Laman Webantu KM2A1: 5209 File Size: 12.7 Kb * |
TSG 10: 4D - Saya, Phoolan Devi: Autobiografi Seorang Wirawati India By Marie-Therese Cuny, Paul Rambali 13/8/2001 12:51 am Mon |
[Phoolan adalah seorang yang sungguh berani sejak zaman
kanak-kanaknya lagi sehingga ayahnya disindir malu oleh ibunya
kerana mendiamkan diri bila hak mereka dirampas sesuka hati.
Kisah kali ini menunjukkan bagaimana Phoolan mengacah dan
menggertak tanpa henti dengan pelbagai cara menuntut kembali
hak itu setelah cara yang sepatutnya gagal (polis enggan
bertindak). Dan ternyata cara itu begitu berkesan sekali
kerana reaksi (yang menjadi sasaran) itu akan menyerlahkan
antara kebenaran dan kepalsuan. Inilah sesuatu yang seharusnya diambil iktibar oleh pejuang
reformasi tanah-air. Penyangak itu perlu dilawan dan ditekan
berterusan sehingga ia terasa oleh perbuatannya itu. Nanti bisa
ketakutan itu sendiri akan meragut dirinya. Perhatikan Phoolan
memberi fokus mencederakan di dalam - bukannya di luar si berdebah itu.
Peperangan itu ada dua medan sebenarnya dan inilah satu medan yang
begitu mengancam tetapi sayangnya telah diabaikan sedangkan di sanalah
sebenarnya mata akan memandang. Bukankah kejutan, kiasan, dan sindiran
itu satu senjata warisan orang melayu yang jauh terperam?
- Editor] Selepas perkahwinan Rukmini kami tidak ada makanan lain kecuali ubi kentang.
Berbulan lamanya kami menghadapi makanan itu. Aku pernah membuat keputusan
apabila dewasa aku mahu jadi seoang tukang simen ataupun tukang kayu seperti
ayahku. Aku boleh bekerja kuat dan dapat banyak rupee dan bawa pulang banyak
gandum mencukupi untuk kami semua. Aku yakin mampu bekerja seperti orang
lelaki dan tidak ada sesiapa yang berani menipu seperti mereka menipu
ayahku. Ada warga kampung yang telah pergi memberitahu ayah dan dia bergegas
pulang dan tiba waktu dinihari ketika bulan mengembang di langit. Dia
kelihatan lesu kerana perjalanan yang panjang.
Airmata ibu sudahpun kering dan dia sudah naik angin pula, pada waktu itu.
"Esok pagi aku akan pergi ke balai polis membuat aduan!" kata ibu.
"Buat apa Moola! Pokok itu sudah jahanam. Apa lagi gunanya?"
"Kamu tidak pernah melawan, Devidin! Phoolan lebih berani dari kamu!"
Keesokan harinya, ibu telah memaksa ayah menemaninya ke balai polis Kalpi.
Dia telah tunduk dan mencecah kaki pegawai polis meminta mereka datang dan
memeriksa tapak pangkal pokok yang dicuri. Tetapi, tidakpun ada baki yang
kelihatan akan pokok itu. Tidak ada satu bilah ranting dan satu helai daun
yang tinggal. Pangkal pokok sudah pun dibakar dan lubangnya ditimbuni tanah.
"Berani kamu menuduh Mayadin? Dia adalah seorang yang kaya raya," kata
pegawai polis itu. "Apa gunanya dia mencuri pokok kayu kamu?"
Pegawai polis itu mengugut untuk mendakwa ibu bapaku seandainya mereka
teruskan menuduh Mayadin. Memang ada sebatang pohon sekoi yang boleh
dijadikan bukti. Tetapi, itu mungkin dibawa oleh lembu yang berkeliaran di
situ. Apakah boleh dikenakan tuduhan terhadap lembu? Pokok neem kami itu dulu memang besar batangnya. Rukmini, aku dan Choti
terpaksa berpegangan tangan untuk memeluk batangnya. Ayah memang sayangkan
pokok itu kerana dia yang menanam benihnya. Dia telah melihat pokok itu
membesar dan merelakan pokok itu ditebang untuk dijual kayunya bagi
mengongkosi dauri perkahwinanku. Kami tidak makan untuk beberapa hari kerana tidak ada selera. Kami berkabung
kerana pokok kesayangan yang mati dibunuh. Ia laksana salah seorang ahli
keluarga kami yang sudah pergi. Pada satu petang beberpa hari selepas itu
kami sekeluarga telah pergi ke pangkal pokok neem yang sudah tiada batangnya
lagi. Ayah menyuruh kami menumpukan perhatian kami kepada apa yang
diajarnya. "Anak anak... tumpukan ingatan kamu.... tutup mata,... dan
lihat... pokok neem masih berada dengan kita semua. Ia ada di atas sana.
