Laman Webantu KM2A1: 5116 File Size: 11.8 Kb * |
TAG SP 231: ATimes: Cabaran Paling Besar Mahathir By Anil Netto 30/7/2001 5:46 pm Mon |
[Jika Mahathir seorang yang memang unggul dia tidak akan
dihempap oleh pelbagai masalah yang begitu kronik seperti
sekarang. Malah dia sudah lama dapat bersenang lenang tetapi
itu tidak berlaku kerana banyak yang dirancang olehnya sudah
semakin bergoyang dan mula menghempap dirinya sendiri. Mahathir
telah membuat orang melayu semakin membenci dirinya dan itu
tidakpun padam walaupun sudah hampir mencecah 3 tahun lamanya.
Kini gerakan reformasi semakin membisa kerana ia telah disertai
dengan lebih berani oleh pelajar (ISA/DTC), kaum hawa (ISA),
remaja (ISA), NGO (ISA), kaum pekerja (MTUC), petani (Felda),
masyarakat maya siber dan kini masyarakat Cina pula (Nanyang).
Tidak lama lagi mungkin pihak koporat pula akan muncul secara
terbuka berikutan kes Renong UEM yang membabitkan sebegitu banyak
dana untuk menyelamatkan aset Umno. Sekarang ekonomi pula semakin
getir sehingga Singapura pun terkena. Malaysia yang jauh lebih
teruk mungkin akan tergugat dengan amat dahsyatnya sehingga kroni
Umno sendiri mungkin hilang sabar dan berpaling tadah akhirnya...
- Editor] http://www.atimes.com/se-asia/se-asia.html
Cabaran Paling Besar Mahathir (Mahathir's Ultimate Challenge) Oleh: Anil Netto Bagi sebilangan orang, beliau adalah BAPA MALAYSIA MODEN,
orang yang telah berjaya membawa perubahan kepada prasarana
bandar di negara ini untuk menyaingi mana-mana bandar di
negara barat. Bagi mereka yang kurang tertarik dengan
pencapaian-pencapaiannya, beliau adalah MAHAFIRAUN, tokoh
luar biasa yang bertanggungjawab terhadap segala kepincangan
yang berlaku di dalam negara ini. Sebagai Perdana Menteri Malaysia, berusia 75 tahun, 16 Julai
menandakan cukup 20 tahun beliau berkuasa, Malaysia yang
diterajuinya telah mengalami banyak perubahan. Dua peristiwa
semasa yang berlaku baru-baru ini mungkin boleh memberikan
gambaran kepada perubahan yang berlaku kepada persada negara
ini sejak beliau mula memegang kuasa pada tahun 1981 :
Peristiwa pertama adalah bantahan terhadap undang-undang
keselamatan dalam negara yang begitu digeruni pada hari Ahad
15 Julai lalu; dan peristiwa kedua adalah majlis jamuan
makan malam besar-besaran pada malam Isnin 16 Julai bagi
merayakan ulangtahun ke-20 Perdana Menteri memegang tampuk
pemerintahan. Seramai lebih dari seribu rakyat Malaysia berhimpun di luar
Pusat Tahanan Kamunting di Perak, di utara Kuala Lumpur,
pada hari Ahad untuk membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri
(ISA) yang kejam itu. Kumpulan yang membuat bantahan itu
bergerak ke Utara dari Kuala Lumpur di dalam satu konvoi
manakala kumpulan yang lainnya dari Pulau Pinang juga
bergerak secara konvoi ke selatan dan akhirnya bergabung
untuk berhimpun di Kamunting. Adalah jelas bahawa para peserta konvoi tersebut tidak dapat
dihalang dari meneruskan rancangan mereka untuk berkumpul di
Kamunting biarpun terdapat sekurang-kurang empat sekatan
polis di sepanjang jalan menghala ke Pusat Tahanan Kamunting
itu. Di luar Pusat tersebut, pihak polis menggunakan trak
meriam air untuk menyembur air ke arah orang ramai yang
berkumpul dan kemudian menghambat mereka yang lari mencari
perlindungan di rumah penduduk-penduduk kampung yang
berdekatan. Polis kemudiannya membuat pemeriksaan dari
rumah ke rumah dan menangkap seramai 41 orang yang hampir
kesemuanya terdiri dari orang-orang Melayu, di mana lebih
kurang suku darinya merupakan kaum wanita. Empat remaja yang
turut ditangkap kemudiannya dibebaskan manakala 37 orang
lagi dibebaskan dengan ikat jamin pada keesokan harinya.
