Laman Webantu KM2A1: 5135 File Size: 31.5 Kb * |
TSG 3: 1C-1D - Saya, Phoolan Devi: Autobiografi Seorang Wirawati India By Marie-Therese Cuny, Paul Rambali 2/8/2001 9:05 am Thu |
[Phoolan Devi begitu jelas cuba mencari satu jawapan kenapa
nasib hidupnya menjadi begitu sejak kecil lagi. Dia begitu kepingin
sekali untuk menemui tuhan agar diubah nasibnya tetapi itupun gagal
juga. Ibu dan bapanya menasihatkan beliau agar menerima sahaja segalanya
tanpa banyak soal bicara kerana masyarakat sudah dilakar sedemikian
rupa oleh pihak yang berkuasa agar simiskin akan terus hidup laksana
hamba sahaya terpaksa bergantung harap kepada upah si kaya. Pendeknya
dia disuruh mengalah sahaja kerana tanpa menjadi hamba, mereka takkan
mampu hidup pula. Tekanan hidup yang amat teruk itu serta tiadanya sesiapa yang dapat
membela nasib keluarganya itu menyebabkan kemarahan membuak-buak
di dalam diri Phoolan. Inilah yang akhirnya membentuk dirinya menjadi
seorang yang berani mencabar - atau dengan kata lain menjadi seorang
pejuang. Sudah tiada jalan keluar melainkan mencabar sistem itu sendiri.
Itulah yang berlaku dalam hidupnya bila dia sudah besar. Kita perlu
menjadi hantu jika tidak kita akan dihantui pula kerana sampai bilapun
kita tidak akan menang jika takut itu menjadi alasan.
Ringkasnya semakin banyak tekanan dan kezaliman itu dilakukan semakin
banyak pula wira rakyat marhain biasa seperti Phoolan Devi atau Mandela
akan terbentuk... Inilah realiti yang seharusnya dibaca dengan teliti
oleh Mahathir sekarang ini kerana mereka inilah yang akan menggegarkan
negara dan menghumban dia dan Umnonya bersekali.
- Editor] Ketika masih kecil dulu, aku gemar mengepal tanah yang lembab untuk
dihidu. Pernah juga aku mengambil lumpur basah di tepi sungai untuk
dimakan. Ibu kerap mengherdik aku. Dia pernah mengikat dua tanganku
daripada memakan tanah lembab yang berwarna merah itu. Itulah tanah
yang memberikan baja kepada tanaman yang ada dan dijadikan dinding
rumah pula. Bau yang semerbak itu memang mempersonakan aku. Cuma
tidak boleh dimakan tanah itu. Itulah satu lagi alasan kenapa aku mahu tahu sangat di mana Tuhan tinggal.
Aku mahu tanya Tuhan kenapa kami selalu kehabisan makanan. Adik kecilku
Cotti mahu menemani aku. Kami memang sudah lama berbincang
mengenai Tuhan ini yang memandai-mandai membuatkan kami miskin, dan
kami mahu memasuki hutan untuk berjumpa denganNya dan meminta
pertolongan. Ya Tuhan, demikianlah cara kami bercakap denganNya,
berilah apa sahaja yang kami perlukan: seperti Bahari, kami mahukan sebuah
rumah dua tingkat, satu kawasan bendang untuk menanam gandum,
sebatang pokok mangga, sekandang lembu, seekor lembu jantan dan
sebuah kereta lembu. Chotti memilih selonggok 'batasas' - sejenis
gula-gula yang rangup dibuat dengan susu dan gula. Kami juga mahukan
Tuhan memberikan rupee yang banyak kepada ayah kami.
Memang selalu sangat aku merasa begitu lapar sedangkan tidak ada
makanan yang mencukupi untuk mengenyangkan. Aku gemar sangat
makan kekacang dan mangga. Tetapi, selalunya yang ada di rumah itu ialah
ubi kentang sahaja. Setiap kali ada gandum di rumah, Rukmini akan
mengisarnya untuk dijadikan chapati. Kekadang ibu akan menyapu minyak
sapi di chapati itu - itulah minyak yang kami kerap sumbangkan kepada kuil
- dan kami pun akan memakan capati yang enak itu dengan sedikit
sayuran. Untuk mendapatkan gandum ataupun satu mangkuk kecil minyak
sapi ayah terpaksa bekerja seharian di rumah orang-orang kaya. Setiap
kali kami membanting tulang di bendang dan ladang, makanan kami pada
waktu dinihari hanya merupakan kekacang yang dimasinkan. Makanan
utama kami hanya disediakan pada malam hari dan ayah mestilah diberikan
hidangannya dulu. Setelah dia habis makan, barulah kami mengongsi apa
lebihan makannnya. Orang paling akhir makan sudah tentu orang yang
menyediakan makanan itu. Itulah nasib Rukmini. Aku kerap melihat beliau
menyediakan makanan, dan memenuhi gilirannya untuk menghabiskan
makanan yang berbaki. Terfikir juga aku betapa sukarnya menjadi orang
yang terakhir menikmati juadah. Aku juga sedar, apabila Rukmini kahwin
nanti, tibalah giliranku menyediakan makanan keluarga.
