Laman Webantu KM2A1: 5215 File Size: 12.8 Kb * |
TAG SP 250: WPost - Malaysia Mengekang Aktivis Politik Pembangkang By Rajiv Chandrasekaran 13/8/2001 10:12 pm Mon |
[Apa yang dialami oleh Gobalakrishnan itu sudah cukup untuk
menunjukkan Mahathir menangkap bukan kerana pembangkang mengancam
keselamatan negara - tetapi kerana mahu BN kekal berkuasa dengan apa
jua cara. Polis bertopeng Mahathir nampaknya berminat dengan soalan
seks dan desakkan agar Gobalakrishnan meninggalkan parti keADILan
kerana itu akan mengaibkan dan melemahkan sasaran - pembangkang.
Ahli Umno yang terlalu taksub menyokong Mahathir perlu menitip perkara
ini. Mengapa Gobalakrishnan tidak dihadapkan sahaja ke mahkamah jika
benar dia mengancam keselamatan. Kerajaan seperti gerun dengan kebangkitan
hakim negara ini - jika Gobalakrishnan terhukum itu mungkin akan mencetus
kebangkitan kaum India pula kerana mereka kenal siapa Gobalakrishnan yang
sebenarnya. Dia sanggup ditangkap dan didera lagi untukmu rakyat Malaysia...
- Editor] Malaysia Mengekang Aktivis Politik Pembangkang
(Malaysia Reins In Opposition Political Activists)
Oleh: Rajiv Chandrasekaran Dua kereta polis yang tidak bertanda telah memotong kereta yang dipandu oleh
Nagapan Gobalkrishnan, ketika beredar daripada satu ceramah politik di man
dia telah berucap berapi-api menggesa Perdana Menteri Malaysia Mahathir
Mohamad mengundurkan dirinya. "Kamu kena ikut kami,' kata salah seorang pegawai yang memintasnya. 'Kami
mahu tanya kamu sedikit.' Setibanya di balai polis pada April itu, pegawai yang berkuasa telah
memberitahu Gobalkrishnan bahawa dia ditahan mengikut ISA, satu
undang-undang peninggalan penjajah yang membenarkan sesiapa sahaja ditahan
tanpa perbicaraan selagi yang disenangi oleh kerajaan. Pegawai polis telah
menuduh beliau bersama dengan tujuh lagi pemimpin Parti Keadilan merancang
menggunakan 'kaedah militan' menjatuhkan Mahathir, seorang diktator yang
paling lama berkuasa di Asia. Tujuh minggu berikutnya, Gobalakrishnan telah dikurung sendirian dan tidak
dibenarkan menemui peguam dan ahli keluarganya. Dia menceritakan bagaimana
dia didera oleh soal-siasat yang panjang-panjang yang kerap diselang-seli
dengan penderaan fizikal yang kejam. Soalan itu tidakpun memberi tumpuan
kepada tuduhan terhadap keganasan politik, yang telah dinafikannya, tetapi
mengenai pengendalian dalaman partinya dan kepada perhimpunan besar
antikerajaan yang telah dikendalikannya.
"Semua itu kerja haprak," jerit Gobalakrishnan, 41, seorang aktivis politik
veteran yang lantang suaranya. "Mereka tangkap kami dengan tuduhan palsu
hanya untuk menakutkan kami - dan yang lain di pihak pembangkang."
Ramai pemimpin pembangkang dan aktivis hak asasi manusia beranggapan bahawa
Mahathir sedang menggunakan beberapa undang-undang zalim untuk melancarkan
satu usaha memecah-belahkan gerakan pembangkang yang semakin kuat gegarannya
sehingga menjadi bencana yang paling menggugat kerajaan; berbanding dua
dekad kepimpinannya. Kerajaan Mahathir telah mengarahkan satu siri
penangkapan mengikut akta Keselamatan Dalam Negeri dan telah mengharamkan
ceramah terbuka. Ini bererti puluh-ribuan pegawai polis sudah digembleng
keluar daripada tugas rutin mereka untuk memantau ceramah pembangkang dan
membubarkan kumpulan yang melebehi empat orang.
'Demokrasi negara kami telah dikasi, kerana Mahathir takut dia tidak lagi
mampu mencengkam kuasa kuku besinya,' kata Chandra Muzaffar timbalan
presiden Keadilan. Parti itu telah ditubuhkan oleh isteri Anwar Ibrahim,
bekas timbalan perdana menteri yang popular dan kini merengkok dalam penjara
kerana tuduhan palsu yang telah sengaja direka-reka.