Sebutlah perkataan KAMUNTING di Malaysia kepunyaan Mahathir
ini, nescaya satu batukan yang canggung bunyinya atau
kebisuan yang tidak menyenangkan akan menyusul. Tempat itu
adalah merupakan pusat pemulihan bagi mereka yang telah
menjalani sesi soal-siasat yang begitu menjerihkan selama 60
hari di bawah ISA, satu undang-undang yang membenarkan
penahanan tanpa dibicarakan. ISA adalah undang-undang impian autokrat, di mana
'nilai-nilai Asia' dipastikan sebegitu rupa agar menepati
kehendak dan kepentingan penjajah. Berpandukan kepada
undang-undang era penjajah yang begitu ketat dalam
menangani masalah Komunis dari tahun 1948-1960, ia telah
digunakan terhadap ahli-ahli kesatuan, aktivis-aktivis,
ahli-ahli politik pembangkang dan pelajar-pelajar
universiti. Seramai enam aktivis reformasi telah dihantar ke
Kamunting dalam bulan Jun untuk menyertai seramai lebih
kurang 60 orang yang telah pun berada di situ kerana disyaki
telah melakukan berbagai kesalahan dari 'menyebarkan
ajaran-ajaran salah' kepada 'memalsukan pasport'.
Semenjak 1981, kuasa di dalam negara semakin dikongkong oleh
badan eksekutif - atau lebih tepat lagi oleh Perdana
Menteri. Pada banyak peringkat, pentadbiran Mahathir telah
mengetatkan kawalan terhadap kumpulan-kumpulan bebas yang
dilihatnya sebagai mengganggu atau mengancam kedudukannya :
para aktivis, pembangkang dan musuh-musuh politik, dan badan
kehakiman dalam tahun 1988, sistem beraja dalam tahun 1993,
dan akhir sekali timbalannya sendiri, Anwar Ibrahim yang
disingkirkan dalam tahun 1998. Dalam semua kejadian ini ISA telah menjadi satu senjata yang
amat berguna untuk menangkap sesiapa sahaja yang 'dianggap
sebagai menjejaskan keselamatan negara' dan bagi memaksa
yang lainnya untuk tidak membuka mulut. Namun sejak
reformasi tercetus berikutan penyingkiran Anwar dalam tahun
1998, majoriti orang-orang Melayu - yang diselar oleh
Mahathir sebagai bangsa yang malas dan tidak tahu bersyukur
- telah tampil ke hadapan bagi membantah ISA dan jumlah
mereka ini jauh melebihi bilangan aktivis-aktivis Hak -hak
Asasi yang ada. Satu lagi peristiwa - jamuan makan malam pada malam Isnin di
bandar bersejarah Melaka - juga banyak memberikan gambaran
sebenar kepada pemerintahan Mahathir. Ia adalah jamuan makan
malam yang terbesar pernah diadakan di Malaysia, dengan
dihadiri seramai 25,000 orang dari seluruh pelusuk negeri
tersebut - satu lagi rekod yang boleh dimasukkan ke dalam
buku ciptaan rekod Malaysia yang sudah sedia tebal itu.
'Sebanyak 2500 meja akan disediakan dengan 17 pakar-pakar
masak menyajikan makanan kepada para tetamu,' demikian
diumumkan dengan bangganya oleh seorang jurucakap kerajaan
negeri yang menganjurkan jamuan tersebut. Untuk pengetahuan,
rekod yang pernah dicatatkan sebelum ini untuk kehadiran di
satu jamuan makan malam di Malaysia adalah seramai 20,200
orang. Memecahkan rekod menjadi satu cara yang paling sesuai untuk
merayakan 20 tahun kejayaan dalam memecahkan rekod-rekod -
bangunan tertinggi di dunia, lapangan terbang yang
gilang-gemilang tetapi kurang digunakan, sistem pengangkutan
transit ringan (LRT) yang futuristik di ibu kota Kuala
Lumpur tetapi bergelumang dengan hutang, dan pusat
pentadbiran baru Putrajaya yang menelan belanja berbilion
ringgit, dengan kompleks jabatan Perdana Menteri ala Babylon
terletak di atas anak bukit yang mengadap tasik buatan
manusia. Begitu juga dengan projek kereta kebangsaan yang
begitu mendapat sambutan dan dilindungi oleh tarif, Proton,
dengan model rekaan Malaysianya yang pertama, Waja.
Satu senarai menyeluruh yang mengkagumkan - 'Jadi mengapa
orang-orang asing hanya berminat untuk melihat rekod hak-hak
asasi kita?' pernah satu kumpulan satira berseloroh.