Apabila selesai kerja rumah ataupun tugas di ladang, aku terpaksa membuat
kerja di rumah orang lain di kampung itu yang memerlukan tenagaku. Ayah
kata itu adalah satu tugas kami. Aku menjaga lembu-lembu mereka, menuai
hasil tanaman mereka ataupun mengutip kutu di kepala mereka. Sebagai
balasannya, mereka berilah sesuatu untuk dimakan.
Pada satu hari aku telah diarahkan oleh 'Paradhan' memasukki rumahnya
untuk memicitkan kepala. Tidak jauh daripada tempat dia berbaring di
halaman rumah itu terletak satu longgokan mangga yang besar-besar dan
segar kerana baru sahaja dipetik daripada pokoknya
Pada kelazimannya aku tidak pernah membuka mulut di hadapannya, dan
sudah tentu tidak ada yang akan aku minta daripadanya. Dia adalah orang
yang penting dan dimuliakan. Dia merupakan ketua semua penghulu
kampung di dalam jajahan itu, tentulah aku takut untuk berkata apa-apa.
Tetapi, buah mangga itu terlalu besar dan segar serta kemerah-merahan
bila disinari pancaran suria. Kami memang tidak mampu membeli mangga
jenis ini di rumah. Yang kami mampu mestilah mangga yang paling murah
harganya, kehijauan dan masam rasanya. Kalau mau mendapatkan jusnya
kenalah mangga semacam itu disedut sedaya mungkin. Kini, mangga yang
terbaik ada di hadapan mata. Aku sudah terbayangkan kelembutan isi
mangga itu dan air jus yang sungguh manis dan lazat sedang menuruni
kerongkongku. Demikianlah, bau mangga yang sungguh wangi itu telah
menguasai perasaanku. 'Datuk...tolonglah boleh tak saya merasa sikit mangga tu...?' aku
bertanya. Dia melempangku dengan pantas sekali sehingga aku terasakan
dengungan tamparan itu dalam kepala. Pandanganku kabur, semua di
keliling kelihatan berpusing sehingga aku jatuh terpelanting.
Paradhan itu naik marah. "Beranikau meminta aku mangga itu! Hari
ini kamu mahukan mangga, esok apa pula?"
Aku sedang kesakitan dan begitu ketakutan sehingga tidak sedar aku
terkencing spontan membasahi pakaian. Aku berlari pulang dengan harapan ibu tidak memandang. Tetapi dia sudah
menunggu aku pulang. "Apa yang telah jadi? " tanya ibu. "Apa yang telah kau buat kali ini?"
Aku mahu menyorok sahaja. "Saya tidak akan pergi ke rumah itu lagi," jeritku. "Saya tidak mahu buat
kerja itu lagi. Biarlah langau menghorong kepalanya."
Walaupun aku sudah menantikan tamparan ibu pula, aku terpaksa
menceritakan apa yang telah berlaku. Sambil bercerita itu aku dapat
lihatkan biji mata ibuku semakin membesar. Dia heret tanganku tetapi
tidak pula dia cuba membalunku. Sebaliknya dia mengheret aku menuju
rumah Pradhan. Setiba rumah Pradhan, dia telah menjerit daripada seberang jalan lagi
dengan suara yang lantang sekali 'Apakah kau ingat kami lahirkan anak-anak untuk menjadi hamba abdi
kamu? Daripada kau pukul dia tadi eloklah kau bunuh dia sahaja! Cubalah...
bunuhlah dia... Bila mati dia tidak akan minta sebiji mangga lagi. Bunuhlah
dia kalau engkau sudi!" Apabila ayah pulang dan mengetahui apa yang terjadi, ayahku berkata
betapa dia merasa malu. Dia memberitahu adalah tugas kami untuk
berkhidmat kepada mereka. Itulah cara hidup di dunia ini. Kalau kita lakukan
apa yang mereka suruh tanpa bantahan dan menundukkan kepala dan
menyentuh kaki mereka sebagai tanda hormat, mereka akan memberikan
makanan untuk perut kita. Ayah berkata begitulah hakikat hidup ini kerana
itulah arahan Tuhan. "Ayah, bagaimana rupa Tuhan?", aku bertanya.
