Laman Webantu KM2A1: 5194 File Size: 16.4 Kb * |
TAG SP 245: B5 - Perjalanan Yang Panjang [Mandela] By Nelson Mandela 10/8/2001 3:49 pm Fri |
[Mandela nampaknya begitu peka dan menganalisa watak pelbagai
orang yang didampinginya dan cuba memahami mengapa mereka
berperilaku begitu (character study and analysis). Beginilah
sepatutnya sifat seorang pemimpin - bukannya asyik mengkritik
orang lain tetapi tidak pula cuba mendampingi dan memahami mereka.
Lihatlah bagaimana Mandela tidak mempersiakan semua pengalamannya
dan dia mengkaji apa sahaja termasuk sistem yang membentuk dirinya
(ciri-ciri sekolah, majlis, budaya, perbualan, ceramah, sikap dsb).
Patutlah beliau amat disenangi oleh ramai pihak dan akhirnya dapat
menyelesaikan masalah terbesar negaranya - apartheid.
- Editor] Bab 5 Berbeza dengan kebanyakan mereka yang bersama saya ketika berkhatan dulu,
memang bukannya takdir untuk saya membesar dan bekerja di lombong emas
kepunyaan orang putih di Reef. Regent pernah memberitahu, "bukannya kerja
kamu untuk berpeluh di dalam lombong emas orang putih dan tidakpun tahu
menulis nama sendiri." Saya telah direncanakan untuk menjadi seorang ahli
Majlis Sabata dan kerana itu saya mesti menerima pendidikan yang baik-baik.
Saya pulang ke Mqhekezweni selepas upacara itu, tetapi bukan untuk satu masa
yang lama kerana saya terpaksa menyeberangi Sungai Mbashe untuk pertama kali
memasuki Clarkebury Boarding Institute dalam daerah Engcobo.
Saya akan keluar rumah lagi, kali itu saya memang ghairah mahu mengetahui
bagaimana agaknya saya mengharungi hidup dunia luar. Regent telah membawa
saya ke Engcobo dengan memandu sendiri keretanya - Ford V8. Sebelum
bertolak, baginda sudahpun mengadakan satu majlis keraian menyambut
kelulusan saya melepasi Standard V dan peristiwa diterima masuk oleh
Clarkebury. Seekor biri-biri telah dikorbankan dan majlis itu disulami
dengan nyanyian dan tarian - itulah upacara sambutan yang pertama yang saya
rasakan sebagai menghormati diri saya dan sudah tentu saya merasa seronok
menikmatinya. Regent telah menghadiahkan satu pasang kasut but kepada saya.
Itu merupakan pertanda saya sudah membesar sebagai seorang lelaki dewasa dan
pada malam itu saya telah menggosoknya walaupun but itu memang sudah
berkilau kerana masih baru lagi. Clarkebury Institute telah diasaskan pada 1825, dan diletakkan di tapak lama
salah satu mission Wesleyan di Transkei. Pada waktu itu Clarkebury merupakan
institusi pendidikan yang paling tinggi untuk pribumi Afrika di Thembuland.
Regent sendiripun pernah belajar di Clarkebury, dan Justice sudahpun
mengikuti jejak langkahnya. Ia memberikan pendidikan sekolah menengah dan
juga menjadi sebuah maktab latihan perguruan. Di samping itu ia juga
menawarkan kursus dalam ilmu praktikal seperti pertukangan kayu, jahitan dan
tukang-ayan. Sepanjang perjalanan, Regent telah menasihatkan agar berperangai senonoh dan
juga mengenai masa depan saya. Dia mahukan saya berkelakuan baik untuk
menjaga nama Sabata dan juga nama-baiknya, dan saya memberikan janji itu.
Kemudian dia bercerita mengenai Reverand C. Haris, gabenor sekolah itu.
Reverand Harris, mengikut Regent adalah seorang yang ganjil dan istimewa
kerana dia adalah seorang berkulit putih tetapi mempunyai hati, kasih sayang
dan memahami masyarakat Thembu. Regent memberitahu saya apabila Sabata
membesar, dia akan menyerahkan masadepan bakal raja itu kepada Reverand
Harris, yang akan melatihnya sebagai penganut agama Kristian dan juga
sebagai pemimpin tradisi bangsanya. Regent mahukan saya mempelajari
segalanya daripada Reverand Harris kerana saya ditakdirkan memberikan
panduan kepada pemimpin yang akan dididik oleh Reverand Harris.
