Laman Webantu KM2A1: 5177 File Size: 9.0 Kb * |
TSG 7: 4A - Saya, Phoolan Devi: Autobiografi Seorang Wirawati India By Marie-Therese Cuny, Paul Rambali 7/8/2001 11:04 pm Tue |
[Pihak yang menindas keluarga Phoolan selama ini mencari peluang
sahaja untuk memastikan dia kekal menjadi hamba sehingga majlis
perkahwinan pun hendak digagalkan juga. Hanya bila digertak barulah
mereka berhenti mengacaunya. Penindasan seperti turut ujud dalam
masyarakat melayu hari ini di mana pihak yang berkuasa sengaja
menyekat bantuan seperti royalti kerana dengki. Mereka mahu rakyat
terus hidup miskin dan terpaksa bergantung kepada mereka oleh itu
semua titah mereka perlu dilaksana. Seperti biasa pembohongan dan
fitnah digunakan mengaibkan mangsa. Tetapi bapa Phoolan tidak serik
mencuba - dan dia akhirnya berjaya juga mengahwini anaknya walaupun
ketika itu musim hujan datang melanda.
Pengajaran di sini kita hendaklah sentiasa mencuba walaupun pihak
yang menindas itu terlalu perkasa kerana lambat-laun kita akan menang
jua. Lagipun rakyat yang banyak akan dapat belajar dan menilai siapakah
di pihak yang benar akhirnya melalui beberapa detik dan peristiwa itu.
- Editor] Beberapa bulan sudah berlalu, sakit yang ditanggungi oleh Paman Bihari masih
enggan beransur pulih. Dulu bunyi garau semakin ketara setiap kali dia
menjerit kepada kami, dan jeritan itu semakin kurang kini. Kami tidak juga
melihatnya berbaring di atas khat di depan pintu rumahnya. Ada sesuatu yang
tidak kena dengan pernafasannya walaupun banyak jus buah neem yang diminum
sebagai ubatnya. Mungkin juga dewa-dewa tidak mahu dia pulih semula.
Rukmini sudahpun dapat melihat wajah suaminya untuk kali yang pertama.
Beliau datang dengan iringan kumpulan 'baraat' menaiki seekor kuda betina.
Beliau kelihatan tampan dan segak berpakaian sarban berwarna ungu menutupi
kepalanya dan membawa sebilah pedang di sisinya sambil ahli keluarga dan
kawan-kawannya bertandak riang mengikuti iringan gendang. Mereka pergi ke
kuil dulu membawa barang pemujaan sebelum datang ke rumah kami. Rukmini
menunggu ketibaan mereka dengan wajahnya dilindungi sari yang indah. Dia
mengenakan beberapa pakaian emas dan gelang. Ibu menyambut ketibaan
menantunya dengan hadiah dan kerestuannya. Ibu memegang satu dulang besar
yang dipenuhi butiran beras, kelopak bunga dan sedikit tepung berwarna merah
tua. Ibu mengangkat dulang itu ke atas kepala menantunya sambil memusingkan
dulang itu. Kemudian ibu mencecah tepung yang berwarna itu untuk membuat
tanda pada bahagian tengah dahi menantunya. Selepas itu barulah ibu menabur
bertih dan kelopak bunga terhadap menantunya.
Selepas jamuan makan petang itu, kedua pengantin duduk dia atas tikar yang
diperbuat daripada dedaun pisang sambil dilindungi oleh satu khemah yang
dihiasi bunga, dedaun mangga dan cebisan kain berwarna. Brahminpun
menyalakan 'homa' (api keramat), dan Rukmini dan suaminya terpaksa berjalan
tujuh kali mengelilingi api itu sedangkan sami Brahmin terus membacakan
mantra. Pada setiap pusingan mempelai lelaki terpaksa tunduk sebagai ikrar
menghormati isterinya dan upacara itu diselang-seli oleh saudara pengantin
memberikan hadiah kepada Rukmini. Majlis berlanjutan berjam-jam lamanya dan
memang indah keadaannya. Rukmini masih mengenakan kain sari untuk menutup
wajahnya. Yang dapat dilihat ialah tapak tangannya sahaja. Kemudian ibu dan
bapa saya telah memulakan istiada 'kanya-daan' di mana mereka telah
menggosok kunyit pada tapak tangan kakak dan tapak tangan suaminya sebelum
mengangkat tapak tangan kakak pada tapak tangan suaminya. Akhirnya isteri
tukang gunting yang memandu Rukmini - disebabkan wajah yang tertutup itu -
mengangkat penudung muka itu untuk membolehkan mempelai lelaki melakukan
istiadat 'sindoor' dengan mencecahkan warna merah tua pada bahagian tengah
belahan (sikat) rambut Rukmini. Majlis istiadat itupun berakhir dan sambutan berpesta bermula, dengan
hidangan makan yang tidak nampak ada hentinya. Bunga api dipasang,
merancakkan lagi mainan lagu dan tarian para tetamu yang datang. Terdapat
banyak manisan yang dihidangkan. Terdapat lebih seratus tetamu yang hadir.
