Laman Webantu KM2A1: 5188 File Size: 21.5 Kb * |
TAG SP 242: B4 - Perjalanan Yang Panjang [Mandela] By Nelson Mandela 9/8/2001 12:05 pm Thu |
[Setiap perjuangan itu mestilah ada titik ia berputar
(turning point) jika tidak ia akan selamanya hambar. Adat
resam Xhosa menitik-beratkan proses berkhatan agar ia
memberi kesan yang mendalam kepada mereka yang berkenaan.
Sebab itulah mereka tidakpun diberi bius agar berani menghadapi
cabaran dengan penuh kejantanan menahan rasa kesakitan.
Berkhatan itu sebenarnya satu perjuangan juga untuk menewaskan
ketakutan dalam diri. Jika kita perhatikan budaya Xhosa ia penuh dengan majlis tradisi
yang bukan sahaja mengandungi elemen hiburan malah beberapa
pengajaran yang berguna untuk mendidik anak-bangsa. Dan kerapkali
majlis itu tidak sah tanpa satu ucapan atau ceramah bersemangat dari
generasi tua. Patutlah Mandela begitu sabar, matang dan petah berbicara
kerana dia didedahkan oleh budaya begitu sejak dari mula. Dengan
berbekal pengalaman itu dia mampu bertahan walaupun bertahun-tahun
dipenjara dan akhirnya membebaskan negaranya! Dia sudah dilatih
secukupnya.... Sekarang lihatlah keadaan masyarakat kita hari ini dimana ceramah
tidak digalakkan. Kita gagal menjulang isu dan sentiasa hidup tertipu.
- Editor] Bab 4 Apabila usia saya mencecah enam belas tahun, Regent membuat keputusan bahawa
sudah tiba masanya saya merasmikan kedewasaan saya. Mengikut tradisi Xhosa,
perkara ini dapat dilaksanakan hanya dengan satu cara sahaja; saya mesti
berkhatan. Memang mengikut adat resam kami, seorang lelaki yang belum
berkhatan tidak boleh mewarisi harta peninggalan bapanya, tidak boleh
berkahwin ataupun mengambil bahagian dalam majlis adat resam. Seorang lelaki
Xhosa mencetuskan kontradiksi dari segi dia belum dianggap seorang lelaki,
masih dianggap seorang budak yang baru dewasa sahaja. Kaum Xhosa menganggap
majlis berkhatan sebagai satu lambang penghormatan kaum lelaki mendewasa
dalam masyarakatnya. Majlis berkhatan itu bukan setakat satu bentuk acara
pembedahan kecil semata-mata, tetapi adalah satu bentuk ritual yang
menyeluruh untuk menyambut kemunculan kelakian seseorang. Sebagai seorang
Xhosa, saya mengambil kira permulaan usia saya sebagai seorang yang dewasa
pada hari saya telah dikhatankan. Upacara besar mengikut segala adatnya telah diatur untuk Justice, anak
lelaki kepada Regent. Kami yang menemaninya hanyalah merupakan sebagai
menumpang sahaja pada hari keraian itu. Terdapat dua puluh lima penumpang,
yang terpaksa pergi ke satu tempat khas untuk dikhatankan. Pada awal tahun
itu kamipun pergi menuju ke dua buah pondok beratapkan rumput kering yang
terletak di satu lembah yang sunyi bersebelahan tebing Sungai Mbashe. Tempat
itu mempunyai nama khas yang disebut 'Tyharlaha'. Itulah tempat tradisi yang
dijadikan tempat berkhatan yang dikhaskan kepada raja-raja Thembu. Waktu itu
memang penuh maknanya, dan saya merasakah keceriaan kerana turut serta dalam
adat istiadat bangsa dan bersedia melalui satu peralihan hidup daripada
zaman kanak-kanak dan remaja untuk memasukki gerbang kelakian dan
kedewasaan. Kami telah berada di Tyharlaha di tebing sungai itu beberapa hari sebelum
pelancaran istiadat berkhatan. Kami menghabiskan zaman keanak-anakan itu
bersama kumpulan yang sebaya dan menikmati pelbagai peristiwa yang akan
dirakamkan untuk hari dewasa. Pondok penginapan terletak tidak berapa jauh
daripada rumah kediaman Banabkhe Blayi, seorang pemuda yang paling kaya dan
paling popular yang turut serta untuk dikhatankan. Dia memang tangkas dan
tanpan, merupakan seorang juara mainan pedang kayu dan mempunyai barisan
gadis sunti yang meminatinya dan membekalkan pelbagai jenis manisan.
