Laman Webantu KM2A1: 5221 File Size: 25.8 Kb * |
TSG 11: 5 - Saya, Phoolan Devi: Autobiografi Seorang Wirawati India By Marie-Therese Cuny, Paul Rambali 14/8/2001 8:04 pm Tue |
[Mayadin akhirnya menjadi serik dan jeran oleh sikap Phoolan
yang tidak henti memperjuangkan haknya yang tercuri. Sebab itulah
dalam perjuangan jangan ugutan dan ancaman penyangak itu menjadi
penghalang untuk terus berdiam kerana tindak-tanduk mereka itu
akhirnya akan menyerlahkan di mana terletaknya kebenaran. Apabila
penyangak diasak berterusan masyarakat akhirnya akan dapat menilai
keadaan. Choti teringin bermain kawin-kawin dengan patung mainan kami. "Akak jadi
pengantin jantan dan biar saya jadi yang pompuan," katanya.
Aku tidak punyai masa yang terluang untuk bermain-main selepas Rukmini
akhirnya pergi menetap dengan suaminya.
Ibu berkata umurku sudahpun mencecah sebelas tahun, itupun dia masih tidak
pasti. Badanku masih kerdil lagi sehinggakan Choti berkemungkinan naik lebih
besar daripada aku, walaupun dia dilahirkan selepas aku. Ibu hanya mampu
berkata bahawa aku lahir pada bulan Bhadrapad, ketika musim hujan ketika
orang kampung meraikan pesta bunga. Ibu tidak pula teringatkan usia Rukmini,
Choti ataupun Bhuri dengan jelasnya. Tetapi, bila tiba umur adikku Shiv
Narayan, dia hafal pula, kerana satu hari dia terpaksa mendaftarkan adik di
sekolah. Yang aku pasti, satu hari nanti aku akan membesar, dan mempunyai
lebih kudrat untuk bekerja kuat. Dengan pemergian Rukmini, beban kerja
bertambah lagi kerana aku menjadi anak tua keluarga kami. Aku terpaksa
mengisar gandum untuk membuat capati sedangkan batu pengisar itu menyebabkan
tanganku melecet dan memedihkan jejari. Aku terpaksa mengutip baja talembu
dan mengangkutnya menyeberangi sungai untuk disusun di kachwari. Aku
terpaksa menyediakan makanan ternakan, mencari lumpur untuk menampal dinding
rumah setiap kali hujan merosakkanya. Aku terpaksa mengangkut air, memasang
unggun api, membersihkan kandang ternakan, dan menunggu sehingga semua orang
sudah makan. Selepas perkahwinannya, aku tunggukan bila Rukmini akan pergi bertandang
untuk menetap di rumah suaminya. Kini, selepas pemergiannya, aku selalu
merinduinya. Rukmini selalu mengajar aku sesuatu. Ketika dia melaksanakan
upacara 'gauna' dan berpergian untuk bertandang terus ke kampung suaminya,
kami menghantarnya dengan berjalan sama di jalanraya. Aku menangis di
sepanjang jalan sehinggalah kakak hilang dari pandangan. Sejak itu, aku
kerap merasa sedih, ataupun mudah melepaskan geram, memukul seseorang untuk
mencederakannya. Sudah tidak ada lagi sesiapa yang akan mempertahankan aku
daripda ibu, seperti yang Rukmini lakukan dulu. Sejak menjadi anak yang
paling tua aku terpaksa akur kepada ibu. Seandainya aku mengelamun di mesin
pengisar, ibu marahkan aku dan berkata aku sebagai anak yang tidak berguna.
Aku ini semacam tidak memiliki kepintaran dan kesabaran Rukmini. Malahan
adikku yang kecilpun mudah menaikkan darahku.
Choti selalu bertanyakan perihal perkahwinan. Dengan hidungnya bewarna merah
kerana kesejukan, dan mulutnya mengunyah kek sekoi keras yang merupakan
satu-satunya makanan kami ketika musim sejuk, dia masih berminat mengulangi
soalan serupa itu. Bila akak nak kahwin? Lepas itu giliran saya bukan?
Apakah akak akan pergi macam Kak Rukmini? Apakah suami akak nanti orang yang
baik hati? Berapa umur kakak nanti bila dikahwinkan? Berapa pula umur saya?
