Laman Webantu KM2A1: 5164 File Size: 14.2 Kb * |
Detik: Perlukah UEM-Renong Diselamatkan? By Prof Jomo KS 6/8/2001 10:25 pm Mon |
DetikDaily http://detik.daily.tripod.com/ogosa/6ogos_2.htm
Apakah harta Umno itu patut diselamatkan dengan
menggunakan wang orang ramai? Wawancara dengan Prof Dr JOMO KS, pakar ekonomi dan pensyarah di
Universiti Malaya, pada 26 Julai 2001, oleh Dinsman.
JOMO: Saya melihat pengambilalihan itu dari dua sudut. Satu, kita mesti
ingat bahawa sebelum ini sudah berlaku sekurang-kurangnya empat usaha
untuk menyelamatkan bukan Kumpulan Renong tetapi Tan Sri Halim Saad.
Bermula dengan perlanjutan tempoh konsesi tol Lebuhraya Utara-Selatan
selama lima tahun, yang mendatangkan keuntungan dan pendapatan
tambahan kepada UEM, dan dengan sendirinya meningkatkan nilai UEM.
Yang kedua, beberapa hutang peribadi telah diambilalih oleh Danaharta,
termasuk hutang sebanyak hampir RM3 bilion daripada empat bank Malaysia
untuk membolehkannya membeli dan mengambilalih National Steel
Corporation di Filipina. Yang ketiga dan paling terkenal ialah penggunaan wang pencen dan KWSP
untuk membeli saham Time dotCom dengan harga yang agak tinggi, apabila
orang ramai tidak berminat nak membeli saham itu. Malah 75% daripada
saham yang ditawarkan telah diperolehinya dengan cara ini. Dan ini
membolehkannya menyelesaikan beberapa hutang Time Engineering dan
sebagainya. Yang keempat ialah apabila beberapa LRT diambilalih oleh pihak kerajaan,
tetapi sekarang tidak dipersetujui harganya. Sewaktu Tun Daim masih
menjadi Menteri Kewangan dulu ada tawaran yang cukup lumayan terhadap
PUTRA dan STAR, tetapi sekarang Dr Mahathir telah mempersoalkannya
dan mungkin dikurangkan nilai itu. Jadi kita dapat lihat bahawa memang apa yang ditawarkan kepada Halim ini
tidak sebanyak apa yang diharapkan oleh Halim dan rakan-rakannya, dan
mungkin juga apa yang diharapkan oleh Tun Daim. Ini mungkin merupakan
satu tanda ada perselisihan antara Mahathir dengan Daim, dan perselisihan
itu terus berkembang; ataupun ia hanya mencerminkan bahawa orang yang
menguruskan langkah yang terbaru ini mungkin orang yang memusuhi Daim
- yang selama ini ditekan oleh Daim dan sekarang mereka berpeluang untuk
membalas dendam. Apa yang sedang berlaku sekarang nampaknya beberapa orang Daim sudah
tidak diharapkan dan dipercayakan lagi untuk menjaga kepentingan Mahathir.
Barangkali akan diganti. Tetapi kos untuk mengambilalih ini cukup tinggi.
Setakat ini lebih daripada RM3 bilion - untuk mengambilalih saham UEM.
Tetapi kebanyakan waran UEM mungkin tidak akan didapat balik dengan
cara ini. Kalau kita tengok harga hari ini (26/7/01) misalnya, walaupun
tawaran hanya 40 sen, harganya tadi 49 sen. Orang merasa bahawa harga
yang ditawarkan oleh kerajaan itu tidak berpatutan, dan mereka boleh bawa
ke mahkamah. Jadi, proses pengambilalihan ini mungkin tidak akan berjalan
dengan lancar. Satu lagi, ramai orang kata, oh ini satu langkah yang hebat dan ini
menunjukkan bahawa pasaran berjalan dengan baik. Sebenarnya apa yang
berlaku ini jelas menunjukkan bahawa restu daripada pemerintah, terutama
Mahathir, penting untuk segala urusniaga yang besar di Malaysia.
Gambaran yang dilaporkan dalam media massa adalah bertentangan dengan
kenyataan. Sebenarnya agak sukar untuk menilainya. Ada banyak perkara boleh
ditimbulkan. Saya nak timbulkan dua perkara. Satu, apakah perlu UEM
diselamatkan? Dikatakan oh UEM dan Kumpulan Renong mesti diselamatkan
kononnya supaya orang tidak dibuang kerja.
Sebenarnya dalam kegiatan-kegiatan tertentu, mereka yang bekerja di situ
boleh terus bekerja. Misalnya lebuhraya Utara-Selatan. Sama ada UEM
muflis atau tidak, lebuhraya Utara-Selatan tidak akan hilang. Mesti ada
orang untuk menguruskannya. Itu sebenarnya satu alasan atau dalih yang
digunakan untuk cuba meyakinkan orang ramai tentang perlunya wang rakyat
digunakan untuk menyelamatkan syarikat yang sebenarnya dikuasai secara
tidak langsung oleh Umno. Ini penting kita ingat - bahawa kumpulan Renong, yakni 11 syarikat yang
tersenarai dalam BSKL, ini bukan sebarang kumpulan. Ini adalah harta
Umno. Jadi, wang rakyat digunakan untuk menyelamatkan harta Umno,
bukan sangat menyelamatkan Halim, kali ini.
