Laman Webantu KM2A1: 5017 File Size: 16.2 Kb * |
TDPWN 12: B19 - B20 Skandal Semakin Maju Kerana Mahathir Jua By Khalid Jafri 19/7/2001 11:40 pm Thu |
Siri Tun Daim Penyangak Wang Negara
[Banyak skandal yang amat dahsyat berlaku dalam era Mahathir
tetapi mengapa beliau membiarkannya sahaja? Mengapa Khalid tidak
mempersoalkan kewibawaan Mahathir? Bukankah Mahathir yang melantik
polis yang kemudiannya memukul orang yang tidak mengambilpun
sebarang benda sehingga tidak bernyawa tetapi tidak menyentuhpun
orang lain yang sudah menyauk berjuta-juta khazanah negara.
Wujudnya skandal-skandal ini adalah kerana sikap Mahathir juga.
Bukankah Mahathir yang mengarahkan agar siasatan terhadap Ali Abul
Hasan dihentikan serta-merta bila BPE menemui wang yang disorok
di dalam meja? Polis dan BPR hari ini sudah tidak bekerja - jika
tidak sudah lama Daim dan Mahathir sendiri akan terperosok dalam
penjara. Kes Abul Hasan itu sudah cukup untuk membuktikan siapakah
Mahathir yang sebenarnya. Mengapa Khalid tidak menulis tentang itu
pula kerana disitulah terserlah segala rahsia mengapa terjadinya
ini semua. BAB 19 Di Celah Arus Kemajuan Jenayah kolar putih merupakan satu fenomena sosial yang semakin
membimbangkan. Kemunculannya di celah-celah arus kepesatan
pembangunan negara masa kini bolehlah dianggap seperti duri dalam
daging. Gejala tersebut juga boleh diandaikan sebagai api dalam
sekam atau gunting dalam lipatan. Implikasinya amat berbahaya dan
padahnya amat menggerunkan. Meskipun pelbagai tafsiran digunakan bagi melabelkan bentuk dan
jenis sebenar kecurangan yang dialukan oleh pengganas atau
lanun-lanun ekonomi ini, namun apa yang perlu kita lihat ialah
kesan buruknya kepada masyarakat, ekonomi dan negara
keseluruhannya. Jenayah kolar putih yang sering disebut sebagai jenayah perdagangan,
jenayah atau skandal ekonomi dan jenayah korporat sebenarnya
mempunyai pengertian yang hampir sama. Ia cuma berbeza dari segi
sebutan. Motif perbuatannya tetap sama iaitu berkelakuan curang bagi
mengaut kemewahan dan mahu menjadi lebih kaya dalam sekelip mata.
Berasaskan kepada pelbagai kes yang pernah berlaku di Malaysia,
terbukti kepada kita bahawa penjenayah kolar putih ini adalah
tergolong dalam kelompok manusia yang kejam dan zalim. Kalau
pengedar dadah sanggup menjaja maut demi mengaut keuntungan
lumayan, ciri-ciri yang serupa juga dimiliki oleh penjenayah
canggih ini. Bezanya cuma sedikit, mereka bertindak secara
professional dengan menjaja kepakaran, pengaruh, kedudukan dan
pangkat yang dimilikinya. Mereka adalah musuh yang wajar diperangi habis-habisan kerana
perbuatan mereka tidak pernah mengenal mangsa dan jumlahnya juga
tiada had serta batasan. Skandal BMF (RM2.2 bilion), kecurangan yang dilakukan Syarikat
Pengambilan Deposit (RM 600 juta), penyelewengan dalam Perwira
Habib Bank (RM 663 juta) serta skandal Pan-EL yang pernah
menggemparkan Malaysia sekitar tahun 1983-1986 merupakan
sebahagian dari kecurangan jenayah kolar putih yang wajar untuk
dijadikan ukuran terhadap padahnya kepada sistem ekonomi dan imej
Malaysia. Akibat kerakusan yang dilakukan oleh pengganas-penganas ekonomi
itu, Malaysia telah mengalami kerugian lebih RM6 bilion. Ekonomi
negara ketika itu jatuh menjunam. Keyakinan pelabur terhadap
sistem pengurusan ekonomi kita juga turut terhakis.
Walaupun tindakan penguatkuasaan kian kerap dilakukan dan sistem
perundangan terus diperkemaskan, namun dalam tempoh beberapa
tahun lepas sekali lagi kita dikejutkan dengan kejadian-kejadian
mungkar lainnya seperti kes Aman Shah (RM 4 juta), skandal
permulangan cek saham MIDFCCS (RM 2.8 juta) dan kes penipuan
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (RM 700,000). Bagi sebuah negara kecil yang sedang melangkah ke era negara maju
seperti Malaysia, jumlah wanga dan aset yang dikaut secara haram
oleh penjenayah kolar putih menerusi skandal kewangan seperti itu
adalah terlalu besar, amat membebankan serta memberikan imej
kurang baik mengenai Malaysia kepada masyarakat pelabur.
