Laman Webantu KM2A1: 5088 File Size: 10.9 Kb * |
TAG SP 228: AWSJ - Penyelamatan UEM By Terence Gomez 27/7/2001 5:07 pm Fri |
[Kumpulan Renong telah lama berhutang berbilion sehingga
menjejaskan bank tetapi Mahathir membiarkannya sahaja. Malah
dia pernah membela kumpulan itu dulunya bila pembangkang
menegurnya. Wawasan Mahathir adalah untuk mencipta konglomerat
koporat yang besar-besar dan bank yang besar-besar juga untuk
bersaing di peringkat global. Malangnya itu gagal akibat tiada
penekanan kearah pengkhususan, kepakaran, kecekapan dan membanteras
penyelewengan kerana ada kepentingan lain yang lebih penting dari
segala-segalanya yang disembunyikan. Ada pihak berpendapat Halim tidak sebegitu bersalah tetapi
kerajaanlah yang sebenarnya bersalah kerana lebih tidak
bertanggungjawab. Kerajaan sengaja tidak masuk campur dan memberi
segala macam kemanjaan buat Renong sehingga membiarkan bank dan
dana awam ditebuk mudah. Sikap kerajaan itulah menyebabkan bank,
dana awam, dan kini ekonomi negara pula parah.
- Editor] Penyelamatan UEM (Malaysia's UEM Bailout) Oleh: Terence Gomez Pada Isnin lalu, kerajaan Malaysia mengumumkan niatnya membelanjakan 3.8
bilion ringgit untuk membeli semula United Engineers Malaysia (UEM),
tercetuslah berita meluas betapa Mahathir Mohamad mahu melancarkan satu
proses penyelamatan lagi. Renong merupakan konglomerat terpenting di
kalangan beberapa syarikat besar kepunyaan Melayu yang dihenyak hutang yang
besar-besar menyebabkan ia tidak boleh terlepas daripada usaha kerajaan
untuk menyelamatkannya. Setakat November 1999, syarikat dalam Kumpulan
Renong merupakan milik UMNO yang dipimpin oleh Mahathir Mohammad.
Seperti biasa, Mahathir menafikan sebarang usaha penyelamatan ataupun
'bailout'. Apapun pendirian sebenar beliau, adalah sukar menilai apakah
kepentingan awam merupakan alasan terpenting untuk menyokong sikap
penyelamatan itu. Lagipun usaha ini bukannya merupakan sebahagian usaha
beliau untuk memulakan satu tindakan berterus terang yang penuh ketelusan
dan penuh suasana bertanggungjawab mengikut cadangan setiap pengamat seperti
yang dilaporkan dalam akhbar tempatan.
Krisis hutang Kumpulan Renong sudah lama bergelora sejak 1997 ekoran ledakan
krisis fiskal rantau ini. Oleh kerana luasnya bidang urusniaga konglomerat
yang menakluki perhotelan, lebuhraya, telekomunikasi, petroleum dan
penerbangkan, para pengkritik telah lama memberikan cadangan agar kumpulan
itu menurunkan bebanan hutang dengan cara melepaskan pegangannya dalam
beberapa aset yang mewah-mewah, yang pada waktu ini dinilai sekitar 25
bilion ringgit. Tiba-tiba, inilah pula yang difikirkan oleh pihak kerajaan.
Akhbar tempatan telah menjelaskan betapa usaha menyusunan semula Renong/UEM
boleh membantu meredakan keresahan dan keyakinan pelabur di pasaran saham
Kuala Lumpur. Dalam menangani krisis kewangan itu, beberapa institusi baru
dan peraturan baru telah diperkenalkan untuk memajukan ketelusan dan
semangat bertanggungjawab di kalangan sektor korporat. Namun demikian,
Kumpulan Renong dan pemegang saham terbesarnya Halim Saad jarang sekali
tertakluk kepada peraturan ini.
