Laman Webantu KM2A1: 5185 File Size: 12.8 Kb * |
TSG 8: 4B - Saya, Phoolan Devi: Autobiografi Seorang Wirawati India By Marie-Therese Cuny, Paul Rambali 8/8/2001 10:51 pm Wed |
[Kisah dalam bab ini memang banyak pengajarannya. Kita
perlu berbuat baik dan menolong mereka yang sakit walaupun
dia dulunya menindas dan memusuhi kita. Sikap Phoolan itu
amat mengkagumkan kerana dia tidak berdendam pun walaupun teruk
dianiaya oleh si mati itu dulunya. Kesannya anak si mati itu
menghormati Phoolan dan keluarganya dan mula menganggap mereka
bagai keluarga sendiri. Kebaikan dan luhur pekerti Phoolan Devi
itu telah mengakhiri kezaliman yang tiada taranya....
Sesungguhnya kebaikan itu lebih berkuasa dari seribu kezaliman
kerana ia akan terpancar dengan sendirinya sehingga terpaku manusia
kerananya. "Aku tidak akan masuk Phoolan. Mungkin dia sedang menyorok di belakang
pintu, menunggu...." "Dia bersuara semacam orang sakit. Ayuh..."
Choti enggan masuk ke dalam. "Takkan dia mampu berbuat apa-apa pada kita," kataku kepada Choti. "Kita ada
ipar Rukmini untuk melindungi kita. Dengar tuh.... dia meraung lagi."
"Jangan! Tanya dia dari sini apa yang dia mahu."
"Biar aku masuk. Kamu tunggu sini. Kalau dia cuba memukul aku, kamu lari
pulang dan beritahu mereka di rumah." Bihari meraung lagi. "Phoolan, anak saudaraku. Paman dahaga nak..."
Aku masuk dengan penuh waspada. Tidak ada sesiapapun di halaman itu.
Kemudian, aku dapat melihat Bihari merengkok di atas khatnya yang terletak
merentang pintu kamarnya. Matanya kemerahan kerana demam. Aku dekati dia
dengan penuh teliti. Dia memanggil aku sebagai anak saudaranya semula dan
merapatkan dua telapak tangannya memberi isyarat betapa dia berterima kasih
dengan kedatanganku. Aku sentuh kakinya dengan pantas takutkan dia mahu
menangkapku. "Apa kenanya Paman? Sakitke....?" Aku terpaksa hati-hati dengan perkataanku kerana dia memang sakit kuat
ketika itu. Suaranya itu muncul dari bahagian dalam kerongkongnya laksana
guntur yang sayup sahaja bunyinya. Entah kenapa agaknya, bulu keningnya yang
lebat itu tidak menakutkan aku seperti dulu.
"Asthma paman Phoolan...." dia menjawab. "Musim monsun ini akan membunuh
aku. Tolong bawakan air minum." Aku angkat jag air yang aku bawa untuk membersihkan diri di ladang. "Saya
mahu pergi tandas dan air ini untuk cebok..... Kenapa tidak suruh orang di
rumah bawakan minuman? Apakah tidak ada sesiapa di dalam?"
"Tolong panggilkan ayah kamu..."
Itulah pertama kali dia bercakap dengan aku secara berlembut. Dia mahukan
aku panggil ayah, satu kerja yang tidak pernah disuruhnya sebelum itu.
Akupun berlari pulang. "Mari ayah, dia sedang sakit teruk." Ibu menegah, "Ayah kamu tidak akan ke situ."
Ibu memang suka membuat keputusan untuk ayah. Tetapi pada kali itu, ayah
bercakap: "Bihari dah lama sakit Siapa tahu dia mahu berikan aku sebahagian
tanah ?" Ibu membebel sendirian sambil menyumpah seranah seperti kebiasaannya
terhadap Bihari: penipu, pencuri, bedebah dan banyak lagi.
"Dia sakit. Mungkin dia mahu selesaikan tanah wasiat.."
Ayah membuat keputusan untuk pergi. Aku mengekori ayah bersama Choti. Hatiku
naik ceria memikirkan kematian Bihari berkemungkinan menyelesaikan masalah
tanah kami yang dicurinya. Itulah tanah yang sepatutnya menjadi hak kami
pada awal dulu lagi. "Ayah mesti minta lebih banyak 'bighas'. Ayah harus minta sampai satau ratus
bighas." "Itu kerja tuhan Phoolan. Jangan tamak! Kita mesti terima apa yang tuhan
tentukan." Setiba kami, Bihari sudah terbaring di atas simen rumahnya. Matanya
tertutup. Ayah membongkok dan mula menangis.
"Kenapa ayah menangis?" tanyaku. "Paman kamu sudah mati!" Mati? Aku tidak mempercayai kata-kata ayah. Hanya beberapa minit sebelum itu
dia minta air minum daripada aku. Tetapi kalau betullah dia sudah mati
bererti dia tidak akan mengejar dan memukul aku lagi.!