Sambil mereka menjamu selera, hujan di luar masih belum mahu reda.
Aku pernah bergaduh dengan Rukmini, dan kerana terlalu marah aku telah
menjerit padanya. 'Aku harap pada hari perkahwinan kamu nanti hujan akan
turun dengan lebat! Aku harap hujan turun lebat supaya kamu kahwin di bawah
lindungan payung!' Memang hujan pada hari itu kerana itulah musim monsun dan
hujan turun sepanjang hari. Keseluruhan rumah dibanjiri air bertakung.
Rukmini memang nampak marah melihat mukaku, tetapi aku bangga melihat wajah
suaminya. 'Jeeja' ataupun iparku itu telah mendapat dauri bernilai lima ribu
rupee, seekor lembu jantan dan lembu betina. Dia berumur dua tahun lebih tua
daripada isterinya, dan beliau kelihatan baik hati orangnya. Aku mengekori ke
mana saja dia pergi sambil memegang hujung bajunya. Nama iparku itu ialah
Rampal dan Rukmini berkata dia amat mencintainya.
Akhirnya Rukmini memberitahu betapa dia mahu berpindah ke rumah suaminya dan
menetap dengan mertuanya. Namun, untuk sementara waktu dia mahu kekal
tinggal bersama kami. Memang patutlah Rukmini merasa gembira pada hari itu. Paman Bihari telah
berjaya menyekat tiga perkahwian yang diatur untuknya. Ada satu ketika
Bihari telah memanggil polis pada hari rombongan 'baraat' sepatutnya tiba di
rumah kami. Mempelai lelaki sudahpun menunggang kudanya mendauhului
rombongan itu. Dia dan keluarganya tiba daripada Kanpur, tetapi mereka
tidak berjaya sampai ke destinasi kerana campurtangan Bihari. Beliau telah
menyekat mereka di Kalpi sebelum mereka berbelok memasuki jalan menghala ke
kampung kami. "Budak perempuan itu masih kecil lagi bertahap juvana,"
demikian kata Bihari kepada mereka. "Dia baru berusia empat belas tahun, dan
ayah mereka mahu menjual budak itu! Ini adalah menyalahi undang-undang!"
Bihari telah berpakat dengan Pradhan untuk mendapatkan kehadiran polis
ketika itu. Mempelai lelaki datang daripada keluarga yang baik-baik. Mereka
merasa telah diaibkan dan berpatah balik tanpa memberitahu perkara itu
kepada ayah. Kakak naik malu dan menangis bertalu-talu. Dia mengugut untuk
membunuh diri dengan mencampakkan diri ke dalam unggun api. Sebelum itu
Bihari telah menegah orang kampung daripada meminjamkan wang kepada ayah
untuk menyediakan dauri untuk kakak. Bihari memfitnah ayah tidak akan
membayar hutangnya itu. Ada satu ketika yang dia mula-mula buat kacau, dia
mmeberitahu mempelai lelaki bahawa Rukmini adalah seorang anak angkat.
Tetapi itu adalah satu pembohongan kerana sebelum melahirkan Rukmini ibu
pernah kehilangan tiga orang anak yang mati ketika lahir. Rukmini adalah
anaknya yang keempat dan yang pertama mampu hidup.
Ibu berkata Bihari merasa curiga kalau-kalau Rukmini berkahwin dengan satu
keluarga yang berpengaruh dan menyebabkan Bihari kehilangan kuasa terhadap
kami. Tetapi, Rukmini sudahpun bersuami, dan ibu bapaku merasa lega kerana
mertua Rukmini mungkin dapat membantu kami mendapatkan kembali tanah yang
sepatutnya merupakan tanah pusaka kami. Keluarga suami Rukmini tidakpun
takutkan Bihari. Mereka telah memberi amaran kemungkinan tercetusnya masalah
seandainya Bihari cuba mencemarkan majlis perkahwinan. Ibu pernah bertengkar
mengenai hal ini dengan ayah. Aku tidak sepatutnya mendengar dan setiap kali
mereka berdebat mereka menghalau aku keluar rumah, tetapi aku dengar juga
cerita itu. Majlis pesta perkahwinan telah memasuki hari yang ketiga. Hari sudah semakin
petang. Choti dan aku perlu pergi memasuki kawasan ladang untuk melegakan
perut. Adikku semakin terdesak. "Mari kita berlari di depan rumah Bihari,"
bisiknya. "Aku dah tak tahannnnn!" Larian kami itu tidakpun ke mana kerana aku terdengar suara garau Bihari
memanggil namaku. "Phoolan, mari sini......!" Aku berhenti sejenak. Apakah dia terdengar bisikan kami;. dan mahu memukul
kami lagi. Reaksi pertamaku ialah mahu cabut lari. Tetapi ada sesuatu dalam
suaranya itu yang membuatkan aku tidak jadi pergi. Aku sedar, musim hujan
yang baru bermula sudahpun membuatkan penyakitnya semakin sengsara.
"Ada sesuatu yang tidak kena pada suaranya," demikian aku memberitahu Choti.
Terjemahan: SPAR-10
|