Laman Webantu   KM2A1: 5174 File Size: 6.3 Kb *



TJ SP MGG: Khalil Yaakob Mahu Berundur?
By M.G.G. Pillai

7/8/2001 7:56 pm Tue

[Kalaulah Daim dan Khalil Yaakob tidak penting buat Mahathir mereka berdua akan dihumban terus dari Umno dan dihukum sahaja di mahkamah. Tetapi itu tidak berlaku kerana mereka memilikki sesuatu yang lebih disayang - kerusi parlimen dan rahsia yang tersimpan. Dengan Daim tidak melawan dan tidak dihadapkan pun ke muka pengadilan jelaslah dia masih penting dan diperlukan. Isu yang mengancam telah disorok diam-diam agar melayu mudah lupa jika tidak Mahathir akan terheret sama. - Editor]


Khalil Yaakob Mahu Berundur?

(Khalil Yaakob About to Resign)

Beberapa bulan sudah berlalu, sejak Dato' Fauzi Abdul Rahman, mendedahkan beberapa hari sebelum pemilihan Umno Bahagian, betapa Setiausaha Agung Umno merangkap menteri penerangan adalah seorang manusia yang sungguh korup. UMNO terkejut beruk, mula membuat siasatan terhadap tuduhan itu sambil menentukan Fauzi tidak meletakkan jawatan kerana Umno tidak mampu menghadapi satu pilihanraya kecil yang menjamin kemenangan. Kepopularan Fauzi dan kehadiran PAS yang semakin disenangi di daerah itu adalah satu campuran yang tidak mampu ditangani oleh UMNO waktu kini. Dato' Fauzi sudah melepaskan seekor kucing liar mengejar merpati sesangkar. Tentu sekali dia telah tersingkir seandainya mengemukakan saksi yang mungkir. Umno tidak mampu dengan kerenah semua itu. Malahan seorang menteri kabinet telah memujuk Fauzi supaya tidak mengundurkan diri. Penyerahan surat peletakan jawatan kepada menteri besar Pahang, telah sengaja dilupakan. UMNO takut, Fauzi yang merupakan anak bekas menteri kabinet berkemungkinan menganggotai PAS. Sudah tentu Umno akan tumpas dalam pilihanraya kecil di tempat itu.

Tan Sri Khalil sedang menggelabah. Dia menghantarkan surat perletakan jawatan sebagai setiausaha agung Umno dan menteri penerangan. Besar kemungkinan dia akan digantikan oleh menteri undang-undang Rais Yatim. Ini merupakan satu lagi bencana yang terpalit dalam peperangan antara Insan Yang Memikirkan Dialah Maharajah antara Segala Raja-Raja, dan Insan Yang Mesti Dihapuskan Dengan Apa Cara Jua. Inilah dia kesan reaksi insan kedua itu terhadap segala serangan maharaja palsu untuk menumpaskannya. Dato' Fauzi merupakan segelintir ahli Umno yang secara terbuka mengaku dia adalah kawan Dato Seri Anwar Ibrahim. UMNO tidak boleh bertindak apa-apa terutama sekali selepas apa yang dilaksanakannya. Sebagai seorang setiausaha agung, Tan Sri Khalil telah berusaha menyisihkan semua penyokong Anwar di bahagian UMNO ketika dia berhadapan dengan krisis yang lebih besar lagi. Dia terkejut apabila suami kepada adik tiri isterinya sendiri telah bertindak begitu ganas sekali sehingga menyebabkan beliau terpaksa meletakkan jawatannya kini.

Kini, UMNO dihantui satu lagi masalah besar yang lebih serius. Yang lebih penting ialah perletakan jawatan Daim Zainuddin sebagai menteri kewangan dan bendahari UMNO. Cara beliau lepas bebas dengan mudahnya, memberi petunjuk adanya satu sandiwara mega. Dia gagal menyediakan akaun parti terutama sekali pelaburan parti dalam pasaran saham. Tetapi, persidangan UMNO telah ditegah membincangkan kisah itu melalui sistem umpan dan rotan. Kalaulah tidak kerana adanya larangan, sudah tentu kisah beliau dibogelkan tanpa segan dan silu di persidangan itu. Tetapi dia bertindak melepaskan jawatannya daripada menerangkan apa yang sepatutnya. Ini adalah gambaran kiasan betapa dia masih lagi dianggap orang yang penting.

Pada 1987, Ketua Setiausaha Negara telah mengumumkan pengguguran dua orang menteri kabinet yang menjadi mangsa dalam perlawanan untuk merangkul pucuk kepimpinan UMNO antara Mahathir dan Tengku Razaleigh. Mereka itu yang kini seorang menjadi timbalan perdana menteri dan bernama Abdullah Ahmad Badawi, dan seorang lagi yang kini menjadi menteri de facto kehakiman yang bernama Rais Yatim; telah digugurkan kerana antara sebabnya 'mendedahkan rahsia negara.' Namun, apabila ketua perisik negara pulang bulan lalu daripada lawatannya di Tripoli, dia telah memberikan penerangannya di rumah mantan menteri kewangan. Kenapa?

Ada dua sebab yang boleh saya fikirkan mengenai perkara ini: Satu, tidak ada satupun perkara yang berubah. Daim tahu di mana letaknya segala tengkorak yang punyai rahsia yang banyak. Dia tidakpun mendedahkan semuanya walaupun kepada Mahathir. Kedua, UMNO amat membencinya, dan dia memegang jawatan tinggi itu secara ihsan royalti kuasa Mahahtir. Dialah hantunya yang bersekongkol dengan Mahathir untuk mengaibkan Anwar Ibrahim kerana dia tahu Anwar tidak pernah setuju caranya menggunakan kerajaan dan kuasa yang ada untuk membalun harta rakyat membina empayar niaganya dengan wang kerajaan dan segala peluang yang ada. Para kroninya sedang menggelupur dan terpaksa bertindak sendirian menyelamatkan diri. Itu sebabnya kita diberitahu dia sendiripun termanggu seolah-olah sudah tidak mampu untuk ambil tahu. Tetapi begitulah pintarnya beliau bersilap mata. Dia sengaja mahu mengenepikan mereka juga sambil mencari calon baru yang lebih muda dan lebih bertenaga tanpa punyai lebih nafsu dan lebih haloba sebagai barisan kroni yang baru pula. Dia masih membincangkan dengan barisan tenaga Paklah, dengan semua naib presiden, semua paksibuk yang ada kuasa haprak, termasuk seorang kuli di No. 30 Jalan Langgak Golf, akan muslihat dan rencana apa yang perlu dilaksana sebaik sahaja Mahathir bertindak untuk melepaskan jawatannya.

Daim tidak perlu merencana panjang dan mungkin dia sendiri tidak berapa kisah akan perkara itu. Percaturannya adalah lebih besar dari itu, untuk menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri, dan tidak kurang daripada itu. Mustahil perkara ini? Fikirkan dulu apa yang berlaku kebelakangan ini, barulah anda akan tahu.

M.G.G. Pillai
pillai@mgg.pc.my


Terjemahan: SPAR-01-??