Choti memandang Bihari dengan jijiknya "Selamatlah kita sekarang," kata
beliau. "Apa betul dia sudah mati?" Tanyaku kepada Choti. "Apa jadinya kalau dia
bangkit semula dalam beberapa hari?" Tanyaku lagi.
"Jangan risau mereka akan bakar dia esok. Memang dia tidak akan bangkit
lagi." Sejurus kemudian, Mayadin, anak sulung paman Bihari tiba dan meluru ke ruang
kamar dengan linangan airmata. Dia melutut di hadapan mayat ayahnya dengan
memekap muka dengan dua tangannya. "Apa kata ayah tadi? Siapa ada di sisi?
Siapa ada bersamanya sebelum berakhir nafasnya?"
"Aku," jawabku. "Dia pernah bercakap sesuatu yang terakhir kepadaku."
"Apa katanya sepupuku?" Aku terkejut mendengarkan perkataan 'sepupu' itu yang terkeluar dari mulut
beliau ketika itu. "Dia minta air minum." Mayadin mula menangis dengan berkata. "Aku tidakpun ada di sini untuk
menuangkan air minumnya yang terakhir," demikian Mayadin meraung. Beberapa
orang kampung mulai berkumpul di halaman dan aku terdengar satu suara
mengatakan betapa kita tidak seharusnya menolak permintaan orang yang nazak
untuk mendapatkan air minum. Memang, sepatutnya kau berikan air kotor yang
aku bawa itu. Seeloknya aku curahkan sahaja atas kepalanya.
Keesokan harinya mayat Bihari dibawa untuk dibakar. Ramai orang yang
berbaris dan hampir seluruh kampung itu keluar memberikan penghormatan
padanya. Tetapi ibu tidak membenarkan ayah pergi. Dia memberitahu kami boleh
pergi kemudian untuk memberikan penghormatan dan terus mandi selepas itu di
sungai, mengikut adat budaya kami. Tetapi, kami tidak boleh pergi menyertai
majlis pembakaran itu. Ayah selalu memberitahu kami kalaulah Tuhan
memutuskan kita lahir sebagai 'mallah' adalah berdosa untuk kita berlagak
mengingini kasta yang lain, kerana kita mesti menghormati kehendak Tuhan.
Bihari telah lama mengidam mahu menjadi 'thakur' tetapi dia mati juga dan
akan berubah segalanya. Ketika mayat Bihari dibakar oleh unggun api, langit kelihatan semakin kelam
disebabkan mendung monsun yang suram, tetapi aku merasakan diri ini semakin
ringan laksana rama-rama. Selepas itu gigi Bihari dan sebahagian serpihan
tulangnya disimpan dalam satu pasu kecil. Inilah yang akan dibawa oleh
Mayadin untuk ditabur di Sungai Ganges di Kanpur. Anak sulungnya akan
membawa balik sedikit air sungai yang dianggap suci pada hari yang ketiga
belas, dan kami akan meminum sedikit air 'suci' itu.
Apabila upacara kematian itu sudah selesai, Mayadin datang ke rumah kami.
Dia mempunyai wajah yang menyerupai muka cicak: hidungnya yang leper
mempunyai dua biji lubang hidung yang besar dan mata seorang kaki-pembohong.
Dia memanggil ayah dengan panggilan yang beradab - Chacha - ataupun paman!
"Sekarang Chacha adalah ketua keluarga kita," katanya. "Saya tidak ambil
peduli apa yang telah ayah saya lakukan. Saya tidak mahu terus hidup seperti
itu. Mulai hari ini kita menjadi satu keluarga semula." Ibu bapaku merasa terharu dengan pengakuan itu. Ibu tersenyum, dan setiap
kali dia tersenyum mukanya akan bersinar dengan serta merta. Dia merasa
lega, mungkin memikirkan dia tidak perlu membalun kami lagi disebabkan
Bihari. Ibu mempunyai perasaan seolah-olah Mayadin akan memberikan bahagian
tanah yang sepatutnya menjadi hak kami. Aku merasa seronok mendengarkan
perbualan antara ayah dan Mayadin yang duduk berduaan di atas khat di
halaman rumah. Memang tidak pernah terbayangkan senario seperti itu.
Ayah telah memberitahu anak saudaranya niat beliau mahu memotong pohon neem
yang sudah lama ditanamnya. Itulah pohon yang ditanam pada tanah seluas tiga
bighah kepunyaannya. Pangkal pokok itu begitu besar sehinggakan aku, Rukmini
dan Choti terpaksa bersambung tangan untuk memeluknya. Ayah memberitahu dia
yakin dapat menjual kayu tebangannya (sekitar satu ribu rupee) untuk
dijadikan dauri perkahwinan aku.
