Laman Webantu KM2A1: 5153 File Size: 4.5 Kb * |
BH: Perhimpunan Agung Pemuda MCA kecoh By Berita Hairan 4/8/2001 11:18 pm Sat |
[Rencana ini memang elok disiarkan kerana inilah teladan terbaru
dari MCA mengenai keharmonian hubungan kaum sesama sendiri. Ada satu
gambar di siarkan di rencana Berita Harian tersebut tetapi nota di bawah
gambar tersebut (caption) tersasul sedikit.
- Editor]
Perhimpunan Agung Pemuda MCA kecoh
KUALA LUMPUR, Jumaat - Perhimpunan Agung Pemuda MCA ke-38
di Hotel Flamengo di sini hari ini, kecoh dan dicemari beberapa
kejadian termasuk panggilan bom palsu dan pergaduhan.
Kejadian pertama membabitkan panggilan bom palsu yang diterima
seorang telefonis di hotel berkenaan, kira-kira jam 10.05 pagi.
Keadaan semakin kecoh apabila bau busuk menyelubungi seluruh
dewan itu hingga memaksa pasukan keselamatan yang bertugas,
mengarahkan semua perwakilan keluar. Berikutan itu, mesyuarat yang sepatutnya bermula setengah jam selepas
dirasmikan Timbalan Presiden MCA, Datuk Lim Ah Lek, terpaksa
ditangguhkan bagi membolehkan polis menjalankan pemeriksaan.
Bagaimanapun, pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Gombak
dengan bantuan Unit Pemusnah Bom, mengesahkan panggilan itu palsu
dan perwakilan dibenarkan masuk semula ke dewan.
Namun, mesyuarat itu sekali lagi kecoh apabila beberapa perwakilan,
dipercayai penyokong Setiausaha Agung Pemuda MCA, Senator Yew
Teong Look, membuat bising sebaik saja speaker Lim Hong
Chong membacakan atur cara perhimpunan.
Sambil meniup wisel, penyokong terbabit menjerit meminta Lim diganti
dengan orang lain kerana mendakwa beliau memihak kepada satu
pihak. Keadaan menjadi tegang apabila seorang perwakilan meluru ke meja
utama dan cuba mengambil mikrofon di hadapan Ketua Pemuda MCA,
Datuk Ong Tee Keat. Bagaimanapun, Ong dengan pantas
menghalangnya dan meminta perwakilan berkenaan bertenang.
Ketika Ong cuba menenangkan keadaan, seorang lagi perwakilan yang
juga pipercayai penyokong Yew meluru ke arah Lim dan cuba
merampas mikrofon di depannya. Tindakan itu menyebabkan beberapa pengawal keselamatan terpaksa
melindungi Lim dan mengawal keadaan. Pada masa yang sama,
penyokong Ong pula bangun dan campur tangan hingga mencetuskan
kejadian tumbuk menumbuk. Kejadian itu berlanjutan kira-kira 20 minit hingga memaksa Lim
membenarkan Yew berucap bagi mententeramkan keadaan.
Bagaimanapun, tindakan itu tidak disenangi sebahagian besar
perwakilan dan keadaan menjadi lebih tegang apabila penyokong
kedua-dua pihak bertindak liar dan membaling kerusi serta fail atur cara
perhimpunan. Kejadian itu berterusan selama lima minit hingga memaksa Ong
mencabar pasukan keselamatan yang gagal mengawal keadaan,
meletakkan jawatan. Cabaran itu disahut beberapa pengawal keselamatan yang bertindak
menanggalkan pakaian keselamatan sebelum keluar dewan. Berikutan
itu, Ong terpaksa meminta bantuan polis membawa keluar perwakilan
yang masih membuat bising. Tindakan polis membawa seorang perwakilan itu keluar pula tidak
disenangi Yew dan penyokongnya yang mengambil keputusan
memulaukan perhimpunan itu. Ekoran kejadian itu, perhimpunan yang disambung semula selepas
keadaan reda, meluluskan resolusi tergempar memecat Yew dan Naib
Pengerusi Pemuda MCA Loo Sing Kok yang juga Setiausaha Politik
Menteri Pengangkutan merangkap Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ling
Liong Sik. Resolusi itu diluluskan apabila 730 perwakilan mengangkat tangan
menyokong pemecatan Yew dan Loo, 19 membantah manakala 13 lagi
berkecuali. Ong ketika ditemui berkata, beliau tidak menolak kemungkinan insiden
itu bertujuan mensabotaj dan menggagalkan perhimpunan itu.
'Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk kita membuat sebarang
andaian,' katanya. |