Laman Webantu KM2A1: 5245 File Size: 20.2 Kb * |
TAG SP 252: B8A - Perjalananan Yang Panjang [Mandela] By Nelson Mandela 17/8/2001 7:48 pm Fri |
[Mandela dan Justice terjebak dalam dilema. Mereka sebenarnya
hidup terpenjara bukan sahaja oleh sistem orang kulit putih malah
oleh peraturan dan adat resam budaya mereka sendiri. Apabila hidup
kita ditentukan orang lain itu bukannya satu kebebasan tapi satu
pengongkongan. Mandela merancang melarikan diri walaupun dia tahu itu amat sukar
kerana niatnya sudah diketahui dan baginda raja mempunyai ramai
kaki dan kawan. Tambah lagi undang-undang negara yang mengawal ketat
sebarang pergerakkan rakyat adalah agak mustahil itu dapat dilakukan.
Tetapi dengan berkat azam dan kepintaran semua itu tidak menjadi
halangan. Inilah aset penting satu perjuangan kerana ia akan mengalahkan
seribu rintangan. Bab 8A Memang menjadi satu kebiasaan setiap kali saya pulang ke Mqhekezweni, saya
ditemani satu perasaan puas dan selesa. Tetapi tidak pula begitu pada kali
itu. Selepas lulus peperiksaan dan pulang ke istana, saya memberitahu Tuanku
apa yang sudah berlaku. Baginda melenting dan murka dan tidak dapat menerima
segala alasan saya. Dia beranggapan semua itu tidak berguna. Baginda enggan
mendengar penjelasan saya seterusnya, dan tegas mahukan saya akur kepada
syarat yang diarahkan oleh pengetua Fort Hare dan menyambung semula
pelajaran saya pada musim tengkujuh. Suara Baginda ketika itu memang tidak
memudahkan perbincangan lagi. Memang tidak guna saya berbincang dengan
Baginda, lagipun itu adalah satu kerja yang sia-sia untuk menunjukkan
kebiadapan kepada Baginda. Sayapun bertindak membiarkan perkara itu sejuk
dulu untuk sementara. Justice berada di Mqhekezweni dan kami seronok dapat berkumpul semula. Tidak
kiralah bagaiman lamanya kami berpisah, hubungan persaudaraan mudah
merapatkan kami semula. Sudah setahun Justice menamatkan persekolahannya dan
dia sudahpun berpindah untuk menetap di Cape Town.
Dalam masa beberapa hari, saya sudah menyambung kerja saya semula. Saya
laksanakan urusan Tuanku, termasuk ternakannya dan apa juga yang perlu
dengan ketua kaum yang lain. Saya tidak lagi memikirkan masalah di Fort
Hare, namun kehidupan ini mempunyai caranya untuk menghukum sesiapa yang
suka melengahkan tindakannya. Perkara ini membabitkan satu perkara berbeza
yang tidak ada kena mengena dengan pelajaran saya.
Beberapa minggu selepas kepulangan saya, Tuanku memanggil Justice dan saya
untuk bermesyuarat. "Anak anak," kata Baginda dengan nada yang sebak. "Ayah
takut, tidak akan hidup lebih lama lagi. Sebelum ayah mulakan penghijrahan
ke tanah datuk moyang kita, adalah tugas ayah menentukan dua anak ayah
berumah-tangga. Dengan itu ayah sudah aturkan pasangan untuk kamu berdua."