Walaupun dia tidak boleh menulis dan membaca, Blayi merupakan pemuda yang
paling pintar di kalangan kami. Dia menghiburkan kami dengan pelbagai cerita
akan perjalanannya ke Johannesburg, satu tempat yang tidak adapun antara
kami yang lain pernah menjejakkan kaki. Dia menghiburkan kami dengan cerita
perlombongan sehingga ada antara kami yang terpesona. Dia hampir mengerakkan
saya menjadi seorang pekerja lombong apabila dia berkata bahawa adalah lebih
seronok menjadi seorang pekerja lombong daripada seorang anak raja. Pekerja
lombong memang mempunyai satu macam kudrat berazimat. Untuk menjadi seorang
pekerja lombong seseorang itu harus kuat dan nekad dan inilah unsur-unsur
kelakian setiap insan. Lama kemudiannya barulah saya sedar betapa kisah
dongeng budak-budak seperti Banabakhe yang membuat dan mendorong ramai
anak-anak muda lari daripada kampung untuk bekerja di lombong-lombong yang
berserakan di Johannesburg, di mana mereka akhirnya hilang kesihatan dan
nyawa. Pada waktu dulu-dulu, bekerja di lombong mempunyai kehebatan yang
sama gahnya dengan upacara melalui pondok berkhatan, sehinggakan ia menjadi
satu metos kepada tuanpunya lombong lebih hebat lagi daripada memberikan
manfaat kepada para pekerjanya. Sudah menjadi adat di pondok berkhatan itu, setiap calon yang akan
dikhatankan, perlu menunjukkan keberaniannya sebelum menjalani istiadat
disunatkan. Pada zaman dahulukala, cara penonjolan keberanian mungkin
termasuk mencuri lembu orang ataupun turut serta dalam peperangan. Tetapi
apabila tiba giliran kami, contoh keberanian itu hanya berbentuk keseronokan
sahaja. Dua malam sebelum kami berpindah ke pondok Tyharlaha, kami
bersepakat untuk mencuri seekor khinzir. Di Mkhekezweni ada seorang petani
tua yang menternak khinzir dan memiliki seekor khinzir yang gemuk badannya.
Untuk mengelakkan membuat bising dan menyedarkan tuanpunya ladang, kami
telah merencanakan agar khinzir itu membantu usaha kami. Kami telah mengaut
beberapa seredak gandum daripada tungku dapur yang membuat bir di kampung.
Kami menyusun seredak itu dalam satu barisan di bahagian angin bertiup
sehinggakan dapat dihidu semerbak bauan seredak itu. Memanglah hampas gandum
hasil kukusan bir mempunyai bauan yang harum sehinggakan khinzir yang
menghidunya akan mencari longgokan seredak ataupun hampas itu. Khinzir
itupun keluar daripada kraal dan mencarinya sambil terhuyung-hayang
mengikuti barisan yang disediakan sambil menyondol dan memakan hampas yang
dijumpainya. Apabila ia menghampiri kami, kami pun menangkapnya dan
menyembelihnya untuk dipanggang dan dinikmati di bawah kerlipan bintang dan
cahaya purnama. Tidak ada sebahagianpun khinzir panggang yang lebih nikmat
rasanya daripada yang kami panggang, sebelum itu ataupun selepasnya.
Malam mendahului hari berkhatan itu telah disambut dengan satu majlis di
pondok dengan nyanyian dan tarian. Kaum wanita datang daripada kampung
berdekatan dan kamipun bertandak mengikut rentak tepukan tangan mereka.