Kalau dulu memang Halim yang diselamatkan. Kali ini bukan Halim, tapi harta
Umno yang diselamatkan. Apakah harta Umno itu patut diselamatkan
dengan menggunakan wang orang ramai?
Katakan ada satu syarikat yang ada banyak anak syarikat. UEM misalnya ada
Plus dan lain-lain lagi. Mungkin kerugian besar satu anak syarikat
menyebabkan kumpulan itu muflis, sedangkan syarikat-syarikat lain masih
menguntungkan. Apabila syarikat itu muflis, tidak ada sebabnya syarikat-syarikat yang lain
mesti ditutup. Malah prosedur untuk mengurus kemuflisan membolehkan
syarikat-syarikat yang sihat terus berurusniaga. Yang takut ialah mereka
yang mendapat gaji enam-tujuh angka. Mereka ini yang akan kehilangan.
Bukan pekerja yang mengutip tol di Plaza Sg Besi atau di Bukit Kayu Hitam.
Ini gambaran untuk mengelirukan orang ramai bahawa rakyat terpaksa
berkorban untuk menyelamatkan pekerjaan mereka.
Kumpulan Renong masih ada banyak harta. Ada orang anggarkan hartanya
bernilai RM18 bilion. Harta itu boleh dijual, dan boleh dibeli oleh kerajaan
atau oleh mana-mana pihak. Misalnya lebuhraya Utara-Selatan dulu dimiliki
oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). Apa sebabnya LLM tidak
mengambilalih balik lebuhraya itu? Ini sebagai satu contoh.
Tetapi penthouse-penthouse untuk pengurus besar itu mungkin akan hilang.
Begitu juga private jet untuk Tan Sri-Tan Sri. Tetapi apakah perlu private jet
itu untuk adanya lebuhraya Utara-Selatan?
Itulah yang saya kata, mereka ini seolah-olah tidak mengenal sejarah. Kalau
kita nak faham kenapa Kumpulan Renong-UEM hutang keliling pinggang -
ialah kerana langkah-langkah yang disahkan dan direstui oleh Mahathir
selama ini. Hutang sebanyak hampir RM30 bilion itu bukannya turun dari langit. Ia
adalah akibat daripada urusniaga yang disahkan oleh Mahathir, mungkin di
bawah arahan Daim, tetapi Mahathir selama ini hendakkan urusniaga seperti
itu. Jadi bila ada krisis dan mereka tak dapat selesaikan hutang, langkah-langkah
awal adalah lebih banyak untuk selamatkan Halim daripada selamatkan
kumpulan itu. Memang boleh dikatakan kepentingan Kumpulan dan Halim,
dalam beberapa hal mungkin serupa, tetapi dalam beberapa hal ia lebih
menyelamatkan Halim. Tetapi yang terbaru ini nampaknya kurang menjaga
kepentingan Halim, lebih menjaga Kumpulan Renong dan mereka yang di
sebalik Halim, iaitu Umno. Kononnya Umno tidak ada harta lagi, tetapi semua
orang tahu dan Halim sendiri mengaku berkali-kali -- dia pemegang amanah
bagi Umno. Tetapi dia tidak lagi mendapat amanah daripada pimpinan Umno
sekarang, sebab Bendahari Umno sudah bertukar dan sebagainya. Ini adalah
keadaan yang baru timbul. Memang ramai orang yang selama ini marah
dengan kuasa Daim, mengalu-alukan langkah ini dan mengharapkan ia
bermakna kuasa-kuasa pasaran kononnya yang akan berkuatkuasa tanpa
campur tangan daripada pemerintah. Tetapi sebenarnya langkah ini jelas
menunjukkan bahawa akhirnya yang menentukan adalah pemerintah.
Beberapa tulisan dalam akhbar, termasuk kolum Salleh Majid sendiri hari ini,
mengatakan bahawa selama ini saham UEM-Renong ini seolah-olah menjadi
halangan atau gangguan dalam pasaran saham. Sebab itu mereka
mengalu-alukan langkah kerajaan ini. Saya kurang faham.
Ada dua sebab. Satu, kerana masalah Kumpulan Renong ini masalah besar,
melibatkan hutang pada awalnya barangkali hampir RM30 bilion. Sekarang
dikatakan RM13 bilion, tetapi menurut perhitungan kawan-kawan saya lebih
daripada RM20 bilion, yang masih belum selesai. Jumlah hutang itu bukan
kecil. Banyak, dan melibatkan 11 syarikat.