Aku sendiripun mahukan jawapannya. Kalaupun dikahwinkan, itu hanya satu
upacara sahaja untuk aku menerima hadiah seperti Rukmini. Aku telah
diberitahu betapa bakal suami aku datang daripada satu kampung di Mahespur
kira-kira satu hari perjalanan. Dia adalah seorang duda dan mempunyai tanah
dan mampu membantu kami. Aku sudahpun diberitahu bahawa aku terpaksa
berpindah hidup di kampungnya tiga hingga empat tahun selepas istiadat
perkahwinan kami. Maknanya selepas aku membesar. Aku tidakpun tahu berapa
lama penantian empat tahun itu. Berapa siang dan malamnya, berapa purnama
dan musim menuainya? Itulah yang selalu aku fikirkan.
"Lama masanya," kata ayah, "hampir setengah usia kamu. Jangan dirisaukan
perkara itu." Kerana itu akupun berhenti merisaukannya.
Pagi itu masih gelap lagi, dan aku tidak berani keluar kesejukan mencari
air. Tiba-tiba terdengar ketukan di pintu. 'Phoolan!' Itu suara kawanku Sukhdei.
"Aku nak pergi kebun memotong rumput. Tanya ibu kamu kalau boleh mengikut
aku. Kita boleh potong sedikit untuk lembumu."
Sukhdei berbadan tinggi dan menawan hati. Dia berpakaian seperti wanita
mengenakan sari kuning dengan rambutnya yang bertocang diikat riben panjang.
Dia sudah berkahwin tetapi belum lagi berpindah ke rumah suaminya. Sukhdei
menganggap aku laksana adiknya. Aku belum punyai sehelai sari untuk dipakai.
Cuma seluar pendek yang dibuat daripada kain kapas dan sehelai baju biru.
Rambutku pula memang sengaja berjuntaian di bahagian belakang.
"Cepatlah kalau nak ikut," kata Sukhdei.
Ibu memberi pesan agar kami berhati-hati. Musim bunga sudah tiba dan paras
air sungai sudah menurun, namun arusnya masih berbahaya. Amma fikir aku
gelocoh tetapi aku tidak pernah takut dengan air.
Ketika sampai di tebing sungai Nadi, kami masih tidak nampak dengan jelasnya
tebing seberang sungai itu. Memang sejuk pagi itu, dan kabus kebiruan masih
bertahan di permukaan air yang berwarna kelabu, namun kami mula tanggalkan
pakaian juga waktu itu. Sukhdei tidak menanggalkan pakaian dalamnya,
walaupun tidak ada sesiapa yang dapat melihat kami meredah air sungai,
sambil menjunjung sabit dan pakaian di atas kepala. Aku mengekori Sukhdei
meredah air berlumpur dan sejuk itu yang naik ke paras dagu, sambil
menggigil membuatkan gigi turut berlagu. Setiba di seberang sungai kami
pakai semula pakaian yang ditanggal itu. Aku perhatikan Sukhdei sudah
semakin membesar menjadi seorang wanita dengan benjolan yang kena pada
tempatnya. Berbeza benar keadaannya dengan badanku, leper dan rata laksana
patungku sahaja. Perjalanan menuju ladang Sukhdei terpaksa melintasi satu kebun yang ditanami
kekacang 'hora'. Pokok hora itu sudah membesar berbaris tingginya sehingga
sampai paras pinggangku. Semuanya sudah meranum dengan mengeluarkan buah
berwarna hijau. Tiba-tiba aku merasa lapar, kerana belum sarapan pagi itu.
Aku pun membongkok memecahkan kulit kacang itu sehingga terkeluar kekacang
dalamnya yang berwarna hitam. Sebaik menjamahnya, nafsu aku membara untuk
mengutip lebih banyak lagi. Sukhdei melihat wajahku dengan ketakutan. "Kau tak takut Mayadin nampak?
Inikan kebunnya?" "Ah....... awal pagi, anjing tu berdengkor lagi!"
"Kau akan kena pukul, nanti." "Aku tak peduli...!" Sambil mencangkung di kebun itu kamipun menuai pokok kacang dengan tangan.
Dengan pantas aku sudah dapat mengumpulkan satu bungkusan kacang yang
sebesar badanku. Aku cuba bayangkan muka Mayadin kalaulah aku ada kuasa
ajaib untuk menuai semua tanamannya dan membawa lari hasilnya. Pada musim
menuai dia hanya berikan kami batang pohon kekacang setelah dia mengambil
dedaun dan kacangnya. Tetapi kamilah yang menyemai benih dan menabur baja
pada tanaman itu. Batang rimbunan kekacang itu menjadai makanan lembu kami.