Pada awal bulan ini, kerajaan telah menahan 10 orang lagi di bawah akta
Keselamatan Dalam Negeri itu. Kebanyakan mereka adalah ahli aktif parti
pembangkang terbesar, PAS. Pegawai polis menuduh para tahanan yang dikatakan
telah dilatih di Afghanistan, terlibat dengan pengeboman, rompakan, dan
pembunuhan seorang ahli politik. Pegawai parti (PAS) telah menafikan tuduhan
itu dan berkata penangkapan mereka adalah disebabkan aktiviti mereka sebagai
pembangkang. Penangkapan dan larangan himpunan untuk berceramah sudah menyemarakkan
ketegangan politik di negara Asia Tenggara yang mempunyai penduduk seramai
23 juta. Ini telah mencetuskan kesangsian apakah pihak pembangkang akan
terus dihenyak gara-gara penglibatan mereka dengan peningkatan polarisasi
etnik dan agama yang semakin berjaya memaut hati rakyat kebelakangan ini,
menjadikan negara satu model kancah keharmonian pelbagai kaum.
Walaupun Barisan Nasional pimpinan Mahathir menguasai tiga per empat kerusi
di Parlimen, parti pembangkang telah berjaya maju ke depan sejak beberapa
tahun kebelakangan ini. Pada pemilu yang terakhir, PAS mampu menambah tiga
kali ganda kerusi di Parlimen dan merangkul kuasa pemerintahan dua negeri.
Sejak itu, kumpulan pembangkang telah meneruskan kempen untuk menggesa
rakyat keluar daripada parti pimpinan Mahathir dengan menggunakan kisah
pembabitan Mahathir dengan para kroni dalam dunia perniagaan, cara dia
mengaibkan Anwar, putarbelitnya terhadap badan kehakiman negara, dan
gelagatnya menindas pembangkang. PAS telah berjaya meyakinkan orang Melayu
yang juga beragama Islam bahawa Mahathir gaagal menangnai masalah
bersangkut-paut dengan agama Islam. Di Malaysia tidak ada sistem pungutan suara yang boleh diyakini, tetapi para
pengamat politik berkata taktik PAS memang nampak kejayaannya. Mahathir
sudah semakin menggelabah. "Kegarangan pihak pembangkang memang merumitkan.," kata Zulkifli Mohd. Alwi,
seorang pegawai parti Mahathir, UMNO. Perdana Menteri dan sekutunya menafikan bahawa penangkapan itu bertujuan
menekan penentangnya. Mereka bertegas mentohmah bahawa ahli-ahli Keadilan
dan mereka yang bersekutu dengan PAS sememangnya mahu menggunakan keganasan
untuk menjatuhkan kerajaan. 'Ada yang cuba membuat bom tangan, mencari senjata dan membeli senapang
daripada negara jiran dan merusuh sepanjang masa sehinga kerajaan dapat
mereka gulingkan,' kata Mahathir mengenai pemimpin Keadilan yang telah
ditahan. 'Kita tidak boleh benarkan perkara itu.'
Akan tetapi, kerajaan tidakpun mempunyai bukti kepada semua tuduhan itu.
Mengikut perundangan ISA, pegawai berkuasa tidak perlu mengemukakan tuduhan
ataupun mendapatkan izin seorang hakim untuk menahan seseorang selama 60
hari. Selepas itu, mereka yang dianggap sebagai anasir berbahaya kepada
keselamatan negara ditahan tanpa perlu dibicara selama yang disenangi oleh
menteri dalam negeri. Pakar guaman berkata undang-undang Malaysia ialah
antara yang paling kejam di dunia.
Peguam yang membela tahanan daripada pemimpin Keadilan berkata bahawa
kegagalan kerajaan mengemukakan bukti terhadap dakwaan tindakan ganas yang
dirancangkan itu menunjukkan betapa segala tuduhan itu sengaja direka-reka.
'Semua ini adalah tuduhan palsu yang sengaja direka-reka untuk meyakinkan
orang awam untuk membolehkan penggunaan ISA,' kata peguam Sivarasa Rasiah.
'Tujuan kerajaan sebenarnya ialah untuk mengurangkan bisa kebangkitan
rakyat.' Sivarasa berkata mereka telah disoal-siasat mengenai organisasi dalaman
parti dan kewangannya, bukanpun keganasan. Mereka juga berkata bagaimana
pegawai polis mahukan mereka menganggotai parti Mahathir dan tinggalkan
parti pembangkang. 'Semua ini adalah mainan politik,' kata Sivarasa.
Inilah juga rumusan Gobalakrishnan sebaik sahaja ditangkap untuk ditahan
selama 51 hari, dan sebelum dia mula-mula disoal-siasat untuk pertama
kalinya. Mereka tidak pernah menyoal saya mengenai keganasan, ataupun bom tangan,
senapang dan pelancar roket yang mereka tohmahkan sebagai alat kelengkapan
kami,' kata beliau. 'Mereka mahu tahu mengenai perjalanan parti.' Kemudian
dia berkata betapa para penyoalnya 'mahu saya mengaku ada perhubungan seks
dengan wanita lain selain isteri saya, kisah wanita dalam parti. Mereka mahu
menggambarkan wanita dalam parti sebagai mereka yang kurang bermoral.'