"Tuhan mempunyai banyak wajahnya, Phoolan!"
"Adakah dia semacam muka saya?" Ayah cuba menyorokkan senyumannya. Aku tahu rupaku tidak secantik Rukmini. Kulitku terlalu gelap, walaupun
tidak segelap pekat semacam Chotti. Hidungku pula terlalu besar, aku rasa.
Badanku terlalu kecil, terlalu kurus dan terlalu lemah untuk kelihatan
menarik. Rukmini mempunyai kulit yang cerah, ibu dan bapaku memang
sayang kepadanya. Ayah kerap menyimpan sebahagian makanan yang
diberikan orang untuk dibawa pulang dan serahkan kepadanya: sedikit
susu, ataupun sekeping capati yang sengaja diketepikannya untuk
dibekalkan kepada Rukmini. Ayah kerap memberikan alasannya kepadaku.
Rukmini akan berkahwin tidak lama lagi, dia mesti kelihatan cantik dan
sihat. Tetapi aku boleh memanjat pokok lebih cekap lagi daripada
gadis-gadis lain. Aku boleh berlari lebih pantas daripada mereka. Aku
boleh berenang di sungai dan melakukan banyak perkara lagi. Aku pandai
menyabit rumput, dan melembutkannya untuk makanan haiwan ternakan.
Aku boleh menjunjung bakul besar ataupun pasu (labu) air yang besar di
atas kepala. Kami memang kerap kekurangan bahan makanan, tentunya kemarahan
dalaman yang memberikan tenaga kepadaku.
Aku lahir dengan mewarisi panas baran ibuku. "Aku pernah memuntahkan
apa juga yang aku makan ketika mula-mula mengandungkan kamu"
demikian cerita ibu pada satu waktu dulu.
"Kalaulah saya menyulitkan hidup ibu," aku bertanya padanya, "kenapa
tidak dicekik leher ketika saya lahir dulu?" Ibu kerap merintihkan sesalannya kerana aku seorang anak perempuannya.
Ataupun kerana aku pernah menyebabkannya sakit ataupun aku
merunsingkannya. Aku mahu menangis juga, tetapi tidak menjadi. Aku
berdiam sahaja ataupun membuat kerja-kerja yang tidak senonoh
menyebabkan ibu membantai aku. Ketika itu akan meraung kepada Tuhan
mengumpat kenapa dikurniakan hanya seorang anak lelaki.
Pada suatu hari Chotti dan aku mula tertanya-tanya apa pula yang ada
dalam perut ibuku itu. Kami tidak pula menyangkakan yang ibu sudahpun
mula mengandung lagi. Perkara itu semacam satu misteri untuk kami. Kami
menjadi hairan bagaiman perut ibu semakin membesar sedangkan
tubuhnya tetap kurus kering juga. Sepanjang hari dia memegang perutnya
seolah-olah mengampu bebanan yang berat kandungannya. Wajahnya
menampakkan kesakitan yang ditanggungnya, lagipun ada sahaja titisan
airmata yang mengalir di wajahnya. "Tolonglah Tuhan," ibu merayu. "Berilah
aku seorang anak lelaki lagi." Itulah sahaja yang kerap aku dengar ibu
meminta daripada Tuhan. Pada satu waktu dulu ibu telah melahirkan anak kembar. Tetapi,
dua-duanya sudah mati. Pada hari itu, aku terdengar perempuan itu
berkata, "yang satu mati waktu sebelah pagi, dan kembarnya mati pula di
sebelah petang." Aku tidak pula teringatkan wajah mereka. Kalau berjumpa
kembalipun aku tidak dapat mengecamnya. Pada hari itu ibu keluar
daripada kamarnya yang tidak dibenarkan kami memasukkinya. Dia
kelihatan ceria. "Tuhan sudah mengambil mereka," keluh ibu. "Tuhan akan
menjaga mereka di dunia lain, tetapi bukannya di sini. Terlalu ramai anak
perempuan! Kenapa, Kenapa?" Satu hari aku bertanya ibu di mana Tuhan tinggal. Dia cuma ketawa sahaja.
Ibu tidak pernah memuja Tuhan seperti ayahku. Dia lebih suka meratap
akan nasib buruk yang diturunkan Tuhan kepadanya. "Kalaulah Dia berikan
makanan secukupnya kepada semua anak perempuanku ini...." Pernah
juga di merangkul beberapa patung dewata yang tersusun di rumah kami
dan menghumbannya ke dalam telaga. Malahan, ibu pernah mengejek ayah
apabila dia menyembah patung Durga. Itulah yang ayah kerap lakukan, dua
kali setiap hari bertafakur di depan patung Durga. Itulah Dewi yang dihiasi
dengan bebunga dan diterangi oleh lampu kecil yang menggunakan minyak
mentega. Setiap kali aku cuba membuat kacau di tempat ibadat ayahku itu,
ibu akan memukul punggungku. Dia akan menjerit pula, "Mana dia
Tuhankau? Panggillah dia untuk menolong kamu! Berapa kali aku mesti
beritahu kamu? Jangan melintas ladang Bahari itu lagi?".....
