[Sekali lagi Mandela menganalisa karekter orang-orang
disekelilingnya dan perjalanan sistem yang mempengaruhi hidupnya.
Dia sering memikirkan punca seseorang itu mewarisi sikap-sikap
tertentu - dan di pusat pengajian inilah terbongkar beberapa rahsia
itu. Rakyat dijajah minda mereka sejak kecil lagi di pusat pendidikkan
agar mereka mengganti dan mendewakan penjajah itu bila besar nanti.
Kemunculan tiba-tiba Mqhayi di pintu itu amat mengejutkan Mandela.
Dia dipandang hebat walaupun bercakap amat tergagap kerana budaya
yang sudah terkoyak. Ini adalah kerana pemikirannya yang dipandang
hormat - bukannya penampilannya yang tidak perkasa. Hanya KEKUATAN
MINDA-lah yang akan dapat membebaskan anak-bangsa dan mengembalikan
maruah yang ternoda. Tetapi Mqhayi terlalu pekat di dalam walaupun
sudah tercair di luar. Dia menjadi terlalu nationalis yang mudaratnya
tidak jauh beda dengan sikap orang asing yang dicela.
Perhatikan Mandela begitu banyak belajar dari apa yang berlaku di
luar bilik kuliah kerana di sanalah terserlah formula segala masalah.
Sepatutnya kerajaan Malaysia tidak menyekat kebebasan pelajar kerana
mereka sudah cukup dewasa untuk menilai siapa itu siapa. Masadepan
negara terletak di bahu pelajar tetapi minda yang dibekukan itu tidak
akan dapat melahirkan seorang yang hebat seperti Mandela.
Bab ini memang patut dibaca oleh semua pelajar di negara ini. Bayangkan
ada universiti di Amerika mengajar dan mengkaji buku Mandela tetapi
orang melayu masih mentelaah hikayat Hang Tuah yang setia membabi buta....
- Editor]
PERJALANAN YANG PANJANG
(Long Walk To Freedom)
Oleh: Nelson Mandela
Satu Autobiografi
Terjemahan SPAR 11
Bab 6
Pada 1937 saya sudah berumur 19 tahun, dan telah mengikut jejak langkah
Justice, di Healdtown dan memasuki Wesleyan College di Fort Beaufort,
kira-kira 175 batu jaraknya daripada tenggara Umtata. Pada abad yang ke-19,
Fort Beaufort merupakan salah satu kubu peninjau British ketika berlakunya
peperangan yang disebut 'Frontier Wars'. Ketika itu, kemaraan secara bertali
arus peneroka dan petani British telah berjaya menghalau puak Xhosa daripada
kawasan perladangan mereka dan merampas tanah itu sebaik saja tuanpunya
tanah melarikan diri. Peperangan yang berpanjangan selama seratus tahun,
telah merakamkan beberapa pahlawan Xhosa yang berani seperti Sandile,
Makhanda dan Moqoma. Dua penama yang terakhir itu telah dipenjarakan di
Robben Island oleh pemerintah British dan mereka mati akhirnya di pulau itu.
Tatkala saya muncul di Healdtown, tidak banyak lagi bekas peperangan yang
mengorbankan satu ratus tahun itu. Cuma, Fort Beaufort menjadi satu pekan
khas untuk orang kulit putih sedangkan pada satu ketika, itulah tempatnya
yang hanya dihuni oleh masyarakat Xhosa untuk bercucuk tanam.
Terletak di hujung satu jalan yang berliku-liku dan memandang arah satu
lembah yang menghijau pandangannya, Healtdown memang lebih menarik dan
cantik berbanding Clarkebury. Itulah pusat pengajian yang terbesar di bawah
garisan Khatulistiwa di Afrika, ketika itu. Terdapat lebih seribu pelajar
Afrika; lelaki dan perempuan. Bangunannya yang berbentuk lakaran kolonial
sungguh menakjubkan dan kawasan lapang yang dinaungi pokok yang lebat
dedaunnya menjentik perasaan bahawa ia merupakan satu 'oasis' akademi yang
teristimewa, dan itulah yang sebenarnya. Seperti Clarkebury, Healtdown
adalah sekolah tajaan 'mission' daripada mazhab Methodist Church yang
memberikan pendidikan berunsur ajaran Kristian dan kesusateraan liberal
berasaskan model pendidikan di Britain.
