Laman Webantu KM2A1: 5150 File Size: 24.7 Kb * |
TSG 4: 2A-2B - Saya, Phoolan Devi: Autobiografi Seorang Wirawati India By Marie-Therese Cuny, Paul Rambali 4/8/2001 9:49 am Sat |
[Terdapat banyak unsur diskriminasi dalam masyarakat India
sehingga ia menular ke dalam bidang pendidikkan dan ugama juga.
Ia bukan sekadar pengasingan status quo malah jantina juga dimana
pihak yang lemah sengaja ditekan dari kecil dan awal-awal lagi
agar tidak akan menjadi kuat sampai bila-bila. Itulah fenomena
yang turut berlaku dinegara kita. Orang melayu ditindas oleh
bangsa sendiri. Seperti Nelson Mandela, Phoolan amat mengamati suasana dan watak
orang-orang di sekelilingnya serta sentiasa berfikir mengapa ia
menjadi begitu. Tidak hairanlah dia asyik bermimpi kerana terlalu
banyak berfikir untuk mengubah nasib kaumnya itu. Inilah ciri-ciri
yang perlu ada dalam diri setiap pejuang tanah-air - khususnya
penulis siber. Kita perlu meneliti dan menghalusi nanti akan kita
temui semua jawapan kenapa kita menjadi begini dibumi sendiri.....
- Editor] Si Brahmin telah datang ke rumah untuk bercerita pasal pelajaran semula.
Pernah satu ketika, pada waktu aku masih kecil, ayah telah membawa aku ke
sebuah sekolah di perkarangan rumah si Pradhan itu. Usiaku mungkin baru
empat ataupun lima tahun, kerana aku belum tinggi lagi untuk berupaya
mencapai hidung seekor lembu. Ketika itu ayah sedang duduk di atas khat di
halaman rumah dan dia telah memanggil aku mendekatinya.
"Phoolan, ayah fikir tibalah masanya kamu belajar bercakap," kata ayah.
"Kenapakah kau tak cakap sikit-sikit? Kamu tak pernah mahu ketawa dan
terlalu penakut kepada orang. Apakah Phoolan pun takut pada ayah?"
Aku menggelengkan kepala. Apa sebab aku mesti takutkan ayah? Tidak, aku
hanya takutkan ibu. Malahan, kakak Rukmini pun kerap mengganggu aku, kerana
badannya yang lebih besar daripada aku. Tetapi, aku tidakpun takut kepada
ayah. Setiap kali dia melihat wajahku memang tersisip perasaan kasih sayang
di sebalik renungannya itu. Tetapi memang benarlah.... di usia yang masih
muda itu aku memang jarang sangat mengeluarkan kata-kata.
"Ayah akan hantarkan kamu bersekolah," demikian ayah membuat keputusannya.
"Guru Brahmin itu akan mengajar kamu bercakap. Kamu mesti dengar cakapnya
dan patuh akan tunjuk-ajarnya." Ayah telah memimpin tanganku sambil kami berjalan kaki menyusuri lorong di
bahagian hujung barisan rumah-rumah sambil melalui depan sebuah rumah yang
kosong yang dulunya dimiliki oleh seorang tua yang tidak pernah aku lihat
rupanya. Tetapi namanya ialah Kamlesh. Kemudian, kami melepasi ruang Markhan
seorang nelayan yang bermata sepet dan sangat daif hidupnya; lalu pula di
depan rumah Ram Sevak yang bekerja sebagai seorang nelayan juga; kemudian
melalui depan rumah mewah yang dibina oleh Paman Bihari untuk anak
perempuannya, Bitoli. Kemudian kami cepatkan langkah melepasi rumah besar
dua tingkat yang dihuni oleh Bihari. Cuma ada satu jalan yang menghala ke sekolah itu, sementara ada satu jalan
lain pula untuk pergi ke kaki bukit, melepasi telaga awam kampung dan
melepasi Rumah Panchayat (rumah di mana majlis pemimpin kampung menjalankan
sisatan dan mesyuarat mereka) untuk menghala ke kuil pula. Terdapat dua
kuil di kampung kami. Satu kuil itu memberi penghormatannya kepada (dewa)