Untuk satu ketika, aku berfikir Tuhan tinggal menetap di sungai, di tempat
orang membuang abu mayat yang dibakar. Jadi, pada satu hari aku
mengekori lembu yang menyeberang sungai itu dan sambil memegang ekor
lembu aku pun menyelam mengharapkan peluang melihat wajah Tuhan di
dasar sungai. Satu bendapun tidak dapat di lihat di dasar sungai kecuali
lumpur sahaja. Kalaulah Tuhan sudah mengambil dua bayi kembar itu, sudah tentu dia
tinggal di tempat lain, nun jauh di hutan bersama harimau, serigala dan
ular. Ayah memberitahu bahawa Tuhan ada di mana-mana, memerhatikan kita.
Cuma kita tidak dapat melihatNya. Bagaimana caranya mengenal Tuhan, fikirku. Apakah Tuhan sengaja tidak
mahu menunjukkan rupanya. "Kalau kamu mahu melihat Tuhan, kamu mesti tahu bersabar," kata ayah
kepadaku. "Kamu mesti beribadat selalu dan bertapa seperti sami-sami di
kuil." Aku tidak faham apa maksudnya bertapa itu. Tetapi aku tahu aku tidak
boleh bersabar dan tidak sanggup menunggu lama-lama. Aku mesti
berikhtiar mencari Tuhan. "Kalau kamu mahu menemui Tuhan, Phoolan, jangan pergi ke hutan tetapi
pergilah ke kuil ...." Tetapi cadangan itu tidak memberi sebarang makna kerana aku puas
mencari Tuhan di kuil. Terdapat banyak patung di kuil itu. Semuanya dikira
Tuhan juga? Ayah pernah memberitahu kalau kita beribadat penuh khusyuk
semua patung itu akan menjadi 'hidup' menunjukkan jalan yang
ditunjukkan oleh Brahma. Aku pernah memasukki kuil bersama Chott untuk melihat patung-patung.
Pernah juga aku berdiri depan patung itu dan merenung mukanya. Tidak
ada satupun yang bernyawa. Aku mula pupuskan ingatan untuk mencari Tuhan. Keesokan harinya perut
ibu meletup lagi........ Kami sedar akan ketibaan bayi itu. Chotti dan aku kerap bercerita
mengenai perkara misteri yang sedang terjadi, rupa bentuk ibuku
mengembung yang dikatakan sedang mengandung. Amma kami, telah
masuk ke sebuah kamar dalam rumah, dan kami tidak dibenarkan
mengikutinya di situ. Tidak lama kemudian Amma muncul dengan seorang
bayi di pelukannya. Keesokan hari kami memulakan satu permainan baru. Aku memasuki
halaman rumah memakai sari ibu, berlagak seolah-olah perutku sedang
menggelembung dan kemudian aku keluar pula memberitahu aku sudahpun
melahirkan seorang bayi. Chotipun memukul dulang tembaga untuk
memberitahu berita itu kepada warga kampung semua.
Ibu naik marah lagi dan matanya menjadi lebih besar dan semakin gelap
warnanya. Dia marah kerana mendapat seorang anak perempuan baru.
Namun, bayi kecil itu diberi nama Bhuri, bererti dia adalah anak perempuan
yang mesti disuapkan makanan ke mulutnya.
Ibu telah membuat satu pendirian. Dia enggan memberikan susunya
kepada Bhuri, cuma air sahaja. Terpaksalah kami anak perempuannya yang
lain berusah menjaga bayi itu bergilir-gilir. Ibu bertegas dia mempunyai
banyak kerja di ladang. Kami terpaksa mencari susu untuk minuman adik
(bayi) itu walaupun ini bererti kami terpaksa mencuri.
