Laman Webantu KM2A1: 5239 File Size: 23.9 Kb * |
TSG 12: 6A - Saya, Phoolan Devi: Autobiografi Seorang Wirawati India By Marie-Therese Cuny, Paul Rambali 17/8/2001 12:29 am Fri |
[Phoolan akhirnya dikahwinkan tanpa dia bersedia dan diajar
secukupnya soal cinta dan rumahtangga. Memang berat untuk ibu dan
bapanya untuk melepaskannya tetapi apakan daya, tekanan hidup memaksa
mereka menjodohkannya. Soal perbedaan usia dan kepadanan tidak lagi
dipandang kerana sudah kesesakkan. Perhatikan Phoolan tidak dibenarkan
bergerak ataupun berkata-kata sedangkan perkahwinan itu bukan satu
perkara enteng sahaja. Kesusahan hidup keluarga seperti Phoolan telah dieksploitasi oleh
banyak pihak - termasuk keluarga sendiri dan kini suaminya. Itu
terbukti bila ia berhasrat untuk membawa Phoolan pergi untuk
melakukan kerja rumah laksana seorang abdi. Ia umpama satu penjajahan
yang disahkan kerana itu pula menjadi prioriti. Suaminya hanya
mementingkan diri sendiri sedangkan dia sepatutnya mementingkan hidup
jodohnya lebih diri sendiri. Itu bukan cinta namanya tetapi dera dan
menganiaya... Ketika itu ialah bulan "Baisakh". Pada satu hari yang panas terik, dengan
pancaran mentari yang sungguh memenatkan, akupun dikahwinkan.
Sungguh banyak muka baru yang tidak pernah aku kenal sebelum itu. Lagipun
upacara itu bukannya amat bererti kepadaku. Aku keseorangan dan kehairanan.
Yang aku ingat ialah menderita kebuluran, tidak sabar, dan
keletihan, namun aku kehairanan juga. Terdapat muzik dan nyanyian, dan para
jemputan berlagak berbeza daripada perangai manusia biasa, sedangkan aku
masih seperti biasa dengan skirt berwarna biru dan blaus. Ketinggianku
tidakpun melepasi ketinggian seekor kambing jantan, badanku masih kurus
laksana seekor kucing, dan perasaanku kegusaran laksana seekor tupai di
dahan kayu, namun kehadiran manusia yang ramai itu cuba menenangkan diriku.
Aku tidakpun sedar ketibaan rombongan pengantin kerana aku sedang bekerja di
seberang sungai, menggali parit untuk mengalirkan air ke batas sayur di
kachwari. Sebaik selesai tugasan pada pagi itu, aku dan Chotipun merendmkan
badan ke dalam sungai untuk mengelakkan serangan nayamuk yang berkeliaran
cuba menggigit badan sepanjang pagi itu. Air sungai sudah cetek dan
memudahkan kami berenang untuk menyeberang. Di tebing sungai air bermain di
tepiannya sambil seekor burung berjaya menghunjamkan paruhnya menikam seekor
ular yang berenang di permukaan air itu. Inilah yang membuatkan sekumpulan
burung yang lain terjerit-jerit kerana cemburu.
Sambil kami bermain itu, aku melihat ibu datang daripada rumah membawa
sesuatu. Cara dia berjalan itu aku dapat meneka dirinya sedang murung dan
kepalanyapun tidak bertudung. Sebelum itu kami telah memberitahu bahawa kami
akan pulang sebaik selesai kerja, dan itu adalah perkara biasa di mana kami
akan mudah lupa akan janji kepadanya. Memang menyeronokkan bermain-main
dalam air sambil kepanasan, lagipun memang seronok juga cuba menangkap ikan
dengan tangan. Tetapi ibu selalu runsing kalau-kalau arus sungai yang deras
menghanyutkan kami ataupun sesuatu yang tidak diingini terjadi di hadapan
rumah Paradhan. Akupun ambil longgokan pakaianku dengan cepat untuk menemui
ibu di pertengahan lorong. Choti bertindak lebih bijak lagi: dia berlari sepanjang tebing sungai untuk
pulang ke kampung tanpa disedari oleh sesiapa. Tetapi ibu sudahpun dapat
mengesan aku. Dia seolah-olah tidak sabar dan bukannya memarahi aku. Lagipun
dia datang itu membawa aku sehelai kain sari.