Hidulah bauannya, peganglah batang pokoknya." Kami duduk di situ - Choti,
adik kecilku Bhuri (yang baru mula belajar berjalan), adikku Shiv Narayan,
ayah dan aku. Kami duduk dalam satu bulatan, bawah pancaran purnama,
mengingati keharuman dedaun neem. Aku dapat pula meraskan pipiku
menggesel-gesel batang pokok itu. Ibu pulang ke kampungnya sekali lagi. Pada kali ini merayu pertolongan
daripada adik beradiknya agar meminjam sedikit wang membayar dauri kepada
bakal suamiku. Ayah bertukang membuat simen dan membuat rumah dan tembok.
Malahan apa sahaja yang diupah oleh orang, sambil menerima upahan dan
melipat rupee yang diterima dalam lipatan dhotinya. Aku pula semakin kerap
mengigau dalam tidurku. Pernah aku bermimpikan berjumpa Mayadin dan
melibasnya sehingga dia mati. Aku juga termimpi memotong tangannya dengan
sebilah kapak, seperti cara beliau memotong-motong dahan-dahan pokok neem
kami. Ayah yang tidur di sebelah, terkejut. "Phoolan...apa yang terjadi?" Rupanya dalam tidurku itu aku telah memukul-mukul ayah yang berbaring di
sebelah. "Apakah kamu sakit? Kamu dapat demam?"
Bukannya demam tetapi hati yang masih marah menghantui aku.
Ibu Mayadin mempunyai wajah laksana seekor beruk tua. Badannya kecil dan
sontot sahaja, sehinggakan tidak berupaya mencecah bahagian atas tembok
halamannya. Dia mempunyai dua biji mata yang kecil dengan garisan bulat
mengelilingi mata menjadikannya kelihatan laksana bintang. Dia suka menjadi
tukang sibuk di kampung itu, ke sana-sini melihat sesuatu laksana seorang
perisik tidak bergaji di kampung itu. Aku tahu dialah yang bertanggungjawab
kenapa Paman Bihari selalu memukul aku, dulu. Perangainya lebih hodoh
daripada semua orang gajinya. Dulu, "Bihari, anak-anak Devidin menyibuk di
kawasan kita!" Kemudian setelah Bihari mati dia mula berkata: "Mayadin,
jangan beri muka pada sampah itu semua. Rotan mereka!"
Setelah Mayadin mencuri pokok kami, aku telah mengancam orang tua itu. Aku
selalu memberitahunya kalau dia panggil juga nama anaknya untuk membantu,
aku mahu cekik dia sampai kaku. Aku sudah menjadi semakin bengis, dan
mengaku aku sudah semakin berani menakutkannya. Itulah membuatkannya cemas
dan itu jugalah yang membuatkan wajahnya menyerupai seekor ungka. Aku telah
membuat satu gendang kecil seperti gendang yang digunakan oleh tuanpunya
monyet yang terlatih. Kemudian aku balut hujung gendang itu dengan kain
perca dan aku sediakan tali penggantung. Akupun bawa gendang itu sambil
berjalan melalui depan rumahnya. Pada waktu itu aku pun palu gendang dan
meneriak: "Joget, monyet.... joget....!"
Itulah yang menaikkan darah orang tua itu. Dia menghentakkan kaki sambil
memanggil nama anak sulungnya. Tetapi, suaranya itu terlalu samar dan
perlahan untuk didengari oleh anaknya. Lagi kuat dia menghentakkan kaki lagi
kuat gendang itu aku palu untuk mengajaknya berjoget.
Pada satu hari setelah mempastikan anak sulungya sudah keluar rumah, aku
masuki halaman rumahnya bersama Choti. Kami heret khat yang selalunya
diletakkan di bahagian dalam rumah berdekatan pintu masuk, kerana itulah
tempat yang paling cocok untuknya melihat keadaan sekeliling. Kami angkat
khat itu perlahan-lahan dan bawa ke sebelah telaga. Aku telah membawa
sebatang kayu besar dan mengancam mahu memukulnya kalau-kalau dia bergerak
daripada khat yang kami angkat. Bihari telah menggali telaga di situ kerana
tidak mahu melihatkan warga wanitanya ditenung-tenung ketika mereka mandi di
telaga kampung. Lagipun dia mahu menunjukkan dia kaya dan mampu mempunyai
telaga peribadi. Dia pernah beberapa kali dulu mengugut mahu mencampakkan
aku ke dalam telaga itu. Kali ini giliran aku pula mengugut balunya. Aku
telah mengikat kedua kakinya dan cuba menyorongkan badannya ke arah telaga
yang dalam. Dia meronta dan menjerit sehinggalah kehilangan suaranya. Pada ketika itu
akupun berkata: "Suami kamu dulu adalah seorang pencuri, kini anak kamu pula
menjadi seorang pencuri.. Kamu sudah jadi janda dan menjadi ibu kepada
pencuri! Kalau kamu adukan hal ini kepada sesiapa, aku akan datang satu hari
dan campakkan badan kamu dalam telaga."
