Laman Webantu KM2A1: 5236 File Size: 6.7 Kb * |
BKAdil: Mahathir Mengamuk, Mendera Melayu By Nenek Kebayan 16/8/2001 6:49 pm Thu |
http://berita-keadilan.net/kolum/kolumnis/160801nenek.htm
Mahathir mengamuk, mendera Melayu
Dia mengamuk lagi. Jika ada yang dianggapnya aral melintang, akan
dilanyak dan dibantai. Di zaman remajanya, puisi yang diminati ialah
"Charge of the Light Brigade". Seolah-olah beliau berada dalam
peperangan; maka pencabar dan pengkritik dianggap musuh yang
mesti dilenyapkan. Dalam Malay Dilemma, beliau menyentuh "amok"
sebagai sifat Melayu yang bertindak liar dalam keadaan tertekan.
Ketika itu, "amok" diungkapkan sebagai amaran kepada masyarakat
Cina supaya jangan membuat tuntutan berlebihan.
Dalam suratnya kepada Tunku Abdul Rahman yang kemudiannya
dilayangkan kepada umum beliau menyelar Tunku kerana
"bertolak-ansur" dan sentiasa mengalah kepada masyarakat Cina.
Katanya, Tunku dibenci rakyat hinggakan polis dan tentera memihak
untuk mengundi PAS dalam pilihanraya 1969. Beliau marahkan Tunku
kerana menuduhnya Pakistani dan menyebut Tunku dari keturunan
Siam. Menurutnya, Tunku tidak akan perolehi maklumat benar kerana
dikelilingi pengampu; oleh itu wajar meletakkan jawatan selaku
Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Almarhum Tunku merajuk dan kemudiannya meletakkan jawatan.
Penulis surat tersebut, Dr. Mahathir Mohamad, sekarang terpaksa
meneliti semula kandungan surat berkenaan. Di zaman Tunku, rasuah,
kronisme dan nepotisme tidak separah ini; tidak ketara megalomania
sehingga membazirkan wang rakyat; kerakusan dan kezaliman tidak
mencengkam seperti sekarang. Justeru itu, sebaik Tunku meletakkan
jawatan, rakyat sedia menganggapnya sebagai "bapa". Tetap di antara
nasihat bapa yang paling tegas ialah bahaya dan ancaman Dr.
Mahathir yang pasti akan memporakperandakan negara dan
mencemarkan amalan demokrasi termasuk institusi kehakiman. Demikian
himbauan bapa kemerdekaan. Di sebaliknya, dengan usianya yang begitu lanjut, Dr. Mahathir memilih
untuk mengamuk. Telahan Tunku kini terbukti sudah. Budaya UMNO
belum pernah sefeudal dan sebisu sekarang. Para pengampu bersaing
untuk memuji dan memuja serta menyerang "kebiadapan" lawan.
Walhal isu yang dibangkitkan dalam surat layang 1969 mengenai
pengundian, tidak lagi terbatas kepada polis dan tentera kerana majoriti
orang Melayu menolak UMNO dan BN dalam pilihanraya 1999. Beliau
bukan sekadar dikelilingi para pengampu, tetapi menurut David Roche,
penganalisa ekonomi terkemuka, beliau dikelilingi "Sycophants" yakni
penjilat yang bacul dan tidak berwibawa! (Secara kebetulan, media BN
menghebahkan kenyataan yang mengutuk ketua mereka dalam media
internasional dengan maksud membelanya).
Mengamuk adalah pelakuan menyerang secara membabi buta;
berkecamuk dan tanpa belas kasihan. Pelakunya sering nanar atau
kurang siuman. Mungkin juga dalam kemabukan - takhta dan harta.
Rakyat kebengongan melihat feel sang penguasa lanjut usia
mengamuk. Malangnya kesan amuk penguasa ialah umat dan negara.
