Laman Webantu KM2A1: 5173 File Size: 9.0 Kb * |
TJ SP MGG: Merit Dan Melayu UMNO By M.G.G. Pillai 7/8/2001 8:10 pm Tue |
[Meritokrasi adalah isu yang dirayu oleh Suqiu satu ketika dulu yang
ditentang hebat oleh Umno dan Mahathir sehingga dia melabel sebagai ekstrim
dan merbahaya. Kini tanpa malu-malu Mahathir menjilat kembali ludahnya
setelah menabur beberapa isu kecil VCD lucah dan black metal yang langsung
tidak ada kena mengena dengan soal merit sebenarnya. Gejala itu hidup
pegawai ugama seperti JAIS sudah diikat kaki dan tangan kerana politik
yang menentukan hala ataupun haram. Tidak ada contoh merit dalam Umno kerana projek dan permit yang diberi
tidak berdasarkan kebolehan berniaga tetapi lebih kepada keakraban dengan
pihak berkuasa. Mereka inilah yang istimewa sehingga tidak diapa-apakan
walaupun telah menjahanamkan sebuah bank milik bumiputra. Kalaulah memang
merit polisi Umno Renung tidak akan terhenyak dengan hutang yang menggunung
sebegitu rupa sehingga menyauk dana orang tua, memudaratkan ekonomi negara
dan tersebar seantero dunia. Jika Mahathir memang berwawasan orang seperti
ini tidak layak menerima projek penswastaan kerana menyusahkan negara sahaja.
- Editor] (Merit and the Malay Umno) Tidak ada yang menyerabuti otak seseorang pemimpin UMNO selain sewaktu dia
berada dalam keadaan yang peling tertekan. Tidak kiralah kalau pemimpin itu
seorang perdana menteri, seorang ketua bahagian ataupun seorang ketua
cawangan di Tumpat. Dia akan mengawal keadaan untuk menyungkupi ketakutannya
kepada semua yang ada. Seperti biasa, Mahathir Mohamad adalah ketuanya yang
paling pintar dalam muslihat itu. Tidak berapa dulu dia bertegas agar orang
Melayu menunjukkan keunggulan mereka di universiti. Jika tidak, mereka
tinggal kebelakang, seperti yang dikatakannya sedang berlaku kini. Inilah
katanya kesan keistimewaan yang diberikan kepada pelajar Melayu. Sekarang
ini penguat-kuasaan merit ataupun meritokrasi sahaja yang akan menyelamatkan
pelajar Melayu. Beberapa perkara kecilan ditarik masuk untuk membesarkan
keadaan: Blackmetal, penyembahan hantu dan syaitan di kalangan pelajar, VCD
porno dan apa juga yang dapat memperkasakan satu kisah yang memang tidak ada
asasnya. Secara tiba-tiba soal meritokrasi ataupun merit menjadi topik hangat sebagai
satu reaksi mendadak terhadap keresahan pelajar di kampus. Soalnya sekarang
perkara in tidak dinilai seperti yang sepatutnya. Kerajaan terlalu ghairah
mahu meminda perundangan sebaik sahaja Parlimen bersidang pada bulan Oktober
untuk mempastikan semua pelajar universiti dan para pensyarah menandatangani
perjanjian bahawa mereka tidak terlibat dengan kegiatan anti-kerajaan ketika
berada dalam kampus. Mahathir telah mengemukakan cadangan ini dengan cantik
sekali: "kalau pelajar tidak mahu belajar, kita tidak mengambil mereka
memasuki universiti." Menteri Pendidikan telah menambah pula: 'Adalah
penting agar semua pelajar diberikan ingatan yang tegas kerana mengangkat
sumpah setia tidak dikira memadai lagi. Kita perlukan satu perjanjian.'
Apabila kita ambil kira gelagat kerajaan yang mudah melupakan perjanjiannya
dan segala kontrak yang termetrai - Kerajaan Terengganu boleh memberikan
satu contoh yang jelas - berapa seriuskah kerajaan dalam segala bentuk
perjanjiannya? Sudah tentu para pemukul canang regim ini akan berserabut otak mereka
memikirkan cara untuk menjalankan peranan. Seorang naib presiden UMNO yang
merupakan mantan menteri besar Selangor adalah satu contoh apa ertinya merit
UMNO selama ini. Tan Sri Muhammad Taib telah ditahan di Darwin dengan
matawang luar negara yang bernilai beberapa juta ringgit yang tidakpun mampu
diperjelaskan bagaimana boleh berada dalam simpanannya. Namun, dia mempunyai
merit untuk terus berada di tahap atasan UMNO walaupun sebelah kepaknya
sudah terkehel. Pihak berkuasa tempatan tidakpun bertindak terhadapnya
(mungkin kerana sebelah kepak terkehel juga). Dia mengimpikan jawatan
perdana menteri satu hari nanti. Memang tidak perlu disangsikan, beliau
mempunyai segala keupayaan dan kelulusannya. Kerana itu dia semakin percaya
bahawa kemasukan di universiti seharusnya ditapis agar siswa-siswi Melayu
ditapis dulu supaya mereka tidak 'memasukki universiti untuk menjuarai
perjuangan PAS'. Jka demikian, masih ada satu jalan yang paling mudah sekali: tentukan setiap
anak Melayu yang memasuki universiti disekat kecuali dia menunjukkan kad
keahlian UMNO kerana mengikut konteks masakini, merit adalah bersamaan
dengan keanggotaan UMNO yang diperakukan dengan kad keahlian. Oleh kerana
kerajaan semakin yakin bahawa Malaysia akan menjadi negara bertaraf gred
empat di kalangan dunia ketiga, setidak-tidaknya ia diselamatkan daripada
kesibukan mengnyahkan pelajar universiti yang akan menentangnya. Lagipun
kerajaan masih tidak faham kenapa pelajar universiti akan memberontak,
kerana tahap pendidikan yang akan diterimanya untuk menjadi penjual mi siam,
pemandu dan peon sahaja. Begitulah caranya merit yang ditunjukkan oleh Rafidah Aziz ketika membuat
ketentuan agar menantunya menerima AP (Approval Permit - penterjemah) yang
lumayan tanpa perlu sebarang merit selain mengahwini anak permpuannya.