Kali. Di situlah ayah kerap pergi dengan barang pemujaannya kepada sang
dewata dan membaca serapahnya untuk meminta pertolongan. Kuil yang satu lagi
kelihatan lebih menarik yang khusus memberi penghormatan kepada Shiva. Di
sinilah tempatnya orang yang kaya-kaya kerap berkumpul memberikan ucapan
terima kasih mereka kerana segala harta kekayaan di dunia. Brahmin itu
adalah Sami kampung kami dan dialah yang mengawasi kedua-dua kuil itu;
Rumah Pradhan mempunyai halaman yang bersimen dan kami kanak-kanak yang ada
disuruh duduk bersila. Kami diberikan satu buku kecil setiap seorang dan
dalam buku itu ada beberapa lukisan kecil-kecil. Kami buka buku dan sami
Brahmin itu menggunakan tongkatnya untuk menunjukkan perkataan yang tertulis
di papan hitam. Tetapi Brahmin ini tidak penyabar orangnya kerana mudah
mendera pelajarnya. Dia cuba mengajar huruf-huruf itu dengan ayunan
tongkatnya. Dia memaki kami kalau gagal mengikut apa yang telah disebutnya.
Setiap kali dia naik baran, tongkat itupun dihayunnya ke atas kepala kami.
Sedangkan kepala kami semuanya sudah dibotakkan untuk mengelakkan kutu
bersarang. "Ek.........Do.....Tin.....Char.......Panch......Ulangbalik!" "Satu..
....Dua.. Tiga...Empat....Lima....." Aku tidak lama belajar di situ, dan tidak pula kembali menyambung
pelajaranku. Kami miskin dan aku terpaksa turut bekerja membanting tulang.
Itu sebabnya aku tidak pernah belajar membaca ataupun mengira (ilmu
kira-kira). Tetapi, ayah sudah tidak perlu risau mengenai kemampuanku
bercakap. Dalam beberapa tahun saja aku sudah petah bercakap.
Namun, setiap huruf yang menjadi asas perkataan yang dieja itu terus menjadi
satu misteri kepadaku. Kalau adapun buku yang pernah aku lihat ialah Kitab
Ramayana, yang mencatatkan kisah Rama, dan penjelmaan semula Vishnu. Sami
Brahmin itu kerap membacanya kepada orang kampung yang berkumpul untuk
berteduh di bawah pokok. Kadangkala dia menjemput warga Brahmin yang lain
untuk turut membacanya kerana buku itu memang besar saiznya sedangkan cerita
di dalamnya panjang-panjang dan mempersonakan. Aku melihat buku itu dari
jarak jauh sahaja kerana kaum wanita tidak dibenarkan menyentuh kitab itu.
Majlis membaca kitab memang memakan masa. Walaupun aku tidak berapa suka
dengan Brahmin itu, suaranya mempersonakan aku dan dengan kisah pengembaraan
Rama yang akhirnya mengahwini Puteri Sita. Dewi Sita telah diculik oleh
raksasa dan Rama telah berusaha untuk menyelamatkannya. Dia tepaksa berlawan
dengan raksasa yang berbahaya dan garang-garang semuanya. Demikianlah
ceritanya sehinggakan pada malam itu, aku telah bermimpikan Rama melawan
semua raksasa yang cuba dikalahkannya.
Ketika masih kecil-kecil dulu, suara aku memang perlahan kerana aku cakap
sendirian. Aku gemar menyaksikan arus sungai Yamuna mengalir dengan
tenangnya, bertukar warna mengikut pertukaran musim. Aku pernah menjangkakan
awan yang besar itu kerap menyedut air sungai dan membawanya naik ke angkasa
untuk menggugurkannya kembali menyirami segala tanaman di bumi. Terdapat dua
elemen di langit: air dan api. Matahari adalah api. Kemudian, awan turun
untuk menyedut air sehinggakan matahari berlawan dengan awan menyebabkan
meledaknya guntur di langit. Inilah yang membuatkan hujan turun untuk
membasahi bumi memberikan kepuasan kepada segala tumbuhan untuk hidup
kehijauan dan terus membesar dan meninggi.