Pengumuman Baginda itu memeranjatkan kami berdua. Justice dan saya saling
berpandangan dengan perasaan yang terkejut bercampur kehampaan. Dua orang
gadis itu datang daripada keluarga yang baik-baik, kata Baginda. Justice
dijodohkan kepada anak Khalipa, seorang orangkaya Thembu yang berpangkat,
dan Rolihlahla, itulah nama yang digunakan oleh Tuanku setiapkali memanggil
saya, dijodohkan kepada anak gadis agamawan Thembu. Baginda menetapkan
perkahwinan itu dilangsungkan secepat mungkin. Pembayaran 'lobola' ataupun
dauri selalunya dibayar oleh bapa pengantin lelaku. Dalam hal ini, 'lobola'
Justice akan dibayar oleh masyarakat Thembu dan dalam kisah saya akan
dibayar oleh Tuanku. Kami berdua diam sahaja. Itu bukannya tempat untuk kami mempersoalkan
keputusan Tuanku. Pada lazimnya, Baginda mengambil pendirian perkara itu
sudahpun diselesaikan. Baginda tidak perlukan perbincangan daripada kami
kerana pasangan kami sudahpun dipilih dan lobola diuruskan. Itu adalah satu
keputusan yang muktamad. Kami berdua keluar daripada kamar Baginda dengan kepala memandang lantai
kerana terkejut dan merasa tergugat. Baginda bertindak mengikut adat resam
dan hukum-hakam Thembu. Motifnya tidak boleh diperlekehkan: Baginda mahukan
kami berumah tangga ketika Baginda masih lagi bernyawa. Kami memang sedar
bahawa Tuanku mempunyai hak untuk mengatur perkahwinan kami. Kini perkara
itu bukan satu kemungkinan yang abstrak lagi. Bakal pengantin perempuan itu
bukannya khayalan lagi, tetapi manusia yang benar-benar kami kenali.
Dengan segala hormat kepada keluarga dua orang gadis yang terpilih itu, saya
akan berbohong, jika mengatakan bahawa gadis yang dipilih oleh Tuanku untuk
menjadi isteri saya adalah gadis impian hidup. Keluarganya memang terkenal
dan dihormati dan gadis itu pula memang menarik dalam caranya tersendiri.
Sayangnya gadis yang menarik ini sudah lama bercinta dengan Justice. Tuanku
tidak tahu menahu hal ini, seperti juga ibu bapa yang lain yang tidak dapat
menyelami dunia percintaan anak-anak mereka. Calon pasangan saya itu sudah
tentu tidak dapat membebani aturan ini seperti jua saya yang belum bersedia
membebani tugas mengahwininya. Pada waktu itu sayapun sudah matang juga dalam soal bersosial daripada
berpolitik. Ketika saya belum bersedia menentang sistem politik ajaran orang
putih, saya sudah semacam bersedia bangkit menentang sistem sosial kaum saya
sendiri. Ironisnya, Baginda sendiri yang secara tidak langsung harus
disalahkan dalam hal ini, kerana tindakan saya pada kali itu adalah kesan
pendidikan yang saya terima daripada tajaannya yang membuatkan saya
memberontak terhadap budaya tradisi itu. Saya telah menghadiri zaman
persekolahan bercampur dengan kaum hawa untuk beberapa tahun, tentunya sudah
mempunyai sedikit pengalaman berkasih sayang dengan mereka. Saya adalah
seorang yang romantik, tentunya saya tidak merelakan sesiapa juga termasuk
Baginda memilih jodoh untuk teman hidup saya.