Skandal yang berlaku sekitar tahun 1983-1986 mungkin berulang.
Ketika itu ahli perniagaan tidak peduli tentang operasi mereka
dan berbelanja secara tidak bijak. Oleh itu bila ekonomi jatuh
mulai 1983, pelbagai skandal terdedah.
Polis menyiasat purata sebanyak 4,300 kes jenayah perdagangan
setahun sejak 1990. Kebanyakannya membabitkan kes penipuan, pecah
amanah, pemalsuan dokumen, kad kredit, wang dan sebagainya.
Perdana Menteri Mahathir Mohamad pula menganggap penjenayah kolar
putih bukan sahaja menjadi pengkhianat kepada rakan sendiri,
tetapi juga adalah musuh rakyat. (hoooohooo hooo!!!)
Maklumat yang diperolehi dari Cawangan Siasatan Jenayah
Perdagangan (CSJP), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, secara jelas
menganggap bahawa jenayah kolar putih sebagai suatu yang amat
sofiskated. Ia terlalu kompleks berbanding dengan jenayah lainnya
disebabkan oleh 'modus operandi' nya yang begitu terancang,
canggih serta bersifat global dengan kemajuan teknologi
komunikasi dan automasi moden terkini.
Oleh kerana ia dilakukan bagi mengaut keuntungan besar dalam
tempoh yang singkat, berbagai teknik perdangangan dan aktiviti
perusahaan yang sofistikated turut digunakan.
Kalau kita lihat, penganas-pengganas ekonomi ini juga ternyata
kurang menghadapi risiko fizikal berbanding pencuri, perompak atu
pembunuh yang terdedah kepada bahaya diri.
Terdapat di kalangan mereka yang cuma menggunakan kemahiran
mengendalikan komputer. Ada pula di kalangan mereka yang hanya
menjadi pelapor atau penyalur maklumat bagi sesuatu urusan
perniagaan atau lebih dikenali sebagai urusniaga dalaman.
Kemungkinan yang dilakukan oleh penjenayah kolar putih yang
kebanyakannya terdiri dari golongan professional, berpendidikan
tinggi dan berpengaruh ini merupakan suatu pengkhianatan besar
kepada negara. Terdapat juga kes-kes jenayah kolar putih yang mengakibatkan
keruntuhan sesebuah institusi perniagaan seperti yang berlaku
dalam skandal urusniaga dalaman Michael Million/Ivan Boesky di
Wall Street dan skandal BCCI. Walaupun kadar jenayah kolar putih di Malaysia masih berada pada
tahap yang terkawal dan tidak seteruk seperti yang sedang melanda
di negara-negara maju khususnya di Amerika Syarikat dan Eopah,
tetapi aliran ke arah itu akan makin jelas jika ianya tidak
dibanteras segera dari sekarang. Kerajaan menerusi agensi-agensi penguatkuasaannya serta sektor
swasta terus-terus menganjurkan kempen kesedaran, penerangan,
forum dan perbincangan bagi membanteras gejala tersebut.
Berdasarkan kepada beberapa skandal besar yang pernah berlaku di
Malaysia, kita juga dapat membuat andaian bahawa soal kesempitan
hidup bukanlah punca yang mendorong mereka menjadi pembelot.
Sebaliknya mereka bertindak kerana tuntutan nafsu, tamak, rakus
serta lain-lain kelakuan curang yang mengenepikan terus soal
moral dan etika. Pindaan ke atas Akta Kanun keseksaan 1993, yang diluluskan oleh
Dewan Rakyat baru-baru ini memberi gambaran yang amat jelas
tentang ketegasan Kerajaan dalam menangani permasalahan ini.
Hukuman sebat dan penjara ke atas penjenayah kolar putih juga
dianggap berpatutan di samping mampu membenihkan kesedaran serta
amaran kepada mana-mana pihak yang turut berkeinginan untuk
melakukannya. Malaysia juga di samping beberapa negara lain telah menubuhkan
Suruhanjaya Sekuriti (Security Commission) bertujuan mengawasi
dan mengawal industri sekuriti juga sektor korporat.
Dalam usaha memerangi pengganas ekonomi ini, kita juga seharusnya
menggunakan pendekatan atau langkah yang lebih luas. Ini penting
kerna mereka yang terbabit merupakan kelompok professional yang
bergerak secara bersindiket. Adakalanya turut membabitkan
hubungan dengan pihak luar atau mungkin di peringkat
antarabangsa. Agensi-agensi penguatkuasa perlu bekerjasama dan bertindak secara
bersepadu untuk merumus sistem serta kaedah terkini bagi
membiasakan diri dengan taktik licin pengganas-pengganas ekonomi
ini. Tugas memerangi penggganas ekonomi ini sesungguhnya tidak
terletak hanya di bahu agensi-agensi penguatkuasa sahaja.
