Laman Webantu KM2A1: 5189 File Size: 5.5 Kb * |
TAG SP 243: Rancangan Untuk Mengharamkan PAS? By eS 9/8/2001 5:30 pm Thu |
[Mahathir mengatakan beliau mempunyai cukup bukti terhadap
anak TG Nik Aziz tetapi kenapa tidak dikemukakan sahaja bukti
itu? Sebaliknya beliau ditangkap melalui ISA dulu seperti Anwar -
sekaligus membayangkan bukti itu terlalu samar.
Kalaulah benar ahli KMM melakukan pembunuhan dan rompakkan bank
itu tidak bermakna ketua KMM turut terbabit kerana ada kemungkinan
SB sendiri menyelinap dalam KMM sebagai pengintip tidur (sleeping
spy) untuk mengenakan Nik Adli. Kerajaan perlu membuktikan Nik
merestui semua ini tanpa diragui. Sebab itulah ISA digunakan agar
dapat dicipta beberapa bukti. Kerajaan sepatutnya mendedahkan tunjang tubuh (dasar) KMM itu terlebih
dahulu sebelum bertindak menangkap tidak menentu. Menyalahkan pemimpin
kerana ahli yang menyeleweng (jika benar) adalah amat tidak patut kerana
polis dan askar sendiri terbabit dalam jenayah terancang di negara ini.
Semakin lambat kerajaan tampil dengan bukti semakin lemahlah sangkalan
kerajaan itu. Oleh kerana isu negara Islam baru berlalu dan ceramah tidak
dibenarkan baru-baru ini, nampak benar kerajaan seperti merancang untuk
membunuh PAS jika perlu. Oleh: eS Walau bagaimanapun, saya merasa amat bimbang pada hari ini, membaca
tulisan saudara Ahmad Abdullah. Beliau menulis dari Turki seperti
berikut : 'Pas dan parti-parti pembangkang dapat terus hidup disebabkan
demokrasi liberal kami. Barangkali, kita perlu mempertimbangkan semula
atau adalah lebih baik untuk kita mengamalkan pada dasarnya demokrasi
ala Malaysia, dengan beberapa pengubahsuaian kepada tradisi liberal
yang sedia ada, seperti demokrasi terpimpin di Hong Kong dan
Singapura.' Saya tidak begitu pasti tentang apa yang dimaksudkannya, kerana,
seperti yang kita sedia maklum, kita sudahpun berada di dalam satu
sistem demokrasi tidak liberal. Adakah beliau membayangkan bahawa kita
perlu terus dinafikan saki-baki yang tinggal sedikit sahaja itu? Saya
bimbang sesuatu yang lebih teruk dari itu. Oh ya, tentera Turki telah
menggulingkan kerajaan pimpinan Islam pada tahun 1997, dan kemudian,
terus mengharamkan parti Islam; ia juga menghalang pemimpin Islam,
Erbakan yang berkarisma, dari bertanding di dalam pilihan raya Turki
selama 5 tahun. Mengkaji dari sudut pandangan itu, apakah yang cuba disampaikan oleh
Encik Ahmad Abdullah? Haramkan PAS? Sumbatkan para pemimpinnya ke
dalam penjara? Beberapa hari yang lalu, beberapa orang aktivis PAS - termasuk anak
lelaki Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan - telah ditahan di bawah Akta
Drakonian ISA (yang membenarkan penahanan tanpa bicara). Dikatakan
bahawa mereka mempunyai kaitan dengan KMM, sebuah kumpulan militan,
yang kewujudannya masih belum dapat dibuktikan sehingga kini. Dr.
Mahathir, walau bagaimanapun, kelihatan begitu berminat sekali dengan
isu ini, diperlihatkan pada hari ini bahawa beliau mempunyai bukti
penglibatan Nik Adli dalam gerakan militan. Semoga, harapan kita,
bukti tersebut bukanlah sepertimana bukti yang pernah beliau kemukakan
untuk mensabitkan kesalahan Anwar Ibrahim.
Apa juga yang ada (atau mungkin ada) dalam fikiran Dr.M, jangan
sekali-kali kita lupa tentang nasib yang menimpa Turki. Di sebalik
semua kelebihan yang ketara itu, Turki masih dilanda masalah - korup,
tidak liberal dan ekonomi yang tidak menentu. Apa juga yang telah
dilakukan oleh parti Islam, mereka memang telah berusaha untuk
menghapuskan korupsi, dan ramai yang mengatakan, pemerintahan mereka
adalah agak memuaskan - jauh lebih baik, sudah tentu, dari
kerajaan-kerajaan yang muncul selepas itu. Tetapi, malangnya, pihak
militari (tentera) membuat keputusan untuk mengharamkan parti tersebut
kerana memberikan kebebasan memilih kepada para wanita di dalam isu
memakai tudung. Kembali semula ke Malaysia. Kita masih tidak pasti sekiranya kumpulan
militan memang sedang merancang untuk menggulingkan kerajaan yang
dipilih; sekalipun jika perkara ini memang wujud, tidak dapat pula
dipastikan jika mereka benar-benar merupakan satu ancaman kepada
keselamatan negara. Merompak bank dan membunuh seorang wakil rakyat,
pada pandangan saya, tidak merupakan satu ancaman kepada keselamatan
negara. Mereka yang terlibat di dalam aktiviti-aktiviti jenayah
seperti itu perlu diambil tindakan seperti yang sewajarnya; ini
merupakan jenayah-jenayah biasa, dan patut didakwa di mahkamah yang
terbuka, dan diaibkan. Menganggap mereka sebagai militan pelampau
agama akan membawa lebih banyak keburukan dari kebaikan, mewujudkan
militan masa hadapan yang berazam untuk menunaikan 'suruhan' tuhan.
|