Kalau lembu boleh lapar, tentu manusiapun lapar juga. Aku tahu setiap hari
dia kisar satu guni hora sebagai makanan lembunya, sedangkan kami cuma ada
sekoi untuk dijadikan makanan. Ketika aku berpusing menyumbat segumpal hora dalam kantung yang aku
selepangkan di bahu, aku ternampak bayangan manusia bergerak dipancar
sinaran pagi. Aku ternampak seorang lelaki yang kemas pakaiannya. Aku pasti
itulah Mayadin! Dia mahu berlagak laksana salah seorang yang penting di
kampung kami. Namun aku dapat mengenali bentuk hidungnya. Ia bukan
menyerupai hidung helang, tetapi aku sadah pasti, hidungnya itu adalah
semacam burung garuda. Jelas, dia sudah lama memerhatikan kami.
Sukhdei naik takut dan datang mendekatiku. "Ketika kita lalu di belakang
rumah kamu, aku ternampak salah seorang isterinya," bisik Sukhdei kepadaku.
"Tentu dia sudah memberitahu suaminya yang kita mahu ke sungai. Tentu dia
naik marah sekarang." Memang tidak ada tempat lain untuk menyorok di ladang itu dan dia sudah
semakin mendekati kami. Dia menangkap rambut kami berdua, dan menarik kami
laksana dua ekor kambing. Sukhdei menjerit kesakitan tetapi aku mendiamkan
diri sahaja. Aku terjatuh pada kakinya dan menunggukan libasannya. Dia cuma
memakiku sahaja. "Pencuri! Penyamun! Aku akan hantar kalian masuk penjara!"
Sukhdei cuba meronta-ronta, mungkin takutkan Mayadin mengheret kami ke
selekoh sungai dan melakukan apa yang selama ini diingatkan kepadaku oleh
ibu. Sukhdei rangkul sarinya begitu ketat sekali sambil memandang mukaku,
mengharapkan sesuatu. Aku memang tahu perangai Mayadin, yang tidak berbeza
dengan perangai bapanya. Hanya satu sahaja yang di mahu, mendera dan
memukulku. Aku terdengarkan hayunan kayunya di bahagian atas kepalaku dan merasakan
keperitan di bahagian belakang badanku. Tetapi, dia tiba-tiba merobah
fikirannya. Sambil mengarahkan kami mengutip hora yang telah kami curi itu
Mayadin menyuruh kami berjalan ke arah sungai sambil dia mengikuti di
belakang kami. Sekali sekala dia menepuk bahagian belakang kepala kami
sambil terus mencaci. Apabila kami menghampiri tebing sungai dia telah
menolak kami berdua di bahagian yang paling dalam. Kamipun terjun dengan
pakaian yang ada. Untuk menentukan bungkusan hora itu tidak basah aku telah
mengangkatnya setinggi mungkin sambil berenang. Walaupun air memasuki
mulutku, aku terpaksa berusaha tidak tenggelam ketika itu. Aku tidak
terdengar sangat segala makian yang keluar dari mulutnya ketika dia cuba
meniti belakang kerbau untuk mengelakkan pakaiannya basah.
Ingatanku meluru kepada ayah dan ibu. Aku sedar Mayadin akan memaksa mereka
membayar denda kepada Pancayat. Bihari pernah melakukannya. Ketika itu ayah
terpaksa membayar lima ratus rupee, ketika aku mengambil sedikit hora
daripada ladangnya. Musim bertani memang buruk waktu itu, kami hanya mampu
memakan sekoi sahaja sedangkan Bhuri masih kecil lagi dan menangis tanpa
henti. Sebagai menghukum aku, ibu telah menafikan aku daripada menikmati
makanan untuk beberapa hari. Mayadin memaksa kami berjalan menghala balai raya kampung di mana Pancayat
bermesyuarat. Ramai orang kampung yang memerhatikan langkah kami ke sana.
Bajuku basah kuyup dan seluar pendekku berlumpur. Sukhdei masih lagi
menggigil walaupun sarinya masih lagi dipeluknya rapat-rapat.