Pengetua Healtdown ketika itu ialah Dr. Arthur Wellington, seorang yang
berbadan gempal dan pendek dan megah dengan pertalian darahnya dengan Duke
of Wellington. Pada satu perhimpunan pelajar dia pernah berkata: "Saya
adalah pewaris Duke of Wellington, seorang aristokrat, negarawan, dan
panglima perang yang telah mengalahkan panglima Peranchis bernama Napoleoan
(Bonaparte - penterjemah) di Waterloo, dan berjaya menyelamatkan tamadun
untuk orang Eropah - dan untuk kamu orang pribumi Afrika." Ketika dia sebut
perenggan ini kami para pelajarpun akan bertepuk tangan dengan ghairahnya,
setiap kami ketika itu merasa bersyukur kerana suku-sakat Duke of Wellington
sanggup bertungkus lumus mendidik pribumi Afrika seperti kami. Orang
Inggeris yang terdidik itu adalah menjadi model kami; sedangkan kami
mengharapkan menjadi apa yang disebut ketika itu sebagai 'black Englishman'
(orang Inggeris berkulit hitam). Kami telah diajar untuk mempercayai bahawa
segala idea yang baik datangnya daripada orang Inggeris, kerajaan yang
terbaik adalah kerajaan British dan orang yang baik-baik adalah orang
Inggeris juga.
Kehidupan di Healtdown memang rancak. Loceng pertama berbunyi pada jam enam
pagi. Kami masuk bersarapan pada 6.40 pagi, diberikan roti kering dan air
panas bergula, sambil disaksikan oleh potret George VI yang menjadi Raja
England ketika itu. Pelajar yang mampu membeli mentega menyimpannya di dapur
untuk kegunaan sendiri. Saya makan roti bakar sahaja. Pada jam lapan pagi
kami berhimpun di kawasan lapang, di sebelah luar dormitori kami untuk
'observation' yakni satu penantian menunggu ketibaan pelajar wanita muncul
daripada dormitori mereka yang berasingan. Kami berada di bilik darjah
sehingga 12.45, kemudiannya menikmati makan tengah hari. Kami dihidangkan
'samp' yang mengandungi susu masam yang dicampur dengan kekacang, dan jarang
sangat diberikan daging. Kami sambung pelajaran sehingga 5 petang, diikuti
waktu berriadah selama satu jam yang disusuli makan malam. Kemudian belajar
lagi antara jam tujuh hingga sembilan. Lampu dipadamkan pada jam 9.30 malam.
Heltdown berjaya menarik pelajar daripada tempat lain di seluruh negara,
termasuk mereka daripada kawasan 'protectorate' seperti Basutoland,
Swaziland, dan Bechuanaland. Walaupun ia merupakan satu institusi untuk kaum
Xhosa, terdapat juga pelajar daripada puak lain. Selepas waktu belajar dan
juga pada hujung minggu, pelajar daripada puak yang sama berkumpul sesama
mereka. Malahan mereka daripada suku-kaum Xhosapun akan berkumpul sesama
mereka; contohnya mereka daripada amaMpondo akan berkumpul dengan amaMpondo
sahaja, dan bergitulah seterusnya. Dulupun saya taksub dengan amalan itu,
tetapi di Heltdown saya bertemu seorang kawan yang bertutur bahasa Sotho,
bernama Zachariah Molete. Saya masih ingat betapa bangganya mempunyai
seorang sahabat yang bukannya daripada kaum Xhosa.
Guru zoology kami ialah Frank Lebentele, seorang yang bertutur bahasa Sotho
dan amat popular di kalangan pelajar. Beliau seorang yang peramah dan
bukannya berapa tua sangat daripada kami. Kerana itu dia mudah mesra dengan
pelajar. Dia bermain bola sepak dengan pasukan utama maktab, dan merupakan
pemain yang terbaik. Yang lebih menakjubkan kami ialah perkahwinannya dengan
seorang gadis Xhosa daripada Umtata. Perkahwinan di luar suku kaum sendiri
memang dianggap perkara luarbiasa di zaman itu. Sehingga itu saya belum
terjumpa sesiapapun yang berkahwin dengan orang yang dari luar suku kaumnya.