Malahan, Jawatankuasa untuk melindungi Wartawan-wartawan
yang berpengkalan di New York baru-baru ini telah menamakan
Mahathir sebagai di antara 10 musuh akhbar yang utama buat
kali ketiga berturut-turut dalam tiga tahun yang terakhir
ini. Sekiranya ia hanya melibatkan orang-orang asing yang sering
menimbulkan masalah, Mahathir tentu tidak perlu merasa
terlalu gusar. Tetapi kini orang-orang tempatan juga
menyuarakan pandangan mereka secara terbuka. Dan apabila
pelajar-pelajar universiti yang selama ini begitu jinak
mula membuat bantahan, sudah tentu perkara ini perlu diberi
perhatian. Dalam satu tindak balas yang biasa dibuatnya,
pihak berkuasa telah pun menahan dua pelajar universiti di
bawah ISA pada awal bulan ini.
Dengan pertumbuhan ekonomi yang semakin mendatar, pencapaian
Mahathir semakin menyerlahkan kesuramannya dan legasinya
(kesan peninggalan) juga kian tergugat. Pada masa ini
slogan-slogan yang muncul dengan banyaknya seperti : Bersih,
cekap amanah, pandang ke Timur, Pengkorporatan Malaysia,
Kepimpinan Melalui Tauladan, Cintai IT, Wawasan 2020 - tidak
lagi memberikan apa-apa makna. Sekalipun Mahathir terkenal dengan retorik anti Baratnya,
ekonomi masih lagi bergantung penuh kepada pelaburan asing,
terutamanya dalam sektor elektronik. Ia menyebabkan Malaysia
mudah dipengaruhi oleh penguncupan ekonomi US - sama ada
mengambil kira penetapan nilai matawang ringgit atau tidak.
Kurangnya penyediaan rumah-rumah yang mampu dimiliki
menyebabkan ratusan ribu rakyat terpaksa meneruskan
kehidupan di bandar dengan tinggal di kawasan-kawasan sesak
dan melarat serta kawasan-kawasan setinggan yang terpinggir.
Di kawasan luar bandar pula, banyak sekolah-sekolah yang
kekurangan peralatan, perpustakaan yang sempurna malah
kemudahan bekalan elektrik. Jurang di antara yang kaya dan yang miskin begitu luas,
sehingga mencetuskan perasaan tidak puas hati terutamanya di
kalangan bangsa Melayu yang merasa marah di atas polisi
rasmi kerajaan yang mewujudkan hanya segelintir
'billionaire' Melayu yang dapat bersaing dengan
bangsa-bangsa lain. Polisi tersebut yang memihak kepada
kelompok ahli-ahli perniagaan tertentu telah membawa kepada
amalan kronisme dan nepotisme semenjak pentadbiran Mahathir
mula membuka pintu kepada langkah penswastaan dalam tahun
1980an. Hutang-hutang lapuk telah dimansuhkan selepas krisis
kewangan Asia melanda pada pertengahan tahun 1997, dan pada
hari ini dua agensi yang ditubuhkan khas masih terus
menyerap berbilion ringgit pinjaman-pinjaman tidak berbayar
dan menyuntik modal yang diperlukan kepada firma-firma yang
sedang tenat. Kemudian menyusul pula tindakan meletakkan jawatan oleh
Menteri Kewangan Daim Zainuddin. Pemergian sekutu utamanya
itu telah membuatkan Mahathir seolah-olah semakin
terpinggir. Namun menyedari akan nasib yang telah menimpa
pemerintah-pemerintah autokrat lain di dunia, Mahathir tidak
mungkin akan mengambil tindakan untuk berundur secara
terburu-buru. Biarpun terdapat peruntukan undang-undang tertentu dan
agensi-agensi penguatkuasaan yang boleh digunakannya pada
bila-bila masa sahaja, Perdana Menteri mungkin tidak dapat
mencapai segala yang diimpikannya memandangkan pergolakan
mula berlaku di dalam barisannya. Faktor Anwar dan reformasi
masih belum pudar. Badan kehakiman sedang mengorak langkah
untuk kembali kepada fungsinya yang sebenar dan membuat
beberapa keputusan yang berani. Manakala ekonomi pula masih
di tahap yang memeritkan dan bilangan mereka yang kehilangan
pekerjaan semakin meningkat. Kesemua ini membawa maksud
bahawa tidak lama lagi tokoh yang tidak pernah menyerah
kalah itu mungkin terpaksa berhadapan dengan pertarungan
yang paling besar bagi mengekalkan legasinya yang semakin
menyusut itu. Asal: |