Di Mqhekezweni, saya telah berkenalan dengan peniaga kulit putih dan pegawai
kerajaan, termasuk majistret dan pegawai polis. Mereka ini adalah orang
berpangkat yang disambut oleh Regent dengan berhemah, tetapi tidaklah sampai
merendahkan diri baginda. Baginda menghormati mereka setara dengan cara
mereka menghormatinya. Pernah juga saya melihat baginda memarahi mereka,
tetapi perkara semacam itu bukanlah satu kebiasaan. Saya mempunyai sedikit
sahaja pengalaman berurusan dengan orang kulit putih. Regent tidak pernah
mengajar saya bercampur orang lain, kerana itu saya gemar memerhatikan
perangainya. Ketika memberikan gambaran Reverand Harris, Regent telah pada
kali pertamanya memberitahu saya apa yang perlu saya lakukan. Reverand
Harris mesti saya hormati dan taati seperti cara saya menghormati baginda.
Clarkebury memang lebih hebat daripada Mqhekezweni. Sekolah itu sahaja
mengandungi sekitar dua dozen bangunan ala-kolonial, termasuk rumah kediaman
peribadi dan beberapa dormitori perpustakaan dan beberapa dewan latihan.
Itulah tempat yang berunsur kebaratan bukannya berunsur Afrikan yang pertama
kali menjadi tempat tinggal saya. Saya merasakan betapa saya memasukki satu
gerbang dunia baru di mana peraturannya memang belum saya tahu.
Kami dibawa memasuki bilik membaca Reverand Harris. Saya telah diperkenalkan
padanya dan bersalaman sambil berdiri di situ untuk pertama kalinya. Itulah
tangan orang putih yang pertama pernah bersalam dengan saya. Reverand Harris
memang periang dan peramah dan melayan Regent dengan penuh hormat. Baginda
memberitahu beliau betapa saya akan dibesarkan menjadi penasihat kepada raja
dan dia mengharapkan Reverand Harris memberikan tumpuan dalam pendidikan
saya. Reverand mengangguk dan menjelaskan bahawa pelajar di Clarkebury
diperlukan berkebun di sebelah petang selepas waktu bilik darjah, dan dia
mahukan saya bertugas di kebunnya.
Pada akhir pertemuan itu, Regent telah mengucapkan selamat tinggal kepada
saya dan memberikan sekeping wang kertas bernilai satu pound untuk belanja
saku. Itulah wang yang paling tinggi nilainya yang pernah saya miliki.
Sayapun mengucapkan selamat tinggal dan berjanji untuk tidak
menghampakannya. Clarkebury merupakan sebuah maktab untuk seluruh wilayah Thembu. Tapaknya
telah dihadiahkan oleh raja Thembu yang terkenal - Ngubengcuka; dan sebagai
pewaris Ngubengcuka saya telah beranggapan diberikan satu penghormatan di
Clarkebury seperti yang diberikan kepada saya di Mqhekezweni. Malangnya saya
telah tersilap, kerana layanan yang saya terima tidak berbeza daripada
layanan yang diterima oleh orang lain. Tidak ada sesiapa yang tahu ataupun
ambil peduli bahawa saya adalah keturunan Ngubengcuka yang hebat itu. Guru
penjaga telah menerima kedatangan saya seperti biasa sahaja tanpa sebarang
upacara dan majlisnya. Di Clarkebury, ramai pelajar di situ yang datang
daripada warga istana ataupun keluarga yang berdarjat. Saya tidak boleh
mengharapkan apa-apa keistimewaan lagi. Ini adalah satu pengajaran yang baik
untuk saya kerana telah ada ciri-ciri keangkuhan dalam diri ketika itu.
Dengan cepat saya sedar bahawa saya terpaksa bekerja kuat untuk menonjol
berasaskan kepandaian dan bukannya darah warisan. Ramai rakan sedarjah yang
mampu mengalahkan saya ketika di padang mainan dan mengalahkan saya ketika
berfikir dalam bilik darjah, dan saya perlu melakukan sesuatu untuk
menyaingi mereka. Pelajaran bermula keesokan harinya dan saya pun menaiki anak tangga untuk
pergi ke tingkat satu kerana di situlah bilik darjah saya. Bilik darjah itu
mempunyai lantai yang berkilat kerana digilap. Pada hari yang pertama saya
telah memakai kasut but yang baru dan itulah kali pertama saya
mengenakannya. Pada hari itu juga saya berjalan seperti seekor kuda yang
baru dipasang tapak kaki yang baru. Saya membuat bising dengan hentakan kaki
yang mengena anak tangga, dan hampir tergelicik beberapa kali. Sebaik sahaja
memasuki bilik darjah, but saya mula tergelincir di atas lantai yang licin
itu dan saya dapat melihat wajah dua orang gadis yang duduk di barisan
hadapan sedang memerhatikan gelagat saya dengan perasaan lucu. Yang lebih
lawa antara mereka berdua bercakap kepada kawannya dengan suara yang dia
mahu orang lain turut mendengar: "Hai, budak kampung belum pandai memakai
kasut..." menyebabkan temannya ketawa besar, dan membuatkan saya naik marah
kerana diaibkan. Nama gadis itu ialah Mathona dan dia memang suka berlagak memandai-mandai.