Kalau ada kambing yang tersesat masuk kawasan rumah, mula-mula kami
perhatikan supaya tidak ada sesiapa yang memerhatikan peristiwa itu
sebelum kambing itu kami heret dengan memujuknya memasuki pintu depan
rumah dan membiarkan kami mengambil susunya di kawasan lapang. Kami
memerah dengan cepat untuk mendapatkan susu kambing itu, tetapi kami
berhat-hati untuk mengambil sedikit sahaja supaya tuanpunya kambing
tidak menaruh syak wasangka, ada orang lain yang mengopek susu
kambingnya terlebih dulu. Kemudian, kami bebaskan kambing itu dengan
cepat sekali, sambil terus berhati-hati. Aku sedar adalah salah untuk
mencuri, tetapi takkan Tuhan mahu menidakkan adikku Bhuri dari meminum
susu setiap hari. Kalaulah aku bertemu Tuhan, aku sudah tahu itulah yang akan aku
tanyakan. Sementara itu, aku merasa bangga adikku berupaya membesar. Sejak dua
anak perempuan ibuku yang lain itu mati dan ibu merasa gembira kerana
Tuhan telah mengambil mereka, aku menjadi takut kalau-kalau kami turut
mengikuti jejak mereka untuk hidup di dunia lain di angkasa yang gelap
gelita. Ketika kami menangis di malam hari, ibu selalu menunjukkan jari ke atas dan
berkata: "Tengok! Adik kalian di atas sana...... Mereka sudah menjadi
bintang di angkasaraya!" Banyak bintang di atas sana, besar dan kecil
membuatkan aku takut hilang pula. "Amma", tanyaku, "apabila saya mati,
bolehkah saya menjadi bintang yang lebih besar dan lebih berkilau
daripada yang lain?" Oleh kerana warna kulit Choti yang gelap itu, aku
kerap juga mengejeknya dengan berkata dia akan menjadi 'kara' sebutir
bintang hitam yang hanya mengeluarkan bayangannya, sedangkan aku
akan menjadi 'tara' sebutir bintang yang mengeluarkan cahaya
gemerlapannya. Aku tidak tahu sangat akan tahun kelahiran Bhuri.
Dunia yang digambarkan oleh ayah, di bawah kilauan bintang di mana
Tuhan, walaupun ia tidak dapat dilihat, telah mengambil adik-adikku dulu
adalah kampung kami yang bernama Gurha Ka Purwa. Itulah pusat
duniaku, melewati rumah Bihari di selekoh jalan dan menaiki lerengan yang
curam mengikuti lorong yang sempit yang dikepit oleh beberapa rumah
kecil seperti kediaman kami sehinggalah menghala ke satu telaga kampung
yang dalam dengan rupanya yang kelam. Namun itulah tempatnya aku
menurunkan baldi dengan menggunakan tali untuk mendapatkan air
kegunaan kami. Tidak jauh dari rumah ialah sebatang sungai bernama Nadi,
di mana kami membersihkan segalanya yang mesti. Sungai Nadi mengalir
untuk bertemu dengan Sungai Yamuna yang menjadi tempat penyemadian
abu-abu mayat yang ditaburkan. Air Sungai Yamuna memang lembut dan jernih ketika musim bunga, dan
berwarna biru kerana pancaran suria yang panas. Unggas berlumba di
atas permukaan air yang berkilauan mendapatkan ruang untuk menari, dan
ular kerap menggelonsor sepanjang tebing sungai yang memancarkan kilat
panahan mantari. Apabila musim monsun tiba, air sungai bertukar rupa
menjadi coklat dan berlumpur sahaja. Sungai menjadi semakin melebar
membawa segala debu dan abu pergi mengalir sama. Hujan lebat mulalah
menikam perkampungan sehinggakan ular dan katak yang menyorok
sekian lama akan terdedah juga dan ada kalanya rumah-rumah yang dibina
di tebing-tebing sungai akan runtuh dan dibawa arus yang deras
alirannya. Sungai Yamuna bermula daripada lereng pergunungan tempat
persembunyian Tuhan. Di bahagian atas bermulanya anak sungai terdapat
lopak-lopak air, jurang yang dihuni belukar yang berduri dan kawasan
hutan yang dihuni oleh binatang buas: harimau, rimau kumbang, anjing liar,
serigala, pungguk dan ular. Di sebalik hutan itulah tempatnya mentari tidur
di malam hari, dan itulah penghujung dunia ini.
Adalah dianggap bertuah kalau seorang ibu melahirkan anak lelaki kerana
keluarganya tidak perlu menyediakan dauri sebagai maskahwin.
Itu sahaja yang aku tahu mengenai hal itu, bukannya dari pembacaan buku
sekolah, tetapi melalui pengamatan mata dan telingaku. Pada satu hari ayah memanggil aku untuk memberitahu, "Kamu mesti
menghormati Bihari. Dia itu pamanmu!"