Tatkala irama menjadi pantas dan nyanyian semakin jelas, tarian kami semakin
rancak dan menggila sehinngga terlupakan apa yang akan terjadi pada keesokan
harinya. Ketika fajar menyinsing dan bintang masih berkerlipan di langit biru,
kamipun memulakan persiapan. Kami ditemani merendamkan diri dalam sungai
yang masih sejuk rasanya, dan itulah bermulanya upacara yang melambangkan
pembersihan kami. Upacara sebenar bermula pada tengah hari, dan kami
diarahkan berbaris di satu kawasan lapang tidak jauh dari tebing sungai dan
juga tidak jauh daripada kumpulan manusia yang merupakan ibu dan bapa serta
sanak saudara termasuklah regent yang ditemani oleh majlis penasihatnya.
Kami mengenakan satu gebar yang menyelimuti badan. Upacara bermula dengan
kami duduk di tanah dengan kaki terbuka mengangkang sambil diiringi oleh
paluan gendang. Saya merasakan ketegangan waktu itu memikirkan apa
sebenarnya yang akan berlaku. Kami tidak sepatutnya menjerit ataupun
merintih kerana sebarang pertanda itu akan melambangkan bahawa kami belum
bersedia untuk digelar lelaki dewasa. Saya bernekad tidak akan mengaibkan
diri, keluarga dan juga suku-sakat saya ataupun penjaga saya. Upacara
berkhatan adalah satu ujian keberanian dan kejantanan; tidak ada ubat bius
digunakan dan seorang lelaki yang dewasa harus menahan keperitan ataupun apa
sahaja tanpa sebarang suara. Di bahagian sebelah kanan, saya dapat melihat dengan ekor mata saya seorang
tua yang kurus badannya, muncul daripada sebuah pondok dan melutut di
hadapan budak yang pertama. Terdengar sedikit keriangan di kalangan kumpulan
manusia yang ada, dan saya mula merasakan kecemasan kerana menyedari upacara
berkatan sudahpun dimulakan. Orang tua itu terkenal sebagai seorang
'ingcibi' ataupun mudim yang pakar menyunat. Beliau datang daripada
Gcalekaland, yang menggunakan 'assegai' pisau cukurnya yang menukarkan
status kami daripada budak-budak menjadi dewasa dengan sekali rap hirisannya
sahaja. Tiba-tiba saya mendengar budak yang pertama menjerit 'Ndiyindoda!' ('Akulah
seorang lelaki!'). Inilah laungan yang telah diajarkan kepada kami sebaik
sahaja terhiris sebahagian kulup yang di bahagian bawah itu. Sejurus
kemudian terdengar suara Justice melaungkan perkataan yang sama. Masih ada
dua orang budak lagi sebelum tok mudim akan melawat saya. Fikiran saya sudah
tentu merewang sehinggakan saya tidak sedar ketikanya tok mudim itu datang
melutut berdepan. Saya tenung wajahnya di depan mata. Wajahnya pucat.
Walaupun waktu itu masih sejuk lagi, wajahnya berkilat kerana beliau sudah
berpeluh. Gerak tanganya bertindak pantas seolah-olah ada satu kuasa ghaib
yang membantu. Tanpa sebarang perkataan, dia menarik kulup saya untuk
memanjang ke depan, dan dengan satu gerak yang pantas menggunakan 'assegai'
nya, dia menghayunkan mata pisau itu untuk menghiris apa yang diperlukannya.
Saya merasakan ledakan api memasuki urat saraf saya. Kepedihan muncul begitu
mendadak sehinggakan saya menikam dada dengan dagu. Beberapa saat mungkin
sudah berlalu barulah saya teringatkan laungan 'Ndiyindoda!!!!'