"Kan aku kata jangan bermain dalam sungai!" ibu mula meleter. "Tengok rupa
kamu... penuh berlumpur!" Ibu menyeret aku dengan menarik rambutku pulang ke kampung. Terlalu ramai
orang menggunakan lorong itu sehinggakan aku tidak berapa perasan keadaan
keliling yang sebenarnya. Apabila sampai, aku lihat rumahku dipenuhi oleh
orang yang tidak aku kenali. Semua kaum ibu kampung itu ada juga, riang
gembira sambil membelek-belek hadiah yang dilonggokkan di depan mata.
Pasukan "baraat" itu sudah pun tiba di rumah kami, sedangkan aku masih
berlumpur lagi dan rambutku berkecamuk rupanya. Aku tidakpun tahu di mana
lagi mahu menyembunyikan diri. Aku merasa rimas melihatkan ramai orang luar
dalam rumahku. Ada satu "pandal" yang dibina di depan rumah. Ini adalah
kanvas berwarna putih yang dipasangdan dihiasi dengan juntaian dedaun
mangga, serta pelepah pisang yang segar dan lebar daunnya yang digunakan
sebagai tikar. "Tengok," aku menarik perhatian Choti, "alangkah cantiknya."
"Ah, tak sehebat majlis Rukmini. Masa dia dulu banyak lagi bunganya, dan
ramai lagi manusianya. Hadiah pun banyak lagi masa itu."
Aku mengaku dengan pendapat adikku itu. Ibu bapa kami mesti terpaksa
meminjam untuk membayar dauri anak perempuan kedua mereka. Apa pula yang
mereka akan lakukan untuk Choti bila tiba gilirannya? Anak perempuan memang
memeritkan, fikirku. Pada waktu itu baru aku teringat betapa aku belum
menjamah sesuatupun sejak pagi. Aku berlari memasuki rumah. "Amma, boleh saya makan capati? Tolong, amma,
saya lapar!" "Jangan." kata ibu. "Itu harus mengajar kamu jangan lari ke sana-sini pada
hari perkahwinanmu! Kamu boleh makan kemudian! Mula-mula kau mesti mandi
dulu." Aku terpaksa mandi lima kali, setiap kali menggunakan wangian dan minyak
yang berbeza. Apabila selesai, mereka melumur haldi pada tangan dan kakiku.
Isteri kepada tukang gunting kampung itu mengadu kesukaran menyimpul
rambutku untuk dibuat tocang. Terlalu pendek rambut itu katanya. Semasa
kakak berkahwin dulu, rambutnya kelihatan cantik dan panjang. Sebelum itu
rambutnya dicukur dulu untuk mengelakkan kutu beranak pinak.
Salah seorang pamanku di sebelah ibu telah membawa beberapa gelang yang
disarungkan oleh ibu kepada tangan dan kakiku. Aku juga mengenakan cincin di
jari kakiku dan seutas rantai di leherku. Beberapa orang wanita telah
membantu menyolekkan aku. Barulah aku tahu bahawa kain sari berwarna kuning
itu adalah pakaianku. Aku terpaksa menggunakan hujung sari untuk menutup
keseluruhan kepalaku. Inilah yang melindungi pandanganku. Namun, aku boleh
merasakan tangan wanita yang menghiasiku dan memusingkan badanku.
Aku telah dipimpin untuk duduk di bawah Pandal. Kemudian aku mendengar banyak
suara pada satu masa memberi pesanan apa yang mesti aku lakukan dan apa yang
seharusnya aku lupakan; jangan bergerak, jangan buat kecoh, jangan
menggeletik sepanjang upacara agama itu, dan menyebut sepatah perkataan pun!
"Kalau saya kehausan?" Ibu mengoyang-goyang bahuku. "Tidak boleh! Ini majlis perkahwinanmu! Faham tak? Phoolan! Kamu mesti duduk
diam-diam sehingga selesai upacara itu!"