Peperangan menghapuskan penjenayah ini adalah tanggungjawab
bersama. Ianya menuntut kerjasama yang erat antara Kerajaan
dengan swasta dan seluruh rakyat. Sebagai bangsa bermaruah, kita wajar memahatkan ikrar untuk
sama-sama memerangi kemungkaran ini. Sebagai bangsa bermartabat,
kita juga tidak mungkin akan merelakan Malaysia dijadikan syurga
oleh pengganas-pengganas ekonomi ini bermaharajagila.
Siri Tun Daim Penyangak Wang Negara Muka Surat 148 - 155 BAB 20 Guna Taktik Penipuan Jenayah perdagangan sebenarnya tidak mempunyai definisi atau
istilah yang tepat. Namun begitu, istilah jenayah kolar putih,
jenayah perdagangan, jenayah korporat, skandal atau jenayah
ekonomi merupakan suatu sebutan yang sering digunakan secara
brtukar ganti bagi tujuan pentadbiran sahaja tanpa mempunyai
kekuatan dari segi takrifan undang-undang.
Walaupun ianya mempunyai makna yang hampir serupa, tetapi
penggunaannya adalah tertakluk kepada pemilihan pengguna.
Pemakaian tertakluk kepada pemilihan pengguna. Pemakaian
istilah berkenaan juga berbeza di antara sesebuah negara
bergantung kepada sistem sosial, ekonomi, kebudayaan serta
politik setempat. Namun begitu, Pertubuhan Polis Antarabangsa (INTERPOL)
telah mengaktifkan jenayah seumpana itu sebagai aktiviti
perniagaan dan perdagangan serta semua operasi yang dijalankan
secara curang membabitkan individu, pertubuhan atau orang ramai
dan merangkumi jenayah yang boleh menjejaskan ekonomi negara.
Bagaimanapun, setelah menyedari kehendak undang-undang kesaksian,
definisi tersebut hanya boleh menjelaskan maksud bentuk jenayah
yang dilakukan tetapi tidak boleh digunakan sebagai pertuduhan di
Mahkamah. Oleh itu, penekanan secara khusus tidak diberikan untuk
mengaktifkan jenayah berkenaan, tetapi cuma bertujuan
mengklasifikasikannya sahaja. Di antara langgaran di bawah Peruntukan Kanun Keseksaan yang
dihubung-kaitkan dengan jenayah-jenayah berkenaan adalah
kesalahan menipu, pecah amanah jenayah, permalsuan serta
pelancungan matawang kertas dan suratjanji bayaran bank,
pemalsuan kira-kira dan lain-lain kesalahan mengenai
penyalahgunaan harta dan penerimaan harta curi.
Walaupun kesalahan-kesalahan tersebut merupakan jenayah kolar
putih yang utama di negara kita, terdapat juga undang-undang
kesalahan teknikal yang ditakrifkan sebagai jenayah berkenaan.
Ini termasuk kesalahan pengambilan deposit serta pemberian
kemudahan kredit kepad a pengarah dan pegawai di bawah Akta Bank
dan Institusi Kewangan 1989, larangan syarikat memperdagang saham
sendiri serta penyalahgunaan maklumat yang diperolehi melalui
ruang tugas rasmi di bawah Akta Industri Sekuriti 1983 dan
kesalahan-kesalahan dagangan pasaran hadapan di bawah Akta
Dagangan Komoditi 1985. Pernyataan tersebut hanya merupakan sebahagian kecil
undang-undang berkaitan dengan jenayah kolar putih. Seringkali
juga jenayah dikategorikan berdasarkan kepada kegiatan ekonomi
seperti Penyelewengan Korporat (Corporate Fraud); Penyelewengan
Sekuriti (Securities Fraud); Penyelewengan Insurans (Insurance
Fraud): Penyelewengan Maritim (Maritime Fraud); Penyelewengan
Pertukaran Asing ( Exchange Control Manipulation); Penyelengan
Dagangan Hadapan Komoditi (Future Market Fraud); Penyelewengan
Kad Kredit (Credit Card Fraud); Banking Haram (Criminal Banking)
dan Penyelewengan Perkiraan (False Accounting).
Secara umum, jenayah tersebut tetap dilakukan oleh pihak yang
mempunyai kesempatan berurusan dengan wang tunai ataupun cagaran
berharta tanpa penyeliaan yang rapi. Kekurangan dari segi
kekerapan audit juga boleh menyebabkan berlakunya amalan curang
itu yang mana mereka akan menutup kesalahannya secara membuang
keterangan-keterangan serta dokumen yang ada.