Saya memandang ke bawah, dan menyaksikan satu hirisan yang sungguh rapi,
bersih dan bulat lasana sebentuk cincin. Namun saya merasa malu kerana
budak-budak yang lain telah menunjukkan keberanian mereka lebih hebat lagi
daripada saya; mereka telah melaungkan perkataan keramat itu dengan lebih
cepat dan penuh keyakinan. Saya merasa tertekan kerana saya telah
terbawa-bawa keperitan dan kesakitan yang menyerang secara mendadak itu,
namun saya terus selindungkan kesakitan yang ditanggung. Seorang budak
memang mudah menangis, tetapi seorang lelaki merahsiakan kepedihan yang
ditanggungnya. Saya sudahpun menyempurnakan langkah-langkah kemestian dalam tatasusila
kehidupan lelaki Xhosa. Saya sudah boleh berkahwin, mengusahakan pondok
kediaman sendiri, dan membajak ladang tanaman sendiri. Saya sudah layak
menjadi ahli majlis masyarakat dan suara saya sudah boleh laku untuk
mengeluarkan pendapat. Pada majlis rasmi itu sayapun diberikan nama baru
yang berbunyi 'Dalibhunga' yang bermakna 'Pengasas Bungha', inilah nama satu
majlis adat di Transkei. Secara tradisinya, kaum Xhosa memberikan
kepentingan kepada nama selepas upacara berkhatan berbanding nama-nama lain
sebelum itu, Rolihlahla ataupun Nelson. Saya menjadi bangga apabila nama
baru saya disebut ketika itu: Dalibhunga.
Sebaik sahaja tok mudim menghayun sekali rap untuk menghiris, seorang
pembantu yang mengikutinya selepas itu telah mengambil kulit hirisan yang
tercampak di bumi dan mengikatnya pada bucu gebar kami. Tempat yang luka
diubati dengan menyapu satu batang pohon yang menjadi penawar bisa. Dedaun
pohon itu semacam berduri di bahagian luar tetapi lembut dan menyejukkan di
bahagian dalam, sehingga mampu menyerap titisan darah ataupun lilihan yang
lain. Di akhir upacara, kami dibawa ke pondok untuk berehat. Dalam pondok itu
terdapat satu unggun api yang membakar kayu basah yang mengeluarkan kepulan
asap yang dikatakan membantu proses memulihkan keadaan kami. Kami dipaksa
berbaring telentang di atas lantai dengan satu kaki memanjang dan satu kaki
dibengkokkan. Kami sudah bergelar 'abakwetha' yakni peserta yang memasuki
gerbang dewasa. Kami diawasi oleh seorang 'amakhankatha' ataupun penjaga,
yang diberi tugas memberikan penerangan apa yang patut dilakukan kalau-kalau
kami mahu meneruskan zaman kelakian itu secara lebih sempurna. Tugas pertama
'akhankataha' itu ialah menyapu satu badan yang sudahpun dilumur
keseluruhannya dengan pewarna keputihan, sehingga badan kami kelihatan
semacam hantu. Kapur putih itu adalah lambang kesucian, dan saya masih
teringatkan betapa kejangnya rasa tanah liat putih yang mengeras di badan.
Pada malam pertama dalam pondok itu seorang pembantu atau dipanggil
'ikhankatha' merangkak merata pondok itu berbisik di malam buta supaya kami
bangun dan membuka mata. Kami diarahkan keluar daripada pondok itu untuk
mencari tempat menyembunyikan kulit hirisan upacara khatan. Alasan tradisi
kepada amalan ini ialah kami mesti menyorokkan kulit yang berbaki itu
daripada dicuri oleh bomoh yang menggunakannya untuk upacara songsang.
Tetapi secara simboliknya, kami diarahkan menanam cebisan zaman keanakan
kami. Saya tidak suka meninggalkan pondok yang panas dan selesa itu
semata-mata untuk meraba-raba dalam gelap gelita. Namun saya keluar juga
mencari pokok-pokok yang ada dan selang beberapa langkah saya menanggalkan
kulit menyerupai cincin itu dan menanamnya di bumi. Saya dapat rasakan satu
perasaan betapa saya sudahpun membesar dan meniggalkan zaman remaja saya.
Kami menetap dalam dua pondok itu, tiga belas orang dalam satu pondok.
Setiap kali keluar pondok itu badan kami diselimuti gebar, kerana kami tidak
boleh menayangkan badan untuk dilihat oleh perempuan. Inilah masanya seperti
satu tempoh pertapaan, di mana kami bersiap sedia dengan cabaran kelakian
yang mungkin di hadapi di masa depan. Apabila tiba waktu merasakan
kebebasan, kamipun merendamkan diri di pagi hari menyuci keputihan yang
menyelaputi kesan luka dengan membersihnya menggunakan air Sungai Mbashe.
