[Banyak pemimpin yang agung berhijrah atau berpindah dan Nelson
Mendela tidak terkecuali merasai fenomena ini. Banyak ugama dalam
dunia ini mengajak umatnya berjalan meninggalkan kampung halaman
untuk memerhati sesuatu kerana ada banyak pengajaran yang dapat
diperolehi dari perjalanan itu. Ini antara lain bertujuan untuk
mengajak minda yang beku itu berjalan sama. Malah Mendela menulis
buku ini juga bertujuan agar minda pembaca turut berjalan ....
Ini adalah kerana setiap pejuangan itu adalah satu perjalanan.
Kita tidak akan sampai jika duduk berdiam. Berjalan itu akan
membuka fikiran jika tidak kita akan dapat mengecapi impian.
Ini termasuk membaca buku dan menimba ilmu juga sebab itulah banyak
ugama datang dengan kitab yang berisi kisah silam yang juga membincangkan
satu perjalanan.....
- Editor (dan itu juga panjang....)]
PERJALANAN YANG PANJANG
(Long Walk To Freedom)
Oleh: NELSON MANDELA
Satu Autobiografi
Terjemahan SPAR 11
BAB 3A
Pada satu malam ketika saya berusia sembilan tahun, tercetus satu suasana
yang mencemaskan. Ayah yang kebiasaan menggiliri para isterinya secara
berjadual dan mengunjungi kami untuk satu minggu setiap bulan, tiba-tiba
muncul mendahului jadualnya. Saya mendapati beliau sudahpun ada di pondok
ibu, berbaring terlentang di atas lantai, sambil terbatuk tanpa henti.
Walaupun muda ketika itu, adalah jelas pada pengamatan saya, ayah tidak
dapat bertahan lama. Dia sudah lama menderita penyakit peparu, walaupun
penyakit itu tidak disahkan oleh doktor yang pakar kerana ayah tidak pernah
membiarkan badannya diperiksa oleh orang yang lebih tahu. Ayah terlantar di
pondok ibu untuk beberapa hari tanpa bergerak ataupun berkata-kata
sehinggalah pada satu malam keadaan ayah menjadi semakin sengsara. Ibu yang
dibantu oleh isteri ayah yang paling muda, Nordayimani, bergilir-gilir
mengawasinya. Pada tengah malam itu ayah telah memanggil Nordayimani dan
berkata: "Bawakan tembakau aku!". Nordayimani berunding dengan ibu dan
mereka berpakat bahawa ayah tidak patut diberikan tembakaunya memandangkan
kesihatan yang semakin teruk. Tetapi ayah memang degil dan tegas mahukan
tembakaunya. Akhirnya Nodayimani mengambil paip ayah dan menyumbat tembakau
ke dalam paip serta menyucuh api untuk menghisapnya. Nordaymanipun
menyerahkan paip itu kepada ayah untuk dinikmatinya. Ayah menghisap paip itu
dengan penuh ketenangan. Selama satu jam dihabiskan menikmati hisapannya
itu. Ketika paip masih lagi menyala, diapun menghembuskan nafas terakhirnya.
Saya tidak pernah merasakan hiba dan sayu sebelum itu seperti mana saya
merasakan sesuatu terputus dalam hidup. Walaupun ibu adalah pusat hidup
harian, saya tetap menghormati hubungan dengah ayah. Kematiannya telah
menukar segala cara hidup saya di luar jangkaan hati muda ketika itu.
Setelah beberapa hari kami berkabung, ibu memberitahu saya bahawa sudah tiba
masanya kami meninggalkan Qunu. Saya tidak menyoal ibu apa sebabnya dan
tidak juga mahu tahu ke mana.
Saya telah membungkus apa juga barang persendirian yang ada dan pada satu
awal subuh pagi kami mulakan perjalanan ke arah barat menuju perumahan yang
baru. Saya merasa hiba ketika itu bukan semata mata kerana pergi
meninggalkan pusara ayah, tetapi lebih lagi kerana memikirkan terpaksa
meninggalkan segala harta dunia yang ada di Qunu. Itulah perkampungan yang
amat memaut hati saya kerana kasih sayang yang terpaut itu adalah satu
perasaan anak muda yang cinta kepada tanah perkampungannya. Sebelum kami
hilang di kaki langit, saya menoleh ke belakang melihatkan perkampungan itu
untuk kali terakhir. Masih jelas ketika itu pemandangan kampung yang biasa
yang menjadi penginapan orang kampung yang sentiasa sibuk dengan tugas
harian mereka, anak sungai yang mengalir dengan selamba tempat saya
bermandi-mandian bersama sahabat-handai dan saudara-mara; ladang jagung yang
luas dan padang ragut yang menghijau di mana segala ternakan hidup bebas.
Saya terbayangkan kawan-kawan sebaya yang memburu burung di pepohon yang
tinggi, bermandian di tasik yang wujud di kawasan pertembungan anak sungai.
Yang lebih penting lagi, mata saya terpaku kepada tiga buah teratak yang
sungguh selamba kewujudannya di mana saya telah menghayati kasih sayang
seorang ibu. Inilah tiga pondok yang dapat saya kaitkan dengan keriangan dan
kepuasan hidup ketika muda itu. Sayangnya saya terlupa untuk mengucup setiap
dinding teratak itu sebagai kenangan yang boleh disemadikan sepanjang hayat
sebelum melangkah pergi dari situ. Saya tidak dapat membayangkan apa pula
ragam dunia yang akan saya hadapi berbanding resam hidup yang pernah saya
lalui dan hayati di perkampungan yang amat bersejarah dalam hidup ini.
