa dia tutup mata sahaja. Sebaliknya
dia asyik berpura-pura ingin membanteras korupsi sambil
menangis bagai si kecil yang hilang gulinya. Sepatutnya Daim
sudah dipulas telinganya tetapi itu TIDAK PERNAH BERLAKU.
Mahathir dan Daim adalah sama sahaja. Jika tidak mereka tidak
akan berkawan sedemikian lama. Sebab itulah bila Daim tiada Mahathir
memegang kesemuanya. Yang hilang tetap hilang juga. Itu bukan
namanya membaiki negara. (Mukasurat 97 - 100) Penguasaan Daim dalam Industri Bank...
Penguasaan semula kepentingan Tun Daim dan rakan-rakannya dalam
sektor kewangan bukanlah sesuatu yang memeranjatkan kerana
sebelum ini beliau pernah menguasai United Malayan Banking
Corporation. Penasihat Ekonomi Negara, Tun Daim Zainuddin kembali ke arena
korporat negara khususnya sektor kewangan. Bekas Menteri Kewangan
yang berpengaruh ini telah menguasai Hock Hua Bank (SABAH)
apabila syarikatnya, Langkah Bahagia Sdn. Bhd. Membeli 51 peratus
ekuiti bank tersebut pada 7 Mei lalu.
Langkah Bahagia, syarikat pelaburan yang diterajui oleh proksi
Tun Daim, Mohd. Nasir Ali membeli Hock Hua Bank (Sabah) dari
syarikat induknya, Hock Hua Bank Berhad, bank yang disenaraikan
di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL). Syarikat pelaburan ini akan membayar RM190 juta kepada jutawan
balak Sabah, Tan Sri Ling Beng Siew yang menguasai bank itu.
Langkah Bahagia juga membuat cadangan untuk membeli keseluruhan
modal berbayar Hock Hua Bank (Sabah). Nilai keseluruhan bank ini
ialah RM360 juta. Selama ini Tun Daim sering berselindung dalam pergerakan korporat
walaupun banyak kali beliau dikaitkan degnan beberapa urusniaga
di BSKL. Kali ini nampaknya beliau telah memberi restu kepada Mohd.
Nasir untuk mendedahkan penglibatannya dalam urusniaga terbaru ini
secara terbuka. Mohd. Nasir yang merupakan pemegang saham terbesar Langkah
Bahagia dalam sidang kahbarnya pada 7 Mei lalu menegaskan bahawa
pegangannya dalam syarikat pelaburan itu adalah sebagai wakil Tun
Daim. 'Saya adalah penama kepada sebahagian daripada saham beliau (Tun
Daim) dalam Langkah Bahagia,' katanya. Mohd. Nasir bagaimanapun
tidak memberitahu berapa jumlah sebenar saham Tun Daim dalam
Langkah Bahagia. Pemegang saham lain dalam syarikat pelaburan itu
ialah Lutfiah Ismail dan Loh Yeow Boo. Kedua-duanya juga
merupakan rakan niaga bekas Menteri Kewangan itu.
Tun Daim dan rakan-rakannya itu telah dikaitkan dengan
pengambilalihan Hock Hua bank sejak akhir tahun lalu lagi apabila
berita mengenai penggabungan dan pengambilalihan bank-bank
tempatan heboh diperkatakan. Kehadiran semula Tun Daim ke sektor kewangan ini tidak
memeranjatkan kerana sebelum ini beliau pernah menguasai United
Malayan Banking Corporation (kini dikenali sebagai Sime Bank)
pada awal tahun 1980-an dulu. Yang memeranjatkan ialah tindakan beliau memilih Hock Hua Bank
(Sabah), sebuah bank kecil yang tidak begitu dikenali. Ramai
menjangkakan sebelum ini beliau akan mengambil alih bank yang
lebih besar, iaitu bank Bumiputra Malaysia Berhad.
Beliau menjual United Malayan Banking Corporation apabila
dilantik sebagai Menteri Kewangan bagi mengelakkan kontroversi.