Memang kerap juga tercetusnya beberapa skandal. Pada Mac 2001, ketika
dilancarkan terbitan pertama saham anak syarikat Renong, TimedotCom,
sambutan umum jelas terlalu dingin sehinggakan jumlah besar ekuiti yang
berbaki disogokkan kepada beberapa institusi awam. Pernah pada 1997, UEM
telah digerakkan untuk membeli longgokan saham terbesar bersamaan dengan
32.6% saham Renong dengan nilai 2.34 ringgit. Pembolotan ini, dilaksanakan
secara pinjaman bernilai 800 juta ringgit yang ditanggung bersama oleh
beberapa bank tempatan yang rapat dengan kerajaan dan UMNO. Inilah tindakan
yang mencemaskan pemegang minoriti saham UEM. Proses penyelamatan ini
nampaknya memanjangkan lagi sikap salah urus sektor kewangan tempatan untuk
memenuhi nafsu-nafsi pihak tertentu yang berkepentingan.
Kini sudah ada pertanda munculnya perubahan dalam iklim politik negara.
Tercetusnya pergeseran ideologi politik antara Dr. Mahathir dan sahabatnya
yang paling berpengaruh pada satu ketika dulu, Daim Zainuddin, dengan
persaraan beliau sebagai menteri kewangan pada Jun lalu, dianggap sebagai
sebahagian dari fenomena itu. Mereka berdua tidakpun berusaha memberikan
penjelasan kenapa berlakunya persaraan itu. Yang pasti, beberapa individu
memang amat sangsi mengenai suasana pentadbiran korporat negara dan
ketelusannya, ingin membuat pengaduan tentang pengunduaran Daim itu, ataupun
mengenai pergeseran antara mereka berdua, ataupun tentang kemungkinan
pengambil-alihan UEM oleh kerajaan. Namun kebanyakan rakyat seharusnya lebih
curiga tentang cara pengambil-alihan itu dan apakah yang terselindung di
sebalik semua itu yang menyerlahkan keadaan sebenar politik negara.
Dengan kata mudah, pengambil-alihan UEM dan tumpuan kuasa politik
terhadapnya, menarik perhatian kepada isu pemilikan dan pengawasan firma
tempatan. Di Malaysia, kewujudan kuasa milik majoriti dalam sesebuah
syarikat tidak membawa banyak makna apabila ada usaha kerajaan mahu
mengetatkan dasar-dasar baru ataupun penyusunan semula korporat. Perkara ini
amat relevan dalam isu UEM, malahan amat terserlah dalam usaha menyusun
semula sistem perbankan negara.
Mereka yang mudah sangat terdedah kepada pengambil-alihan aset korporat
adalah manusia yang sama yang berkemungkinan besar telah menikmati banyak
faedah daripada naungan negara selama itu. Cuma pada kali ini, mereka tidak
bernasib baik kerana tidak lagi dipayungi seorang gergasi politik yang telah
dinyahkan oleh perdana menteri. Halim Saad, seorang anak emas Daim, terpaksa
melepaskan pegangan ekuiti dalam Renong. Sebalik segala penglibatan Halim
sebelum itu, dia sanggup melepaskan pegangan semua itu dengan mengambil
sikap terus membisu. Besar kemungkinannya, para peniaga lain yang rapat
dengan Daim akan turut mengalami paksaan yang serupa untuk melepaskan
pegangan mereka yang besar dan berpengaruh dalam sektor korporat tempatan.
Pengambilalihan yang diilhamkan oleh nafsu serakah politik, bukanlah perkara
baru di negara ini. Melalui penguatkuasaan berahsia bertopengkan tadbiran
korporat, pemimpin politik yang mendekati penguasa pernah mengalihkan aset
korporat kepada pengangan pihak sekutu mereka. Apabila mantan perdana
menteri Anwar Ibahim dinyahkan pada 1998, sekutu niaga beliau telah turut
teraniaya apabila kehilangan aset korporat mereka. Kebanyakan aset 'yang
dirampas' itu berpindah tangan kepada para peniaga yang rapat dengan Daim.