Kami berpindah itu dengan berjalan kaki dengan memendam perasaan sendiri,
diam membisu sehinggalah tersedar betapa mentari yang seharian memerhatikan
perjalanan kami sudah semakin sibuk seolah-olah menggamit sambil
mengundurkan wajahnya di sebalik kaki langit. Ibu memang tidak banyak
bercakap dengan saya, kerana kami tidak perlu semuanya. Saya tidak merasa
ragu akan kasih-sayang ibu, ataupun mempertikaikan sokongannya. Perjalanan
itu memang memenatkan, kerana jalan yang berdebu dan berbatu-batu, melalui
beberapa perkampungan yang tidakpun kami singgahi untuk merehatkan kaki.
Menjelang petang, nun di bahagian bawah lembah perkampungan yang dinaungi
rimbunan pokok yang lebat dedaunnya, kamipun sampai di satu kampung. Di
tengah-tengah kampung itu terletak satu rumah yang besar dan indah
bikinannya dan sungguh gah kelihatannya yang belum pernah kelihatan seperti
itu membuatkan saya terpesona melihatnya. Kompleks bangunan mengandungi dua
buah rumah berbentuk segiempat bujur yang disebut 'iingxande' dan tujuh buah
pondok besar ataupun 'rondavel' yang dicat putih kesemuanya, berkilauan
kerana pancaran mentari. Terdapat satu kawasan taman bunga yang luas dan
ladang jagung yang dipagari oleh pohon 'peach'. Di sebalik ladang itu ada
pula satu taman yang lebih luas lagi yang dipenuhi pokok epal, satu kebun
sayur yang dipagari barisan bebunga dan satu kawasan ternakan ayam-belanda.
Tidak berapa jauh daripada situ tersergam sebuah bangunan yang bersimen
dindingnya yang dijadikan sebuah gereja.
Dengan naungan dua pepohon gam yang melingkari gerbang pintunya terdapat
satu kumpulan sekitar dua puluh ketua kaum yang sedang duduk berunding di
dalamnya. Di luar kawasan terdapat pula sekitar lima puluh ekor lembu dan
lima ratus ekor kambing yang berkeliaran bebas. Semuanya kelihatan indah
kerana berjaya dan diselia, dan inilah gambaran satu kekayaan dan
ketenteraman yang jauh melepasi khayalan saya. Inilah dia Mqhekezwani,
dataran utama, yang merupakan ibu negeri Thembuland, dan merupakan mahligai
diraja Chief Jongintaba Dalindyebo, putera mahkota ataupun 'Regent' kaum
Thembu.
Ketika saya menikmati segala lambang kemegahan dan keindahannya satu
rombongan berkereta muncul masuk melalui pintu get ala-barat sehingga
menggerakkan orang yang duduk di dalam bangunan besar itu semuanya bergegas
memakai topi mereka dan berdiri sambil turut menyanyikan 'Bayete-a-a-a,
Jongintaba!' ('Dirgahayu Jongintaba'), yang merupakan salam kehormatan kaum
Xhosa untuk ketuanya. Apabila kereta diraja (jenis Ford V8 mengikut catatan
ilmuan, yang diberitahu kepada saya kemudiannya) berhenti, muncullah seorang
lelaki yang tampan rupanya dan berkumis wajahnya dengan pakaian yang lengkap
laksana orang barat. Saya dapat melihat betapa yakinnya manusia itu
menunjukkan dia mempunyai kuasa yang menjadi hiasannya. Namanya memang padan
sekali, kerana Jogintaba bermakna 'Perenung gunung-ganang', dan ketika itu
dia menjadi bahan renungan semua mata yang ada. Dia mempunyai kulit yang
berwarna gelap dan wajah yang memancarakan kebijaksanaan, dan terus
bersalaman dengan setiap ketua yang berbaris di sebuah pokok. Saya
diberitahu kemudiannya, tangan yang bersalaman dengannya itu adalah
hakim-hakim Mahkamah Tinggi Thembu. Inilah dia putera mahkota yang
kemudiannya menjadi penjaga saya dan seorang dermawan terhadap kebajikan
saya untuk dekad-dekad yang seterusnya.
Ketika melihatkan kemegahan majlis Jongintaba itu saya merasakan diri
seolah-olah sebatang pohon yang ditarik akar-umbinya daripada bumi dan
dicampakkan dalam sebuah anak sungai yang deras arusnya yang tidak mudah
saya gagahi. Saya merasakan satu semangat ketaksuban yang diwarnai
ketakjuban. Sebelum itu tidak pula ada sebarang keinginan besar kecuali
keseronokan sendirian, tanpa cita-cita yang tinggi, selain mendapat makan
secukupnya dan menjadi gagah dalam permainan pedang kayu. Saya tidak pernah
memikirkan masalah wang, darjat ataupun kemasyhuran ataupun kuasa. Tiba-tiba
satu dunia baru didedahkan di hadapan muka. Anak-anak daripada rumah miskin
mudah sangat menjadi terpesona kepada nafsu-nafsi tarikan kekayaan yang
berlimpahan. Sayapun tidak terkecuali dari tarikan itu. Saya mula merasakan
betapa segala kepercayaan lama dan kesetiaan kepadanya semakin menghilang
secara perlahan. Asas kepercayaan yang rapuh yang pernah ditunjangi oleh
ajaran ibu bapa saya semakin mereput. Pada ketika itu secara tiba-tiba, saya
terbayangkan satu cara hidup masa depan yang lebih meyakinkan daripada
menjadi seorang juara permainan pedang kayu sahaja.
....bersambung....
Terjemahan: SPAR 11
|