Pada hari itu saya bersumpah tidak mahu bertegur sapa dengannya. Tetapi
apabila perasaan marah itu bertukar menjadi dingin, (dan saya semakin pandai
menggunakan but untuk berjalan) saya juga mengenali dirinya dan akhirnya dia
menjadi kawan yang paling rapat ketika saya belajar di Clarkebury. Dia
menjadi sahabat wanita saya yang tulen, seorang wanita yang saya hormati dan
dapat berunding dan berbicara serta berkongsi rahsia. Dalam banyak hal dia
menjadi model dan contoh dalam menentukan pilihan saya terhadap wanita lain
selepas dia. Dengan wanita saya merasakan bebas untuk bercerita dan mengaku
kelemahan yang ada serta segala kerunsingan yang tidak mungkin dapat saya
kongsi bersama kawan lelaki. Saya tidak perlukan masa yang panjang untuk menyesuaikan diri dengan
Clarkebury. Saya melibatkan diri dalam bersukan dan permainan di padang.
Namun, perlakuan saya sedikit baik daripada biasa sahaja. Saya bermain
kerana semangat bersukan dan bukan kerana kegemilangannya kerana saya tidak
pernah menjadi juara. Kami bermain tennis dengan reket yang dibuat sendiri
dan bermain bola sepak dengan berkaki ayam.
Buat pertama kali saya menerima didikan daripada guru yang terlatih dan
berpendidikan tinggi. Ramai di kalangan mereka yang berkelulusan universiti,
dan ini merupakan satu perkara yang amat jarang berlaku di Afrika ketika
itu. Pada satu hari saya sedang mentelaah dengan Mathona dan cuba berkongsi
rahsia dengannya mengatakan saya tidak yakin boleh lulus mata pelajaran
English dan Sejarah pada akhir tahun. Mathona menenangkan saya agar tidak
terlalu rungsing kerana guru kami, Gertrude Ntlabathi merupakan gadis
Afrikan pertama yang berkelulusan BA. "Dia terlalu bijak untuk membiarkan
kita gagal," kata Mathona. Saya belum lagi pandai berpura-pura mengetahui
sesuatu yang memang saya tidakpun tahu. Oleh kerana saya masih samar dengan
makna sebenar abjad BA itu, saya pun bertanya kepada Mathona, "Ahlah....,"
jawabnya. "BA itu adalah satu buku yang tebal dan amat sukar memahaminya."
Saya tidakpun meragukan jawapannya. Seorang lagi guru Afrika yang mempunyai kelulusan Sarjana Muda Sastera ialah
Ben Mahlasela. Kami mengkaguminya bukan sahaja kerana pencapaian
akademiknya, tetapi kerana perangainya yang tidak mudah diserang oleh
Reverand Harris. Malahan ramai guru orang putih yang cukup patuh dengan
Reverand Harris, tetapi Ben Mahlasela kerap memasuki pejabat Reverand Harris
tanpa takut-takut. Ada ketikanya dia tidakpun menanggalkan topi yang
dipakainya. Dia menganggap Reverand itu sama sahaja dan kerap bercanggah
pendapat dengannnya sedangkan guru-guru orang putih mudah akur begitu
sahaja. Walaupun saya menghormati Reverand Harris tetapi saya mengkagumi Ben
Mahlasela kerana tidak mudah diperhambakan. Pada zaman itu seorang berkulit
hitam yang berkelulusan BA terpaksa tunduk dan akur kepada orang kulit putih
yang cuma mempunyai pendidikan sekolah rendah. Tidak kiralah betapa
tingginya orang kulit hitam itu dengan kelulusannya, dia masih dianggap
rendah kepada orang kulit putih yang mempunyai kelulusan haprak sahaja.
