Laman Webantu KM2A1: 5140 File Size: 24.3 Kb * |
TAG SP 235: B2 - Perjalanan Yang Panjang [Mandela] By Nelson Mandela 2/8/2001 11:20 pm Thu |
[Mendela adalah rakyat Afrika biasa yang turut bermain sewaktu
kecilnya. Bedanya dia amat mengamati sesuatu disebalik semua permainan
ini kerana ia mengandungi unsur kalah dan menang yang lebih bergantung
kepada benak fikiran dari kekuatan fizikal yang tampak menggerunkan.
Melalui pengamatan yang teliti itulah seseorang itu akan dapat mengecapi
kemenangan kerana dia akan dapat menangkis pelbagai muslihat yang
terancang tanpa perlu jauh berjalan sehingga hilang kekuatan.
Perhatikan bagaimana Mandela mengamati segalanya disekelilingnya -
keadaan makanan yang dimakannya, air yang perlu diangkut untuk
mendapatkannya, masyarakat dewasa dan kanak-kanak yang didampinginya
malah apa sahaja sehingga termasuk keadaan pondok, sungai, bukit-bukau,
tanah dan rumput-rumpai juga. Ada sesuatu menyebabkan ia menjadi begitu.
Contohnya rumput yang kering kerana dipijak selalu akibat tiada jalan
khas dibina kerana tiada siapa perduli akan hal itu. Ini TAJAM maksudnya!
Buku ini memang amat indah kerana ia akan membuka fikiran kita agar
meneliti segalanya kerana di situ terserlah sesuatu yang dapat
menyedarkan kita untuk bangkit membela anak bangsa. There is something
behind something behind something..... There is always a reason
even behind the names given. In short we need to use our power of
observation to elevate into another dimension.
- Editor] BAB 2 Kampung Qunu terletak di sebuah lembah yang penuh rumput-rumpai yang
diperindahkan oleh lingkaran anak-anak sungai yang mengalirkan air bersih,
bermula daripada kawasan bukit-bukau yang menghijau. Penduduk kampung itu
tidakpun sampai seratus manusia yang menghuni rumah pondok yang
berdindingkan tanah liat dan berbentuk sarang lebah, dengan tersembul satu
tiang seri yang tinggi di tengah-tengah untuk menahan bumbung yang dibuat
daripada rumput kering. Lantai setiap pondok itu diperbuat daripada bekas
busut anai-anai yang sudah dipecah-pecahkan menjadi lembut dan berderai.
Sekali sekala disiram pula talembu yang segar dan dicampur air untuk
melembutkan permukaan lantai yang mudah mengeras kerana kekeringan air.
Kepulan asap daripada tungku dapur keluar mencari kebebasan melalui lubang
bumbung, dan kalau adapun lubang lain untuk manusia keluar masuk pondok itu
ialah melalui sebuah pintu yang rendah bikinannya yang memerlukan sipengguna
membongkok badannya untuk keluar-masuk. Memang sudah kelaziman untuk membuat
pondok secara berkelompok dalam satu penempatan manusia dan kedudukannya
tidak pula jauh sangat daripada ladang tanaman jagung yang disebut 'meali'
dalam bahasa kami. Tidak ada jalan besar di perkampungan kami. Cukuplah
dengan lorong pejalan kaki yang ditandakan oleh rumput rumpai yang telah
dilanyak oleh kanak-kanak dan kaum ibu yang berkaki ayam setiap kali mereka
berjalan. Kaum ibu dan anak-anak di kampung mengenakan gebar untuk menutupi tubuh
mereka. Gebar ataupun selimut badan ini dicelup dengan warna merah
keperang-perangan. Hanya penduduk kampung yang beragama Kristian memakai
pakaian ala-Barat. Lembu, biri-biri, kambing dan kuda dibiarkan bercampur bebas meragut rumput
di kawasan lapang. Keseluruhan kawasan Kampung Qunu memang tidak mempunyai
banyak pokok yang tinggi-tinggi, kecuali serumpun dua pepohon poplar (kayu
lembut sesuai untuk dijadikan batang mancis - penterjemah) di atas bukit
yang seolah-olah mengawasi keselamatan kampung. Keseluruhan kawasan itu
adalah tanah kerajaan. Dengan pengecualian istimewa yang sedikit sahaja,
pribumi Afrika ketika itu, tidak diberikan hak memiliki tanah tetapi