Aku tidak mempercayai ayah. Bagaimana mungkin seorang yang begitu
kaya merupakan pamanku. Orangnya mempunyai beberapa pembantu
rumah untuk menjaga kediamannya yang dibuat dari konkrit? Kalau betul
dia seorang pamanku sudah tentu dia membantu kami, bukannya memukul
kami dan mengaibkan kami! Bahari membenci kami. Ketika aku masih kecil
dulu, dia kerap menjeringaikan giginya dan adik kecil aku terpaksa lari
tunggang-langgang walaupun dia tidak berpakaian di pinggang. "Tengok
budak-budak kamu, mereka berbogel semuanya!" begitulah jeritan Bahari
kepada ibu. "Buat malu saja!" Demikian dia akan berkata kepada orang
kampung sambil menuduh kami sebagai punca segala kekacauan.
Semua ini berpunca apabila Bahari mencuri tanah ayah hinggakan kami
tidak mampu membeli kain baju. Pakaianku yang pertama adalah dibuat
daripada cebisan kain sari ibu.
Bahari dan ayahku adalah adik beradik. Mereka berkongsi ayah yang sama,
cuma berlainan ibu. Bahari menjadi kaya raya kerana dia telah mengekalkan
saham bahagian tanah dan lembu ternakan peningglan ayah mereka untuk
dirinya sendirian. Dia berkata, bapaku tidak berhak kepada warisan itu.
"Ketika ibumu muncul di pintu rumah," demikian yang aku masih ingat
kisahnya yang menjerit-jeritkan cerita itu supaya semua orang kampung
boleh tahu., "dia mengheret tangan kau bersamanya."
Sejak itu ayah telah membelanjakan segenap rupee yang diperolehinya
sebagai tukang-kayu untuk berulang-alik ke mahkamah menentang paman
aku itu. Ketika mereka bersemuka di mahkamah tempatan, ayahku menang
dan kami telah beramai-ramai pergi ke kuil untuk membawa hadiah
kalungan bunga untuk diletakkan di kaki dewa-dewi. Tetapi, Bahari bijak
orangnya. Dia pergi ke mahkamah yang lebih tinggi lagi, jauh di Orai, dan
selepas itu berlagak seolah-olah tidak ada sesuatu yang telah berlaku.
Untuk pergi ke mahkamah di Orai, ayah terpaksa berjalan kaki sehari
suntuk dan dia selalu pulang dari mahkamah itu dengan penuh keletihan
dan semakin kehampaan. Ayah mengeluh betapa dia memerlukan banyak
wang lagi untuk membayar peguam yang lain pula.
Ayah bercerita akan hal itu hampir setiap hari, dan kalaupun dia tidak
bercakap mengenainya, kami tahu dia sedang memikirkan perkara yang
serupa. Itu sebabnya aku mula membenci pamanku yang berlagak laksana
seekor helang yang berlegar-legar tinggi di atas jurang. Dia berlagak
laksana seorang 'thakur' seperti orang penting dan berkuasa, yang
memiliki tanah tetapi tidak sanggup mengotorkan kakinya di bendang.
Kerana kekayaannya, Bihari berfikir dia mempunyai kuasa yang sama
kuatnya seperti seorang 'thakur', sedangkan dia hanya seorang mallah
seperti kami juga. Pada satu hari, ayahku telah dipanggil untuk menghadiri majlis
'Panchayat', yakni majlis kampung kami. "Tahukah kau apa yang patut
kamu lakukan, Davidin?" tanya Sarpanch, ketua majlis kampung itu. "Kau
seharusnya menghentikan tuntutan mahkamah terhadap Bihari. Apakah
tak fikirkan masa depan anak gadis kamu? Kau sepatutnya memikirkan
perkahwinan mereka. Kamu ada empat anak perempuan. Bagaimana
dengan dauri perkahwinan mereka kalau kamu asyik berbelanja di
mahkamah?" Ayah merayu kepada mereka. "Tolonglah aku, berilah aku pengadilan.
Biarlah mahkamah yang menentukannya." Tidak seorangpun mendengar
rayuannya. Walaupun dia menangis, mereka terus menyepi. Semua ahli
majlis kampung itu adalah orang kaya raya, sahabat baik Bihari.
Apabila pulang, ayah memberitahu apa yang sebenarnya berlaku. Ceritanya
itu menaikkan darahku. Ayah memang merupakan seorang insan yang baik
hati dan berbudi bahasa. Tidak ada secebis pun niat jahat di hatinya. Dia
tidak pernah memukul kami. Dia menggunakan tongkat yang dipegangnya
itu untuk menompang berat badannya ketika berjalan pulang di malam hari.
Badan ayah yang sememangnya kurus kering itu sudahpun mula
membongkok. Ayah pernah juga merayu kepada orang kampung.
"kalianpun miskin semacam aku, tolonglah.... Pegilah ke mahkamah dan
beritahu hakim apakah aku ini, Devidin anak lelaki sebenar kepada ayahku!