Setelah bersih dan kering, kami dilumur pula dengan pewarna kemerahan.
Mengikut tradisinya, seseorang yang sudah sempurna berkhatan, harus meniduri
seorang perempuan yang kemudian menjadi seorang isteri dan isterinya yang
akan mengikis selaputan warna dengan geselan tubuhnya. Dalam kisah saya,
segala pewarna itu telah dikikis dengan menggunakan satu campuran lemak
haiwan. Setelah tamat upacara itu, pondok dan segala isi yang tertinggal di dalamnya
dibakar, sebagai lambang tertanamnya segala zaman keremajaan kami. Upacara
ini disusuli pula oleh satu majlis besar yang menerima kemasukan kami
sebagai orang dewasa. Semua ahli keluarga kawan dan taulan, telah berkumpul
bersama orang besar-besar tempatan untuk temasya mendengar ucapan, nyanyian
dan tarian. Saya telah menerima dua ekor lembu tenusu dan empat ekor
kambing, dan merasakan diri ini sudah menjadi lebih kaya daripada hari-hari
sebelumnya. Saya, yang tidak pernah memiliki apa-apa sudahpun mempunyai
harta dunia. Memang menyeronokkan, walaupun jika dibanding dengan apa yang
diberikan kepada Justice. Dia adalah seorang anak raja yang diberikan
warisan seluruh kandang dan kumpulan ternakan. Justice adalah seorang anak
raja sedangkan saya hanya ditakdirkan menjadi penasihat kepada raja. Saya
merasa gagah dan bangga pada hari itu. Saya masih ingat berjalan berbeza
daripada biasa pada hari itu; lebih tegak, tinggi dan lebih begaya. Ketika
itu saya semakin mengharapkan agar satu hari nanti saya mempunyai kekayaan,
harta dan pangkat. Ucapan utama pada majlis itu telah dituturkan oleh Chief Meligqili, anak
kelahiran Dalindyebo. Selepas mendengarkan ucapannya impian saya yang
sungguh berwarna-warni pada hari itu bertukar rupa menjadi kelam dan suram.
Dia memulakan ucapannya secara selamba sahaja. Mengimbau tradisi silam dia
telah memuji amalan mengekalkan adat resam bangsa. Tetapi apabila dia
mengarahkan muka yang lebih serius kepada kami dia berkata: "Lihat..... di
sana duduknya anak-anak lelaki kita," katanya. "muda, kacak dan sihat,
kuntuman bunga bangsa Xhosa, kebangganan negara kita. Kita baru sahaja
mengkhatankan mereka mengikut tradisi yang menjamin kelakian mereka. Tetapi
biarlah aku katakan di sini bahawa semua itu adalah satu ilusi, janji palsu
yang tidak dapat diisi. Kita orang-orang Xhosa seperti seluruh Afrika
Selatan ini adalah satu bangsa yang telah dijajah. Kita sudah menjadi hamba
abdi dalam tanah air kita sendiri. Kita sudah bertukar menjadi penyewa di
atas bumi kita ini. Kita tidak punyai kuasa, tenaga, kekuatan dan pengawalan
menetukan masa depan dan destini kita dalam negara kelahiran kita sendiri.