Sayapun membuat satu temujanji berjumpa Baginda-ratu, untuk menjelaskan
masalah saya itu. Saya tidak ada hati memberitahu Baginda bahawa saya telah
menolak hasrat Tuanku dalam pemilihan jodoh saya itu, kerana sudah tentu
Baginda-ratu tidak akan menyebelahi saya. Sebaliknya saya memberitahu bahwa
saya lebih berminat mengahwini seorang gadis yang bersaudara dengan Baginda
ratu. Gadis ini memang menawan, cuma saya tidak tahu lagi perasaannya. Saya
menyatakan kesediaan mengahwini gadis ini sebaik sahaja selesai pengajian
saya. Ini adalah satu muslihat saya, tetapi ia merupakan satu rencana yang
baik berbanding agenda Tuanku. Baginda-ratu telah menyokong cadangan saya,
tetapi Tuanku telah bertegas dan tidak mahu berganjak daripada keputusannya
dulu. Saya dapat merasakan Baginda tidak memberikan saya sebarang pilihan. Saya
tidak dapat terlibat dengan aturcara perkahwinan itu yang saya anggap tidak
adil dan kesan nasihat yang songsang. Pada waktu yang sama, saya
berpendirian bahawa saya tidak lagi boleh kekal di bawah tajaan dan
penjagaan Tuanku, seandainya saya menolak aturannya itu. Justice
bersependapat dengan saya dan kami berdua membuat keputusan bahawa hanya
tinggal satu pilihan: untuk melarikan diri, dan hanya satu tempat yang kami
tujui iaitu Johannesburg. Apabila direnung kembali perkara itu, saya sedar bahwa saya tidak
menggunakan segala alternatif lain yang ada. Sepatutnya saya membincangkan
perkara itu dengan Tuanku melalui orang-tengah dan mungkin kami berjaya
menyelesaikannya mengikut cara prundingan adat resam kami. Saya sepatutnya
merayu kapda sepupu Baginda Chief Zilindlovu, salah seorang ketua kaum yang
sungguh berpengaruh dan menyenangkan di Majlis Diraja Mqhekezweni. Itulah
kesannya apabila seseorang muda itu tidak sabar, dan tidak tabah memahami
erti satu penantian. Melarikan diri sudahpun menjadi pilihan yang
dinekadkan. Kami merahsiakan rencana itu sambil mengaturnya dengan lebih terperinci.
Pertama, kami memerlukan peluangnya. Tuanku sudah lama berpendapat bahawa
Justice dan saya tidak boleh melaksanakan sesuatu dengan jaya. Keghairahan
Justice untuk mencuba setiap sesuatu dan kecundang disebabkan nasib yang
selalu tidak baik mempengaruhi cara saya yang lebih berhati-hati. Kerana itu,
Baginda membuat penegasan tidak membiarkan kami selalu berduaan. Setiap kali
Baginda keluar istana, Tuanku kerap mengarahkan salah seorang antara kami
menemaninya. Baginda kerap membawa Justice kerana mahukan saya menetap di
Mqhekezweni menguruskan masalah yang ada. Tetapi, satu hari kami diberitahu
Baginda sedang bersiap sedia meninggalkan istana untuk seminggu lamanya
menghadiri satu persidangan di Bungha, dewan perundangan Transkei, tanpa
membawa kami. Itulah ketikanya yang kami pilih untuk melarikan diri. Kami
membuat keputusan untuk berlepas ke Johannesburg sebaik sahaja Baginda
bertolak ke Bungha. Saya tidak punyai banyak pakaian tetapi kami mampu menyumbat apa jua yang
ada ke dalam satu beg pakaian. Baginda bertolak awal pada satu pagi Isnin,
menjelang tengah hari kami sudah bersedia untuk bertolak pula. Baru sahaja
kami mahu melangkahkan kaki, terjadi satu perkara aneh yang tidak disangka.
Baginda tiba-tiba pulang semula ke istana. Kami ternampak kereta Baginda
muncul diperkarangan istana menyebabkan kami menyorok di taman bunga.
Setelah memasuki istananya kembali, soalan pertama Baginda ialah: "Mana
putra-putra beta?" Ada seseorang yang menjawab, "Oh, mereka ada di istana,
Tuanku." Namun, Baginda telah mencerugai sesuatu dan tidak puashati dengan
jawapan itu. Dia pulang katanya, kerana tertinggalkan bekalan garam 'Epson'
beliau. Bagindapun menjengah sana-sini dan barulah merasa puas sedikit. Saya
sedar Baginda tentu mempunyai sedikit alamat kerana Baginda boleh membeli
garam Epson itu di kedai. Apabila keretanya sudah pergi jauh di telan
pandangan, kamipun mulakan rencana melarikan diri itu.