Tolonglah beritahu kisah yang benar!" Tetapi orang kampung amat
takutkan Bihari. Mereka tahu cerita sebenarnya tetapi mereka tidak
sanggup menyebelahi ayah. Mereka juga marhaen miskin seperti kami dan
mereka lebih rela melakukan apa yang dinasihatkan oleh Sarpanch.
Seandainya ada juga orang kampung yang membantu ayah, Bihari akan
menentukan orang itu dipukul oleh samseng-samseng upahannya.
Apabila hari perbicaraan semakin hampir, dan ayah terpaksa bersiap untuk
menghadirinya, Bihari akan berjumpa dengan adiknya itu. Dia menawarkan
sebidang tanah seluas 60 'bighas' kalaulah ayah sanggup menggugurkan
tuntutannya. Ayahpun bersetuju, tetapi itupun satu muslihat sahaja.
Apabila ayah menuntutnya, Bihari menghalaunya. "Kes tuntutan kamu telah
disebut di mahkamah, kenapa engkau tidak hadir? Lagipun mahkamah
tidak boleh tuntut aku memberikan tanah kepada kamu, sebab aku pun
tidak bertanah!" Dia telah menjual tanah seluas 80 bighas dan membelanjakan wang untuk
membina rumah besarnya lengkap dengan telaga di halaman. Dia telah
memberikan satu bidang tanah kepada anak lelakinya Mayadin, dan
tanahnya yang berbaki telahpun dipindahkan namanya kepada anak
perempuannya. Itulah sebabnya Buppa kami itu sentiasa kelihatan sugul sahaja.
Selain dari tanah sekangkang kera di mana ayah menanam sepohon pokok
'neem' di atasnya, tidak ada tanah lain kepunyaan kami. Untuk hidup
terpaksalah kami bergantung kepada 'kachwari' yakni bidang tanah rizab
sungai Yamuna yang menjadi kering-kontang apabila sungai yang
membesar ketika musim monsun, mengecil dan mengecut setelah surut.
Tanah rizab ini bukannya milik sesiapa. Selama enam bulan setiap tahun,
itulah tanah yang dipinjamkan Yamuna kepada kami sambil air yang masih
mengalir menyaksikan kami setiap kali ia lalu menuju persimpangan di
Sungai Ganges. Tuanpunya bot menyewa botnya kepada kami dengan kadar lima rupee
sebagai sewa harian. Kami terpaksa mendayung sendiri merentas sungai
itu setelah memuatkan beberapa bakul baja talembu yang dicampuri tanah
berpasir yang kami gunakan sebagai asas penanaman tembikai dan
mentimun. Kami terpaksa berulang alik dengan memunggah baja itu.Tetapi
ada kalanya arus sungai begitu deras memaksa kami mendayung
berjam-jam lamanya hanya untuk membuat satu lintasan.
Aku telah lama belajar bagaimana mendayung perahu menyeberangi sungai
ketika arus deras. Ketika itu usiaku masih kecil lagi. Kaum mallah adalah
kecil-kecil sahaja badan mereka tetapi tangkas laksana pepatong
kupu-kupu yang mudah terapung di permukaan air yang deras itu. Aku
sudah pandai berenang ketika berusia empat ataupun lima tahun. Pada
ketika itu aku sudah tahu mengutip baja talembu dan menaruhnya di dalam
bakul untuk dijunjung dan dimuatkan ke dalam perahu. Aku sudah pandai
membantu Rukmini menugal tanah dan menabur benih. Apabila membesar,
tanaman di Kachwari itu adalah milik kami sepenuhnya. Kami boleh makan
semuanya, ataupun menjual sebahagian di pasaran. Itulah pemberian
mutlak dari Tuhan untuk kami dan ayah selalu memberitahu agar kami
bersyukur kepadaNya. "Apabila dia senang hati dengan mahkluknya, Tuhan memberikan
bermacam berkat kepada mereka." Ibu tidak pula bersetuju. "Tak payahlah kamu pergi mencari Tuhan,
Phoolan... Tuhan hanya memberi kepada yang kaya raya. Dia telah
memberikan segalanya kepada Bihari dan tidak ada satu apapun kepada
ayah kamu." Di kampung kami itu, ada ibu-ibu yang memanjakan anak-anak mereka
dengan memberikan makanan yang baik-baik. Tetapi, ibu tidak mampu
memberikan kasih sayang mengikut cara yang ditunjukkan oleh ibu-ibu
lain. "Amma ialah seorang hantu," kata Choti padaku. "Dia selalu saja
marahkan kita," Kami ada mulut dan perut, dan sebagai perempuan kami
mudah lapar sehingga perutpun kecut. Kami memang takutkan ibu apabila dia menjerit. "Apa akan jadi kepada
semua anak permpuan aku? Siapa yang akan mengahwini mereka?"
