Laman Webantu KM2A1: 5247 File Size: 8.3 Kb * |
TJ SP MGG: Kecelaruan Meritokrasi By M.G.G. Pilllai 17/8/2001 9:45 pm Fri |
[Isu meritokrasi adalah isu lama yang Umno sendiri naik darah
kerananya sehingga mahu membakar dewan kaum cina. Kini tanpa malu
ia merujuk semula kepada meritokrasi tetapi begitu bercelaru dan
terkeliru pula. Malah isu meritokrasi itu sendiri diusulkan dalam
MT Umno sedangkan sepatutnya parlimenlah yang lebih layak (atau
merit) untuk membahasnya. Perjalanan parti dan kerajaan itu sendiri tidak menggambarkan ujudnya
meritokrasi kerana bukan kepintaran yang menjadi ukuran untuk
memegang jawatan tertinggi dalam parti. Mereka tidak bersedia turun
memberi peluang kepada yang bisa dan berpengalaman. Banyak yang
dilantik secara terbang dan melintang seperti yang bersarang dalam
kementerian pendidikkan. Bukankah kementerian inilah yang paling banyak
mencetuskan kontroversi? Yang peliknya ia masih belum-belum
pandai lagi dan asyik mengeluarkan cadangan haprak yang terkini
yang akhirnya menjadi bahan ketawa sahaja.
- Editor] (Confusing the Confuser) Oleh MGG Pillai Persoalan berkaitan meritokrasi yang sengaja di gembar-gembur sana dan sini
adalah satu helah untuk mendera orang Melayu kerana keluar
berbondong-bondong daripada UMNO dan menarik sokongan mereka kepada kerajaan
pimpinannya. Majlis Tertinggi UMNO telah bersidang untuk menyetujui akan
konsep meritokrasi, hanya untuk mencetuskan kecelaruan, selepas itu. Ini
adalah satu perkara biasa walaupun pada satu ketika dulu tidak ada sesiapa
yang menyibuk mengenainya. Semua pihak telah menyetujui apa juga yang
dicadangkan oleh presiden UMNO. Perdana menteri yang juga merupakan presiden
UMNO memang menghadapi masa yang getir sekarang ini. Itu jugalah yang
dihadapinya ketika mahu memperkenalkan meritokrasi di universiti. Majlis
tertinggi akur dengan usahanya itu tanpa banyak bicara, cuma para anggota
majlis itu mudah lupa apa yang mereka persetujui sebaik keluar daripada
bilik persidangan. Lantas, UMNO dan kerajaan kerap bercakap secara
bercangah. Meritokrasi diterima hanya merangkumi kuota istimewa yang
dikhaskan kepada bumiputra yang mengizinkan mereka yang tidak layak memenuhi
kuota yang ditetapkan. Demikianlah yang diputuskan dalam satu persidangan
majlis itu. Pihak mengelirukan sudah menjadi semakin keliru sendiri: jadinya
meritokrasi dikenakan pada satu pihak yang diterima masuk sedangkan calon
haprak akan diberi peluang untuk belajar juga.
Majlis Tertinggi UMNO adalah lebih penting daripada Parlimen. Mahathir dan
ahli kabinet daripada UMNO tidak berani ponteng menghadiri mesyuarat itu,
tetapi lebih rela ponteng menghadiri Parlimen. Mereka tidak mudah culas
menjawab soalan di mesyuarat MT itu, seperti yang kerap mereka gagalkan di
Parlimen. Memang jarang soalan di Parlimen dijawab oleh para menteri kerana
tugas itu diserahkan kepada timbalan dan setiausaha politik sahaja. Adalah
tidak menjadi satu perkara ganjil apabila MT UMNO membuat keputusan yang
tidakpun diberitahu kepada Parlimen tetapi diambil tindakannya oleh kabinet
tanpa sebarang kertas perbincangan mengenainya. Inilah yang memeritkan
menteri pendidikan apabila cuba mempraktikkan keputusan seperti itu dan naib
presiden UMNO turut menggeletar menghadapi kesannya. Tetapi arahan Perdana
Menteri adalah sesuatu yang tidak boleh ditukar-ganti laksana petua Dewa
Zeus dari mercu Gunung Olympus dalam dongeng Yunani, satu ketika dulu. (Zeus
dianggap sebagai dewa cuaca dalam peradaban purba Yunani - penterjemah)
Meritokrasi adalah satu alat politik kepada mahathir, tetapi kini ia
merupakan satu arahan yang sanggup disokong dengan padunya oleh Ketua Pemuda
UMNO, sedangkan itulah yang membuatkan pergerakan itu naik sawan beberapa
bulan lalu apabila satu kumpulan kebudayaan Cina mencadangkannya (sebagai
rayuan) dalam pembentukan sebuah negara Malaysia. Dasar yang dicadangkan
laksana satu suruhan Dewata, memerlukan sokongan yang tidak boleh
berbelah-bagi. UMNO telah bernasib baik mempunyai sokongan yang kukuh begitu
lama satu ketika dulu sehinggalah munculnya satu peristiwa yang mengaibkan
pada 1998, yang membuatkan sokongan itu menghilang dan cuba didapatkan
semula dengan bersyarat pula. Namun, UMNO menganggap sikap orang Melayu
menarik sokongan itu sebagai satu pembelotan dan penderhakaan yang mesti
dibalas dengan penderaan dan hukuman.