Mereka akan pergi ke bandar-bandar besar, untuk hidup merempat di
perkampungan setinggan dan meminum air setan yang murah. Semua ini akan
berlaku dan telah berlaku kerana kita tidak mampu memberikan mereka tanah
untuk mereka bertani dan berdikari dan naik mewah dan berkembang dengan
megah. Mereka akan terbatuk daripada hulu hati mereka jauh dalam lubuk
lombong-lombong orang putih, memusnahkan kesihatan mereka tanpa melihat
pancaran suria kerana orang putih boleh merasakan nikmat hidup yang tidak
ada tolok bandingnya. Antara anak-anak muda ini adalah ketua kaum yang tidak akan memerintah
kerana kita tidak punyai kuasa untuk memerintah diri kita sendiri, ada askar
yang tidak akan berlawan di medan perang kerana kita tidak punyai senjata
kelengkapan perang, pendidik yang tidak boleh mengajar kerana kita tidak
punyai tempat untuk mereka belajar. Segala keupayaan, kebijaksanaan, dan
bakat-bakat anak-anak muda ini akan hilang ditelan masa dalam usaha mereka
cuba melaksanakan tugas yang paling mudah bagi pihak orang putih. Semua
hadiah yang kita berikan hari ini tidak membawa sebarang makna, kerana kita
tidak mampu memberikan hadiah yang lebih bermaka; yakni kebebasan dan
kemerdekaan. Saya tahu betapa Qamata (Tuhan) tidak pernah tidur dan sentiasa
melihat. Tetapi, saya mengsyaki Qamata mungkin terlelap seketika. Kalau
inilah hakikatnya saya rela mati, lebih cepat lebih baik lagi, supaya aku
boleh kejutkan dia dan suruh dia bangkit untuk memberitahu bahawa anak-anak
Ngubengcuka, bunga negara Xhosa sedang melarat menunggu mati."
Manusia yang hadir, senyap dan sunyi mendengarkan ucapan Chief Meligqili,
tetapi mereka sebenarnya mempunyai perasaan yang semakin marah dalam hati.
Tidak ada siapa yang bersedia mendengarkan kata-katanya pada hari itu. Saya
sendiripun tidak bersedia mendengarnya. Saya naik marah dengan kata-katanya
kerana saya memikirkan beliau tidak menghargai pendidikan yang dibawa oleh
penjajah orang putih yang dibawa masuk ke negara ini. Pada ketika itu saya
menghormati orang putih bukannya sebagai penjajah tetapi sebagai dermawan,
dan saya fikir ketua itu memang tidak tahu bersyukur. Ketua kaum yang
celupar ini telah menjejaskan rasa keriangan diri saya dan mencemarkan
perasaan riang ria dengan ucapannya. Akan tetapi, tanpa saya menyedari apa sebabnya, perkataan yang dituturkannya
itu mula bergelodak dalam fikiran saya. Dia telah menaburkan benihnya,
walaupun segala benih itu tinggal berderai untuk satu musim yang panjang,
akhirnya ia mula bercambah juga. Barulah muncul satu kesedaran betapa orang
yang dungu dan bodoh ketika itu bukannya chief itu tetapi saya sendiri.
Selepas upacara itu, saya berjalan ke tebing sungai dan melihatkan anak
sungai itu menjalar dan menghilir mencari takdirnya sehingga membesar di
muara untuk mencurahkan airnya bertembung Lautan Hindi. Saya tidak pernah
menyeberangi sungai itu dan tidak mengerti dan tahu apa sebenarnya terletak
di sebalik sana, tetapi itulah dunianya yang seolah-olah menggamit citarasa
saya ketika itu. Hari sudah semakin petang dan saya mempercepatkan langkah
ke arah pondok kami bertapa dulu. Mengikut adat, tidak dibenarkan
berpatah-balik atau menoleh ke arah pondok yang terbakar itu. Tetapi saya
tidak dapat menahan keinginan melihatnya. Tatkala sampai di tempat yang
sudah terbakar itu, saya dapat melihat hanya dua unggun debu yang berbentuk
piramid, di samping sebuah pokok mimosa (petai) yang besar. Dalam longgokan
debu itu tersorok satu hikayat dunia yang sungguh indah, itulah dunia
kanak-kanak dan remaja saya yang silam yang penuh warna warni dan itulah
kehidupan yang saya lalui di Qunu dan juga di Mqhekezweni. Saya sudahpun
diiktiraf besar dan dewasa. Saya tidak lagi akan bermain 'thinti' ataupun
mencuri jagung untuk dibakar, ataupan memicit tetek lembu untuk mendapatkan
susu segar. Saya sudahpun berkabung mengimbau zaman muda. Sambil mengimbau
semua itu saya sedar saya bukanlah begitu dewasa ketika itu, dan tidak akan
terus menjadi seorang lelaki yang benar-benar dewasa untuk beberapa tahun
yang menyusulinya. ....bersambung.... Terjemakan: SPAR-11
|