Kami tidakpun ada banyak wang, tetapi pada waktu pagi itu kami telah pergi
berjumpa seorang peniaga tempatan dan membuat urusan menjual dua ekor lembu
jantan kesayangan Tuanku. Peniaga itu beranggapan kami menjual lembu atas
arahan Tuanku, dan kamipun tidak mencuba membetulkan sangkaannya. Dia
membayar kami harga yang sungguh baik dan dengan wang itu kami telah menyewa
sebuah kereta untuk membawa kami ke perhentian kereta api. Kami mahu membeli
tiket pergi ke Johannesburg. Semuanya berjalan dengan licin setakat itu, tetapi tanpa kami sedari, Tuanku
telah pergi ke stesen kereta api itu dan memberi arahan kepada pengurus
stesen itu seandainya ada dua budak muda yang menyerupai kami datang membeli
tiket untuk pergi ke Johannesburg, pengurus itu mesti menolaknya kerana kami
tidak boleh meninggalkan Transkei. Kami tiba di stesen dan diberitahu bahawa
pengurus itu enggan menjual tiket kepada kami. Kami tanya dia kenapa, dan
dia menjawab: "Bapa kamu telah datang ke sini memberitahu kamu mahu
melarikan diri." Kami terkejut dengan perkara ini, dan lari mendapatkan
kereta sewa kami dan meminta pemandu membawa kami ke stesen yang lagi satu.
Kami terpaksa pergi lima puluh batu lagi yang mengambil masa satu jam untuk
tiba. Keretapi yang kami naiki membawa kami hanya ke Queenstown. Dalam tahun
1940-an, perjalanan adalah satu perkara yang menyulitkan orang Afrikan.
Setiap kami yang berusia lebih enam belas tahun perlu memiliki "Native
Passes" (Pas Pribumi) yang dikeluarkan oleh NAD (Native Affairs Department),
dan dimestikan menunjukkan pas itu kepada polis kulit putih, pegawai
kerajaan ataupun majikan. Melanggari peraturan itu bererti penahanan,
perbicaraan, hukuman penjara ataupun denda. Dalam pas itu ada catatan alamat
pemegangnya, siapa ketua kaumnya, dan sama ada dia sudah membayar cukai
tahunan (poll tax), yang merupakan cukai yang dikenakan hanya kepada orang
Afrikan. Tidak lama kemudian pas itu dibuat dalam bentuk buku ataupun
'Reference Book' (Buku Rujukan), mengandungi segala maklumat yang terperinci
yang perlu ditandatangani oleh majikan si pemilik pas itu setiap bulan.
Kami memang mempunyai pas yang sempurna. Tetapi, apabila seorang pribumi
meninggalkan daerahnya untuk memasuki daerah lain dengan tujuan mencari
pekerjaan ataupun untuk tinggal menetap, dia memerlukan dokumen perjalanan,
satu permit dan sekeping surat daripada majikannya atau dalam hal kami,
surat penjaganya. Kami tidak mempunyai satu pun dokumen seperti itu.
Walaupun seseorang itu dalam keadaan yang terbaiknya, mempunyai semua
dokumen, seorang pegawai masih boleh menggugat anda kerana adanya sedikit
kecacatan pada dokumen itu seperti tandatangan yang tidak sempurna ataupun
tarikh yang tidak betul dan sebagainya. Tidak memiliki sebarang dokumen itu
memang satu risiko besar. Rencana kami turun di Queenstown dan berjumpa
seorang saudara dan menguruskan segala dokumen yang diperlukan. Ini
merupakan satu rencana bidan terjun sahaja. Namun kami bernasib baik kerana
di rumah saudara di Queensland itu kami terjumpa dengan Chief Mpondobini,
adik Tuanku yang memang sayangkan Justice dan juga saya.