Kami telah diajar perkahwinan semacam itu adalah satu pantang (taboo).
Setelah melihatkan gelagat bersama isterinya ia telah membuka minda saya dan
meruntuhkan fikiran sempit saya sehinggakan merungkai ketaksuban terhadap
kesukuan yang memenjarakan fikiran. Saya mula membentuk pemikiran identiti
saya sebagi seorang Afrikan, tidak semestinya sebagai seorang Thembu,
ataupun Xhosa. Namun ini merupakan satu perasaan yang amat baru sahaja.
Dormitori kami mempunyai empat puluh katil. Terdapat dua puluh katil di satu
barisan dengan satu ruang lalu-lalang di tengah-tengah. Guru rumah kami
ketika itu ialah Reverand S.S.Mokitimi, yang kemudiannya menjadi orang
pertama menyandang jawatan Presiden Gereja Methodist Afrika Selatan (African
President of the Methodist Church of South Africa). Reverand Mokitimi adalah
daripada kaum Sotho juga dan memang dikagumi oleh sesiapa sahaja yang
mengenalinya. Dia amat mengetahui masalah kami dan bersedia mendengar apa
juga yang kami kemukakan.
Ada satu sebab kenapa Reverand Mokitimi dikagumi. Dia berani mencabar Dr.
Wellington. Pada satu, petang berlaku pertengkaran antara dua orang pengawas
di ruang legar utama maktab kiami. Pengawas adalah bertanggungjawab mengawal
perbalahan dan bukan mencetuskannya. Reverand Mokitimi terpaksa masuk
campur. Ketika itu Dr. Wellington muncul daripada perjalanannya ke bandar.
Kemunculannya yang secara tiba-tiba itu menakutkan kami. Seolah-olah seorang
dewa sudah turun daripada langit untuk menyelesaikan masalah yang kecil.
Dr. Wellington mahukan jawapan kepada beberapa persoalannya. Reverand
Mokitimi yang pendek dan kepalanya tidakpun mampu setara dengan bahu Dr.
Wellington, telah mejawab dengan lembut: "Dr. Wellington, semuanya terkawal,
dan saya akan sediakan laporannya esok hari." Inilah yang membuatkan Dr.
Wellington tidak puashati. Dia masih berdegil dan mahukan jawapan yang
spontan. "Tidak... saya mahu tahu apa yang sebenarnya berlaku, sekarang
juga." Reverand Mokitimi terus bertegas; "Dr. Wellington, saya adalah guru
yang bertanggungjawab dalam hal ini, saya sudah beritahu anda yang saya akan
sediakan laporannya esok hari. Itulah yang akan saya lakukan." Kami
terkejut. Belum pernah sebelum itu kami melihat sesiapa membangkang Dr.
Wellington. Inikan pula seorang guru kulit hitam. Kami menantikan satu
ledakan ketika itu. "Baiklah," kata Dr. Wellington dan terus beredar dari
situ. Ketika itu barulah saya sedar bahawa Dr. Wellington adalah manusia
biasa sahaja dan bukannya laksana dewa yang saya anggapkan dulu. Daripada
situ juga saya mempelajari bahawa Reverand Mokitimi sebagai orang kulit
hitam tidak perlu takut kepada orang kulit putih walaupun dia mempunyai
pangkat yang lebih tinggi.
Reverand Mokitimi telah mengusahakan beberapa tindakan reformasi di maktab
itu. Kami menyokong usahanya memperbaiki diet makanan kami dan cara para
pelajar diberikan layanan, termasuk cadangannya bahawa para pelajar
bertanggungjawab dengan mendisiplinkan diri mereka sendiri. Namun ada satu
perubahan yang dilakukannya menakutkan kami; terutama sekali para pelajar
daripada luar bandar. Reverand Mokitimi mencadangkan agar pelajar lelaki dan
perempuan dibiarkan bercampur ketika makan tengah hari pada hari Ahad. Saya
menentang cadangannya ini, kerana alasan pertama, saya masih belum pintar
sangat menggunakan sudu dan garpu waktu makan. Saya masih belum bersedia
diaibkan oleh perempuan yang tajam pandangannya. Tetapi Reverand Mokitimi
bertegas, dan setiap hari Ahad saya tinggalkan dewan makan dengan perasaan
lapar dan tertekan.