Aku dipaksa duduk diam di situ laksana satu patung dewi, tanpa mengetahui
apa yang berlaku, dan tanpa melihat apa yang berlaku.
Ibu memberi satu amaran yang jelas. "Tengok sini, jangan kamu cuba
mengaibkan kami!" Selain merasakan henyakan perut yang kelaparan, aku tidak merasakan sesuatu
yang luarbiasa pada pagi itu. Aku mengharapkan adikku Choti dapat duduk di
sisiku, tetapi dia ditegah berbuat begitu. Terpaksalah aku duduk
bersendirian di bawah Pandal itu dan menunggu akan sesuatu. Aku dapat
mendengarkan suara di sekeliling, tetapi tidak dapat mengenal suara mereka.
Setiap kali aku menarik nafas, kain yang menutup muka turut tersedut menutup
lubang hidungku, membuatkan aku berfikir mungkin tersedak. Belakangku terasa
peritnya kerana tidak boleh mengerakkan badan ketika duduk. Ada kalanya aku
goncangkan gelang untuk mendengar bunyi geserannya. Itulah pertama kali aku
mengenakan banyak gelang di badan. Namun, aku naik marah kerana mereka
tidakpun menunjukkan rupa rantai yang mereka gantung dileherku.
Lama-kelamaan, aku tidak tahan sabar. Aku pun menyingkap tudung muka kerana
terasa tersangat dahaga. "Choti! Mana choti? Suruh dia datang sekejap!"
Aku ditenangkan oleh Nayan isteri tukang gunting kampung, yang ditugaskan
agar aku diam membisu. Dia tidak membenarkan permintaanku. Choti terpaksa
menunggu di tempat lain. Dia bertegas denganku agar menurunkan semula
penudung muka dan duduk diam tanpa berkata apa-apa. Aku merupakan penyeri
majlis ketika itu, sebaliknya aku lebih rela menjadi salah seorang tetamu
supaya dapat menyaksikan apa yang berlaku. Lagipun aku boleh makan dan
minum. Akhirnya, aku dibantu untuk berdiri. Aku dapat menghidu wangian 'sandalwood'
(gaharu) yang dibakar ketika aku dipimpin oleh seorang lelaki yang tidakku
kenali. Aku dpat rasakan kehadiran seorang lelaki di sisiku. Aku dipimpin
berjalan tujuh kali mengelilingi api, sambil seorang sami membaca mantranya.
Kemudian, kain penudung muka dialihkan dan satu tanda bulat dicalitkan pada
bahagian mulanya belahan rambut di dahiku. Ayah dan ibuku telah mengangkat
tanganku dan meletakkan atas tangan lelaki yang tidak aku kenali. Namun,
rupanya itu seolah-olah pernah aku lihat satu ketika dulu, cuma tidak pasti
di mana. Satu tangan yang gempal dan berpeluh-peluh telah menutup tangan
kecilku itu. Aku cuma mahu mengangkat tudungku untuk melihat keadaan sekeliling. Aku
fikir semua orang merasa seronok pada hari itu kecuali aku. Mahkota dedaun
mangga yang dipasang di atas kepala sentiasa berguguran terlucut daripada
kain sari yang licin yang menutupi kepalaku. Aku dapat merasakan mahkota itu
akan habis teburai sedangkan tengkukku semakin kejang kerana terpaksa
menahan kepala agar tidak bergoyang. "Jangan buat kecoh, Phoolan!" demikian
amaran ibuku. Aku terpaksa berdiri di situ tanpa bergoyang walau sedetikpun
sehingga merasakan perbuatan itu sudah memakan masa berjam-jam lamanya. Aku
sudah merasa lapar dan dahaga. Apabila petang menjelma, waktu aku terkencing sudah tiba.
Di sebalik tudung itu, aku terus mengomel mahu pergi ke tandas, tetapi
kelilingku terlalu bising untuk sesiapa mendengarnya. Akhirnya aku telah
dipimpin lagi, bukan untuk dibawa keluar supaya aku boleh kencing.
