Laman Webantu KM2A1: 5233 File Size: 7.4 Kb * |
AG: Jika Ekonomi Demam Berpanjangan - Semua Akan Tunggang Langgang By Abu Bakar Rashid 16/8/2001 7:10 pm Thu |
http://www.agendadaily.com/details.php?id=422
Dari Jendela Media Asing Susunan: ABU BAKAR RASHID
Jepun dan Singapura kini dilanda kemelesetan, kata Businessweek (BW) edisi
terbaru 30 Julai. Hampir kesemua negara utama Asia dirundung ekonomi yang menguncup. Malah,
China yang begitu laju memacu reformasi ekonomi juga tidak terlepas daripada
merasai kelembapan ini. Menurut majalah itu, ekonomi yang begitu menakutkan di Argentina dan Turki
mencetuskan kebimbangan tentang wujudnya satu lagi jangkitan masalah
kewangan yang akan merebak ke seluruh dunia.
Jika anda percayakan kesuraman yang bertimpa-timpa, kata majalah itu, apa
yang bakal menimpa ialah pengulangan krisis 1997 - pasaran saham yang
berantakan, mata wang yang seolah-olah pitam dan pengsan, kebankrapan
dengan jumlah yang mencipta sejarah dan tindakan menyelamat oleh Dana
Kewangan Antarabangsa (IMF). Asia sememangnya harus menerima hakikat bahawa mereka kini benar-benar
dicengkam krisis, kata majalah itu, tetapi dalam bentuk yang sama sekali berbeza
- seperti demam dengan kesejukan yang lebih menjadi-jadi.
Rantau Asia telah mewujudkan pertahanan diri dari bencana kewangan seperti
tahun 1997 dengan meningkatkan rezab tukaran asing, memperbaiki imbangan
akaun dan mengurangkan pergantungan kepada hutang jangka pendek yang
dikuasai dollar Amerika Syarikat dari bank-bank.
Tetapi sejak beberapa tahun lalu, menurut BW, sebahagian besar dari Asia
diserang ketagihan kepada pengeksportan barangan berteknologi tinggi dan ia
tidak dijangka akan menikmati pemulihan dalam beberapa tahun akan datang.
Sejak dari krisis bermula, Malaysia, Korea Selatan, Taiwan dan Thailand
bersungguh-sungguh bergantung, sehingga pada tahap yang berbahaya, kepada
perniagaan memenuhi selera Amerika yang kelihatan tidak puas-puas kepada
komputer peribadi, telefon bimbit dan bantuan digital peribadi (carta).
Kini, kata majalah itu, pasaran Amerika telah pun tepu, dan ia tidak dijangka
menggamit dengan permintaan yang sama untuk beberapa lama - jika tidak pun
selama-lamanya. Ahli-ahli ekonomi mula menyedari, menurut majalah itu, bahawa kegilaan kepada
teknologi tinggi di Amerika ibarat suatu fahaman yang tersesat, dikejutkan oleh
kebimbangan yang berlebih-lebihan kepada Y2K, keseronokan yang terlalu
ghairah kepada gentian optik dan kemajuan Internet yang terlalu pesat.
Apabila perbelanjaan untuk barangan teknologi di Amerika pulih ke tahap yang
tidak lagi dilanda keghairahan, ia tidak lagi dijangka menjulang ke tahap yang
sama seperti tahun-tahun berlakunya gelembung permintaan (bubble years).
Masalahnya, menurut BW, dengan berakhirnya permintaan yang melambung
terhadap barangan teknologi itu, Asia tidak lagi mempunyai kaki untuk berdiri:
Permintaan dalam negara lesu dan longlai di mana-mana, kecuali China.
Bank-bank bergelumang dengan hutang lapok. Dan, kata majalah itu lagi, banyak
reformasi ekonomi yang terlekat tidak ke mana-mana, atau terperosok dalam
keadaan sebaliknya. Angka-angka kelihatan semakin hodoh. Bagi lima bulan pertama tahun ini,
menurut BW, perdagangan dunia berkembang hanya pada tahap 4.3 peratus,
berbanding 12.8 peratus tahun lalu. Pada tahun 2000, Amerika mengimport sejumlah AS0 bilion barangan teknologi
dari Asia dan Eropah manakala Jepun juga mengimport dengan jumlah yang
kira-kira sama banyaknya, BW memetik ahli ekonomi Morgan Stanley Dean Witter
& Co, Andy Xie sebagai berkata. Kini, kata majalah itu, eksport di seluruh
rantau Asia menjadi tunggang-langgang.