"Tengok, anak Devidin!" Mayadin memberitahu Pancayat. "Tengok pencuri kecil
itu. Dia telah mencuri hora tanamanku,"
Kami disuruhnya duduk bersila di atas tanah, menunggukan ketibaan pemimpin
kampung yang menganggotai Pancayat. Krisna, Pradan yang berbadan gemuk dan
sontot seta memunyai mata laksana ayam jantan tua, adalah salah seorang ahli
majlis itu. Kisna memang mudah bersekongkol dengan Mayadin, dan mereka
berdua ini memang bedebah sahaja mengikut penilaianku. Seorang penjaga
(jaga) kampung telah diarahkan memukul rebananya sebagai tanda adanya
mesyuarat Pancayat. Salah seorang warga kampung telah diarah menyalakan
unggun api di halaman balai. Arahan itu dikeluarkan oleh Sarpanch, ketua
kampung itu. Tetapi, kami berdua diarahkan duduk bersila di atas tanah
berdekatan pintu rumahnya. Kami menggigil kesejukan dalam pakian yang basah kuyup. Tetapi tidak siapa
yang membenarkan kami mendekati unggun api untuk memanaskan badan. Kaum ibu
dan juga orang gaji yang datang mengambil air telaga berbisik sesama mereka
sambil menanggukkan kepala ke arah kami. Aku dapat mendengarkan cakap-cakap
yang menghina. "Phoolan Devi mencuri! Phoolan Devi mengaibkan nama baik ibu
dan ayahnya. Satu hari nanti dia akan masuk penjara!" Tetapi aku terdengar
juga kata-kata yang memberansangkan..... "Si Mayadin tu patut merasa malu!
Apa salahnya seorang budak mengambil sedikit hora? Apakah dia boleh menjadi
papa kedana gara-gara hora yang dicuri orang?"
Ibu datang berlari kerana ketakutan setelah mendengarkan pengumuman tukang
canang. Ayah mengikutinya di belakang sambil berjalan perlahan dan
menundukkan kepala kerana rasa terhina. Ibu mencekik leherku sambil
menarikku berdiri di situ. "Bila kamu pulang aku akan ajar kamu lagi!" Ayah
diam membisu. Dia duduk bersila tanpa memandang kami yang disuruh duduk di
bawah satu pohon banyan, yang dijadikan tempat bermesyuarat di musim panas.
Ayah menekup muka dengan dua tapak tangannya seolah-olah membaca doa. Tetapi
aku tahu dia sedang menangis dan menyungkup airmata.
Tengah hari sudah tiba, barulah semua ahli Pancayat menunjukkan muka. Mereka
semua adalah orang kaya yang mempunyai tanah. Mereka bermesyuarat secara
tertutup di rumah Sarpanch dan kami dengar suara Mayadin dengan nyaring.
"Kenapa budak-budak ini mencuri hora daripada kebun saya? Kenapa ibubapa
mereka menggalakkannya! Devidin mesti dikenakan hukuman denda!" Aku merenung
seberkas hora yang telah dikumpulkan oleh Mayadin di atas para simen di
bawah pokok di tengah laman. Satu bungkusan itu memang besar dan yang satu
lagi kecil sahaja. Sukhdei mempunyai seorang bapa, seorang suami, adik
beradik, yang mampu membela dirinya. Walaupun dia miskin seperti kami, tidak
ada siapa yang berani menderanya. Dia bukannya sepupu yang dibenci oleh
Mayadin seperti aku, sudah tentu dia tidak akan didera dan didenda seperti
aku. Aku dianggap pencuri yang kotor, anak perempuan Devidin yang sedang
berdoa meminta keampunan. Aku sayangkan bapa tetapi dia tidak tahu macam
mana mahu membela aku. Dia adalah seorang manusia yang baik hati yang tidak
suka bergaduh dan yang mempunyai badan yang sudah melengkung disebabkan
terlalu lama bekerja di ladang tidak kira apa keadaan musimnya. Dia tidak
pernah merintihkan apa juga habuan yang diterima daripada hasil kerjanya.