Pengamat politik dan para diplomat berkata kehairanan kenapa polis berminat
mengetahui kecenderongan seks ahli parti pembangkang. Mereka mengungkit
tindakan kerajaan mengaitkan tuduhan perbuatan buruk melibatkan Anwar yang
menghasilkan penghukumannya sedangkan segala bukti yang dikemukakan adalah
bukti haprak yang mudah dipertikaikan. Inilah yang menjahanamkan reputasi
Mahathir sebaliknya menaikkan nama Anwar.
Gobalakrishnan berkata pembebasannya dahulu bersama seorang lagi aktivis
adalah disebabkan seorang hakim yang bersimpati dengannya dan yang berani
menggosok airmuka pihak kerajaan kerana gagal mengemukakan sebarang bukti
menyokong tuduhan mereka. Enam lagi pemimpin yang merayu kepada seorang
hakim lain telah ditolak dan kini sedang ditahan. Timbalan Mahathir telah
mengarahkan mereka dipindahkan kepada penjara tahanan dengan menandatangani
surat tahanan untuk dua tahun lamanya.
Para peguambela kepada enam tahanan ini telah merayu kepada Mahkamah
Persekutuan. Satu kejutan dari segi prosedur telah berlaku, Ketua Hakim
Negara telah mengenepikan bantahan kerajaan dan memutuskan pada minggu ini
bahawa beliau akan mengambil kira bukti soal-siasat dulu.
Para peguam parti dan aktivis hak asasi manusia mengharapkan Ketua Hakim
Negara, Mohd Dzaiddin Abdullah, yang berazam mahu mengembalikan martabat
badan kehakiman negara, akan menyedarkan Mahathir bahawa dia tidak boleh
menyalah-gunakan undang-undang untuk menyakat pemimpin pembangkang.
Beberapa bulan terakhir ini, badan kehakiman negara telah menunjukkan
riak-riak kebebasannya. Dalam satu contoh yang sungguh bermakna, seorang
hakim telah memansuhkan keputusan pilihanraya pada Jun dulu, walaupun pemilu
itu telah dimenangi oleh parti komponen BN pimpinan Mahathir. Hakim itu
berkata pada 1999, ketika perbicaraan dimulakan, dia telah 'diberikan
arahan' oleh 'ketuanya' untuk mengenepikan kes itu.
'Kini, para hakim merasa lega kerana mereka ada sedikit kebebasan,' kata
Param Cumaraswamy, seorang peguam Malaysia yang berkhidmat sebagai utusan
khas PBB mengenai kebebasan undang-undang. 'Dengan munculnya Ketua Hakim
Negara yang baru suasana yang lebih tenteram telah tercipta untuk
membolehkan para hakim menjalankan tugas tanpa ada tekanan daripada atas.'
Baru-baru ini perdana menteri ada berkata bahawa kerajaannya 'tidak perlu
meminta maaf kepada sesiapa' dengan penangkapan itu, yang katanya
dilaksanakan 'untuk kebaikan dan keselamatan negara.'
Pengamat politik dan para diplomat berkata penangkapan 10 orang itu dengan
dakwaan mereka ada hubungkait dengan pejuang jihad di Afghanistan boleh jadi
sebagai satu usaha untuk melencongkan kritikan kerajaan Barat terhadap akta
ISA. 'Dia cuba menunjukkan bahawa ini adalah satu operasi memansuhkan
ekstremis Islam,' kata seorang diplomat Barat. 'Dia fikir kelentongannya itu
boleh mengabui orang Amerika dan Eropah.'
Akan tetapi, diplomat itu menyoal apa yang ditohmahkan oleh perdana menteri.
'Setakat ini kami tidakpun melihat sebarang bukti yang benar-benar
menunjukkan bahawa orang-orang ini melakukan segala kejijikan itu selain
daripada mereka ini sebenarnya pekerja biasa untuk pembangkang.'
Beberapa pemimpin sekutu Mahathir telah menyerlahkan kebimbangan mereka
bahawa segala penahanan ini akan melibas balik. Mereka curiga kelentongan
Mahathir kali ini akan menyemarakkan semangat dan bukannya menakutkan para
pemimpin pembangkang seperti Gobalakrishnan.
'Mahathir tidak boleh menakutkan saya,' kata Gobalakrihnan. 'Saya akan terus
menentangnya walaupun ini bermakna disumbat semula dalam penjara.'
*** Catatan Penerjemah: Hai, Mahathir haprak....! Kalau beginilah berita yang ditulis dan disiarkan
di Washington di mana ribuan diplomat asing menetap di sana, bagaimana
agaknya dia mahu terus kelentong di Kampala, Uganda dalam persidangan
South-South itu? Semua negara barat sudah tahu lama bahawa persidangan itu
adalah tajaan duit rakyat Malaysia yang bertujuan menonjolkan Wira Terhaprak
Dunia Ketiga. Cuma orang UMNO yang tidak (MAHU) sedar.
Asal: http://washingtonpost.com/wp-dyn/articles/A64593-2001Aug11.html
atau KM2: 5211 |