Chief Mpondombini menyambut ketibaan kami dengan gembira, dan kamipun
menceritakan betapa kami memerlukan dokumen perjalanan itu daripada
majistret tempatan. Kami berbohong dengan cerita kenapa kami memerlukannya
dengan mengatakan kami membuat tugas yang disuruh oleh Tuanku. Chief
Mpndombini ialah seorang penterjemah mahkamah yang sudah bersara daripada
NAD yang memang kenal baik majistret setempat. Tanpa meragukan cerita bohong
kami, dia membawa kami menuju bilik majistret dan telah memperakukan kami
dan menjelaskan masalah yang kami hadapi. Selepas mendengar cerita Chief
tadi, majistret pun menyediakan dokumen perjalanan itu dengan cepat dan
mengenakan stem rasmi sekali. Justice dan saya berpandangan dan tersenyum
lega. Tetapi sebelum majistret menyerahkan dokumen itu kepada kami dia telah
mengangkat gagang telefon untuk menelefon ketua majistret memberitahunya
sebagai satu perkara penghormatan sahaja. Ketua majistret itu adalah bagi
daerah Umtata yang berkuasa terhadap kami. Inilah yang membuatkan kami resah
dan gelisah, tetapi kami tenangkan diri dengan berdiam sahaja. Majistret
gunakan telefon untuk menghubungi rakannya itu. Mujur juga padanya ketika
itu, bukan sahaja ketua majistret ada di pejabatnya, malahan Baginda turut
ada bersama beliau dalam kamar ketika itu. Baginda mengunjunginya sebagai
lawatan biasa. Apabila majistret menceritakan kisah kami kepada ketuanya di Umtata, ketua
majistret telah berkata semacam begini: "Oh ayah mereka berada di sini,
secara kebetulan," kemudian diserahnya gagang telefon itu kepada Tuanku.
Majistret pun menceritakan apa yang kami minta darinya. Baginda meletup:
"Tangkap dan tahan anak-anak saya!" Begitu lantang jeritan Baginda sehingga
kami dapat mendengarnya melalui gagang telefon itu. "Tahan dan hantar mereka
balik dengan segera!" Majistret itupun meletakkan telefonnya. Dia merenung
kami dengan marah. "Kalian memang perompak dan penipu," katanya. "Kamu telah
mengaibkan pejabat aku dan juga jawatanku. Sekarang saya akan tahan kamu."
Saya bangun untuk mempertahankan diri. Daripada kajian saya di Fort Hare,
saya sudah mempunyai sedikit pengetahuan mengenai undang-undang. Saya
beritahu memang kami telah membohonginya. Tetapi, kami tidakpun membuat
sebarang kesalahan ataupun melanggar sebarang undang-undang. Lagipun kami
tidak boleh ditangkap berdasarkan saranan seorang ketua kaum walaupun dia
bapa kami. Majistet telah berlembut dan tidak menangkap kami. Tetapi dia
suruh kami keluar dan tidak lagi cuba mengotorkan jawatannya.
Chief Mpondombini naik radang dan tinggalkan kami dengan urusan sendiri.
Justice teringat dia mempunyai seorang kawan di Queenstown bernama Sidney
Nxu yang betugas di pejabat seorang peguam kulit putih. Kami pergi mencari
orang ini untuk memberitahu masalah kami. Dia mmeberitahu bahawa ibu kepada
peguamnya itu sedang bercadang mahu pergi ke Johannesburg, dan dia akan
tanyakan kalau kami dapat menumpangnya. Kemudian kami diberitahu bahawa ibu
peguam itu bersedia membawa kami seandainya kami bersedia membayar lima
belas pound sterling. Ini adalah harga yang tinggi, lebih mahal daripada kos
tiket ke Johannesburg. Bayaran itu menghenyak kami tetapi kami tidak ada
pilihan lain. Kami membuat keputusan mengambil risiko tidak mempunyai
dokumen perjalanan dan berniat mendapatkannya di Johannesburg.