dianggap penyewa yang membayar cukai tahunan kepada kerajaan. Tidak jauh
dari kampung itu terletak dua buah sekolah rendah, sebuah kedai runcit, dan
satu takung besar yang mengandungi ubat untuk membolehkan ternakan dibawa
untuk berendam agar terselamat daripada kutu-kutu berpenyakit yang bertapa
di badan. Jagung (meali disebut 'mili' dalam Bahasa Xhosa) sekoi (sorghum kata orang
putih), kekacang dan lelabu merupakan sebahagian makanan utama kami, bukan
disebabkan kegemaran yang terlampau terhadapnya, tetapi kerana itu sahaja
jenis makanan yang termampu oleh orang kampung pada waktu itu. Keluarga yang
lebih kaya di kampung kami melengkapkan diet makanan mereka dengan teh, kopi
dan gula, tetapi majoriti penduduk kampung di Qunu, makanan tambahan seperti
itu adalah satu bentuk kemewahan yang berunsur eksotika yang mampu dijangkau
oleh selera impian sahaja. Air kegunaan kami terpaksa diangkut daripada mata-air, parit dan sungai.
Semua ini dilakukan oleh kaum ibu. Lagipun kampung dulu-dulu memang dipenuhi
oleh kaum ibu dan anak-anak sahaja kerana kaum lelaki menghabiskan masa
mereka bekerja jauh di ladang-ladang ataupun di lombong yang berselerak
sepanjang 'Reef', banjaran gunung yang kaya dengan ketulan batu mengandungi
emas mentah yang merupakan garisan sempadan bahagian selatan Johannesburg.
Warga lelaki ini pulang ke kampung pedalaman hanya dua kali setahun, untuk
membajak ladang tanaman mereka pula. Kerja-kerja menugal dan merumput-rumpai
diserahkan kepada warga perempuan dan anak-anak. Tidak ramai warga kampung
yang boleh menulis atau membaca kerana konsep pendidikan itu masih dianggap
peradaban barat sahaja oleh sebahagian besar warga kampung itu.
Ibu saya merupakan pengaturcara kepada penghuni tiga pondok milik keluarga
kami di Qunu. Seingatku itulah pondok yang penuh dengan kanak-kanak dan bayi
yang mempunyai pertalian saudara denganku. Seingatku juga, tidak ada satu
ketikapun aku hidup berseorangan di zaman kecilku. Mengikut budaya Afrika
(pribumi), anak lelaki dan perempuan kepada bapa dan ibu saudara seseorang
itu dianggap adik beradiknya dan bukannya saudara sepupu mengikut tafsiran
budaya Barat. Kami tidak mempunyai tatasusila yang seiras dengan amalan
barat dalam aspek kekeluargaan. Kami tidak mempunyai adik-tiri ataupun kakak
tiri dan sebagainya. Adik kepada ibuku adalah ibuku juga; anak pamanku
adalah adik ataupun abangku ataupun kakakku, anak kepada adikku adalah juga
anakku. Daripada tiga pondok yang diselia oleh ibu, satu digunakan untuk
masak-memasak, satu untuk tidur dan satu lagi dijadikan stor barangan. Di
pondok untuk kami berehat dan tidur, tidaklah ada perabot mengikut amalan
orang Barat. Kami tidur di atas tikar dan duduk di atas bumi. Saya tidak
mengenal bantal sehinggalah saya pergi ke Mqhekezwini. Ibu memasak dengan
menggunakan periuk yang mempunyai bontot besi berkaki-tiga, secara terbuka
di halaman ataupun di tengah-tengah pondok masak-memasak. Kami makan hasil
tanaman ataupun hasil bahan-bahan yang dikisar sendiri. Ibu menanam dan
menuai jagungnya sendiri. Jagung yang masak dituai di kebun setelah ianya
keras dan kering. Kemudian, hasil tuaian itu disimpan dalam karung dan
ditanam dalam lubang simpanan di tanah. Pelbagai kaedah digunakan untuk
mengisar jagung yang sudah masak keras itu. Ada yang mengisar biji-biji
jagung itu antara dua batu untuk membuat roti. Ada pula yang merebus jagung
itu dulu, menjadikannya 'umpothulo' (dimakan dengan susu masam) ataupun
dijadikan 'umngqusho' (menjadi jagung lecek dimakan begitu sahaja ataupun
dicampur dengan kekacang). Jagung mudah kehabisan, tetapi tidak pula susu
lembu dan kambing yang memang tidak pernah keputusan.