Reverand Harris mentadbir Clarkebury dengan tegas dan berunsurkan
kesaksamaan. Clarkebury berfungsi lebih mirip sebuah sekolah ketenteraan
daripada sekolah latihan perguruan. Sesiapa yang membuat sedikit
kesilapanpun mudah dikenakan hukuman. Ketika kami berhimpun ataupun beratur,
Reverand Harris kerap kelihatan garang, dan tidak menampakkan kecenderungan
bertolak ansur. Setiap kali dia memasuki bilik, kakitangan maktab, termasuk
pengetua kulit putih di maktab latihan dan sekolah menengah dan pengetua
berkulit hitam di sekolah vokasional, bangun berdiri memberi hormat
kepadanya. Di kalangan pelajar, dia lebih ditakuti daripada dihormati. Tetapi di
kawasan kebun, saya melihatkan Reverand Harris yang lain pula. Bertugas di
kebunya memberikan saya dua faedahnya: ia memberikan satu pengetahuan kepada
saya untuk meminati cara-cara berkebun dan menanam bunga untuk saya hayati
sepanjang hidup, dan ini memberikan saya peluang untuk mengenali Reverand
dan seisi keluarganya - inilah keluarga kulit putih yang dapat saya kenal
dengan penuh kemesraan. Rupanya Reverand Harris ini mempunyai dua watak,
satu khas untuk tatapan umum dan satu lagi untuk suasana tidak formal yang
amat berbeza antara satu dengan yang lagi satu.
Di sebalik topeng ketegasan yang ditunjukkan oleh Reverand itu, ada
tersembunyi satu watak yang lemah lembut yang dimiliki oleh seorang insan
yang luas pandangannya yang percaya kepada kepentingan mendidik anak pribumi
Afrika yang masih muda. Saya kerap melihat beliau termenung sendirian di
kebun. Saya jarang mengganggunya ataupun bercakap dengannya. Tetapi sebagai
contoh manusia yang tidak tamak dan rakus kepada perjuangan, Reverand Harris
merupakan contoh yang penting untuk saya.
Isteri beliau adalah manusia yang suka bercakap berbeza dengan suaminya yang
kerap suka bersendiri. Dia merupakan wanita yang cantik dan kerap keluar
berbual dengan saya. Saya memang tidak boleh mengingati apakah yang kerap
kami perbualkan, tetapi saya masih dapat membayangkan betapa lazatnya roti
'skon' yang kerap dihidangkannya kepada saya pada sebelah petang.
Setelah memulakan hidup baru saya secara bersahaja, sayapun dapat memahami
selok-beloknya dan mula berjalan lancar menyesuaikan diri menyudahkan
pelajaran 'junior certificate' dalam masa dua tahun dan bukannya seperti
kebiasaan untuk tiga tahun. Saya menjadi terkenal dengan ingatan yang baik,
sedangkan yang sebenarnya ialah bekerja kuat sahaja. Apabila saya tinggalkan
Clarkebury, saya terputus hubungan dengan Mathona. Beliau merupakan pelajar
yang datang harian dan ibu bapanya tidak mampu menghantarnya belajar lebih
tinggi lagi. Dia merupakan seorang pelajar yang memang pintar dan luarbiasa
bakatnya tetapi mempunyai keupayaan yang terhad kerana keluarganya tidak
berkemampuan. Inilah cerita Afrika Selatan yang terlalu lumrah didengar.
Bukannya kekurangan upaya yang menyekat kemajuan bangsaku, tetapi kekurangan
peluang sebenarnya. Kehadiran di Clarkebury telah meluaskan pendidikan saya. Saya tidak akan
berkata bahawa saya sentiasa mempunyai fikiran terbuka, sebagai seorang muda
yang tidak mempunyai prasangka ketika lulus di tempat itu. Saya telah
bertemu pelajar daripada segenap ceruk Transkei termasuk juga segelintir
daripada Johannesburg dan Basutoland, sebelum bertukar nama menjadi Lesotho.
Kebanyakan kenalan ini mempunyai pembawaan yang sofistiket dan kosmopolitan
membuatkan saya merasa sedikit kekampungan. Walaupun saya cuba meniru
mereka, tetapi akhirnya saya berpendapat adalah sukar untuk seorang pemuda
kampung cuba tergilakan cara hidup duniawi. Namun, saya tidak pernah
mencemburui mereka semua. Walaupun saya tinggalkan Clarkebury akhirnya, di
hati kecil saya masih seorang anak Thembu, dan saya bangga dengan sikap ini.
Akar umbi saya adalah destini saya, dan saya yakin akan menjadi seorang
penasihat yang baik seperti yang diimpikan oleh penjaga saya. Sempadan
impian saya tidak melepasi Thembuland, dan saya amat percaya bahawa menjadi
seorang penasihat Thembu adalah satu jawatan yang amat dicemburui di dunia
ini. |