Aku pernah juga menyaksikan beberapa perahu dan bot bergerak perlahan-lahan
menyusuri tebing sungai antara beberapa perkampungan seperti kampungku. Ayah
pernah memberitahu bagaimana lampu elektrik di Orai, boleh menyala tanpa
sesiapa yang memetik suisnya dan lampu menyala begitu terang sekali laksana
bintang-bintang tanpa ada obornya. Ada satu perkhidmatan keretapi yang
menggunakan landasan besi yang bergerak antara Orai ke Kanpur. Dibandar itu
kaum 'Jatavs' membuat kerja-kerja memotong dan menjahit kulit binatang. Di
sana juga terdapat kedai-kedai yang menjual sari yang cantik-cantik
diperbuat daripada benang emas. Di situ juga ada satu kuil yang bangunannya
sebesar gunung, dicat dengan warna putih dan dihiasi bintang yang berwarna
warni. Di kampung kami, tidakpun ada lampu elektrik yang berbentuk bintang
di pokok-pokok. Yang ada di pokok-pokok itu hanyalah monyet dan kera yang
sibuk mengomel di cabang kayu dalam bahasa yang mereka sahaja yang tahu.
Kerap juga aku memikirkan kalaulah aku tahu bahasa beruk tentu akau faham
apa yang membuatkan mereka sibuk. Begitulah juga dengan beberapa ekor lembu
hitam yang kerap aku suapkan rumput kering, tentu mereka sedang mengunyah
makanan sambil memikirkan zaman silam ketika mereka melayari hidup
dulu-dulu sebagai manusia. Sejak Bhuri dilahirkan mimpiku kerap datang
berulang-ulang. Aku pernah bermimpi ketika hidup di zaman kehidupan yang
terdahulu, aku tertanam hidup-hidup dengan anak kecilku. Dalam mimpi itu aku
telah berlari mencari ayah merayu dia menolong dan menyelamatkan anakku itu.
Pernah juga aku bermimpi dikahwinkan dengan seorang maharajah tua dan
disebabkan aku berbuat sesuatu dengan hamba istana akupun telah dihukum oleh
maharaja ditanam hidup-hidup sambil masih bernyawa. Aku masih teringat
tempatnya di mana aku ditanam itu, di bawah sebuah pohon palma berdekatan
sebuah anak sungai. Setiapkali aku dipukul, aku pergi merajuk ke tepi sungai untuk menangis
sendirian. Pada waktu itu aku kerap mengharapkan kalaulah Tuhan melahirkan
aku kedunia ini sebagai seekor haiwan. Semua binatang tidak pun kaya
ataupun miskin, masih ada orang yang sanggup memberi makan dan memelihara
mereka. Mereka tahu hakikat ini tanpa perlu mempelajari ilmunya. Malahan
tikus yang kerap mencuri gandum kami adalah lebih pintar daripada kita.
Ibu tidak membenarkan Brahmin bercakap lagi mengenai pendidikan kami. Dia
memberiahu mereka betapa kami terlalu sibuk untuk belajar menulis dan
mengira. Aku sudah diberitahu betapa aku tidak payah pergi ke sekolah lagi. Begitu
juga dengan adik-adikku. Adik lelakiku Shiv Narayan terpaksalah pergi
sekolah kemudian hari untuk mempelajari bagaimana membaca dan mengira. Ibu
pernah berkata, kami anak-anak perempuannya tidak perlu belajar semua itu
melainkan cara mengisar gandum, membuat capati, mencangkul rumput, mengibas
rumput untuk makanan ternakan dan mengambil air di telaga. Tetapi, ibu kerap
memberi amaran agar mempelajari satu perkara penting, iaitu menjauhkan diri
daripada bahaya. Dia pernah memberi amaran kepadaku betapa aku akan terjebak
dalam bahaya satu hari nanti, dan aku kerap memikirkan apakah sebenarnya
bahaya itu. Tentulah perkara itu sesuatu yang dahsyat kerana mata ibu
menggambarkan sesuatu yang menakutkan setiap kali dia menyebutnya.