Akan tetapi, saya semakin berseronok di atas padang. Jenis sukan di
Heltdowan adalah lebih berkualiti daripada yang terdapat di Clarkebury. Pada
tahun pertama saya tidak menonjol sangat. Tetapi pada tahun yang kedua,
kawan saya Locke Ndzamela, yang merupakan johan lompat pagar telah
menggalakkan saya mencuba satu jenis sukan yang baru. Dia menggalakkan saya
mencuba larian jarak jauh. Badan saya kurus dan tinggi, tentu sesuai untuk
larian jauh. Dengan mendapatkan beberapa tunjuk-ajar daripadanya, saya
mulakan latihan berlari jarak jauh. Saya seronok dengan disiplin latihan dan
berlari jauh sendirian itu memberikan satu kenikmatan pula untuk mengelakkan
segala tekanan kehidupan seorang pelajar. Pada waktu yang sama saya mulakan
pula satu jenis sukan yang tidak berapa sesuai dengan badan saya. Saya mula
berlatih sebagai seorang peninju. Tetapi saya berlatih tanpa agenda
tersusun. Hanya beberapa tahun kemudiannya, ketika badan saya mula naik
barulah saya bertinju dengan ghairah.
Pada tahun kedua di Heltdown, saya telah dilantik menjadi salah seorang
pengawas sekolah oleh Dr. Wellingon dan Reverand Mokitimi. Para pengawas
mempunyai tugas yang berbeza. Sebagai pengawas baru saya telah diberikan
tugas mengawasi beberapa kumpulan pelajar mengelap jendela waktu kerja bebas
di tengah hari, dan saya terpaksa membawa mereka ke beberapa tempat setiap
hari.
Tidak lama kemudian saya diberi tugas yang lebih mencabar, termasuk bertugas
pada malam hari. Saya memang tidak mempunyai masalah berjaga malam. Tetapi
pada satu malam saya telah terjebak dalam satu masalah etika yang tidak
boleh saya lupakan hingga kini. Kami tidak mempunyai tandas dalam kawasan
dormitori. Tandas terdekat berada kira-kira satu ratus kaki di bahagian
belakang bangunan. Pada waktu hujan, apabila pelajar terbangun daripada
tidur di tengah malam, mereka tidak mahu berjalan kaki pergi ke tandas
sambil meredah rumput yang basah dan berlumpur. Sebaliknya mereka berdiri di
verandah dan memancutkan sahaja apa yang mereka ada, menghala ke kawasan
belukar. Perbuatan ini dikira salah dan adalah menjadi tugas seseorang
pengawas mencatatkan nama pelajar yang membuat kerja 'menembak air' ini.
Pada satu malam saya sedang berugas apabila hujan turun lebat dan saya
ternampak beberapa pelajar yang melanggar peraturan - sekitar lima belas
pelajar semuanya - memancutkan air daripada beranda. Ketika fajar mahu
menyinsing, saya ternampak seorang pelajar yang baru bangun dan menoleh ke
kiri dan kanan sambil berdiri untuk terkencing juga. Sayapun berjalan ke
arahnya dan memberitahu yang dia telah ditangkap kerana melanggar peraturan.
Saya menjadi serbasalah; dalam hukum undang-undang ada falsafah yang
berbunyi 'Quis custodiet ipsos custodes?' (Siapakah yang mengawasi para
pengawal?) Kalau para pengawas tidak menghormati undang-undang, bagaimana
pelajar mampu menghormatinya? Pada halnya seorang pengawas itu mengatasi
undang-undang kerana dialah undang-undang. Lagipun seorang pengawas tidak
sepatutnya melaporkan akan seorang pengawas yang lain. Tetapi saya tidak
fikir adalah adil mengecualikan pengawas itu sedangkan lima belas orang yang
lain dikenakan tindakan. Jadi saya koyakkan senarai tangkapan dan tidakpun
melaporkan sebarang nama.
Pada tahun akhir saya di Heltdown, berlaku satu peristiwa yang saya anggap
laksana tahi bintang jatuh daripada langit. Ketika akhir tahun semakin
hampir, kami diberitahu bahawa penyajak besar kaum Xhosa, Krune Mqhayi,
dijadualkan melawat sekolah kami. Sebenarnya Mqhayi ialah seorang 'imbongi'
seorang penyanyi yang pandai memuji-muja laksana seorang pencatat sejarah
yang merakamkan peralihan zaman dengan merakamkannya secara bergurindam yang
memaut hati pendengarnya.
