Laman Webantu KM2A1: 5246 File Size: 9.3 Kb * |
TAG SP 253: AWSJ - Dendangan Terakhir Buat Mahathir By Barry Wain 17/8/2001 7:23 pm Fri |
[Demi kebaikkan rakyat negara ini, Mahathir sepatutnya kembali
ke pangkal jalan dan membebaskan Anwar. Mungkin rakyat bersedia
memaafkan beliau yang telah mengaibkan Anwar. Tidak ada tanda rakyat
semakin memihak kepada Mahathir walaupun sudah sekian lama. Mereka
tidak lupa. Malah jika Anwar maut atau cacatpun kebangkitan rakyat
mungkin akan semakin bertambah pula. Mahathir tidak sanggup berkorban
dan menelan kepahitan untuk kebaikkan rakyat negara ini. Kesannya
lebih banyak lagi masalah bakal melanda negara. Tangkapan ISA dan
cengkaman terhadap media tidak akan dapat menyelesaikan apa-apa.
Rakyat akan tetap menyanggah dengan saluran lain pula dan kali ini
ia mungkin lebih menyengat dan merbahaya kerana tidak dapat dikesan
dengan nyata. Dendangan Terakhir Buat Mahathir
(Mahathir's Swan Song) Oleh: Barry Wain Ferdinand Marcos terpaksa terbang melarikan diri pada malam hari, dengan
bantuan Amerika untuk mati dengan penuh kehinaan di rantau orang. Suharto
terpaksa turun takhta kerana dipulaukan, dan ditinggalkan oleh kabinet
pilihan sendiri sambil rusuhan jalanan menggila setiap hari. Dia masih
terselamat daripada pendakwaan disebabkan adanya banyak kecelaruan fikiran.
Pengunduran Mahathir Mohammad daripada mercu kuasa Malaysia walaupun masih
tidak ketara buat masa ini akan berlaku juga dan menjadi yang paling
menyedihkan berbanding semua. Malaysia sedang menggelongsor untuk menghenyak krisis politik dan ekonomi,
hasil segala sikap angkuh bercampur degil yang Mahathir tunjukkan untuk
memimpin negara mengikut acuan bikinannya yang ternyata haprak dan tidak
berguna untuk 20 tahun lamanya. Dengan masalah yang tumbuh sakan laksana
cendawan selepas hujan Mahathir yang sudah mencecah 76 kini, memang
ketandusan idea, tenaga dan masa. Dia sudah menjadi bebanan besar kepada
UMNO yang menjadi teras kerajaan Barisan Nasional, kepada Malaysia dan
kepada Asia Tenggara. Dia sudah semakin terkenal sebagai manusia yang
mempunyai lidah bercabang, kerana berkali-kali menyebut inilah tempoh
terakhir untuknya, cuma dia tidak menampakkan gelagat mahu menepati
janjinya. Penggelongsoran kuasa Mahathir bermula setelah dia menghumbankan Anwar
Ibrahim dan memenjarakan timbalannya itu pada 1998, sedangkan itulah insan
yang diwar-warkan sebagai penggantinya. Kesungguhannya mengganyang dan
mengaibkan seorang pesaing yang berbakat telah mencemar kebijaksanaannya,
dan menjebaknya ke kancah yang penuh masalah baik bersifat dalaman ataupun
sejagat. Mahathir hanya mempunyai satu jalan untuk menyauk sedikit martabat
yang lama terhumban dengan mengampunkan Dato' Seri Anwar Ibrahim, sebelum
dia melepaskan jawatannya. Tindakan itu walaupun diramalkan tidak akan
berlaku, akan membawa kebaikan kepada negara dan kepada masalah peribadi
mereka berdua. Mereka berdua mempunyai peluang mengimbau kembali kisah lama betapa mereka
tersilap membuat perkiraannya ketika bertindak bermasam muka ketika
kegawatan ekonomi melanda negara. Walaupun setiap mereka sedang merana,
Anwar yang baru meraikan harijadinya yang ke-54 kini, sudah mampu berada di
posisi yang lebih selesa. Di sebalik kamar penjara berjeriji besi, dengan
peranan sebagai mangsa politik satu konspirasi, Anwar mampu menghantui
Mahathir setiap hari sehinggakan Mahathir merasa sukar menjalankan tugas
perdana menteri sesuka hati. Walaupun Mahathir berusaha menggunakan segala tipu helah menekan para
pengkritiknya, semua taktik lama sudah tidak lagi berbisa. Dia tangkap
setiap pembangkang dan mendera serta memenjarakan mereka tanpa perbicaraan
dengan menggunakan hukum ISA yang zalim dan melarang para pembangkang
berhimpun untuk memperotes. Namun, mereka tidak mudah diugut lagi ataupun
didiamkan sesuka hati. Dia telah melancarkan serangan tekanan itu dengan
menghancurkan aktiviti perniagaan penyokong Anwar sambil menggunakan isu
perkauman dan hak keistimewaan Melayu sebagai pelencongnya.