Dan seperti Tuhan, bahaya itu ada di mana-mana.....
Aku percaya bahaya yang disebut oleh ibu itu terletak di satu selekoh
sungai. Ibu menegah sekeras-kerasnya bermain di sana tanpa kebenarannya.
Lagipun kami ditegah untuk menggunakan jalan pintas ke situ. Jalan pintas
itu merentas kebun Pradhan yang terletak di belakang rumah beliau dan di
situlah persimpangan di mana Sungai Nadi bertemu dengan Sungai Yamuna.
Bahaya di situ memang nyata kerana adanya anjing-anjing garang peliharaan
Pradhan yang sengaja dilepaskannya untuk mengejar sesiapa yang menceroboh
kawasan ladangnya. Kalaulah kami mahu juga menggunakan jalan pintas itu kami
terpaksa berlari dengan cepat. Tetapi aku memang boleh lari pantas, memanjat
tembok dan terjun menyelamatkan diri ke dalam sungai yang dalam airnya.
Aku memang sudah menghentikan khidmat kepada Pradhan sejak dia menampar
pipiku gara-gara meminta sepotong buah mangga yang menyelerakan. Pradhan ini
merupakan ketua kepada semua ketua kampung daerah situ. Nama sebenarnya
ialah Kisna, (tetapi orang panggil gelarannya sahaja). Dia memang kaya dan
seperti juga Paman Bihari dia tidak membuat sebarang pekerjaan. Dia sentiasa
duduk mencanguk di atas khatnya, di hadapan halaman rumah sambil
memerhatikan wanita kampung lalu lalang dalam perjalanan mereka ke sungai.
Pradhan Kisna ini sontot sahaja orangnya dan gemuk pula. Dia mempunyai leher
yang disaluti lemak yang tebal dan matanya adalah laksana mata ayam,
sentiasa berwaspada dan bersinar pula.
Beliau sentiasa berada di hadapan rumahnya itu memerhatikan kami melintas di
situ dan anak-anak lelakinyapun mengikut perangai bapa mereka. Setiap kali
seorang wanita berlalu di depan mata, mereka akan menyindir; "Ah, alangkah
cantiknya!" Mereka berteriak. "Singgahlah dulu! Marilah!"
Si Pradhan ini pernah mencuba mempengaruhi wanita datang ke bahagian
belakang rumahnya, atau ke bahagian jauh di Sungai Yamuna. Itu sebabnya ibu
menegah kami mandi di tempat itu sendirian, di selekoh sungai itu ataupun
sengaja meredah kebunnya. Ibu terlalu kerap runsing kalau-kalau Pradhan akan
menangkap anak perempuannya ataupun bahaya itu mengenai anaknya. Tidak lama
lagi Rukmini akan berkahwin dan akan meninggalkan kami. Tentu sekali dia
faham sangat akan jenis bahaya yang ibu sebutkan itu. Apabila aku
bertanyakan perkara itu, jawapannya hanya setakat; "Seorang gadis tidak
seharusnya bercakap dengan orang lain melainkan bapanya ataupun suaminya,
Phoolan! Seandainya seorang lelaki mengambil seorang gadis tanpa
mengahwininya, bererti gadis itu tidak menjadi milik seorang lelaki sahaja,
sudah tentu tidak ada seorang lelaki pun yang mahu memperisterikannya lagi."
Memang susah memahami perkara ini..... kalaulah seorang gadis menyeberang
sungai itu dengan Pradhan ataupun salah seorang anak lelakinya apakah itu
bermakna dia akan dibantai oleh semua orang kerana dia adalah milik semua
orang? Rukmini memahami banyak perkara yang masih baru kepadaku. Dia sudah menjadi
seorang gadis sunti bertaraf wanita untuk beberapa tahun. Ayah telah
menguasainya sejak dia berusia antara empat belas hingga lima belas tahun,
kerana selepas itu orang lelaki memang ditegah untuk mendekatinya. Dia kerap
berada di sisi ibu semasa membuat kerja rumah ataupun ketika bekerja di
ladang. Seperti gadis lain yang seusia dengannya, ibu tidak lagi
membantainya. Rukmini memang sentiasa sibuk dengan masakannya dan kami
jarang sangat berbual-bual. Sebaliknya saya bermain-main dengan adik saya
Choti sambil menjaga bayi kecil, Bhuri.