Hari lawatannya itu diisytiharkan hari cuti sekolah kami oleh pihak yang
berkuasa. Pada pagi yang dijadualkan, keseluruhan sekolah termasuk
kakitangan sekolah termasuk yang berkulit hitam dan putih, berkumpul di
dewan makan, kerana di sana kami kerap berhimpun. Terdapat satu pentas di
satu hujung dewan itu dan daripada situ, pintunya menghala ke rumah Dr.
Wellington. Pintu itu tidakpun istimewa tetapi kami selalu sebutkannya
sebagai pintu Dr. Wellington kerana tidak siapa yang menggunakannya kecuali
Dr. Wellington.
Tiba-tiba pintu itu terbuka tetapi yang muncul bukannya Dr. Wellington.
Sebaliknya yang muncul itu ialah seorang lelaki kulit hitam memakai pakaian
daripada kulit harimau bintang (kaross) dengan topi yang menggunakan fabrik
yang serupa, sambil memegang sebatang tombak di tangannya. Dr. Wellington
mengekori di belakangnya. Tetapi rupa seorang kulit hitam muncul dengan
berpakaian demikian melalui pintu sungguh menakjubkan kami. Kesannya sungguh
mengkagumkan kerana dunia seolah-olah sudah terbalik untuk seketika. Apabila
Mqhayi duduk di atas pentas bersama Dr. Wellington, kami tidak dapat
mengawal kecerian hati yang amat sangat.
Akan tetapi, apabila Mqhayi bangun untuk berucap, saya merasa sedikit
kecewa. Selama itu imaginasi saya menjangka beliau adalah seorang wira Xhosa
yang tinggi lampai, garang dan berwajah seorang yang bijaksana. Tetapi,
tidak ada yang menyerlah dalam perwatakannya, kalau tanpa pakaiannya itu,
dia adalah semacam orang biasa sahaja. Ketika berucap dalam Bahasa Xhosa,
dia kelihatan lembab dan terhenti-henti mencari perkataan yang diminati dan
tertahan-tahan lagi setelah menjumpainya.
Pada satu ketika dia telah mengangkat 'assegai' nya ke udara untuk memberi
penekanan kepada apa yang dilaungkannya. Pada waktu itu, hujung tombaknya
itu tertikam hujung tirai di atas kepalanya, sehingga berbunyi tempat itu
dan membuatkan langsir itu bergoyang. Penyajak itu melihatkan hujung
tombaknya dan kepada tirai di atas kepalanya. Dia kelihatan termenung
sendirian sambil mundar-mandir di atas pentas. Selepas satu minit kemudian,
dia berdiri memandang kami seolah-olah semakin bertenaga dan berkata;
"Peristiwa ini - tombak tertikam wayar langsir- melambangkan pertembungan
antara budaya Afrika dan budaya Eropah." Suaranya naik meninggi sambil
berkata; "Tombak tadi adalah satu lambang segala kehebatan dan kebenaran
dalam sejarah Afrika, itulah lambang Afrika sebagai seorang perwira dan
Afrika sebagai seorang artis. Wayar itu tadi," katanya sambil menunjukan ke
atas, "adalah satu contoh bikinan Barat. Yang sungguh bijak tetapi dingin,
cerdik tetapi tidak bernyawa."
"Apa yang saya cakapkan ini," sambungnya, "bukannya secebis tulang yang
menyentuh secebis besi, ataupun penindihan satu budaya ke atas budaya yang
lain. Apa yang saya katakan ini ialah mengenai pertempuran ganas antara yang
asli dan suci, dan apa yang asing tetapi jahat. Kita tidak boleh izinkan
orang asing yang tidak pedulikan budaya kita untuk merampas negara ini. Saya
meramalkan satu hari nanti, keseluruhan tenaga masyarakat Afrika akan
berjaya merangkul kejayaan daripada penceroboh negara kita. Untuk begitu
lama kita telah diperdaya oleh dewa-dewa yang ditonjolkan oleh orang kulit
putih. Kita akan berjaya juga dan menghumbankan fikiran yang songsang ini."