Sejak hari itu dia memang amat takutkan aku.
Ada kalanya aku bawakan seekor ular hidup yang aku dapat di sungai untuk ibu
Mayadin. Aku perlu mendapatkan sekor anak katak dulu, yang aku ikat pada
satu penyangkuk besi yang dikait dengan satu tali yang panjang. Apabila ular
muncul dari dalam air untuk membaham anak katak itu, akupun tangkap
kepalanya. Ada kalanya aku berjaya melepaskan anak katak itu dengan memicit
leher ular yang sudah ditangkap sebelum katak itu ditelannya. Kemudian aku
sorokkan ular itu dalam longkang di tepi rumah dengan mengikatnya dengan
tali dan menggunakan penyepit kain jemuran sebagai alat penjerutnya. Hujung
tali itu aku ikatkan pada sebatang pokok. Kawan-kawanku akan memberitahu
bila Mayadin keluar daripada rumahnya. Sambil memegang ular di sebelah
tangan, aku pun merangkak dengan perlahan ke arah khat ibu Mayadin dan
mengejutkan orang tua itu dengan menggoyangkan ular di depan mukanya.
Apabila dia meloncat ketakutan aku pun menjerit: "Bila kamu mahu pulangkan
tanah yang kau curi, orang tua nyanyuk?" Aku amat gemar menonjolkan muka
ular terhadap biji matanya dan membiarkan badan ular mula melengkar
tangannya yang tidak berbaju. "Jauhkan ular itu!" dia merayu padaku.
"Mayadin akan pulangkan tanah kamu! Aku berjanji!" Setiap kali aku lakukan
kerja itu, dia akan menjerit ketakutan. Aku tahu ular yang aku pegang itu
tidak berbisa, tetapi dia tidak tahu mana aku dapatkannya.
Aku mula sedar betapa ular adalah sahabat karibku. Setiap kali aku
memikirkan ular, aku tahu memang ada seekor yang berdekatan denganku dan
kalau aku berusaha mencarinya, memanglah terjumpa. Selalunya ular yang sama
jenisnya yang selalu aku jumpa. Panjang, dengan kepala yang besar dan badan
yang mempunyai sisik kulit yang berwarna.
Satu monsun sudah berlalu diikuti oleh musim sejuk. Pada satu hari aku
terdengar suara kawanku Ram Dhakeli mengatakan orang tua yang berupa beruk
itu sudah nazak seminggu lamanya terbaring di atas khatnya. Kami bercadang
mahu ke rumahnya dan mengetahui kenapa lama sangat dia terpaksa mencungap.
Mayadin bertanyakan aku apa hajat datang ke rumah waktu itu. Akupun jawap
mahu memberikan penghormatan padanya. Dia membenarkan aku masuk. Dia sedang merengkuk di atas khatnya di ruang terbuka berselimut tebal
hingga ke paras dagu. Wajahnya laksana beruk itu sudah semakin kecut dan
sudah bertukar warna menyerupai warna rambutnya.
Nafasnya terlalu sesak dan perlahan. "Fikirannya terganggu," kata Mayadin.
Aku pun membongkok rapat dan berbisik pada telinganya.
"Makcik sayang... Phoolan datang ni....!"
Dia membuka matanya seluas yang termampu melihat aku di situ sehinggakan
tersembul lidahnya ketika itu. Dia pun mati secara tiba-tiba. Aku terkejut..... Seolah-olah dia menunggukan wajahku sebelum menghembuskan
nafasnya yang terakhir. Aku jadi ketakutan yang dia sudah mati menjadi hantu
dan akan membaham aku! Mayadin datang merapatinya untuk menutup matanya yang
sudah bertukar keputihan warnanya. "Dia tidak mahu pergi sebelum menatap wajah kamu," katanya tanpa sebarang
curiga. "Sepatutnya aku memanggil kamu lebih awal lagi."M.font>
Aku tahu kisah sebenarnya. Dia mati ketakutan kerana ternampakkan wajahku!
Ingatan terakhir yang dibawanya sebelum mati ialah aku. Aku pernah mengugut
mahu mencampakknya masuk telaga. Aku pernah menggoyang-goyangkan ular di
depan mukanya, dan anaknya fikir dia mahu merestukan aku sebelum dia mati.
Adalah lebih mungkin dia sengaja mahu menyumpah aku dengan hempusan nafas
terakhirnya. Selamat tinggal monyet kerdil, fikirku. Semoga kamu tidak dilahirkan semula.
Semoga rohmu terperangkap di dalam telaga untuk selama-lamanya.
....bersambung.... Terjemahan: SPAR10 |