Sejak kecil lagi, saya menghabiskan kebanyakan masa lapang bermain-bermain
ataupun berlawan dengan kanak-kanak lain di kampung itu. Seandainya ada anak
lelaki yang melekap di rumah bersama ibunya, dia dianggap seorang pondan.
Pada malam hari saya kerap berkongsi selimut dan makan malam dengan budak
lelaki yang sama. Sebelum mencapai usia lima tahun saya sudah menjadi ketua
kumpulan budak lelaki mengawal bebiri dan anak-anak lembu di ladang. Ketika
itu saya mempelajari sesuatu yang mistik kenapa kaumku mempunyai satu
pertalian yang suci dengan lembu ternakan mereka bukan sahaja sebagai sumber
makanan dan kekayaan, tetapi juga sebagai rahmat dari Tuhan dan punca
keceriaan. Ketika di ladang saya belajar memburu burung di angkasa dengan
lastik, mengumpulkan madu lebah liar, mengutip bebuah dan akar-akar kayu
yang boleh dimakan, meminum susu segar yang suam dan manis langsung daripada
kantung simpanannya, berenang di sungai yang segar airnya dan sejuk suhunya,
menangkap ikan dengan menggunakan serampang yang dibuat sendiri menggunakan
wayar yang ditajamkan hujungnya dan diikat kepada batang kayu dengan
menggunakan akar kayu. Saya juga belajar berperang olok-olok dengan menggunakan kayu sebagai pedang
kerana ini adalah satu kemestian untuk setiap anak kecil di perkampungan -
sehinggakan saya menjadi pintar dengan pelbagai teknik menampan serangan,
mengacah ke satu hala tetapi menyerang di hala yang bertentangannya, sambil
melepasi serangan lawan dengan menukar langkah dan gerak-geri kaki. Sejak
dari itu, saya pahatkan ingatan kepada lembah perkampunganku, kepada kawasan
yang lapang dan terbuka yang diwarnai kecantikan alam semulajadi dan
sentiasa diawasi oleh garisan kaki langit yang terang dan mengasyikkan.
Sebagai anak lelaki, kami dibiarkan tanpa banyak gangguan. Kami bermain
dengan permainan yang kami ada-adakan. Kami buat binatang dan burung
daripada tanah liat. Kami cari ranting kayu untuk dijadikan kereta sorong.
Alam semulajadi menjadi padang permainan kami. Bukit bukau di bahagian
kampung Qunu memang penuh dengan kepingan batu leper yang besar-besar yang
dijadikan pengalas punggung untuk kami menggelonsor ala 'roller-coaster'.
Kami duduk atas kepingan batu leper itu dan menggelonsor dari puncak bukit
yang berbatu sehinggalah buntut menjadi begitu perit dan sakit, dan tidak
boleh duduk lagi untuk menahan kepedihannya. Saya juga mempelajari bagaimana
menunggang anak lembu yang baru lepas menyusu. Teruk juga dihumbannya setiap
kali mencuba tetapi saya teruskan juga sehingga berjaya.