"Chacha boleh jual pokok itu. Malahan dari mengerjakan ladang di kachwari
ataupun menyewa tanah orang, Chacha boleh berladang di tanah saya dan
menerima upahnya," kata Mayadin lagi. "Sambil menunggu hasil tuaian, saya
akan bayar Chacha setiap bulan dalam bentuk bijirin Saya akan sediakan akaun
yang sempurna dan menantikan kemunculan musim menuai untuk membereskan
semuanya." Ayah menarik nafas panjang dan merasakan lega di hatinya. Kami akan mendapat
bekalan makanan secukupnya. "Aku bersyukur," kata ayah dengan hormatnya. "Keluarga isteriku sudah
menerima cadangan perkahwinan untuk Phoolan. Orang itu adalah seorang duda
yang tinggal di Mahespur. Keluarganya baik untuk menjadi keluarga terbaru
untuk Phoolan." Anak buahnya itu semakin ghairah bersetuju dengan apa sahaja yang
dicadangkannya. "Saya akan bantu dengan segala persiapan. Chacha, saya akan atur
'kanya-daan'. Phoolan akan menerima sambutan perkahwinan yang hebat!"
Rupanya aku akan dikahwinkan!!!!!
Akupun mula terbayangkan majlis perkahwinan yang akan mengambil masa
lama-lama seperti yang dinikmati oleh Rukmini dan suaminya. Aku terbayang
mamakai sehelai sari yang indah dan mengenakan alat perhiasan emas dan
gelang serta melihatkan sajian makanan yang lazat-lazat. Kemudian, suamiku
akan pulang ke kampungnya seperti yang dilakukan oleh suami Rukmini. Ini
membolehan aku dan Choti bermain dengan anak patung kami pada majlis
perkahwinan itu. Ibu pernah sekali menceritakan bagaimana paman Bihari menyambut majlis
perkahwinannya. Dia menyewa enam ekor gajah untuk rombongan baraat dan mahu
semua orang tahu betapa kayanya ketika itu. Memang dia kaya, tetapi setelah
mencuri harta pusaka adiknya yang juga merupakan ayahku. Kini anaknya mahu
membetulkan kesilapan dulu-dulu. Ayah akan berjaya menjual pokok neem dan
mengerjakan ladang pusaka ayahnya untuk mengongsi hasil tanamannya. Aku mahu
pergi ke kuil untuk mengucapkan terima kasih kerana apa yang akan dilakukan
oleh Mayadin. Aku telah membuat keputusan setelah mengkaji irasnya, dia
tidak mempunyai rupa seorang bajingan seperti yang ada pada mendiang
bapanya. Hidungnya memang besar laksana paruh seekor helang, dan ketika dia
tersenyum dia menampakkan satu mulut yang luas. Dia mudah merapatkan
tangannya sebagai tanda hormat kepada ayah, sambil mengulang-ulang betapa
ayah sekarang sudah menjadi ketua keluarga kami. Cara bercakapnya pun
menunjukkan dia memberi hormat kepada orang yang lebih tua.
"Kalau orang itu seorang duda, dauri pun akan kurang Chacha! Ini adalah satu
urusan yang bijaksana," katanya. Ayah mengaggukkan kepalanya. "Namanya ialah Putti Lal. Mendiang isterinya
dulu datang daripada keluarga isteri aku, Moola. Makcik kamu akan ke sana
merundingkan baraat bersama adik beradiknya. Tukang telek akan menentukan
tarikh yang baik untuk 'teeka'." Pada hari itu ayah akan pergi ke rumah bakal suami aku untuk menghulurkan
sebahagian dauri perkahwinanku. Ayah juga akan mencecahkan tanda warna merah
tua di tengah-tengah dahinya. Aku berlari keluar menikmati hujan yang turun mencurah-curah. Titisan air
turun laksana butiran bijian daripada hujung hidungku yang besar. Akupun
teringatkan titisan jus yang keluar daripada batang pokok neem. Itulah pokok
kebanggaan keluarga kami yang mempunyai daun yang kehijauan dan mengeluarkan
kuntuman bebunga yang kecil dan kuning warnanya. Memang terdapat pokok neem
yang lain di kampung itu, tetapi pokok yang ini adalah lebih istimewa kerana
kamilah yang memilikinya. Inilah pokok neem yang akan dijual untuk dijadikan
bayaran dauri perkahwinanku. Aku berlari sehingga penghujung jalan melepasi
rumah sepupuku Mayadin, dan menuruni satu lorong di ladang untuk mendapatkan
pokok neem kebanggaanku. Aku buka tangan untuk mendakap batang pokok itu.
Aku terasakan kehilangan buah-buah yang akan keluar daripada pokok itu,
kekuningan laksana mentari yang mempunyai bauan laksana sebiji bawang. Tupai
terpaksa pergi ke pokok lain untuk mencari tempat pengganti. Bayangkan
betapa banyak rupee hanya untuk satu batang pokok neem, tetapi itulah raja
segala pokok dan usianya pun lebih tua daripada umurku.
Terjemahan: SPAR 10.
|