Hari sudah beransur petang dan manusia sudah semakin membanjiri balai itu
untuk mendengar keputusan perbicaraan kami. Sarpanch tiba-tiba muncul dan
berdiri di atas pentas di bawah pokok banyan itu. Badannya tinggi, dengan
rambut yang lebat. Namanya yang sebenarnya ialah Brij Bihari. Dia memang
jarang bercakap dengan kami, tetapi aku tahu dia bersekongkolan dengan Kisna
dan Mayadin. Mula-mula dia mengumumkan keluarga Sukhdei terpaksa membayar
denda sebanyak satu ratus rupee. Bayangkan satu ratus rupee untuk seberkas
hora yang boleh dipegang dengan satu genggaman tangan. Hukuman untukku
berbeza pula, dan aku mendengarnya dengan hati-hati dan perasaan yang penuh
tandatanya. Aku mendengarkan keputusan ketua kampung yang mengisytiharkan
betapa ayahku mempunyai hak terhadap tanah ladang Mayadin, dan selagi
Mayadin menafikan hak itu, dan oleh kerana Devadin tidak mempunyai sebarang
tanah yang lain untuk bertani sendiri, anak perempuan Devidin tidak boleh
mengambil dan mengutip hora secara haram di kebun orang kecuali hora yang
ditanam di ladang Mayadin! Aku menang rupanya! Pancayat tidakpun menganggap aku sebagai seorang
pencuri. Sepupuku dan keluarganya yang menafikan hak ayah selama ini. Mereka
telah menyebabkan keluargaku bertukar menjadi anjing yang kelaparan.
Aku meloncat daripada tempat dudukku, dan berlari mendakap ayahku. Dia masih
lagi merenung bumi sambil menangis lagi. Aku naik seronok sehinggakan menolak bahu ayah. Aku hampir menjadi histeria.
Aku terus ketawa dengan senang hati. "Lihat ayah! saya menang, saya bukannya
pencuri! Kita punyai hak ke atas tanah itu! Itu keputusan mereka! Ayah tidak
perlu menangis lagi! Tanah itu kita yang punya!"
Ayah menyapu airmatanya. "Kenapa kamu lakukan itu Phoolan? Kenapa?"
Aku tidak tahu apa hendak dikata. Aku tidak perlu takut-takut lagi. Bukan
kepada Mayadin, ataupun takutkan ibu yang akan memukulku, tidak! Aku sudah
menang, tetapi ayah masih menangis lagi.
Mayadin mendekati kami, dan ayah bangun berdiri dengan kepalanya masih
memandang bumi dengan matanya yang membesar kerana merasa malu. Ayah tidak
berkata apa-apa. Hatiku merasa sakit melihatkan pakaian ayah yang
compang-camping berbanding pakaian Mayadin. Aku menjadi lebih tidak senang
melihatkan tubuh ayah yang semakin membongkok menunjukkan penderaan hidup
yang ditanggunginya persis seorang hamba abdi, di hadapan anak saudaranya
yang gemuk-gedempol hidup tanpa berbuat apa-apa selain memerah tenaga mereka
yang papa kedana. Mayadin menunjukkan marahnya yang amat sangat sehinggakan hidungnya
mengembang lagi dan mendengus laksana seekor kerbau sapi. Suaranya
tersekat-sekat disebabkan kehampaan. "Devidin! Ini adalah satu penghinaan
bagiku! Kau galakkan dia! Kau suruh dia curi hora aku di kebun! Sepatutnya
kau dikenakan denda. Pancayat tidak berlaku adil kepadaku! Kau dengar
cakapku ini! Kau akan rasa balasannya! Aku akan tentukan engkau terus
dirundung malang! Kau dengar tu! Malang...!!"
Aku mahu meloncat-loncat keriangan. Aku ketawakan Mayadin dan berlari
mendapatkan hora yang tersusus di atas pentas. Pada waktu itu, ada seorang
wanita kampung yang meludah arahku dan berkata bahawa peristiwa itu akan
menggalakkan pencurian di ladang sahaja.
Beban yang aku pikul memang berat, tetapi aku mahu juga membawa semuanya dan
terus menuju ternakan yang sedang menunggu. Itu adalah peristiwa yang paling
menyeronokan dalam hidupku! Aku menyuapkan hora kepada ternakanku, sebatang
demi sebatang kepada setiap lembu, kambing dan kekacangnya kepada ayam yang
berkeliaran di situ. Aku angkat setiap rumpun hora itu dan menyiatkan
batangnya satu persatu, merelakan ternakan menikmati kulit keras yang
mengandungi kekacang itu. "Makan! Semua ini tanaman di kebun kita."
