Laman Webantu KM2A1: 5056 File Size: 5.9 Kb * |
BKAdil: Kesuraman ekonomi M'sia dan isu Renong jadi fokus media asing By Abu Bakar 23/7/2001 11:26 pm Mon |
[Dengan memberi sedikit fokus kepada ekonomi parti Keadilan akan dapat
mendampingi golongan koporat negara ini. Inilah satu bidang yang selama ini
tidak begitu mendapat perhatian BA, khususnya di laman web sedangkan ia
penting untuk mendidik rakyat betapa Mahathir sebenarnya tidak memulihkan
ekonomi. Mahathir sebenarnya telah memulihkan kroni terlebih dahulu. Bayangkan betapa
banyaknya belanja yang digunakan untuk menolong kroni dan cuba bandingkan
jumlah untuk rakyat yang mengundi mereka selama ini. Kerajaan terlalu memberi
fokus kepada kroni sebab itulah Daim dipanggil dulu untuk menjawat sebagai
menteri. Oleh: ABU BAKAR RASHID Nilai ringgit diramal jatuh, belanjawan Malaysia akan mengalami defisit yang lebih
besar, ekonomi Malaysia sekali lagi mengalami penguncupan dan kerajaan pula
dilaporkan akan mengambilalih kepentingan dalam United Engineers Malaysia (UEM)
serta Renong Berhad. Berita-berita yang menggambarkan kesuraman ekonomi Malaysia itu menjadi bahan
liputan CNN, Business Times (BT), Berita Harian Singapura (BH) dan Asian Wall
Street Journal (AWSJ). Menurut CNN, kejatuhan nilai matawang lain seperti dollar Singapura dan peso
Filipina memberi kesan buruk kepada eksport Malaysia, mendorong pengeluar
barangan eksport mendesak penurunan nilai ringgit yang lebih berdaya saing.
Sementara Perdana Menteri, Datuk Sri Dr Mahathir Mohamad menekankan nilai
ringgit yang kini ditetapkan pada kadar RM3.80 bagi setiap satu dollar Amerika tidak
akan diubah, CNN menyatakan bahawa perubahan dijangka berlaku pada bulan
September ini oleh sesetengah penganalisis.
Menurut rangkaian berita kabel itu, cabaran-cabaran dalam ekonomi Malaysia
dijangka akan semakin getir. Kemerosotan eksport barangan elektronik sejak setahun lalu memberikan kesan yang
buruk kepada ekonomi Malaysia, kata CNN lagi.
Ahli-ahli ekonomi sektor swasta juga sependapat bahawa kadar pertumbuhan tahun
ini akan lebih rendah - mungkin antara satu hingga 2.5 peratus, bergantung kepada
bila dan secepat mana, pasaran teknologi maklumat (IT) seluruh dunia akan pulih
semula, lapor CNN. Rangkaian kabel berita itu seterusnya memetik George Worthington, ketua ahli
ekonomi bahagian Asia Pasifik firma penganalisis IFR sebagai berkata:
"Ketika berita-berita ekonomi semakin memburuk dan kemelesetan pula di ambang
pintu walaupun beliau berusaha sungguh-sungguh untuk mempertahankan ekonomi
negaranya dari ditimpa kesan faktor luaran, peninggalan Mahathir akan tercemar
dan para penyokongnya dilanda kegelisahan."
Pertumbuhan ekonomi yang membimbangkan seperti diramal oleh ahli-ahli ekonomi
sektor swasta kelihatan diakui oleh institusi Malaysia sendiri apabila BH 18 Julai
melaporkan, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) telah menurunkan
ramalan pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk kali kedua tahun ini, ekoran
kelembapan eksport elektronik dan produk lain.
Menurut akhbar itu, MIER telah menurunkan ramalannya dari 4 peratus kepada 2.2
peratus untuk tahun ini. April lalu, badan penyelidikan itu telah menurunkan
ramalannya dari lima peratus. Ekonomi Malaysia tumbuh sebanyak 3.2 peratus pada suku pertama tahun ini,
berbanding setahun lalu. Ia merupakan rentak pertumbuhan paling perlahan sejak
dua tahun lalu, lapor BH. Berbanding suku keempat tahun lalu, ekonomi negara merosot 3.7 peratus.
Menurut akhbar itu, walaupun tidak memberikan sebarang ramalan bagi
pertumbuhan ekonomi suku kedua tahun ini, Pengarah Eksekutif MIER, Mohamad
Ariff Kareem, berkata: "Kita akan lihat penguncupan pertumbuhan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) pada
suku kedua berbanding pertama." Melaporkan kemerosotan eksport barangan elektronik Malaysia, BT 17 Julai
menyatakan, Malaysia mengeksport barangan elektronik bernilai RM167 bilion, iaitu
kira-kira 45 peratus eksport keseluruhan tetapi ahli-ahli ekonomi menjangkakan
eksport barangan tersebut akan merudum kira-kira RM140 bilion tahun ini.
Gambaran ekonomi yang suram semakin ketara apabila, dalam laporan yang sama,
BT melaporkan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz memberitahu para
pemberita bahawa belanjawan negara akan dijangka mengalami defisit dalam
lingkungan enam peratus, lebih besar dari defisit yang dijangkakan sebelum ini iaitu
sebanyak 4.9 peratus. Ketika ekonomi negara dijangka oleh para penganalisa sebagai berada di ambang
kemelesetan, kerajaan pula dilaporkan sedang merancang untuk mengambilalih
kumpulan Renong sebagai sebahagian daripada rancangan jangka panjang untuk
menyelesaikan masalah hutang lapuk yang dialami oleh syarikat itu, BT 18 Julai
memetik laporan AWSJ. AWSJ memetik pegawai-pegawai kerajaan dan eksekutif-eksekutif kewangan yang
tidak disebut nama mereka, yang mempunyai kaitan rapat dengan rancangan
pengambilalihan itu. Sumber-sumber berkata, menurut BT, kerajaan mengambil tindakan itu kerana
Renong begitu lembab dalam menstrukturkan semula hutangnya.
Renong kini disifatkan sebagai syarikat yang paling besar hutangnya dalam negara
ini. Sumber-sumber itu menyatakan, sebuah agensi kerajaan akan mengumumkan
rancangan pengambilalihan UEM minggu hadapan, yang akan mengakibatkan
Pengerusi Eksekutif Renong, Tan Sri Halim Saad, hilang penguasaan dalam
keseluruhan kumpulan itu. Akhbar itu seterusnya melaporkan, tindakan pengambilalihan itu, yang dijangka menelan kos sehingga RM2 bilion, diarahkan sendiri oleh perdana menteri. |