Sedangkan Rafidah semakin lantang menonjolkan tema merit itu sebagai lambang
'...yang akan membuktikan betapa orang Melayu mampu bersaing dengan orang
lain tanpa hak keistimewaan.....' katanya. 'Kenapakah kita tidak mampu
bersaing dengan yang terbaik?' soal Rafidah sambil menyebut betapa
kebanyakan pemimpin Melayu naik melalu merit. Mungkin Rafidah mahu
memberitahu kita berapa ramaikah pemimpin Melayu yang ada kini yang naik
mencanak melalui unsur-unsur merit dan mengamalkan apa yang dikhutbah selalu
dan bertegas agar anak-anak mereka tidak menerima biasiswa kerajaan apabila
mereka tidak mendapat markah yang cemerlang sebagai syarat kelayakannya.
Ketua Menteri Melaka Ali Rustam berkata bahawa konsep merit adalah satu
kejutan untuk menyedarkan orang Melayu setelah 30 tahun dimanjakan oleh
dasar DEB. MP Tambun, Ahmad Husni Hanadzlah telah berkata orang Melayu
seharusnya menganggap merit sebagai satu cabaran untuk mengekalkan masa
depan dan kepentingan mereka. Seperi biasa oleh kerana terlalu ghairah, parti pembangkang - Keadilan dan
PAS telah tersilap langkap sehingga mengaibkan diri sendiri. Namun, presiden
PAS, Dato' Fadzil Nor telah menyatakan sesuatu yang menyedarkan bahawa apa
yang sebenarnya mahu dikuatkuasakan oleh Mahathir terhadap orang Melayu
adalah sama dengan apa yang pernah diminta melalui rayuan khas oleh Suqui
(NGO) untuk rakyat Malaysia. Itulah tuntutan Suqui yang didedahkan oleh
Mahathir sehingga mencetuskan kejantanan Pemuda UMNO (sehingga berkokok atas
pagar - penterjemah) menuntut agar Suqui menarik-balik rayuan mereka. UMNO
seharusnya lebih telus dan berterus-terang mengenai perkara ini daripada
bersikap mengugut orang Melayu untuk menarik-balik kuota pendidikan yang
termaktub dalam perlembagaan. Anak-anak Melayu luar bandar datang daripada
keluarga yang miskin dan tidak mampu menghantar anak-anak mereka untuk
mendapatkan tuisyen ataupun kelas tambahan. Pelajar di bandar-bandar
menunjukkan pencapaian yang lebih cemerlang.
Tidak ada sesiapapun yang menangani perkara ini dengan jelasnya ataupun
cadangan itu akan merobah sistem pendidikan negara ini. Keseluruhan asas
masyarakat Malaysia adalah bersendikan keistimewaan dan peruntukan istimewa
yang khas. Alangkah menariknya ketika Mahathir meraungkan perkataan
meritokrasi, ketika setiap seorang peniaga pilihannya yang dipilih dulu
bukannya berasaskan meritokrasi ataupun kebijaksanaan berniaga tetapi;
berasaskan keakraban mereka kepada pihak yang memegang kuasa, sedang
tercungap bila berdiri dan melutut terhenyak apabila mahu duduk.
Penswastaan yang terbesar, Renong dan UEM - melutut secara mengaibkan.
Bagaimanakah sebuah kerajaan yang kini yakin akan ketegasannya - demikianlah
perkataan yang mereka mahu kita mempercayainya - membenarkan dua syarikat
ini menimbunkan hutang bertapuk sehingga bernilai RM30 bilion ringgit? Semua
ini membawa kita kepada satu rumusan yang tidak boleh dielakkan: segala
minat mendadak terhadap istilah-kata 'meritokrasi' dan pengamalannya adalah
satu bahasa halus yang menggantikan apa juga perkataan yang membawa maksud
bahawa seseorang Melayu itu seharusnya menjadi ahli UMNO seandainya dia
berhajat mahu terus bernafas di bawah pancaran mentari Malaysia. Jika tidak,
segala kekalutan dan serangan yang bertubi-tubi sekarang ini tidak akan
membawa sebarang makna. M.G.G. Pillai
|