Adikku Bhuri yang memakai seluar pendek ketika itu, datang menghampiriku
dengan penuh tandatanya. "Tengok Bhuri, ini makanan yang lazat! Kita akan menjadi kaya, selepas ini."
Aku menari dengan penuh keriangan sambil mengongsi barangan yang aku bawa
bersama ternakan yang ada. Mereka tidak mengenakan sebarang denda. Akulah
ratu kandang itu, rumahku dan juga keseluruhan perkampungan!
Hanya seorang sahaja yang masih mahu memarahi aku dan dia ialah ibu.
"Kenapa kamu mengekek depan panches?" "Apakah ibu tidak mendengarnya. Ayah mempunyai hak! Kita boleh pergi ladang
Mayadin bila-bila masa kita suka dan ambil apa yang kita perlu untuk makanan
lembu kita?" Barulah ibu turut tertawa sama. Pada hari berikutnya, Choti dan aku mengambkil rumput dengan bebas di ladang
kepunyaan keluarga kami. Pernah juga Choti dilihat oleh isteri-isteri
Mayadin dan mereka mengejar adikku itu dengan sebatang kayu. Tetapi, Mayadin
tidak berbuat apa-apa denganku. Dia tidak berani mengangkat tangan terhadap
Phoolan Devi. Aku hanya ketawa saja setiap kali adikku menunjukkan kesan
calar-balar gara-gara gelagat isteri Mayadin.
Tiga bulan selepas kemenangan bersejarah mengenai kebun keluarga itu,
rumahku telah mengalami suasana keriuhan yang luarbiasa. Sibuk sungguh
keadaan di rumahku dengan kedatangan ramai manusia kampungku dan juga orang
luar daripada kampung lain yang tidakpun aku kenali. Aku terlalu sibuk
bekerja di kebun dengan Choti untuk mengetahui hujung-pangkal kesibukan itu.
Pada satu petang, sedang aku sibuk mengutip baja talembu, ibu datang
menghamipri aku. Ibu memberitahu agar aku biarkan sahaja baja talembu di
situ. Dia memimpin aku mendekati sungai dan membersihkan badanku, menyikat
rambut dan melangiri badanku dengan minyak yang bercampur 'haldi', sejenis
tepung kuning yang ditumbuk daripada sejenis kunyit wangi. Aku berkilauan
laksana satu patung dewi, dan aku terpaksa menunggu tiga hari dengan keadaan
begini sebelum dibenarkan masuk ke sungai lagi.
Aku teruskan kerjaku. Memang ada juga gadis lain yang berlangir kekuningan
seperti aku dan mereka buat kerja biasa.
Pada hari yang ketiga, satu rombongan kecil mucul di jalan kampung kami,
didahului satu kereta yang ditarik oleh dua ekor lembu jantan. Daripada jauh
aku dapat teka bahawa rombongan ini disertai orang lelaki sahaja. Apabila
aku tersedar bahawa rombongan datang menuju rumahku, akupun lari menyorok di
kamar tidur di bahagian belakang rumah.
Orang lelaki yang menaiki kereta lembu itu masuk melalui pintu hadapan dan
duduk di atas khat di halaman rumah. "Phoolan! Mari sini tunjukkan rupamu." Ibu terpaksa mencari aku untuk tidak
menyorok lagi. Aku masih kekuningan disebabkan minyak yang disapu dulu. Ketika itu aku
berpakaian seluar pendek dan baju biru dan masih lagi bergelumang debu yang
aku bawa daripada kebun. Warga wanita kampung berpusu-pusu ingin melihatkan
apa yang sedang berlaku dalam rumahku. Aku merasakan diri laksana seekor
kambing yang dijual di pasar. Orang lelaki yang duduk di hadapanku kelihatan
besar dan gemuk badannya, dengan kulit yang cerah rupanya. Di sebelahnya
duduk pula seorang yang lebih tua. Orang yang gemuk itu kelihatan terlalu
tua untuk dijadikan suami aku. Dia berusia sekurang-kurangnya sebaya dengan
Mayadin, dan aku menyangkakann dia adalah bapa kepada bakal suamiku.
Ibu bercakap dengannya. "Dia masih budak benar, belum menjadi seorang wanita lagi. Seorang lelaki
yang berusia tiga puluh sepatutnya mengahwini gadis yang sekurang-kurangnya
berusia lima belas. Ayah menggoyangkan kepalanya berkali-kali.