Saya telah mempelajari satu petua hidup daripada satu tindakan mencuba
menunggang kaldai. Kami telah bergilir-gilir menunggang belakang seekor
kaldai sehingga ketika tiba giliran saya kaldai itu telah naik baran dan
melompat ke arah satu belukar yang dipenuhi pepohon berduri. Kaldai itu
membongkokkan badan agar saya terhumban ke hadapan. Ketika itu deduri yang
sedia menanti akan mencakar muka saya sehingga mengaibkan saya di hadapan
kawan-kawan. Seperti juga penduduk di Timur jauh, peribumi Afrika mempunyai
satu perasaan maruah dan martabat serupa dengan apa yang orang Cina sebut
sebagai 'muka'. Jatuh air muka saya di hadapan kawan-kawan ketika itu.
Walaupun kejadian itu disebabkan oleh seekor kaldai, saya sudah
mempelajarinya betapa untuk mengaibkan seseorang itu adalah dengan
mengenakan dia merana akibat sesuatu deraan yang sungguh zalim. Sejak zaman
budak-budak lagi saya telah menghayati satu pendirian untuk mengalahkan
penentang saya secara terhormat dan bersifat anak-jantan.
Selalunya, budak lelaki bermain bersama rakan sejenis sahaja. Tetapi, ada
kalanya golongan budak perempuan mahu turut serta. Apabila budak-budak
lelaki dan perempuan bermain sama, merekapun memainkan permainan seperti
'ndeze' (main sorok-sorok), dan 'icekwa' (ikat-kaki). Tetapi permainan yang
paling saya minati apabila budak perempuan turut serta ialah mainan 'ketha',
ataupun mencari jodoh. Permainan ini bukan banyak sangat peraturannya,
tetapi dilaksanakan secara spontan sahaja di mana sekumpulan perempuan itu
diganggu agar mereka memilih jodoh pilihan mereka. Peraturan mainan
memestikan semua orang menghormati pilihan 'jodoh' yang dikasihi perempuan
itu dan membolehkan jodohnya menemani perempuan itu pulang ke pondoknya.
Tetapi budak-budak perempuan memang pintar dan bijaksana, lebih matang
daripada budak-budak lelaki. Mereka selalunya berpakat memilih hanya seorang
budak lelaki sahaja, selalunya yang paling bersahaja sikapnya. Dengan itu
'jodoh' suka-ramai itu akan diejek dan diajuk sepanjang jalan mereka pulang
bersama. Permainan yang paling diminati ialah 'thinti', yang amat mirip kepada
peperangan yang sebenar. Dua batang kayu yang dianggap sebagai sasaran akan
ditanam dengan teguhnya secara menegak dengan jarak satu ratus kaki antara
satu tiang dengan yang lainnya. Cara bermain ialah setiap pasukan akan cuba
membaling ke arah tiang lawannya sehingga berjaya menjatuhkan tiang itu.
Kami menjaga tiang kepunyaan kami dengan bertindak menegah pasukan lawan
daripada merapat untuk mendapatkan semula kayu-kayu yang mereka buang untuk
menjatuhkan sasaran tiang mereka. Apabila kami semakin membesar, kami
aturkan pula permainan yang sama dengan kelompok budak-budak yang sebaya
daripada perkampungan lain pula. Mereka yang berjaya menonjolkan keberanian
dalam permainan yang mencabar 'macho' kelakian ini memang disanjung laksana
panglima perang yang menang di medan pertempuran.
Apabila selesai permainan seperti ini, sayapun pulang ke 'kraal' ibu untuk
melihat dia menyediakan makanan. Ayah pernah menceritakan kisah purba mengenai pertempuran dan keberanian
pejuang-pejuang Xhosa. Ibu pula kerap menyanyikan lagu yang berunsurkan
kisah legenda Xhosa dan cerita dongeng yang disegarkan secara turun temurun.
Kisah legenda ini menaikkan semangat kerana ia mengandungi unsur-unsur
pendidikan di tahap usia saya yang masih kecil lagi.