Sebaliknya, Anwar yang dilanyak sehingga lebam matanya, ketika tangannya
bergari dan matanya ditutup rapi dalam sebuah bilik penderaan polis pada
satu malam hari, dan kini dinafikan hak menerima rawatan di luar negara,
berjaya mengharumkan namanya untuk menarik pengaruh rakyat memberikan
simpati. Semakin ramai Melayu keluar daripada UMNO. Apabila berbilion dollar
dihamburkan untuk menyelamatkan perniagaan para kroni dan suku-sakatnya
sehinggakan ada perniagaan itu yang dimilik-negarakan semula, Mahathir
terpaksa berdepan dengan kenyataan yang pernah disebut oleh John Funston
sebagai 'kehilangan besar kepercayaan dan amanah dalam kerajaan dan
kepimpinan UMNO.' Apapun, Mahathir cuba lakonkan apa yang dianggapnya satu usaha mampu
bertahan laksana gelagat yang dulu-dulu. Dia tidak ditentang oleh pemimpin
kanan parti dalam UMNO, kerana mereka terlalu taksub dengan taat dan setia
kapadanya walaupun pakar strategi parti sedar UMNO tidak mampu menyekat
penggelongsorannya selagi Mahathir ada. Mungkin juga Mahathir curiga bahana
yang menghambat anak-anak selepas pengundurannya, walaupun seorang anak
lelakinya sudahpun menjual segala saham perniagaan berdaftar miliknya untuk
memberikan tumpuan kepada UMNO.
Walaupun tidak ketara bahaya yang akan menghumban Mahathir dalam masa yang
terdekat, hanya masa yang akan jadi penentunya sebelum gelombang penentangan
itu muncul secara menggila. Dalam menangani era pasca-Mahathir, mereka yang
mengimpikan jawatannya itu, perlu berubah sikap dan menyauk dasar baru
terhadap Anwar, terutama sekali mengenai pemenjaraannya sedangkan majoriti
rakyat menganggap dia tidak bersalah. Satu fraksi dalam kepimpinan parti
berkemungkinan menjalin kata sepakat dengan saki-baki penyokong Anwar yang
dianggarkan sekitar 25% ahli UMNO, untuk merampas pucuk kepimpinan.
Kalau adapun peluang Mahathir melangkah keluar daripada jawatannya tanpa
banyak bahaya ialah menghulurkan tangan kemaafan kepada Anwar. Seandainya
dia tersilap langkah, besar kemungkinan dia menerima padah. Kalau roda
politik berputar, bukan sahaja legasinya yang sudah tercemar itu akan
terlontar, segala igauannya akan menjadi benar. Anwar berkemungkinan bangkit
semula untuk merangkul kuasa di Putrajaya.
Memang tidak dinafikan, di sebalik segala keaiban yang menghimpitnya
termasuk dua perbicaraan yang menghukumnya dipenjara selama 15 tahun, Anwar
masih tidak putus asa. Sambil mempunyai harapan besar akan masa depannya,
Anwar telah menggunakan kes perbicaraannya laksana satu pementasan teater.
Tidaklah menghairankan dia menyerlahkan kekecewaan apabila pihak pendakwa
enggan meneruskan pendakwaan bersabit lima lagi tuduhan.
Sudah tentu Anwar tidak selesa dengan kemungkinan adanya ura-ura mendapatkan
pengampunan daripada istana. Dia telah memberitahu orang yang rapat
dengannya bahawa dia lebih suka kalau perbicaraan semula dilakukan untuk
membebaskan dirinya. Tetapi Anwar mesti sedar betapa keadaan kesihatannya
telah menurun sejak dipenjarakan, bermula dengan penahannnya dua setengah
tahun dulu. Setelah mengalami penurunan berat badan dan keguguran rambutnya,
dia telah terlantar di hospital berbulan-bulan kerana penyakit tulang
belakang yang sungguh menyakitkan. Lagipun, masalahnya menjadi satu bebanan
besar kepada isterinya yang terpaksa membahagi masa antara memimpin sebuah
parti pembangkang dan menjadi penjaga enam orang anak yang merindui bapa
mereka. Lebih penting lagi, tidak ada jaminan bahawa Anwar tidak perlu menghabiskan
seluruh hukuman penjara yang diterimanya, walaupun terdapat kepincangan
dalam proses penghakiman yang diamati. Seandainya pengganti pilihan
Mahathir, Paklah mengambil-alih, dia mungkin tidak bersedia membebaskan
Anwar. Pencabar Paklah mungkin mempunyai sikap berbeza walaupun mereka juga
lebih selesa melihatkan Anwar terus terpenjara.
Mahathir dan Anwar yang bertahun lamanya bersikap laksana seorang bapa dan
seorang anaknya, tidak akan menjadi kawan baik semula. Namun, mereka boleh
mencapai satu muafakat untuk kebaikan negara dan kepentingan peribadi
mereka. Ia mesti merupakan satu kompromi tulen yang tidak ada unsur berbalas
dendam. Ini boleh dimulakan dengan si banduan pergi ke luar negara untuk
mendapatkan rawatannya dan pulang sebagai manusia yang bebas, tetapi
terpaksa menunggu si doktor berundur dulu.
Apabila masalah peralihan kuasa itu dapat diselesaikan, barulah mungkin
menyelesaikan masalah perpaduan Melayu dan segala persoalan yang sensitif.
Ahli politik sepatutnya tidak perlu memainkan api perkauman. Pelabur asing
akan menilai semula Malaysia, yang mesti membetulkan keadaan yang pincang,
bekerjasama dengan negara jirannya dan bersaing pula dengan China. Terjemahan: SPAR-01-?? Asal: AWSJ: Mahathir's Swan Song by Barry Wain
|