Syarikat-syarikat itu adalah antara yang terbesar dalam BSKL. Jadi selagi
syarikat-syarikat ini terus menanggung beban hutang, masalah mereka tak
selesai, ini menjadi satu halangan, umpama satu bangkai yang dipikul oleh
BSKL. Sebelum krisis kewangan 1997 pelabur-pelabur asing banyak melabur dalam
syarikat-syarikat seperti Renong. Apabila mereka tidak minat atau khuatir
tentang masa depan Kumpulan Renong, termasuk 11 syarikat yang
berkaitan, memang sukar untuk pasaran berjalan lancar. Ini adalah sebabnya
Mahathir dan orang-orangnya sekarang berusaha untuk meningkatkan
keyakinan orang ramai, terutama sekali pelabur, termasuk pelabur asing,
untuk melabur semula. Kita tidak patut lupa bahawa salah satu sebab Malaysia terdedah kepada
krisis 1997-98 bukan kerana kita banyak hutang di luar (seperti Thailand,
Indonesia dan Korea), tetapi kerana ada banyak pelabur asing memegang saham dalam
BSKL. Bila keyakinan mereka hilang, mereka keluarkan modal mereka, dan
pasaran saham kita jatuh. Antara semua ekonomi di rantau ini, pasaran saham kita yang jatuh paling
teruk. 80 peratus, kalau dibandingkan antara Februari 1997 hingga
September 1998 - tempoh selama 18 bulan. Kita jatuh lebih daripada 80%.
Tidak ada ekonomi lain yang jatuh lebih daripada kita.
Soalnya sekarang, apa yang dipercayai oleh penganalisis dan pelabur?
Apakah mereka terbawa dengan laporan dalam media massa tempatan yang
memuji walau apapun yang dibuat oleh kerajaan? Setakat ini nampaknya
langkah itu dapat meyakinkan setengah penganalisis dari luar. Dan ini
mungkin merupakan satu kejayaan bagi kelompok Mahathir.
Tetapi pada waktu ini belum ada tanda apakah pelabur-pelabur asing
benar-benar yakin atau tidak. Yang anehnya pula selama ini kononnya kita
nasionalis, kita menentang Barat, kita menentang pelabur asing dan
sebagainya. Tetapi sebenarnya tumpuan utama strategi kerajaan sekarang
adalah untuk menarik balik pelabur-pelabur asing itu.
Bila berlaku pengambilalihan Renong ini, ada orang kata tak ada bezanya -
dulu Daim mengambilalih MAS, selamatkan Time dotCom dan swastakan Pos
Malaysia. Jadi, kalau Daim lagi terus mengambilalih Renong, orang akan
marah. Tetapi bila Mahathir yang buat, orang tak marah.
Setakat ini, pada hemat saya, konflik antara Mahathir dengan Daim ini tidak
boleh diumpamakan seperti konflik dendam Mahathir terhadap Anwar.
Barangkali Daim mempunyai banyak rahsia Mahathir dan sebaliknya, jadi
mereka tidak akan berani untuk menghadapi risiko satu pertempuran antara
dua kumpulan ini. Dan nampaknya Daim sanggup berundur, tidak lawan.
Kalau ini berterusan, mungkin Mahathir tidak akan ambil tindakan. Tetapi
kalaulah orang Daim mula lawan, mungkin keadaan tidak akan dapat dikawal.
Tetapi setakat ini saya tidak nampak ada tanda-tanda penentangan
kelompok Daim terhadap Mahathir, yang akan membawa kepada
pertempuran. Tetapi keadaan ini boleh berubah. Misalnya semalam ada
cakap-cakap mengatakan Halim akan menentang pengambilalihan ini.
Oh ada berita begitu? Memang ada, tetapi kita tak boleh pegang sangat. Kerana ramai orang
menjangka dia akan menentang, kalau dia tidak menunjukkan protes orang
akan kata ini betul satu sandiwara. Jadi mungkin dia terpaksalah mengatakan
? macam Tajuddin dulu, bila MAS diambilalih daripada dia dengan harga lebih
dua kali ganda harga pasaran, dia kata oh saya terpaksa berkorban banyak
dan sebagainya. Mungkin ada sandiwara yang seumpama itu lagi. Tetapi kalau tidak ditangani
dengan cermat oleh mereka, apalagi memandangkan ramai orang di keliling
Mahathir cukup dendam dengan Daim dan orang-orang di sekeliling Daim,
keadaan ini mungkin tidak boleh dikawal.
Sebab, yang mereka rebut ini bukan sebarangan. Mereka rebut harta yang
boleh dikatakan puncak-puncak emas di atas gunung ekonomi Malaysia.
Kalau kerajaan membayar lebih daripada RM3 bilion untuk menguasai syarikat
yang berhutang lebih daripada RM20 bilion, kalau kitalah, tentu kita nak jual.
Tidak, sebab dia masih berhutang banyak. Setengah daripada hutang itu
hutang peribadi, bukan hutang syarikat. Jadi dia tidak akan dapat bersih.
Tetapi ia boleh dikatakan "golden handshake". Dia tidak akan
dipapa-kedanakan. Bukan seperti setengah orang yang dekat dengan
Anwar misalnya, yang nasib mereka lebih teruk. Halim mungkin akan
mendapat beberapa ratus juta. |