"Dia masih muda," kata ayah. "Awak tidak boleh bawa dia dulu untuk sementara
waktu." Orang itu duduk sahaja di situ tanpa berkata apa-apa. Matanya kelihatan
hitam di bawah keningnya yang mengedut seolah-olah dia sedang memikirkan
sesuatu yang sungguh berat dalam hidupnya. Apa yang dikiranya? Fikirku. Aku
fikir akulah yang merasa tidak senang ketika itu. Aku tidakpun faham
renungannya pada badanku. Ibu suruh aku berdiri di sisinya untuk membolehkan
lelaki itu membuat perbandingan, sedangkan aku tidakpun sampai mencecah
pinggang ibu. Namun, orang yang lebih tua itu berkata: "Dia sesuai untukku."
Tidak lama kemudian mereka pun pergi. Orang tua itu menepuk kepalaku dengan
senyuman yang maknanya aku tidakpun tahu.
Mereka keluar daripada kampung pada petang itu juga, dan apabila tiba
keesokan paginya aku sudah lupa akan segalanya.
Kemudian Choti bertanya: "Apakah akak akan pegi bersama Putti Lal?"
Soalan itu memeranjatkan aku. "Tidak," jawabku.
"Tapi, Rukmini pergi juga tinggal di kampung abang Ramphal!"
"Rukmini menunggu sehingga 'gauna' sebelum pergi menetap di kampung
suaminya. Dia berumur enam belas tahun ketika itu."
"Apa perlunya kita kahwin, Phoolan?" "Akak tak taulah Choti." Pada pandanganku, perkahwinan adalah merupakan satu majlis luarbiasa yang
dianjurkan oleh ibu bapa untuk anak gadis mereka. Aku ceritakan pada Choti
akan beberapa gadis di kampung itu yang sudahpun berkahwin tetapi masih
menetap dengan ibu bapa mereka. Mereka masih lagi bermain dengan adik-adik
mereka dan datang berkebun bersama kami.
Choti terdiam dengan cerita aku. "Kalau begitu marilah kita bermain dengan
patung," kata Choti dengan cerianya. "Akak boleh jadi pengantin lelaki, saya
boleh jadi pengantin pompuan." Choti menyusun semua patong bikinan kami di halaman, membiarkan semuanya
duduk, sambil memperkenalkan antara satu dengan lainnya. Dia meniru gelagat
ibu bapa kami ketika majlis perkahwinan Rukmini dulu. Aku letak satu kalung
bunga di leher patungku dan meletakkan setitik warna merah pada dahinya.
Seperti Choti, akupun tidak faham apa sebenar maksud semua istiadat itu. Aku
beranggapan, seorang suami itu tidak ada bezanya daripada seorang ayah
ataupun abang kepada sesaorang anak gadis seperti aku. Dia adalah seorang
lelaki yang melindungi kita dan bukannya seseorang yang akan menganiaya
ataupun mendera. Apapun yang berlaku juga satu hari nanti apabila muncul
'gauna' akupun akan keluar rumah seperti Rukmini untuk menetap di rumah
suamiku. Ibu dan ayah tentu lega kerana kurang satu mulut lagi untuk
disediakan makanannya. Itulah fikirku, kenapa mereka bermatian mencari wang
untuk membayar rupee sebagai dauri. Sejak pokok neem kami ditebang dan
dibalun oleh Mayadin, aku dapat mengagak betapa ibu telah meminjam rupiee
daripada adik beradiknya untuk menyediakan dauri perkahwinanku.
Aku tidak tahu-menahu perihal Putti Lal. Aku tidak tahu siapakah dia dan
bgaimana rupanya. Aku tidak tahu dia seorang hantu, dan di sebalik segala
janji yang diberikannya kepada ayah dan ibu, dia mahu membawa aku terus ke
rumahnya selepas perkahwinan kami. Sebelum itu kehidupanku memang sukar sekali. Ia dipenuhi hamunan, pukulan,
kelaparan dan tangisan. Tetapi setakat itu, hanya seorang sahaja lelaki yang
menjadi punca taat setiaku, dan dia adalah ayahku. Selepas perkahwinan itu
taat setiaku beralih kepada Putti Lal. Dia akan dihadiahkan seorang budak
perempuan kecil yang berusia sebelas tahun untuk dikelebek sesuka hatinya.
Terjemahan: SPAR-10 |