Laman Webantu KM2A1: 5181 File Size: 8.0 Kb * |
BKAdil: Phoolan Devi: Tamatnya Riwayat Seorang Ratu By BKAdil 8/8/2001 8:58 pm Wed |
[Phoolan Devi adalah simbol satu perjuangan yang tidak mengenal henti
walaupun asyik ditusuk duri atau diaibkan dengan begitu teruk sekali.
Tiada siapa menghormatinya melainkan golongan tertindas yang diwakilinya.
Tetapi kini semua mengkagumi kegigihannya itu kerana dia mampu menggemparkan
cengkaman politik dan kasta di negara India dengan berbekal satu semangat
yang tidak gentar. Kesannya seluruh benua India dan dunia bergegar.....
Tentu ada sebabnya kerajaan tidak membicarakan Phoolan Devi kerana itu
akan menelanjangkan kerajaan sebenarnya - bukannya Phoolan Devi. Jika BN
mahu membela kaum wanita di negara ini ia sepatutnya memburu dan menghukum
inspektor Dayang yang membogelkan Norazimah tempoh hari. Mengapa Wanita
Umno dan Puteri-puterinya itu menyepi sahaja? Apa yang berlaku di negara
India itu sudah banyak yang muncul di negara ini tanpa adanya satu siasatan
dan pengadilan yang boleh dipercayai. Apakah kerajaan mahu kaum wanita
negara ini melunaskan 'dendam' sendiri seperti Phoolan Devi?
- Editor] http://berita-keadilan.net/bmelayu/berita/080801poolandevi.htm
Pertama kali mendengar nama Poolan Devi atau sinonim dengan gelaran
Bandit Queen ketika saya, mengikuti kursus penulisan skrip filem di Finas
pada tahun 1996. Filem Bandit Queen, arahan Shekhar Kapoor yang diadaptasi dari novel
tulisan Mala Sen itu, cuba memaparkan kekejaman yang dilakukan oleh
golongan kasta tinggi terhadap golongan minoriti berkasta rendah di India.
Paling meruntun hati sesiapa yang berkesempatan menonton filem Bandit
Queen ini, ialah adegan bagaimana seorang wanita bernama Poolan Devi
dikurung beberapa minggu, dipukul dan dirogol secara bergilir-gilir di
kalangan lelaki berkasta tinggi. Tidak cukup dengan adegan memuaskan nafsu
itu, beliau diikat dan dibogelkan di khalayak ramai di perkampungan Behmai di
Uttar Pradesh. Saya tidak berminat untuk menceritakan apa yang telah di "point of view" oleh
Shekhar Kapoor dalam layar putihnya, sehingga filem ini menimbulkan
kontroversi di India walaupun berjaya memenangi anugerah Filem Terbaik
dalam Festival Filem India (IFFI) 1996.
Saya akui bahawa adegan-adegan yang dipaparkan dalam filem Bandit
Queen sungguh menakutkan dan mendebarkan, daripada lakonan berkesan
oleh pelakon Seema Biswas yang memegang watak Poolan Devi. Maka itu
saya tidak hairan, jika filem ini diharamkan penayangannya di Malaysia
kerana spesifikasi filem ini menjurus (18SX). Malah jauh sekali untuk saya
menceritakan detik akhir kehidupan beliau sebelum ditembak mati di hadapan
rumahnya di New Delhi pada 25 Julai lalu. Maka itu berakhirlah riwayat
Bandit Queen! Cuma disebalik kisah benar Poolan Devi itu, dapat saya kutip moral cerita
yang patut direnungi semua gadis dan wanita tidak mengira, bangsa dan
agama seluruh dunia. Jika golongan wanita mengenali dan menyanjungi Ratu Elizabeth kerana
kuasanya, Lady Diana kerana kecantikannya, Mother Theresa kerana sifat
keibuannya, tidak keterlaluan untuk saya katakan; Phoolan Devi disanjung
kerana maruahnya. Jika tangan yang menghayun buaian bisa menggoncang dunia, begitulah apa
yang telah dilakukan oleh Poolan Devi sehingga beliau dinobatkan di
kalangan masyarakat India sebagai "Bandit Queen" yang bermaksud "Ratu
Pengganas". Poolan Devi dan "perjuangan menuntut bela" untuk diri dan kasta, sebenarnya
telah mencatatkan sejarah India sekaligus dunia. Ganasnya Poolan Devi
kerana maruah wanita dipijak-pijak; ditindas sesuka hati; dianiaya tanpa
belas; ditinggalkan tanpa kasihan; diperkudakan tanpa sifat kemanusiaan.