Sebaliknya untuk duduk di pandal itu semula. Daripada sebalik kain sari yang
menutup muka aku sudah dapat meneka wajah lelaki yang duduk di hadapanku.
Kemudian kain penudung itu dibuka dan aku dapat perhatikan mata hitam orang
yang memandangku. Aku diunjukkan satu dulang tembaga yang berisi beras dan kelopak bebunga dan
diberitahu untuk menaburkan isi itu kepada bahagian atas kepalanya. Ketika
itu barulah aku teringat di mana pertama kali aku melihatnya. Itulah lelaki
yang pernah datang dulu, dan yang pernah berkata kepada ibubapanya: "Aku
setuju dengan perempuan itu." Akupun menjadi isteri Putti Lal. Aku taburkan segenggam beras di atas kepalanya. Ketika itu aku ternampak
rambutnya yang sudah mula beruban. Dia memakai sehelai dhotti (kain putih
yang tidak berjait di bahagian hujugnnya - penterjemah). Kurta yang
dikenakannya itu mempunyai butang yang kelihatan mudah putus disebabkan
perutnya yang buncit. Aku terpaksa memberitahu Choti! Aku memusingkan muka dan melihat Choti
Berada di bahagian belakang. "Dialah orangnya, yang datang rumah kita dulu!"
Choti menutup muka dengan tangannya untuk ketawa. "Rupanya cukup tua layak
menjadi ayah kita! Ejek Choti. "Kamu ada dua ayah sekarang!"
Dia mempunyai kumis yang tebal berwarna hitam, seperti warna kulitnya dan
seperti juga warna kulit badanku. Badannya memang terlalu besar berbanding
badanku! Aku terpaksa mendongak melihatnya apabila dia bangkit dari duduk
sambil membiarkan beras dan kelopak bunga berguguran ke bumi. Dia tidakpun
kacak seperti Ramphal abang iparku. Dia berbau tembakau dan daripada bawah
ketika duduk itu, aku dapat melihatnya berdiri dan nampak semua bulu
hidungnya. Dengan merangkul dua tapak tangannya, dia membongkok di hadapan ayah,
kemudian di hadapan ibu pula, paman-pamanku dan ahli keluarga yang lain.
Kemudian dia melangkah pergi. Tamatlah upacara itu. Akupun merasa bebas semula.
Aku tanggalkan sari dan menyarung semula 'skirt' dan blaus. Memang lega
rasanya dapat melihat tapak kaki semula. Akupun berlari ke kawasan ladang
untuk melepaskan apa juga yang patut aku lepaskan di sana. Keadaan bertukar
seperti biasa semula. Kali itu bukan sahaja Choti yang mengikuti aku, ada
juga beberapa wanita yang mengekori kami kerana takutkan aku tercicir barang
kemas yang masih melekap di badanku. Pada waktu yang sama, Putti Lal dan
ahli keluarganya menghadapi makan malam di satu khemah yang dipasang di
bahagian luar kampung kami. Setiba kembali di rumahku, aku diberi makan dan minum. Ada orang memberitahu
aku, adalah merupakan adat kaum kami agar aku berpuasa sehinggalah selesai
upacara perkahwinan tadi. Oleh kerana ramai yang datang itu masih mahu
membelek-belek perhiasan barang kemas yang dipakai oleh Phoolan, akupun
menjadi bahan belekan. Itulah pengalaman baru di mana aku dilayan dengan
baiknya. Belum ada pengalaman begitu sebelum itu. Ramai kaum perempuan yang
bertanya apakah aku gembira. Mana aku tahu. "Kamu akan lihat," kata salah
seorang mereka. "Hidup kamu akan berubah dengan perkahwinan ini." Aku
tidakpun faham maksudnya, walaupun sedap juga bunyinya. Apakah aku boleh
dibiarkan memakai terus gelang-gelang ini?
Hari sudah larut malam. Kaum ibu kampungku masih lagi menunggu dan berborak
kosong di rumahku. "Choti, kenapa mereka buat semua ini?" demikian bisikku
kepada adikku. "Semua makanan yang lazat-lazat? Semua senyuman mereka? Semua
gelagat perempuan yang mahu bercakap denganku dan menyentuh perhiasanku?"