Hampir setahun sudah berlalu, Bhuri adik kecilku masih bernyawa lagi. Dia
lahir dulu pada bulan 'Kartik', itulah musim daun gugur ketika kami mula
membuat kerja-kerja membajak ladang kachwari, selepas itu terpaksalah kami
menunggu enam bulan pula untuk musim tengkujuh selesai. Barulah kami boleh
usahakan tanaman kami itu. Untuk sementara itu, kami memang kekurangan bahan
makan, sehinggakan ibu dan ayah menyangka Bhuri akan mati kelaparan. Ibu
tidak mahu ambil kisah akan bayi perempuan yang kecil ini kerana dia sudah
menganggapnya sebagai mulut yang berlebihan untuk disuapkan. Ibu memang
tidak boleh ambil pusing sangat kerana dia sibuk dengan kerja-kerja di
ladang sepanjang hari. Tetapi, Bhuri mampu terus melayari hidup musim sejuk
sehinggalah munculnya musim bunga. Walaupun tidak mati kelaparan, dia kerap
menangis. Dia makan bubur yang dibuat daripada sekoi dan tidak lama lagi,
tentu dia boleh memakan capati. Apabila sebuah keluarga miskin mempunyai empat orang anak perempuan, ia
dianggap sebagai satu nasib yang malang. Di kampung itu ada orang berkata
sebuah keluarga yang ceria seharusnya mengandungi seorang anak gadis dan
empat orang anak lelaki. Anak lelaki menerima rupee apabila mereka
berkahwin. Itulah bayaran dauri yang mereka terima daripada pengantin
perempuan. Anak perempuan bererti terdapat empat mulut untuk disuap makanan.
Subuh pagi adalah waktu yang paling menyeronokkan untuk aku. Waktu itulah
Choti menemaniku bertemu kawan-kawan untuk bermandi-manda. Nun jauh di
hujung ladang, wajah mantari mula naik sedikit demi sedikit, keluar daripada
garisan ufuk selepas semalaman ia menyorok. Terpancarlah sinar yang lembut
warnanya, menyinari tebing sungai yang curam dan berpasir. Langit di atas
tetap kebiruan dan udara masih kelihatan segar untuk dihidu, belum dicemari
warna keperangan yang dibawa debu. Sungai itu memang lebar, kerana itu ibu selalu memberi ingatan agar kami
mandi di tepiannya sahaja dan tidak mandi di kawasan air yang dalamnya
melepasi lutut. Cara bermandian dengan peraturan ibu itu bererti saya perlu
menyauk air sungai dengan tangan untuk membasahi badan bagi merasai
kesegaran air sungai. Setiap kali aku menyauk air sungai, akan
terngiang-ngiang pesanan ibu mengenai Pradhan. Kami tidak dibenarkan
bercakap dengannya walaupun dia kelihatan mengendap kaum wanita yang
mandi-manda di selekoh sungai itu. Lorong yang menghala ke sungai memang
terlalu rapat dengan belakang pintu rumahnya. Kalau kita alpa memang mudah
dia menangkap kita. Kerana itu kami kerap pergi awal sebelum dia menggosok
tahi matanya. Aku memng gemar mandi dan memang seronok menghabiskan masa bermain dengan
adikku Choti dan kawanku Ram Dhakeli dalam sungai itu. Kami memang mengongsi
usia yang sama, cuma kulitnya lebih cerah daripada warna kulitku. Dia
menjadi seorang sahabat yang rapat sejak dia datang berladang di kachwari
apabila ayahnya, seorang tukang besi meninggal dunia. Waktu itu Ram Dhakeli
mungkin berusia sekitar sembilan tahun.
Pada satu pagi, ketika kami berbaring di atas pasir di tebing sungai, sambil
menunggukan pancaran suria memanaskan badan yang kesejukan, Ram Dhakeli
telah menceritakan apa sebenarnya yang telah berlaku.