Contohnya Korea Selatan. Keluaran teknologi maklumat membentuk kira-kira 12
peratus dari keluaran negara kasar - tetapi eksport cip komputer kini merudum 25
peratus. Mengambilkira semuanya ini, BW memetik ahli ekonomi Samsung Securities, Shin
Dong Suk, yang menjangka ia boleh menekan pertumbuhan sehingga hanya
tinggal separuh pada tahun ini. Keadaan serba merudum ini juga boleh membenamkan beberapa syarikat Korea
yang gagal mengendalikan hutang mereka ketika berlakunya curahan ekonomi
pada tahun 1999 dan 2000. Pengeluar cip komputer terkemuka Hynic Semiconductor Inc. kini terpukul oleh
kejatuhan harga cip memori, dan masih terbeban dengan hutang sebesar AS.7
bilion. Ketua Pegawai Eksekutif Hynic, Park Chong Sup, berkata; "seluruh industri akan
rebah" sekiranya keadaan ini berlarutan sehingga tahun depan.
Majalah itu juga memetik laporan Bank of Korea yang menyatakan 38 peratus
daripada pengeluar negara itu gagal menyediakan wang secukupnya untuk
membayar hutang mereka dalam suku tahun pertama.
Malah pelaburan modal yang hanya setahun lalu kelihatan seperti pertaruhan
yang pasti kini bertukar menjadi bala bencana.
ST Assembly Test Services di Singapura, yang menguji dan mengeluarkan
barangan semikonduktor untuk pelanggan-pelanggan yang besar seperti Infineon
Technologies dan Alcatel, membelanjakan AS0 juta untuk barangan dan
kemudahan baru pengeluaran tahun lalu.
Ia kini mungkin menggunakan sekadar 30 peratus sahaja dari kemampuannya,
majalah itu menjangkakan. Pastinya Taiwan, yang menjadi pusat keusahawanan barangan berteknologi tinggi
di Asia boleh melepaskan diri dari kemerosotan ini.
Maaf. Eksport Taiwan dalam bulan Jun lalu, menurut BW, merudum 17 peratus
berbanding tahun lalu, dan pengeluar yang besar seperti United Microelectronics
sedang membuang pekerja dan menjangka kerugian pada suku kedua dan ketiga
tahun ini. Pengeluar utama komputer, Acer Inc., membuang 30 peratus daripada 2,300
pekerjanya di Malaysia dan dijangka menanggung kerugian bagi separuh pertama
tahun ini,lapor majalah itu. Rantau Asia juga tidak boleh meletakkan harapan kepada pertolongan
Jepun.Sambil ia menyerap 13 peratus dari eksport negara-negara Asia, ekonomi
yang kedua terbesar di dunia itu juga sedang melaksanakan penstrukturan semula
yang menyakitkan. "Kami tidak boleh mengharapkan pertumbuhan yang tinggi dalam tiga tahun akan
datang," majalah itu memetik Menteri Polisi Ekonomi dan Fiskal Jepun, Heizo
Takenaka sebagai berkata. Memang benar, kata majalah itu, syarikat-syarikat Jepun memberikan lebih
banyak peluang pengeluaran kepada pengeluar-pengeluar barangan
berteknologi tinggi Asia. Tetapi, jika Jepun hampir mengalami pertumbuhan sifar sepanjang 2004, ia akan
menjadi tanah gersang kepada pertumbuhan serantau. Kemelesetan dagangan ini
akan turut diasak kesan dan bahaya tersembunyi sama seperti ledakan pasaran
yang lain. Kecuali China, kata majalah itu, seluruh rantau Asia tidak akan berupaya
meningkatkan taraf hidup. Jika eksport gagal mencapai semula tahap yang penuh kehangatan pada 1999
dan 2000, ekonomi negara-negara Asia tidak akan mendapat dana yang
secukupnya untuk membiayai usaha-usaha yang serba sukar, kata majalah itu
lagi. Majalah itu berpendapat, pembuat-pembuat polisi Asia seharusnya menggunakan
eksport yang dahulunya melambung untuk meletakkan bank-bank mereka yang
dikepung masalah dalam keadaan yang lebih tersusun, menyalakan semula
ekonomi dalam negara mereka dan mencari industri baru untuk dikembangkan.
Mereka tidak melakukannya, kata BW. Mereka mungkin tidak menikmati peluang
seperti itu sekali lagi. |