Aku semakin rimas dengan itu semua. Perhiasan, muzik, manisan, dan semua
mata yang merenung padaku. Rambutku masih lagi terikat di bahagian belakang
dengan ketatnya, memeritkan kepalaku. Tanganku masih diselaputi haldi dan
aku sudah semakin muak mendengar bunyi geselan gelang di tangan dan kaki
setiap kali aku bergerak. Aku semakin muak dangan temasya itu. Keseluruhan
upacara itu aku anggap laksana satu permainan sahaja. Ia menyeronokkan
kepada semua tetapi tidak kepadaku. Aku sudah keletihan, tetapi aku teringin
melihat perhiasan yang mewarnai 'Jawasha' - khemah besar yang dipasang oleh
Sarpanch untuk kegunaan Putti Lal dan para jemputannya.
Sambil berkaki ayam dalam malam yang gelap dan ditemani oleh Choti akupun
memanjat bahagian teres rumahku, tempat kami menjemur periuk belanga
kegunaan dapur. Kami dapat melihat khemah besar yang dipasang di kawasan
ladang di luar kampung. Satu pembesar suara di pasang di batang pokok tidak
jauh daripada khemah itu untuk membolehkan orang kampung mendengar irama
yang dimainkan. Memang lebih ramai tetamu di situ berbanding yang datang ke
rumahku. Ramai yang berbaring di atas tikar, ada pula yang cuma berborak dan
ada yang bermain terup. "Tengok Choti!" Aku menjerit kepada adikku. "Ada
pula orang yang sedang menulis!" Kami semakin terpesona. Laksana burung malam yang tertenggek di atas bumbung
kami berbisik dengan keseronokan. Seluruh keluarga kami ada bersama ketika
itu. Choti bertindak mahu mengikuti mereka. Tetapi aku terlalu kepenatan
untuk mengikutinya. Oleh kerana orang lain tidak meminatiku lagi, aku pun
turun untuk mencari tempat melelapkan mata.
Di bawah pandal, tempatku menjalani upacara siang itu masih ada lagi
hamparan daun pisang. Aku berbaring di situ dan tertidur dalam masa yang
singkat. Aku keletihan kerana tugas seharian, namun semakin terpesona dengan
irama lagu dan hilai ketawa yang terdengar sayup-sayup itu.
Aku terdengarkan satu suara meneriak namaku ....
Hari sudah pagi, dan ada orang mencariku. Siapa yang mencari itu tentu tidak
teringat mencari aku di bawah Pandal. Kemudian, barulah dua tangan kecil
menyingkap sungukupan itu. "Siapa yang menyorok di bawah tu?" Tanya adikku.
Aku menggosok mata dengan tanganku dan baru sedar ia masih berwarna kuning.
Itu warna haldi! Baru aku tersedar bahawa sehari sebelum itu ada upacara
istimewa membabitkan aku. "Ini dia! Pengantin kita!" Aku menganggapkan semuanya sudah selesai. Rupanya tidak. Aku dimandikan lagi
dan dipakaikan sari berwarna ungu yang berkilau dipancar mentari. Choti
tersengeh-sengeh sahaja sambil bertandak laksana ungka. Dia beritahu betapa
dia sudah hitung jumlah hadiah: ada sari, ada gelang dan banyak alatan
dapur. Dia juga sudah mula menyibuk. Dia dapat tahu Putti Lal mempunyai
sebuah rumah dua tingkat dan ladang di satu kampung lain. Dia telah dibayar
lima ribu rupee sebagai bayaran dauri, bersama seekor lembu dan seekor
kambing. "Jumlah rupeenya tidak sama banyaknya dengan harga dauri Rukmini!"
kata Choti. Sambil berpakaian dhotti dan kurta yang baru, Putti Lal telah datang semula
bertemankan bapanya ke rumahku. Pada pagi itu, dia memang kelihatan setua
manusia yang aku lihat sehari sebelumnya. Rambutnya sudahpun beruban di
bahagian tepi, badannya gemuk dan dia mempunyai bibir yang tebal dan kening
hitam yang tebal juga. Dia tidak lagi kelihatan setenang yang ditunjukkan
pada petang semalam. Aku dapat rasakan sesuatu yang tidak kena. Ibu bapaku duduk bersebelahan di
atas khat di luar rumah, sambil menunjukkan rupa yang tidak menyenangkan.