Kami bertolak pada awal pagi keesokan harinya. Pada waktu itu, adalah
kebiasaan untuk orang kulit hitam menumpang kereta kepunyaan orang kulit
putih asalkan si penumpang duduk di kerus di bahagian belakang. Justice
duduk betul-betul di bahagian belakang wanita kulit putih itu, dan sebagai
seorang yang peramah dan degil dia telah mula berborak dengan wanita itu.
Ini membuatkan wanita berumur itu merasa kurang selesa. Dia tidak pernah
bersama dengan orang kulit hitam yang tidak hiraukan orang kulit putih.
Setelah beberapa batu perjalanan, wanita itu menyuruh Justice betukar tempat
duduk dengan saya supaya dia dapat memerhatikan gelagat Justice. Tidak lama
kemudian, Justice terus menyakatnya lagi sehinggakan wanita itu turut ketawa
mendengarnya. Pada jam sepuluh malam kami nampak lampu berkerlipan daripada jauh, satu
kerlipan lampu yang menjela panjangnya datang daripada pelbagai arah. Saya
telah lama menganggap elektrik sebagai satu novelti dan satu unsur
kemewahan, sedangkan apa yang saya lihat ketika itu adalah satu panorama
elektrik yang sungguh menakjubkan. Itulah bandaraya yang penuh lampunya.
Saya sungguh seronok melihatkan kotaraya yang saya dengar sejak kecil lagi.
Johannesburg memang sudah lama diberikan jolokan sebagai bandarya impian.
Inilah tempatnya seseorang dapat merobah nasib daripada seorang petani
menjadi seorang hartawan yang sofistiket, kerana inilah bandarnya yang
banyak bahayanya sama dengan banyak peluang keemasannya. Saya teringat kisah
yang diceritakan oleh Banabkle ketika kami sama-sama menjalani zaman
berkhatan dulu, betapa adanya bangunan yang tinggi-tinggi sehingga kita
tidak mampu melihat bahagian atasnya. Begitu juga dengan kisah keretanya dan
wanita cantiknya dan juga samsengnya. Itulah dia eGoli, kotaraya keemasan,
di mana saya akan jadikan tempat kediaman.
Di pinggir kotaraya, lalulintas menjadi lebih padat. Saya tidak pernah
melihat begitu banyak kenderaan bersimpang-siur di jalanraya pada sesuatu
masa - waima diUmtata. Di sana kenderaan masih tidak banyak sedangkan di
sini jumlahnya adalah dalam ribuan sahaja. Kami berkereta mengelilingi
bandar itu dan tidak melintasinya, namun saya dapat melihat barisan bangunan
yang tinggi di kaki langit, samar sahaja rupanya disebabkan langit malam
yang kelam. Saya seronok memerhatikan papan tanda iklan yang dipasang di
tepi-tepi jalan menayangkan iklan rokok, gula-gula dan bir. Semua itu memang
kelihatan sungguh menawan. Sejurus kemudian, kami berada di kawasan perumahan mewah, rumah yang paling
kecil di situ adalah lebih besar daripada istana Tuanku, lengkap dengan
halaman depannya yang luas dan pintu besi yang tinggi-tinggi. Inilah kawasan
perumahan di mana anak wanita tua itu menetap. Kamipun berhenti di satu
ruang masuk salah satu rumah yang cantik itu. Justice dan aku dihantar
memasuki berek pekerja di situ, untuk memberi peluang kami tidur malam. Kami
mengucapkan terima kasih kepada wanita itu dan merangkak di atas lantai
untuk tidur. Tetapi, segala kemungkinan peluang yang ada di Johannesburg
menaikkan semangat sehinggakan saya merasa laksana tidur di atas katil yang
indah dan nyaman tilamnya sepanjang malam itu. Peluang semua itu memang
tidak ada tepiannya. Saya sudahpun tiba ke penghujung jalan yang panjang,
sedangkan itu adalah satu permulaannya kepada satu perjalanan yang lebih
panjang dan lebih mencabar yang akan menduga saya dalam pelbagai cara yang
tidak dapat saya bayangkan lagi.
|