Seandainya UMNO ingin kembali gemilang, satu proses reformasi dalaman mesti
dimulakan. Ini bukannya mudah untuk dilaksanakan. Disebabkan korupsi yang
berleluasa membuatkan pemimpin UMNO dan parti sekutunya terlalu selesa
melahapnya sehingga sanggup menyediakan benteng untuk mempertahankannya.
Titisan darah dan airmata adalah alat penyanggahnya sehinggakan tidak ada
yang sanggup menjadi penyanggah itu setelah melihatkan penderitaan Anwar
yang membuka gelanggang silatnya dan terus dimangsakan. Lagipun, kemewahan
yang mengipas setiap jawatan adalah nikmat yang tidak mudah dilepaskan.
Inilah alasan utama kenapa pemimpin parti koalisi BN seperti MCA, MIC, dan
pemimpin parti sekutu yang lain sanggup menongkat langit walaupun ketokohan
sudah tidak diperlukan dan nama sudah semakin hangit.
Dalam UMNO keadaannya adalah lebih dahsyat lagi.
Jadinya, merit dijadikan senjata terkini untuk menghukum orang Melayu kerana
memikirkan kereputan UMNO. Lantas merit adalah satu pelencong untuk mengabui
fikiran sahaja. Tidak ada siapapun dalam UMNO waima BN yang mampu
mengnyahkan tunggul-mati dalam UMNO dan BN tanpa mencetuskan ledakan
tentangan berbentuk dalaman. Kerana itu cara Mahathir memilih warga
mahasiswa mencetuskan banyak tandatanya. Tindakannya itu menyerlahkan betapa
warga pelajar universiti yang akan datang akan bersifat lebih kecoh dan
lebih liat untuk mudah dirasuk oleh pihak yang berkuasa berbanding warga
mahasiswa dan mahasiswi yang ada. Ini adalah satu tanggapan yang amat
berbahaya kerana ia memutikkan sindiran betapa setiap bakal pelajar menara
gading adalah bakal penentang kerajaan yang ada. Terdapat banyak isu lain
yang boleh dijadikan bahan ketawa sahaja, kebanyakannya, seperti
mensyaratkan warga pengajar dan pelajar di universiti menandatangani
perjanjian agar para menteri dan pemimpin UMNO tidak diejek dan diboo ketika
mereka melawat kampus. Apabila jentera kerajaan akur kepada tindak-tanduk UMNO, perkara itu sengaja
dibiarkan. Tetapi apabila berlaku perubahan dalam proses itu, seperti yang
ditunjukkan oleh badan kehakiman negara dan diikuti pula oleh perkhidmatan
awam, bahtera keangkuhan UMNO mula terhencot menuju batu karang. Sambil
mengabaikan fenomena ini, nakhoda kapal cuba mengugut, gelombang lautan
kebangkitan Melayu mula menggigit untuk membiarkan bahtera itu terkandas
dengan sendirinya. Kerana itu UMNO mahukan kita memeram apa yang kita tahu
dan menerima apa yang tidak laku. Kita sedang hidup selesa kerana itu yang
Putrajaya kata, sedangkan apa yang kita lihat dan apa yang kita hadap adalah
jauh bezanya. UMNO mungkin sudah rabun mata untuk melihat betapa semua kaum terbesar
negara ini - Melayu, China, India, Kadazan, Dayak - sudah mencanai satu
tekad bahawa pemimpin politik dan parti dalam BN tidak diperlukan lagi dan
tekad ini adalah satu ikatan yang disimpul mati. Dongeng lama akan keagungan
hsudah menjadi sejarah kini. Berbalik kepada meritokrasi, seandainya
pelajar Melayu yang memasuki universiti swasta menganggotai UMNO dan tidak
menentang apa yang dicanangkan oleh parti pembangkang seperti PAS, UMNO
percaya ia mampu menarik nafas udara yang nyaman. Tetapi, udara nyaman itu
adalah alat UMNO menangani pelajar institusi pengajian tinggi, yang semakin
jauh larinya ditolak jerebu yang kini memendungi Kuala Lumpur.
M.G.G. Pillai |