Saya masih ingat satu kisah apabila ibu menceritakan kisah seorang musafir
yang didekati oleh seorang wanita tua yang rabun matanya kerana diserang
penyakit katarak. Wanita tua itu meminta bantuan musafir tadi, tetapi dia
sengaja mengalihkan pandangannya tanpa mahu peduli. Kemudian muncul seorang
lelaki lain pula dan dia pun didekati oleh wanita tua yang sama. Dia meminta
lelaki baru itu mengelap matanya. Walaupun dia tidak selesa dengan
permintaan itu, dilakukannya juga mengikut arahan yang didengarnya. Secara
tidak semena-mena, lapisan katarak di mata wanita itu terhakis dan dia
bertukar menyerupai seorang gadis, muda dan menawan membuat hati terguris.
Lelaki itu lantas mengahwininya dan menjadi senang-lenang dan kaya-raya.
Demikianlah dengan satu dongeng yang mudah, tetapi mesejnya sungguh indah:
balasan dan kemurahan hati akan muncul sebagai hadiahnya dalam pelbagai rupa
yang tidak boleh disangka-sangka.
Seperti juga anak-anak Xhosa yang lain, banyak pengetahuan yang saya perolehi
melalui pengamatan yang cermat. Kami memang diajar memahami sesuatu melalui
meniru dan mencuba, dan bukannya melalui bertanya. Pertama kali saya diberi
peluang memasuki rumah orang putih saya menjadi gugup melihatkan cara-cara
golongan anak-anak bertanya-tanya kepada golongan orangtua - dan kesediaan
golongan tua bersenang hati memberikan jawapannya. Dalam keluarga saya,
soalan anak-anak memang tidak disenangi; golongan tua memberikan jawapan
kepada soalan seperti itu hanya setakat yang mereka fikirkan perlu sahaja.
Hidup saya dan juga ramai warga Xhosa masa dulu banyak dibentuk oleh adat,
budaya dan pantang-larang (taboo) mengikut petua orang tua-tua. Inilah dia
unsur-unsur 'alpha' dan 'omega' ataupun hukum-hakam kehidupan yang terus
bergolak tanpa banyak soalnya. Orang lelaki meneruskan warisan yang
ditinggalkan oleh kaum bapa yang terdahulu; kaum ibu pula terus mewarisi
peninggalan ajaran generasi yang mendahului mereka. Tanpa perlu diberitahu
saya cepat meresapkan ajaran dan petua yang begitu jelas yang merangkumi
perhubungan antara lelaki dan perempuan. Saya telah disedarkan betapa
seorang lelaki tidak dibenarkan memasuki rumah yang baru merayakan kelahiran
bayi oleh warga perempuan yang menghuni rumah itu tanpa didahului majlis
yang sungguh beradat. Saya juga telah diajar untuk memahami bahawa sikap
melupakan generasi tua akan menyebabkan bencana dan kegagalan kepada hidup
kita. Seandainya roh-roh yang sudah lama pergi itu terhina, cara untuk
membetulkan keadaan ialah dengan merundingkannya dengan ketua kaum serta
tukang semangat yang lebih tahu berurusan dengan makhluk yang ghaib itu,
untuk menyampaikan sesalan kita. Semua kepercayaan ini memang tidak menjadi
satu mudarat kepada saya. Ketika masih budak lagi, saya pernah bertemu beberapa orang putih di Qunu.
Seperti biasa, majistret tempatan mestilah orang putih. Begitu juga dengan
tuanpunya sebuah kedai yang terdekat. Sekali sekala ada juga pengembara
ataupun polis kulit putih yang melalui kawasan kami. Orang putih ini
berlagak seolah-olah mereka itu adalah tuhan saya. Saya juga disedarkan
betapa mereka itu mesti dilayan dengan penghormatan yang berbaur ketakutan.