Adakalanya kelemahan sistem serta prosedur sesebuah badan menjadi
punca penyelewengan. Umpamanya, kes KWSP di mana 96 orang
pencarum telah memperdayakan pihak KWSP supaya meluluskan
permohonan mereka bagi mengeluarkan wang caruman.
Terdapat juga jenayah kolar putih yang dilakukan secara
persubahatan penjenayah atau sindiket dengan orang dalam
sepertimana yang berlaku dalam kes MIDFCCS.
Fenomena jenayah kolar putih yang dilakukan oleh mereka yang
diamanahkan dengan wang terletak jauh ke dalam konsep korporat
dan democratization of corporation. Ini memberi hak kepada
sesiapa juga untuk menjadi ahli lembaga pengarah dengan syarat
syarat tertentu. Hal seperti ini amat ketara dalam kes-kes
koperasi di mana seseorang ahli yang berpendapatan rendah serta
tidak memiliki latihan formal, dilantik sebagai lembaga pengarah.
Dalam keadaan sedemikian ramai di kalangan mereka telah mengambil
peluang untuk mengaut keuntungan peribadi.
Bagi kebanyakan syarikat korporat pula, amalan 'prudent' sudah
diketepikan di dalam soal mengejar keuntungan. Mereka sering
berlumba-lumba mencari keuntungan tanpa mengira risiko.
Akibatnya, pengesahan latar belakang, kredit, cagaran dan
'vialibility' projek yang hendak dilaksanakan tidak diambilkira.
Sejumlah besar masalah jenayah kolar putih berkait rapat dengan
soal etika. Ini mungkin disebabkan ramai di kalangan mereka yang
memegang jawatan tinggi berterusan didedahkan dengan peluang
melibatkan diri di dalam kegiatan tidak bermoral ini.
Penekanan mengenai soal etika dalam konteks pengurusan juga
jarang diberi perhatian. Pengambilan kakitangan dan seterusnya
latihan yang dijalankan tidak memberi keutamaan terhadap soal
tersebut di mana kerja kakitangan hanya ditumpukan kepada
penugasan tanpa mengambil kira kepada nilai etika dan moral
pekerja. Sesuatu keputusan sering diambil berasaskan kepada prinsip
keuntungan optima menerusi kepakaran pengurusan tanpa mengambil
kira kepada nilai etika dan moral pekerja.
Sesuatu keputusan sering diambil berasaskan kepada prinsip
keuntungan optima menerusi kepakaran pengurusan. Manakala
pengurus korporat pula cuma dilatih, didedah dan ditumpukan
kepada kegiatan bagi tujuan mencapai tahap pengurusan yang paling
tinggi. Kepincangan sistem begini menjadikan pengurusan sebagai
satu bidang yang terpisah dari ciri-ciri etika dan moral.
Jenayah kolar putih juga sering diandaikan sebagai suatu yang
sofistikated dan kompleks berbanding dengan jenayah lainnya
disebabkan oleh 'modus operandi'nya yang begitu terancang,
canggih serta bersifat global dengan kemajuan teknologi
komunikasi dan automasi moden. Oleh kerana ianya dilakukan bagi mendapatkan keuntungan besar
dalam tempoh yang singkat, berbagai teknik perdagangan dan
aktiviti perusahaan yang sofistikated digunakan. Umpamanya,
melalui mesyuarat lembaga pengarah ataupun dengan penggunaan
peralatan canggih seperti komputer, fax, telex, telefon dan
lain-lain. Ianya juga membabitkan mereka yang mempunyai kepakaran
dalam bidang professional tertentu. Trend jenayah kolar putih masa kini ternyata lebih berbentuk
jenayah bersindiket yang mana ahli-ahlinya diberi peranan
tertentu bagi melengkap dan melicinkan pelaksanaan tugas pada
tahap risiko yang paling minima. Dari aspek penyiasatan, kes-kes yang melibatkan jenayah ini
merupakan suatu siri kegiatan yang mengambil masa, komplikated
dan berlanjutan. Biasanya, ia terpaksa membabitkan pngesahan amalan yang benar,
kesahihan penyelewengan yang telah berlaku menerusi pemeriksaan
rekod, data dan akaun perniagaan serta mendapatkan bukti-bukti
penyelewengan di samping menyokong pendakwaan. Oleh yang
demikian, pengendalian penyiasatan semestinya dijalankan oleh
pegawai-pegawai yang berkaliber, bepengalaman, berdedikasi dan
bermotivasi tinggi. (hooo hooo hooo!!!)
|