"Si jahanam Paradhan itu telah membunuh bapaku!" Katanya.
Ibu Ram Dhakeli adalah seorang wanita yang cantik dan menawan, mempunyai
warna kulit yang cerah seperti anaknya. Orang lelaki memang suka akan
perempuan yang berkulit cerah. Begitulah, setiap kali Pradhan memerhatikan
ibu Ram Dhakeli, matanya naik buntang dan bersinar-sinar untuk satu ketika.
Ayam jantan yang sontot ini memang gemar memerhatikan ibu Dhakeli dan pada
satu hari ketika mengheret seekor lembunya ke sungai, satu tragedi telah
terjadi. Lembu jantannya itu telah meronta untuk lari memasuki ladang
kepunyaan Pradhan. Belumpun lembu itu sempat melakukan sebarang kerosakan
ataupun memakan sesuatu dalam ladang itu, ibu Dhakeli telah berjaya
menangkap lembu itu untuk keluar dari situ. Tetapi, orang gaji Pradhan
mempunyai perangai yang serupa dengan tuan mereka, sentiasa mengendap orang
lain. Mereka memanggil nama Pradhan laksana anak ayam yang ketakutan,
'Kisna! Kisna! Tengok....' Setelah melihatkan isteri tukang besi itu cuma bersama lembu jantannya,
beliaupun sedar wanita itu bersendirian. Ini merupakan sesuatu yang ganjil
kerana wanita itu kerap ditemani suaminya. Memang sudah lama Pradhan berniat
mengajak wanita itu memasuki rumahnya dan dia memang tidak boleh mengajaknya
secara paksa. Setiap kali wanita itu melalui rumah Pradhan bersama
teman-temannya ke sungai itu, dia kerap berjalan pantas tanpa menyahut
sapaannya, dan menutupi kepalanya dengan hujung sari.
Pradhan telah keluar dari rumahnya dan cuba menyekat perjalanan wanita itu,
sambil menggentel hujung kumisnya. Sambil menyebut betapa cantiknya wanita
itu, dia telah menuntut gantirugi kerana ibu Dekhali membiarkan lembu
jantannya merayau di ladangnya. Ram Dhakeli ada di rumah pada hari itu. Dia menceritakan betapa marah
ayahnya mendengar cerita ibunya sekembalinya daripada rumah Pradhan. Tukang
besi itu telah memberanikan dirinya pergi menemui Pradhan untuk membantah,
tetapi Pradhan telah memanggil orang-orang yang menjaga keselamatannya pula.
Ram Dhakeli dan ibunya telah mengekori ayah beliau pergi berjumpa Pradhan
dan menyaksikan segalanya. Mereka dapat melihat bagaimana orang-orang
Pradhan telah membantai tukang besi itu dengan batang (lathi) buluh,
sehinggakan tukang besi itu terbaring di tanah, mukanya tersembam dalam
debu-debu laman yang berwarna merah manakala kurta panjang yang dipakainya
berlumuran darah. Ram Dhakeli terkejut dan terus berlari ke rumahnya kerana
takut. Ayahnya tidak bergerak lagi ketika itu, sudah menjadi kaku. Kemudian,
ahli keluarganya telah datang mengusung badan tukang besi itu dengan
menggunakan khat. Dia meninggal dunia keesokan harinya.
Kalaulah ayahnya masih hidup lagi, Ram Dhakeli tidak perlu membanting tulang
di ladang. Sebagai seorang tukang besi, ayahnya itu mempunyai pendapatan
yang lumayan sehinggakan tidak perlu menghambakan dirinya kepada orang lain.