Mereka sedang bercakap dengan Putti Lal dan bapanya sedangkan aku menunggu
di halaman dengan sari dan gelang. Aku mengagak bahawa tibalah masa
perpisahan dan dengan upacara itu orang itu akan bertolak pulang ke
rumahnya. Dia akan pulang laksana kepulangan suami Rukmini sambil
menunggukan aku membesar sebelum membawa aku pergi. Aku mengagak umurku akan
mencecah enambelas tahun sebelum dia datang untuk mengambil aku. Mereka
telah memanggil aku keluar rumah. Putti Lai mulakan dengan satu tangan menanggalkan satu simpulan yang dibuat
pada sari aku pagi itu. Aku mula gugup, tetapi ibu berkata perkara itu
adalah amalan biasa mengikut adat. Ketika dia cuba membuka simpulan itu, dia berakta: "Saya mahu bawa dia
bersama." Ayah menundukkan kepalanya: "Kami setuju! Kata ayah terketar-ketar. Dia
masih muda, dia belum sesuai menjadi isteri kamu."
"Tetapi saya memerlukannya. Ayah saya tinggal sendirian bersama saya di
rumah. Kami memerlukan seseorang untuk memasak dan buat kerja rumah. Saya
mahu membawanya pulang sekarang." Ibu mula menangis. Perkara itu tidaklah begitu menyulitkan kepadaku. Orang ini hanya mahukan
aku mengikutinya pulang ke kampung untuk membuat kerja-kerja rumahnya. Aku
pernah tinggal di rumah nenekku dan juga di rumah Rukmini, tetapi aku pulang
semula ke rumahku. Aku beranggpan dia mempunyai lembu untuk diberi makan,
pakaian untuk dicuci, dan segala tugas harian yang biasa dilaksanakan oleh
gadis lain di kampungku. Kenapa ibu mengeluarkan airmata?
"Jangan menangis Amma," kataku. "Saya akan pulang juga."
Ayah pula mula bersedu-sedu. Dia letakkan kepala dalam sungkupan tangannya.
Dia terus mengulangkan kata-kata betapa aku masih muda sangat untuk keluar
meninggalkan keluarga. Aku tidak faham juga. Memanglah aku lebih suka
tinggal di rumah dengan Choti dan kawan-kawan sekampung yang lain. Memang
aku takutkan juga orang tua ini dan bapanya yang lebih tua lagi. Tetapi aku
kurang takutkan mereka berbanding ketakutanku kepada Mayadin. Dia tidak
menghadiri majlis perkahwinan aku, tetapi aku tahu dia memang tidak
membantahnya. Semua orang sudah ditanyakan pendapat kalau-kalau ada yang
membantah. Tidak adapun yang membantahnya. Tentu Mayadin sudah memikirkan
apabila aku sudah berkahwin aku tidak lagi mengacaunya. Tetapi dia akan tahu
juga bagaimana dia tersilap congak.
"Jangan menangis Buppa! Jangan takut! Saya akan balik," kataku.
Ayah tahu adalah melanggari undang-undang untuk suamiku membawa aku pulang
menetap di rumahnya. Mengambil seorang yang berusia sebelas tahun adalah
serupa dengan mengambil seorang hamba abdi. Bezanya ialah kami yang
membayarnya. Tetapi, aku tidak tahu semua itu. Aku juga tidak tahu apa yang
patut dibuat oleh seorang lelaki dan seorang wanita apabila mereka sudah
berkahwin. Tidak siapapun yang menceritakan padaku bagaimana seorang bayi
itu boleh dilahirkan. Setiapkali aku melihat gadis yang lebih tua
menyorokkan kain yang berdarah di kawasan kebun, aku fikir mereka tercedera.