Saya semacam tidak percaya dengan apa yang saya dengar. Keberaniannya
mengucapkan perkara yang sungguh meruntun perasaan di hadapan Dr. Wellington
dan juga beberapa ramai lagi orang kulit putih sungguh memeranjatkan kami.
Namun pada waktu yang sama, ia telah menaikkan semangat kami dan mula
merobah persepsi saya terhadap orang seperti Dr. Wellington, yang secara
automatis telah saya anggap sebagai dermawan yang berjasa kepada saya.
Mqhayi kemudian mulakan sajak-sajaknya yang tekenal di mana dia membahagikan
beberapa bahagian bintang di langit kepada beberapa negara dalam dunia ini.
Saya tidakpun mendengarnya sebelum itu. Sambil mengangkat tombaknya ke atas,
dia telah berkata kepada orang-orang Eropah - Peranchis, Jerman, Inggeris -
"Aku berikan kamu keseluruhan cakrawala, kumpulan bintang yang terbesar,
kerana kalian manusia aneh, penuh tamak dan haloba, kuat cemburunya,
bergaduh dengan buas kerana tidak pernah puas." Kemudian dia peruntukkan
beberapa bintang tertentu kepada negara Asian, dan juga kepada Amerika Timur
dan Amerika Selatan. Kemudian dia membincangkan Afrika dan membahagikan
benua itu kepada beberapa negara, dan peruntukkan beberapa kumpulan bintang
tertentu kepada beberapa kaum. Dia telah bertandak di atas pentas,
menggoncang tombaknya, mengawal intonasi suaranya. Sekali sekala dia
terhenti dan merendahkan suaranya.
"Sekarang, bangkitlah kamu anak watan Xhosa," katanya. Sambil perlahan dia
merendahkan dirinya sehingga melutut pada satu bahagian kakinya. "Aku
berikan kamu sebutir bintang yang paling terang kerlipannya, itulah dia
Bintang Pagi, kerana kalian adalah satu bangsa yang besar dan berbangga
dengan kuasa yang ada. Itulah bintang untuk mengira tahunnya - tahun-tahun
kedewasaan." Apabila dia menyebut perkataan itu dia jatuhkan kepalanya
mendekati dadanya. Kami bangun memberikan tepukan yang hebat dan kuat. Saya
tidak mahu berhenti menepuk tangan pada waktu itu kerana merasakan satu
semangat kebanggaan ketika itu bukannya sebagai seorang peribumi Afrika
tetapi sebagai seorang anak Xhosa; Saya merasakan saya adalah tergolong
antara salah seorang yang terpilih itu.
Saya menjadi teransang tetapi menjadi keliru juga dengan gelagat Mqhayi. Dia
telah mengalihkan wataknya daripada seorang yang bersifat nasionalis, yang
memberi semangat untuk menyatukan keseluruhan Afrika Selatan kepada seorang
taksub kepada keunggulan bangsa Xhosa. Sedangkan kita hanya sebahagian
daripada bangsa Afrika itu. Tempohku belajar di Healdtown sudah sampai ke
penghujungnya. Terdapat berbagai-bagai idea yang terapung-apung di otak saya
ketika itu. Saya semakin sedar bahawa rakyat Afrika daripada semua suku kaum
mempunyai banyak persamaannya. Namun di sini Mqhayi telah memuji kaum Xhosa
daripada yang lainnya. Saya dapat melihat bagaimana seorang Afrika sanggup
mempertahankan haknya terhadap orang putih, tetapi saya terus mencari
peluang daripada orang putih yang selalunya mensyaratkan kesetiaan. Pada
satu segi perubahan yang dilaksanakan oleh Mqhayi adalah satu cerminan apa
yang bersarang dalam pemikiran saya. Itulah yang membuatkan pemikiran saya
mundar mandir memikirkan kebanggaan diri sebagai seorang Xhosa dan perasaan
kesetiaan sebagai seorang Afrika. Namun, apabila saya keluar daripada
Healdtown pada akhir tahun itu, saya sudah nampak pendirian saya yang
pertamanya, sebagai seorang Xhosa, dan yang kedua, barulah sebagai seorang
Afrika.
....bersambung....
Rolihlahla88@hotmail.com

Gambar Muda Pelajar/Pengawas Nelson Mandela
|