Kadangkala muka ibu berubah wajah dan sungguh menakutkan. Matanya
menjadi besar dan menggelap, biji matanya lebih besar dariapada mata
kerbau dan dia mudah bersungut. "Makan pun tidak cukup. Aku tak faham
kenapa kita ada ramai anak perempuan....." Semacamlah kami ini pencuri
semuanya yang mencuri makanan daripada rumah sendiri.
Ada satu ketika ibu menjerit kepada ayah, sambil dia menyauk tangan kami
seolah-olah mahu mengopaknya dari badan kami. "Aku akan terjun dalam
telaga! Aku akan humbankan budak-budak ini dulu kemudian aku akan ikut
terjun sama!" Aku jadi ketakutan, dan Choti menggigil dengan ketakutan
juga. "Jangan campakkan saya, Amma! Nanti saya akan mati!"
Musim sejuk sudah bermula dan ibu sudah semakin berang kerana kami
tidak mempunyai bekalan makanan, sedangkan Paman Bahari mempunyai
segalanya. Ibu naik marah kerana ayah tidak pernah mahu bertengkar dan
berlawan dengan abangnya. Ayah bekerja keras laksana hamba abdi dan
beribadat. Ibu kata ayah adalah seorang yang lembut hatinya. "Bihari yang
menentukan segalanya," kata ibu. Setiapkali Bihari memukul aku, ayah tidak
berkata apa-apa. Dia cuma merapati aku untuk memujuk sahaja. Dia akan
memangku aku dan berkata; "Paman kau itu adalah seorang hantu,
bukannya seorang manusia." Kalau demikian, kataku, akupun mahu jadi hantu. Barulah aku boleh
mencabarnya untuk berlawan pula.
Aku sudah dibantai sejak dilahirkan lagi. Adikku Choti kerap menunjukkan
kesan-kesan dibantai itu, seperti mana aku menunjukkan kesan yang
serupa kepadanya. "Apakah semua anak yang kecil-kecil turut kena
bantai?" demikian fikiranku. Kadangkala terfikir juga kenapa setiap hari aku
mesti dipukul? Kalau bukan Bihari yag memukulku, Pradhan yang akan
melakukannya ataupun ibuku sendiri. Ayah pernah memberikan penerangan betapa dalam kampung itu terdapat
dua jenis penduduknya. Yang kaya memiliki tanah dan yang miskin seperti
kami yang terpaksa bersabar menunggukan paras sungi surut untuk pergi
berladang di Kachwari, bidang tanah rizab kepunyaan sungai. "Orang
yang kaya boleh memberi arahan, boleh memukul dan mendera kamu.
Kerana dia mempunyai tanah dia mempunyai kuasa menentukan nasib kita.
Dia memiliki tanah dan mengagihkan kerja kepada kita. Kalau pekerjaan itu
tidak diberinya, kita akan mati kebuluran."
Kumpulan miskin memang tidak ada apa-apa. Tanah, wang ataupun kuasa
memang tidak ada pada mereka. Mereka dilahirkan hanya untuk
berkhidmat sahaja. "Itulah caranya Phoolan!" kata ayah. "Kamu terpaksa tunduk dan sentuh
ibujari kaki mereka yang lebih berkuasa kerana merekalah yang melindungi
kamu." Aku renung muka ayah yang pemalu itu, garisan keningnya, baju kapasnya
yang usang, tangannya yang lusuh, kulitnya yang menyerupai
keperang-perangan warna tanah kampung yang mewarnai hidup kami itu.
Kemudian, aku terbayangkan cara hidup Paman Bihari yang mengenakan
pakaian panjang 'kurta' dengan sekeping capati di tangannya, menyauk
segenggam kekacang ke mulutnya. Aku teringatkan cara dia menunjukkan
tongkatnya yang jahanam itu . Aku tidak faham langsung kenapa mesti ada
perbezaan antara kami, dia dengan kekayaannya dan kami yang terus
hidup melata. Memang begitulah caranya, kata ayah. Yang miskin mesti menundukkan
kepala dan menyentuh kaki yang kaya raya. Yang miskin hidup dengan
beberapa butiran gandum sedangkan yang kaya hidup menikmati kelazatan
mangga yang ranum. Keperitan perut golongan marhaen yang miskin dan
kelaparan mencetuskan perasaan takut dan kesediaan untuk
menghambakan dirinya. Aku mesti mengalah mengikutkan kata ayah,
kerana aku mesti melakukannya. Tetapi aku tidak terdaya mematuhinya. Aku
lebih menyerupai ibuku. Terlalu banyak darah muda yang mudah marah
dalam tubuhku ini. |