Kesabaran wanita ada hadnya, amarah dan dendam wanita membawa padah
akhirnya! Itulah Poolan Devi. Poolan Devi yang berkahwin tanpa rela ketika usia 11 tahun kerana dijual
oleh bapanya; pernah diculik satu kumpulan penjenayah bersenjata; dilatih
menjadi penganas; kemudian diculik kali kedua; berlakulah peristiwa rogol
bergilir; dan dibogelkan di khalayak.
Pada 1983 beliau menghadapi 57 dakwaan membunuh dan mengganas
kerana telah menembak mati 22 lelaki yang merogolnya. Beliau kemudian telah
merengkok dalam penjara selama 11 tahun tanpa dibicarakan di Penjara Pusat
Gwalior di Madhya Pradesh sebelum dibebaskan pada tahun 1995.
Bukan tujuan penulisan untuk provokasi dengan mengaitkan situasi yang
berlaku di negara ini, jauh sekali membayangkan sesuatu yang buruk. Namun
beberapa peristiwa yang di luar dugaan telahpun berlaku dalam negara ini,
terhadap golongan wanita dalam sebuah masyarakat yang mengakui sudah
maju dan merdeka. Pasti ada suara sumbang akan berkata: "Itu di India bukan di Malaysia!"
Mungkin ramai beranggap perbandingan yang dibuat agak melampau,
berbanding nasib dan masa depan golongan wanita di Malaysia?
Ada benarnya pernyataan itu! Tapi saya melihat kepada semangat untuk
menebus maruah yang digenggam Poolan Devi sehingga meletakkan dirinya
sebagai Ahli Parlimen Mirzapur dari parti Samajwadi yang mewakili golongan
kasta rendah di India ini patut dibanggakan. Itulah perjuangan!
Telah tercatat peristiwa penting dalam perjuangan parti Keadilan kisah
Norazimah Hassan ibu beranak lima dengan sengaja telah dibogelkan di
hadapan 12 orang tahanan lain di sebuah lokap empat bulan lalu. Begitu juga
dengan kisah sedih yang mengundang polemik parti politik antara BA dan BN
kisah kes rogol dan bunuh, Nur Suzaily Mokhtar apabila mayatnya
dicampakkan ke semak dalam keadaan bogel. Dua kejadian yang mengaibkan
golongan wanita menggugat perasaan dan kengerian, sekiranya saya di
tempat mereka! Dari rentetan peristiwa yang dilalui Poolan Devi, salah satu persamaan yang
hampir dapat saya kutip dan dijadikan perbandingan perihal kisah "wanita
yang dibogelkan di khalayak" yang telahpun berlaku di negara ini.
Apa yang memilukan saya, ibu ini telah dipaksa berbogel oleh seorang
inspektor polis wanita! Wanita menganiayai wanita... perkara sebegini tidak
seharusnya berlaku! Tiada persatuan wanita yang tampil untuk bersama
membela nasib ibu dan gadis ini melainkan parti pembangkang dan beberapa
NGO yang pro pembangkang saja yang bersimpati.
Walaupun kabinet BN telah mengwujudkan portfolio baru Menteri Hal Ehwal
Wanita kini diterajui Datuk Shahrizat Jalil, kebetulan selepas peristiwa
Noorsuzaily itu, malang sekali Shahrizat tidak langsung berminat atau berani
membangkitkan isu "dibogelkan" sebagai satu penganiayaan serius terhadap
golongan wanita di negara ini. Apakah isu-isu yang membabitkan golongan wanita, perlu dibatasi dengan
fahaman politik sempit di kalangan pemimpin atasan negara? Alangkah
baiknya Shahrizat memikirkan bahawa maruah wanita itu bersifat universal
merangkumi semua aspek kehidupan dan persekitarannya.
Usahlah memikirkan siapa sokong siapa, kuasa di tangan siapa, yang pasti
biarlah maruah dan keadilan terhadap golongan wanita terbela dan terpilihara
daripada apa juga bentuk penindasan lahiriah atau zahiriah yang dilakukan
golongan lelaki atau mereka yang memegang kuasa.
Jika Poolan Devi termakan janji manis pihak pemerintah sehingga sanggup
menyerah diri dan dipenjara selama 11 tahun tanpa bicara, setidak-tidaknya
beliau telah menelempiaskan amarah dan dendamnya dengan menyaksikan
kematian para perogolnya. Namun tiada bezanya dengan nasib yang menimpa
Norazimah dan Nur Suzaily, mereka wanita Islam! Langsung tidak terbela untuk
selamanya... jauh sekali berpeluang membalas dendam!
Shahrizat seharusnya menjadi menteri wanita yang tulin. Bangkitlah Shahrizat demi maruah wanita! |