"Sycophants" dalam UMNO termasuk pemuda dan puterinya mampu
mengaminkan sahaja. Pasukan polis dijadikan perkakas bertindak
ganas, memijak hukum, semata-mata untuk membantu penguasa rakus
dan zalim mengekalkan kuasa dan melindungi perasuah. Bayangkan,
kalangan lain yang dikira siuman mempertahankan segala rencana si
pengamuk tadi! Perhatikan sahaja isu meritocracy atau kuota kemasukan pelajar ke IPT.
Ia menjadi dasar yang menjamin keseimbangan berteraskan dasar
ekonomi baru dan semangat Perlembagaan Negara. Ia dibahaskan teliti
dan kemudiannya diumumkan oleh Perdana Menteri Tun Hussein Onn.
Sekonyong-konyong sang penguasa mengamuk, marahkan mahasiswa
kerana tidak menyokongnya. Puas ikhtiar memujuk, mengugut tetapi
tidak berhasil. Maka terus diumum dasar meritocracy dengan maksud
mendera pelajar-pelajar Melayu. Akibatnya bangsa Melayu dan
bumiputra yang didera; dan ia mungkin mencetuskan ketegangan sosial
baru dalam negara. Tidak terdapat sama sekali perbincangan dalam UMNO atau kerajaan
sebelum kenyataan mengamuk tersebut. Kerana sesungguhnya, isu
kuota berkaitan dengan prinsip keadilan dan jaminan masa depan
bumiputera. Yang dikritik ialah beberapa aspek pelaksanaanya dari
sudut syarat kelayakan, kursus yang dianjurkan dan sebagainya. Dan
yang perlu ditangani segera ialah jaminan peluang ke IPT di kalangan
pelajar bukan bumiputera mencatat keputusan cemerlang dalam
peperiksaan. Kita tidak wajar merungkai persefahaman tersebut sehingga dijamin
kemudahan saksama bagi sekolah-sekolah di kawasan desa dan
pendalaman Sabah dan Sarawak. Kita harus mengerti kebijaksanaan
dasar "affirmative action" tanpa mengabaikan nasib anak-anak miskin
dan cemerlang dari kalangan semua kaum.
Kita ulangi, yang dikecam selama ini ialah penyelewengan dalam
melaksanakan dasar bumiputera. Anak-anak Menteri dan korporat
Melayu turut menerima biasiswa. Kontrak, saham, peluang
penswastaan diagih kepada keluarga dan kroni. Mengapa tidak
diperbetulkan dasar tersebut dan mengamalkan ketelusan,
pertanggungjawaban yakni prinsip pengurusan yang baik (good
governance)? Isu-isu lain yang berbangkit sengaja diperbesarkan seperti Black Metal
dan kumpulan mujahidin. Muslihat penguasa sedia diketahui.
Pelajar-pelajar yang terlibat dalam amalan agama yang menyeleweng
perlu menyertai kursus intensif dan didedahkan dengan maklumat yang
benar. Tetapi, cara polis menyerbu kompleks membeli belah,
menangkap anak-anak muda semata-mata kerana berkumpul atau
memakai t-shirt yang dianggap ofensif oleh orang-orang tua adalah
keterlaluan. Janganlah kita bertindak terhadap anak-anak mengikut
cara komando; menjurus ke satu sistem ala komunis yang
mengongkong. Pihak penguasa mesti akui kenyataan, sekiranya isu
aqidah dan penyelewengan ajaran agama berlaku, penyelesaiannya
ialah didikan dan dakwah; bukannya kekerasan dan gembar-gembur
politik! Ramai yang mempertikai kewibawaan dan profesionalisme pasukan
polis. Kenyataan pimpinan mereka mirip kenyataan politik; tindakan
mereka sering mengikut selera politik penguasa sepertimana tindakan
melarang ceramah. Maka muncul isu kumpulan mujahidin, rakyat
mengeluh lagi memikirkan amuk penguasa. Senjata zalim warisan
penjajah mudah dan lumrah digunakan. Sejak bila kunjungan ke
Afghanistan menjadi kesalahan? Jika terdapat bukti jenayah,
hadapkan mereka ke mahkamah. Memadailah dengan penguasa dan parti pemerintah yang mengamuk.
Jentera kerajaan perlu kekal profesional!
Nenek Kebayan
|