Aku juga tahu darah itu tidak suci dan mesti dibersihkan di luar rumah.
Aku turut menangis pula. Tetapi tangisan itu bukannya kerana aku takutkan
orang tua itu dan apa yang akan dilakukannya. Aku menangis itu disebabkan
tidak tahan melihatkan ayah dan ibu menangis ketika itu.
Pagi itu masih awal lagi. Di luar rumah sudah tersedia satu kereta lembu
yang mempunyai kereta yang dicat berwarna warni dengan indahnya. Sambil
Putti Lal berbincang dengan ibu dan ayah, salah seorang sepupu ibuku telah
mengangkat aku dan meletakkan aku di kerusi besar di bahagian depan. Di
bahagian atas tempat duduk itu ada satu keping kanvas yang terpasang
bertiangkan dua batang buluh. Tujuannya untuk melindungkan muka daripada
pancaran mentari. Aku sedar aku lapar semula, kerana tidak siapa yang
memberikan aku sarapan pagi. Tetapi, semua itu sudah terlambat. Putti Lal
naik kereta itu dan duduk di bahagian kerusi yang tinggi, sedangkan lima
orang ahli keluarganya yang perempuan naik di bahagian belakang. Lembu
jantan itu bergerak dan dua roda yang besar itu pun bergerak sama untuk
memulakan perjalanan kami. Aku rasa kecut serta merta. Ke manakah mereka
membawa aku? Aku berpusing ke belakang mencari ayah dan ibuku. Ibu sedang
berdiri tegak dengan dua tanganya mencekak pinggang, satu tanda yang dia
sedang meradang, tetapi aku tidak dapat mengamati wajahnya sebenar disebabkan
tudung mukaku. Ayah masih menangis lagi dengan kepalanya tunduk dan badannya
terus membongkok. Choti dan kanak-kanak yang lain masih lari terloncat-loncat mengiringi
perjalanan kereta lembu. Sejurus kemudian mereka berpatah balik membiarkan
aku. Untuk satu ketika, Choti berdiri di tengah jalan, membiarkan dirinya di
panas mentari mengangkat tangan ke atas sambil melambai-lambai mengucapkan
aku selamat jalan. Kemudian dia berpusing dan berjalan menghala kampungku.
Tinggallah aku dalam kereta lembu bersama manusia yang tidakpun aku kenali
sebelum itu. Apabila kami sampai di persimpangan jalan besar, Putti Lal turun bersama dua
orang wanita yang mengikutinya. Mereka berkata mahu menaiki bas pulang ke
rumah dan mahu terus mencari sesuatu untuk diminum. Kami berhenti di tepi
sebuah kebun. Akupun turun sama dan mula terasa lapar. Aku cuba memasuki
kawasan kebun mencari sesuatu untuk dikunyah. Tetapi perbuatanku itu
diperhatikan oleh seorang wanita yang menegah dan memberikan amaran: "Kamu
bukan seorang budak kecil lagi, kamu sudah menjadi seorang 'dulhan'! Kamu
akan dapat makan apabila sampai nanti!"
Aku pernah terdengar si polan ank si polan adalah dulhan kepada si polan
anak si polan. Ini bererti mereka adalah dulhan kepada lelaki itu. Mayadin
ada dua orang dulhan. Dua bini rupanya.
Aku mula mengeluarkan airmata. "Aku ini dulhan kepada siapa?" tanyaku sambil
menggeletar. "Kerana ayah dan ibuku tidak ada di sini, kamu pandai-pandai
sahaja buatkan aku ni seorang dulhan? Ini tidak betul!"
"Kamu adalah dulhan kepada Putti Lal! Bangang!"
Wanita itu mula ketawa terbahak-bahak, sedangkan aku terus menangis dengan
sekuat hatiku. Orang tua yang merupakan bapa Putti Lal datang menenangkanku.
"Jangan menangis. Ayah akan beri kamu susu lembu yang lazat bila kita sampai
nanti.!" ....bersambung.... Terjemahan: SPAR-10 |