'Sekarang ini ibu terpaksa memencilkan diri di rumah paman sehingga ada
orang lain yang sanggup menjadi suaminya. Sedangkan aku menjadi seorang
pekerja ladang,' katanya. Kami terus berbaring di atas tebing yang berpasir itu, sambil memerhatikan
peraliran arus sungai yang sungguh tenang. Aku fikir, Tuhan mungkin sudahpun
mengambil abu-abu mayatnya. Unggun api yang membakar mayatnya dulu memang
sungguh tinggi. Aku menghabiskan masa yang panjang memerhatinya dari halaman
rumahku satu hari dulu. Apabila aku bayangkan cara ayah Dhekali dipukul oleh orang-orang Pradhan,
darah panas aku telah naik menggila. Aku pernah menyaksikan Pradhan itu memukul seorang nelayan yang semalaman
menebar jala mencari ikan, tetapi berjaya mendapat seekor ikan sahaja. Dalam
perjalanan pulang dengan hasil tangkapannya dia terserempak dengan Pradhan
yang mahukan ikannya itu. Nelayan itu cuba menyorokkan ikannya tetapi sudah
terlambat. "Apa yang engkau tangkap, adalah hak aku," kata Paradhan.
"Tolonglah Kisna!," rayu nelayan itu. "Ini sahajalah ikan yang dapat aku
tangkap untuk makanan keluargaku. Cuma satu ekor sahaja sedangkan anak
biniku ramai!" Pradhan naik angin dan memukul nelayan itu. Kami lari ketakutan menyorok di
rumah. Setiap kali dia memukul orang eloklah kita menyembunyikan diri. Tidak
ada sesiapa yang sanggup membantah ataupun membantu kerana merekapun akan
dibantainya. "Kalaulah sesiapa memukul bapak sehingga mati, aku akan tuntut bela dan
mematahkan segala tulangnya!" aku menjerit demikian, tidak kiralah kalau
jeritan itu didengari oleh Pradhan.
Ram Dahkeli merupakan seorang anak yang patuh, lebih baik daripada aku. Dia
tidak berbuat sesuatu yang tidak menentu ataupun buruk-laku dan ibunya yang
tidak pernah memukulnya. Aku suka melihat beliau mengering rambut dan
membuat tocang. Dia mempunyai tangan yang menawan yang bersinar laksana emas
disepuh mentari. Lengan aku pula kecut dan gelap gelita laksana malam yang
tiada bintangnya. Aku memujuk Ram Dhakeli agar tidak gundah gelana kerana
sudah pasti ada lelaki yang akan memperisterikan dan menjaganya.
"Phoolan, kalaulah bapamu meninggal ketika kamu belum bersuami, tentu sukar
keluargamu menyediakan dauri untuk perkahwinan kamu," demikian keluh Ram
Dhekil pada satu hari. "Paman-pamanku terpaksa menyediakan dauri untuk
membayar lelaki yang sanggup mengahwini ibuku," katanya lagi.
Aku tidak dapat bayangkan Paman Bihari menyediakan rupee untuk perkahwinan
kakak Rukmini. Aku memberitahu Ram Dhakeli niatku keluar daripada kampung
yang aku fikir adalah satu sialan kepada kami.
"Kamu hendak ke mana, Phoolan?" Tanya Ram Dhakeli.
"Banyak lagi kampung lain di sepanjang Yamuna. Ayah pernah bekerja di semua
kampung itu Setiap kali dia membut khat ataupun bangku, ayah menjualnya di
kampung-kampung itu. Aku tahu masih banyak kampung yang lebih besar lagi
yang mempunyai lampu menghiasi pokok mereka."
"Semua itu bukan untuk kita," jawab Ram Dhakeli, sambil menggelengkan
kepalanya. "Ibuku datang daripada kampung ayahnya. Satu hari nanti kamu akan
pergi ke kampung suami kamu. Itu pun akan serupa di sini juga. Takkan kau
boleh pergi sendirian ke kampung orang. Seorang gadis tidak boleh pergi ke
mana-mana, sendirian dan sesuka hati!"
Choti telah mendengar perbualan kami dan bertanya, "Apakah Rukmini akan
tinggalkan kita untuk menetap di kampung lain?"
"Begitulah kata Amma, tetapi bukan sekarang. Akan ada majlis suka-suka di
hari perkahwinan kakak kita. Mempelai lelaki akan muncul menunggang kuda
dengan ahli keluarganya. Mereka akan menari dan membawa rupee untuk dia dan
kemudiannya berundur semula pulang ke kampung mereka."
Choti mendegarnya dengan penuh kehairanan.
Terjemahan: SPAR 10 |