Tun Daim bagaimanapun tidak akan terlibat dalam urusan harian
Hock Hua Bank (Sabah) ini, kehadiran beliau lebih sebagai
pelabur. Ternyata sekali minat beliau terhadap perniagaan di sektor
kewangan tidak pernah luput. Beliau memilih bank kecil seperti
jalan untuk kembali ke sektor kewangan yang menawarkan potensi
pertumbuhan dan keuntungan yang besar ini.
Nampaknya beliau memilih jalan panjang untuk kembali menguasai
sektor kewangan negara. Tun Daim tidak menunjukkan sikap tamaknya
kerana jika beliau mahu memilih jalan singkat, tentunya beliau
boleh memilih Bank Bumiputra yang terbuka untuk diswastakan oleh
kerajaan. Hock Hua Bank (Sabah) menduduki tempat ke-23 daripada 24 buah
bank tempatan yang ada. Ia hanya mempunyai 12 cawangan di seluruh
negara dengan 8 daripadanya terletak di Sabah.
Langkah Tun Daim dan sekutu-sekutunya memilih bank kecil ini
berbanding bank-bank lain yang bersaiz sederhana seperti Southern
Bank dan Oriental Bank atau Bank Bumiputra yang sudah mempunyai
rangkaian cawangan yang besar dilihat sebagai satu langkah
berpandangan jauh. Mohd. Nasir dijangka menukar bank ini dari sebuah bank kecil yang
selama ini diurus dengan baik oleh kumpulan pengurusan yang
berhubung rapat antara satu sama lain menjadi sebuah bank yang
besar dan agresif. Hasrat pemilik baru bank ini ialah untuk menaikkan taraf bank ini
ke taraf satu. Jumlah dana pemegang saham bank ini akan dinaikkan
kepada RM1 bilion daripada RM70 juta sekaranga menjelang tahun
2000. Dengan Tun Daim di belakangnya bank kecil ini wajar diperhatikan
kemajuannya dalam tempoh terdekat ini. Ia dijangka akan melalui
satu tempoh pembesaran yang sangat menarik kerana Tun Daim
terkenal sebagai seorang yang gemar bergerak pantas dan kurang
bercakap. Tentunya beliau tidak mahu Hock Hua Bank (Sabah) terus
menduduki tangga ke-23 dari senarai bank-bank tempatan. Cawangan
bank ini dijangka akan bertambah sekali ganda dalam masa dua
tahun ini ke seluruh negara dan lebih banyak produk kewangan baru
akan diperkenalkan untuk meningkat daya saingannya.
Bank ini juga dijangka akan mengembangkan operasinya ke pasaran
serantau bagi memenuhi tuntutan perniagaan global. Sebagaimana
kata Mohd. Nasir 'kita tidak dapat lari dari menjadi bank
serantau atau bank global dalam dunia perniagaan kewangan yang
kompetitif sekarang.' Memandangkan hubungan baik Tun Daim dengan pucuk pimpinan negara
ini, Hock Hua Bank (Sabah) dijangka tidak akan menghadapi banyak
halangan untuk mengembangkan operasinya. Pegawai dan kakitangan
bank ini serta para pelanggannya kini boleh mengharapkan masa
depan yang cerah dan menarik. Bank-bank lain yang sebelum ini
menganggap Hock Hua Bank (Sabah) sebagai tidak wujud kini perlu
memberi perhatian serius kepada bank ini.
Penglibatan Tun Daim dalam industri bank ini dilihat oleh para
pemerhati sebagai satu langkah ke arah agenda yang lebih besar.
Kalau sebelum ini beliau dikaitkan dengan jatuh bangun Peremba
Sdn. Bhd. dan kumpulan Renong, kini beliau dianggap cuba
membangunkan empayar kewangannya pula.