Ketika itu, Daim muncul besama Mahathir, sebagai salah seorang pemimpin
politik yang sungguh besar kuasanya di negara ini.
Ketika penguatkuasaan beberapa peraturan pilihan dikenakan terhadap beberapa
perusahaan tealh membantu menyerlahkan suasana wujudnya seliaan korporat
yang berwibawa, terdapat pula segelintir keganjilan yang dibiarkan terus
berleluasa, terutama yang membabitkan syarikat yang berhubung rapat dengan
Daim. Selain penyelamatan TimedotCom, Tajuddin Ramli seorang lagi anakmas
Daim, telah diberikan pampasan yang lumayan oleh kerajaan dengan menggunakan
dana awam untuk mengambil-alih pegangan saham dalam syarikat penerbangan
(MAS) yang dihantui hutang bertimbun-timbun dan bekarat itu.
Halim dan Daim kini digambarkan secara senyap-senyap dalam akhbar tempatan
sebagai orang yang bertanggungjawab dengan krisis hutang Renong dan terhadap
ketiadaan ketelusan serta tanggungjawab dalam akauntabiliti urusan mereka.
Akan tetapi, Dr. Mahathir seharusnya bertanggungjawab juga dengan segala
kemelut ini. Dalam keghairahannya mahukan pencapaian wawasan mewujudkan
sekumpulan usahawan Bumiputra yang menguasai konglomerat mega, kerajaan
Mahathir telah terlampau memanjakan kumpulan ini dengan memberikan pelbagai
nikmat seperti konsessi dan permit yang tidak ada hadnya tanpa sebarang
ketelusan kepada kumpulan Renong dan juga kepada anak-didik kesayangan
bersama mereka, Tajudin Ramli. Kumpulan Renong naik mencanak melalui beberapa siri pengambilalihan dan
dokongan pinjaman bank daripada pelbagai institusi perbankan kerajaan
Sebalik semua pembesaran Renung itu tidak ada sebarang pengkhususan dalam
cara mereka berniaga. Tidak pula ada sebarang usaha kerajaan untuk
mendisiplinkan mereka ataupun membetulkan sebarang kepincangan dan kerja
gila-gila. Sebaliknya bantuan kerajaan yang disalurkan dalam pelbagai bentuk
itu dianggap sebagai bertepatan dengan ilham bahawa semua itu adalah untuk
kepentingan negara. Apakah pula yang boleh diharapkan dalam usaha penstrukturan semula korporat
yang ada apabila Dr. Mahathir memegang dua kuasa sebagai perdana menteri dan
menteri kewangan negara? Besar kemungkinannya beberapa agensi kerajaan akan
digemblengkan mengambil-alih beberapa perusahan milik sekutu niaga Daim.
Kemudian, milik kebanyakan ekuiti itu terpaksa dipindahkan kepada negara
ataupun kepada individu yang kuat mengampu Dr. Mahathir.
Memandangkan kuasa penguasa mencengkam pengaruhnya, ciri-ciri halatuju
korporat, baik dalam kerajaan dan di pihak awam, akan seterusnya bergerak
mengikut rentak dan irama yang ditentukan oleh Dr. Mahathir. Perdana menteri
telah meminta rakyat jelata memberikan kepercayaan kepadanya dengan
menjanjikan ketelusan yang lebih luas, dan akauntabilti dalam pentadbiran
kerajaan seperti yang diajukannya dalam cara penyusunan semula Renong. Apa
juga yang akan terjadi; selagi kuasa itu dipusatkan kepada cengkaman seorang
penguasa yang gila kuasa, para pelabur akan terus meragukan apa juga urusan
niaga yang dilaksanakan bertopengkan 'kepentingan awam'.
Tamat Terjemahan: SPAR-03-041 Asal: KM2 5085 - AWSJ: Malaysia's UEM Bailout |