Laman Webantu KM2A1: 5089 File Size: 4.1 Kb * |
BG: Selamatkan MAS Bukan Sekadar Naikkan Harga Tiket By Chow Kon Yeow 27/7/2001 6:16 pm Fri |
[BUNGARAYA] Selamatkan MAS bukan sekadar naikkan harga tiket
[Ucapan oleh Ahli Parlimen Tanjung Chow Kon Yeow semasa membahas usul
tergempar mengenai kenaikan tambang domestik MAS di Dewan Rakyat pada Rabu,
25 Julai 2001 ] Kerajaan harus menangani isu perlakuan jenayah dan kelemahan pengurusan demi
baik pulih MAS bukan sekadar naik harga tiket penerbangan domestik sebanyak 52%
Perdana Menteri telah mengakui hari ini bahawa kerajaan terpaksa mengambil
alih MAS dengan keadaan tergesa-gesa untuk mengelakkan daripada mengalami
kerosakan yang lebih teruk. Katanya, jika kerajaan tidak berbuat demikian,
MAS akan semakin rosak dan kerosakan itu mungkin tidak dapat dipulihkan sama
sekali. Kerugian MAS meningkat mendadak dan pada 1999 ia mencatatkan kerugian RM 800
juta dan seterusnya meningkat kepada RM1.3 billion pada tahun 2000, kerugian
terbesar dalam sejarah syarikat penerbangan itu.
PM berkata, "Sebab itu kita terpaksa ambil alih, bukannya kita suka bayar
duit banyak-banyak pada orang." Saya ingin tanya, "Mengapa MAS boleh menjadi rosak dan siapa menjadikannya
rosak." Bolehkah kerajaan membaiki kerosakan itu dengan menaikkan tambang
penerbangan domestik sebanyak 52 peratus? Mengapa rakyat jelata diperas
untuk membayar hutang yang banyak-banyak itu? Apakah dengan kenaikan tambang
domestik ini, segala kerosakan yang menyebabkan MAS kerugian lebih RM 1.3
billion boleh dibaiki? Pemimpin-pemimpin kerajaan termasuk PM sering menggunakan suasana ekonomi
dan pasaran dan peningkatan harga minyak sebagai alasan mengapa perniagaan MAS
rugi berbilion ringgit. Bukankah syarikat-syarikat penerbangan serantau menghadapi faktor-faktor
ekonomi dan harga minyak yang sama? Ambil contoh Singapore Airlines. Pada 14 Julai 2001, SIA mengumumkan mereka
untung RM3.1 billion dalam tahun kewangan yang baru akhir dan pekerja mereka
mendapat bayaran bonus tujuh bulan. Mengapa mereka boleh untung? Ambil harga tiket secara bandingan. Kerajaan kata MAS rugi kerana tambang
domestik rendah. Tetapi harga tiket SIA ke destinasi luar negeri adalah
lebih murah 30 hingga 50 peratus berbanding MAS. Misalnya, penerbangan ke
Paris, harga tiket MAS adalah RM3400 tetapi harga SIA adalah RM2400.
Mengapa SIA yang jual tiket lebih murah boleh dapat keuntungan?
Dari segi kos penyelenggaraan, SIA adalah tinggi sebab pesawat-pesawat SIA
perlu ditukarkan baru setiap enam tahun.
Satu komponen kos yang besar ialah penggunaan minyak. Malaysia adalah negara
pengeluar minyak sedangkan Singapura tidak hasil minyak setitik minyak.
Sememangnya dari segi kos minyak, SIA menanggung kos yang lebih tinggi tetapi
masih untung besar. Syukurlah, sekarang Perdana Menteri tidak mencari alasan-alasan faktor
ekonomi dan harga minyak sebab ianya bukan sebab sebenar MAS kerugian RM1.3
billion. Kerajaan harus meneliti isu-isu pokok punca kerugian MAS dan kami
mengalu-alukan siasatan audit ke atas Naluri Berhad yang pernah menguasai
MAS bagi menentukan sama ada wujud perlakuan jenayah atau kelemahan
pengurusan hingga menyebabkan MAS kerugian berbilion ringgit.
Program Cuti-Cuti Malaysia akan gagal jika tiket ke negara-negara jiran
lebih murah dari penerbangan domestik.
Saya menyeru kerajaan ulangkaji keputusan untuk menambah tambang penerbangan
domestik sebab ia bukan isu pokok yang menyebabkan MAS rosak. MAS rosak
kerana ada perlakuan jenayah, kelemahan pengurusan, Menteri Pengangkutan
yang tidak jaga tugasnya dan oleh itu kerajaan harus menumpu perhatian atas
isu-isu pokok ini. |