Beliau kini mempunyai dua pilihan, sama ada mengapung sendiri
bank ini atau melakukannya melalui pintu belakang dengan
menyerapkan bank ini ke dalam sebuah syarikat yang sudah
tersenarai di BSKL. Pemerhati menjangkakan langkah yang mungkin dipilih ialah dengan
memasukkan Hock Hua Bank (Sabah) ini ke dalam UCM Industrial
Berhad, sebuah syarikat yang disenaraikan di BSKL apabila tiba
masanya. UCM juga dikaitkan dengan Tun Daim walaupun tiada
pengakuan terbuka mengenainya. Mohd. Nasir dan Lutfiah Ismail
juga merupakan pengarah UCM. UCM yang kini merupakan pengeluar alat pendingin hawa juga
mempunyai sebuah firma broker saham, iaitu KL City Securities Sdn
Bhd. Mohd. Nasir adalah ketua Pegawai Ekskutif firma broker itu
sekarang. Jika Hock Hua bank (Sabah) diserapkan ke dalam UCM, syarikat
pengeluar alat pendingin hawa ini akan bertukar menjadi sebuah
syarikat berasaskan aktiviti kewangan dari sebuah syarikat
pembuatan. Dengan mempunyai sebuah bank dan sebuah firma broker
syarikat ini akan dapat membentuk satu asas yang kukuh untuk
terlibat lebih jauh dalam industri kewangan. Mungkin selepas itu
sebuah syarikat insuran, syarikat kewangan dalam bank saudagar
akan bernaung di bawahnya. Para pemerhati juga melihat Tun Daim sebagai sedang mencuba untuk
melahirkan seorang tokoh kewangan bumiputra baru sebagaimana
beliau berjaya mendidik Tan Sri Halim Saad menjadi gergasi dalam
sektor infrastruktur dan kejuruteraan.
Tun Daim dilihat sebagai sedang mendidik Mohd. Nasir untuk tujuan
itu. Oleh itu Hock Hua Bank (Sabah) yang kecil adalah ujian besar
bagi Mohd. Nasir. Jika beliau berjaya melepasi ujian ini dan
memenangi keyakinan Tun Daim beliau akan menjadi seperti Halim
Saad. Mampukah Mohd. Nasir melakukannya? Bukannya mudah untuk memenuhi
impian Tun Daim kerana piawaian yang beliau gunakan sangat
tinggi. Mohd. Nasir perlu bekerja keras untuk menyaingi
saingannya dan memenangi keyakinan mentornya.
(Dipetik dari majallah MASSA keluaran 24 Mei 1997)
(Mukasurat 97 - 100) Setiausaha Politik Daim Yang Besar Kuasanya
Pada umumnya peranan setiausaha politik menteri adalah menjaga
kawasan pilihanraya dan memelihara perhubungan rakyat dengan
menteri. Tetapi setiausaha politik Tun Daim Zainuddin bernama
Abdul Mutalib Alias mempunyai kuasa penuh di Kementerian Kewangan
seolah-olah kuasa menteri. Beliau telah menolak permohonan kerja untuk projek menaikan taraf
jalan persekutuan di Pahang tanpa diberi arahan Menterinya dan
merujuk kementerian tertentu untuk maklumat kepastian dan
kesahihan projek. Nampak nya bukan saja Daim boleh 'over rule' kabinet dan
membelakangkan segala peraturan dan kriteria dalam meluluskan
projek tetapi setiausaha politiknya pun 2x5.
Bila kita fikir dua kali barulah kita sedar bahawa kenapa Daim
ambil orang-orang bebal macam Mutalib. Kalau ambil orang cerdik
tentu dia akan mengetahui selok-belok Daim dalam mengabui mata
rakyat. Sebenarnya projek yang dikatakan tidak terdapat dalam RM7 terdapat
dalam RM6 kemudian dilanjutkan ke RM7 dan sekarang dilanjutkan pula
ke RM8. Lazimnya setiausaha politik atau apa juga setiausaha termasuk
setiausaha Parlimen mesti ambil arahan dari menteri terlebih
dahulu, barulah surat yang dijawab akan berbunyi 'saya diarahkan
oleh Menteri...' Si bahalul Mutalib hanya mengatakan surat yang dirujuk kepada
menteri Kewangan.....? Bermakna beliau mengarahkan diri sendiri
menolak permohonan rakyat tanpa merujuk kepada Menteri dan
jabatan lain seperti Unit Perancang Ekonomi dan JKR bagi
mengesahkan projek tersebut ujud atau sebaliknya.
|