Namun, peranan mereka dalam aturan hidup saya memang amat renggang
sehinggakan saya tidak pun menghiraukannya sangat secara umumnya ataupun
antara hubungan mereka dengan oang-orang saya. Terdapat juga saingan
pendapat antara kaum, puak dan suku-kaum di dalam dunia kami yang kecil di
Qunu, yang tertumpu antara Xhosa dan amaMfengu walaupun bilangan mereka yang
tinggal bersama kami itu adalah segelintir sahaja. Puak amaMfengu mula tiba
di bahagian timur Cape (Tanjung Harapan) untuk mengelakkan hambatan bala
tentera Shaka Zulu di zaman peperangan yang lebih terkenal dengan nama
'iMfecane'. Itulah dia zaman manusia berperang di rantau ini yang disusuli
oleh gelombang penghijrahan antara 1820 - 1840 yang mewujudkan negeri Shaka
dan Zulu. Itulah zamannya perwira Zulu bernekad menakluk dan menyatukan
semua kaum di bawah taklukan kerajaan yang berdisiplin. Kumpulan aMafengu
pada tahap awalannya tidakpun tahu bertutur bahasa Xhosa kerana mereka
dianggap pendatang dari luar yang terpaksa membuat kerja-kerja yang tidak
diingini oleh pribumi Afrika yang lain. Tetapi orang aMafengu adalah orang
yang kuat bekerja dan oleh kerana mereka kerap berhubung rapat dengan
orang-orang Eropah, mereka menjadi kumpulan yang lebih terdidik dan lebih
kebaratan daripada orang Afrika yang lain.
Ketika saya masih kecil lagi, puak amaFengu memang lebih maju daripada
masyarakat tempatan yang lain dan mampu menyumbangkan agamawan, polis,
guru-guru, kerani dan penterjemah. Mereka merupakan kelompok yang mula-mula
sekali menganut ajaran Kristian, membina rumah kediaman yang lebih canggih,
bertani dengan kaedah yang saintifik, justru menjadi lebih kaya daripada
kaum Xhosa. Mereka telah mencanangkan pepatah pendakwah agama bahawa
Kristian adalah agama tamaddun, dan untuk maju anutilah agama Kristian.
Sehingga kini pun masih ada perasaan kesal terhadap puak ini, tetapi saya
menganggapnya lebih bercorak cemburu dan semangat perkauman. Unsur perkauman
yang saya amati sejak kecil dulu, memang tidak berbentuk sesuatu yang
berbahaya. Pada waktu itu, saya tidak pernah terjumpa ataupun menyaksikan
kehangatan semangat perkauman yang berjaya dipacu oleh pemerintah kulit
putih di Afrika Selatan. Ayah saya tidak menghiraukan prasangka terhadap puak amaFengu sehinggakan
beliau menjalin persahabatan yang baik dengan dua beradik bernama George dan
Ben Mbekela. Dua beradik ini memang istimewa di Qunu kerana mereka mempunyai
pendidikan dan beragama Kristian. George adalah yang lebih tua dan merupakan
seorang guru yang sudah bersara. Ben pula pernah menjadi sarjan polis.
Walaupun bersahabat rapat dengan dua beradik ini, ayah tidak pula tergerak
untuk menganuti ajaran Kristian dan sebaliknya terus dengan pegangan
hidupnya yang teguh kepada semangat kedewaan 'Qamata' yakni dewa agung nenek
moyangnya. Ayah merupakan ketua agama yang tidak rasmi dan diberikan
keutamaan untuk memulakan acara adat seperti penyembelihan kambing dan anak
lembu serta memulakan segala majlis budaya seperti tradisi tempatan
berkaitan dengan penanaman di ladang, kelahiran, perkahwinan, permulaan
majlis dan upacara serta pengebumian. Dia tidak perlu ditabalkan dulu kerana
kepercayaan tradisi agama orang Xhosa adalah bercirikan keluhuran kosmik
antara yang semula jadi dengan yang ghaib. Itu sebabnya terdapat sedikit
sahaja perbezaannya antara yang dianggap yang kudus dan yang sekular, antara
yang asli dan yang dianggap luarbiasa.
Sementara kepercayaan dua beradik Mbekela itu tidakpun berjaya mempengaruhi
anutan agama ayah saya, ia tidak pula begitu keadaannya dengan ibu yang
telah lama dulu menjadi penganut Kristian. Malahan namanya 'Fanny' itu
adalah nama pemberian warga gereja. Pengaruh Mbekela dua beradik itu telah
mempengaruhi saya untuk menganut ajaran mazhab Methodist ataupun Wesleyan
Church, seperti namanya yang dikenali satu ketika dulu. Dua beradik itu
kerap melihat saya menjaga bebiri dan telah mendatangi saya untak
berborak-borak. Satu hari, George Mbeleka telah mengunjungi ibu. "Anak kakak
adalah seorang budak yang cerdik," katanya. "Sepatutnya dia dihantar
bersekolah." Ibu terdiam sahaja. Tidak ada seorangpun yang pernah
bersekolah, jadi ibu tidak bersedia menurut cadangan Mbekela. Namun ibu
sampaikan juga pesanan itu kepada ayah. Tetapi, ayah bertindak mengikut
cadangan itu walaupun dia tidak bersekolah. Lagipun dia mahukan anak
lelakinya yang bongsu menerima didikan sekolah formal.
Bangunan sekolah hanya merupakan satu bilik darjah yang mempunyai struktur
binaan dengan bumbung ala-barat, dan terletak di sebalik sebuah bukit di
Qunu. Saya berumur tujuh tahun ketika ayah mengizinkan saya bersekolah. Pada
satu hari sebelum sekolah dibuka, ayah telah memberitahu bahawa saya mesti
berpakaian betul untuk pergi belajar. Setakat waktu itu, saya berlagak
seperti budak-budak di Qunu yang lain, hanya mengenakan gebar untuk menutup
badan. Selimut itu dikenakan dengan menutup satu bahu dan dikepitkan di
bahagian pinggang. Ayah telah mengambil sehelai seluarnya dan memotongnya di
bahagian lutut. Dia pun menyuruh saya menyarung seluar itu. Memanglah
ukuran panjang seluar bersesuaian dengan saya, cuma di bahagian pinggang
ternyata longgar. Ayahpun mengambil satu utas tali dan mengecutkan bahagian
pinggang seluar itu. Saya dilihat laksana seorang badut ketika itu, tetapi
tidak ada satu pakaianpun yang memberikan saya kebanggaan memakainya daripada
mengenakan seluar ayah yang sudah diubah-suiakannya untuk badan saya.
Pada hari pertama di sekolah, guru saya, Miss Mdingane telah memberikan
setiap seorang kami nama Inggeris dan berkata itulah nama yang akan
digunakan oleh sekolah berkaitan diri kami. Itulah caranya di zaman dulu di
kalangan pribumi Afrika dan sudah tentu ada kena mengenai dengan sikap orang
British terhadap pendidikan kami. Pelajaran yang saya terima itu adalah
berasaskan pelajaran British. Ia cenderung mengikuti fahaman British, budaya
British dan institusi British yang dikatakan lebih hebat Waktu itu tidak ada
langsung apa yang anggap sebagai budaya Afrika.
Pribumi Afrika yang seangkatan usia dengan saya - malahan juga sehingga kini
- pada lazimnya mempunyai nama kebaratan dan yang berunsurkan Afrika. Orang
putih mendapatinya sukar ataupun sengaja tidak mahu menyebut nama Afrikan
seseorang sambil menganggapnya sebagai kurang cerdik kalau sesaorang
mempunyai hanya satu nama. Pada hari itu, Miss Mdingane memberitahu saya
bahawa nama baru saya itu ialah Nelson. Saya tidak tahu apakah alasannya dia
memberikan nama itu kepada saya. Mungkin ia ada kena mengena dengan nama
seorang nakhoda British terkenal yang bernama Kapten Lorde Nelson. Tetapi,
itupun satu anggapan sahaja. |