Laman Webantu KM2A1: 5253 File Size: 9.3 Kb * |
TAG SP 255: Crescent: Mahathir Gian Menunggu Jemputan Rumah Putih By Abdar-Rahman Koya 19/8/2001 4:06 am Sun |
[Mahathir nampaknya ingin menggoda Bush dan kaum Cina dengan
tindakan terbarunya menangkap rakyat dengan alasan ancaman 'militan'
dan 'fundamentalis Islam'. Tetapi tanpa bukti yang meyakinkan serta
perbicaraan itu hanya akan menjejaskan dirinya sendiri. ISA dan
pengharaman ceramah adalah langkah dayus kerana sudah gagal menepis
secara berdepan secara anak jantan. Padahal kerajaan baru menambah
bilangan polis dan menaikkan gaji mereka. Lagipun ada bermacam akta
(seperti akta hasutan) yang mencengkam mengapa ceramah tidak dibenarkan?
Mahathir seperti mahu menggunakan Bush untuk agendanya yang seterusnya.
Sepatutnya dia faham kalau Bush masih belum tergoda setelah dicuba pelbagai
cara itu petanda dia sudah tidak berguna. Sebaliknya Megawati lebih berguna
untuk Amerika..... lagipun Mahathir baru berpeluk dengan Castro. Itu orang
Amerika tidak mudah lupa. Bukankah Clinton lingkup kerana satu skandal sahaja?
- Editor] Muslimedia Mahathir Gian Menunggu Jemputan Rumah Putih
(Mahathir Eyes White House Invitation as repression continues...)
Oleh: Abdar-Rahman Koya Regim Mahathir yang semakin dipinggirkan oleh rakyat Malaysia nampaknya
semakin galak mencari strategi yang membawa kesan yang menyimpang. Dalam
kempen terbarunya untuk membisukan pembangkang, sepuluh orang lagi, termasuk
Nik Adli Nik Aziz, anak kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah diculik pada
minggu pertama Ogos di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang
membenarkan penahanan tanpa perbicaraan. Dosa yang dilakukan oleh Nik Adli
ialah berjihad di Afghanistan melawan tentera Soviet Union, (satu ketika
dulu). Pihak polis telah memperakukan betapa beberapa tangkapan lagi akan
dilaksanakan untuk menangkap anggota 'militan' yang pernah berjihad.
Mahathir mempertahankan penangkapan rambang ini sebagai satu tindakan
berjaga-jaga dengan alasan tindakan yang sama dibuat juga oleh Israel
terhadap orang Palestin. Penangkapan ini adalah kali yang ketiga dalam apa yang semacam tiga
peringkat pengganyangan terhadap pemimpin reformasi, pelajar dan aktivis
Islam: bererti ahli-ahli Pas. Pada bulan April, sepuluh aktivis, majoritinya
ahli Keadilan, telah ditangkap, enam di antaranya kini sedang merengkok di
kem tahanan politik. Ini diikuti dua penangkapan bulan lalu dalam satu usaha
menyeluruhi kampus universiti. Mangsa operasi polis yang terbaru adalah aktivis Islam dan pemimpin PAS.
Kerajaan berkata penangkapan itu disasarkan pada 'militan' yang dilatih di
Afghanistan, yang telahpun dituduh dengan pelbagai tohmahan, daripada
perompakan bank dan pembunuhan kepada serangan terhadap rumah ibadat
bukan-Islam untuk menegakkan satu negara Islam. Tidak satupun tohmahan ini
disokong oleh sebarang bukti, kerana itu ISA digunakan sebagai ganti.
Ramai yang melihat usaha terdesak oleh Mahathir ini sebagai satu helah untuk
berbaik semula dengan pemimpin dunia Barat. Satu laporan di Far Eastern
Economic Review bertarikh 26 Julai, mendedahkan betapa Mahathir amat
mengimpikan satu jemputan daripada Rumah Putih. Walaupun dulu dia amat gemar
mengutuk negara Barat, Mahathir sudah mengirimkan surat sebanyak tiga kali
kepada Presiden George W. Bush. Satu, kandungan suratnya itu memberi ucapan
tahniah mengenai cara Bush menangani episod pesawat risikan Amerika di
China, April lalu. Ini diikuti oleh satu keizinan untuk beberapa ratus askar
Amerika mendarat di Malaysia untuk latihan ketenteraan.
Penangkapan yang terbaru itu dibuat ketika PAS memperlekehkan pengharaman
ceramah politik dan bertegas untuk meneruskan perhimpunan politik. Satu
ketika dahulu Mahathir pernah mengeluh, orang Melayu membenci regimnya
disebabkan 'kempen membenci' yang dilancarkan oleh PAS. Kini, perhimpunan
ceramah PAS disambut dengan tindakan ganas polis untuk menyuraikan
perhimpunan. Di sebalik kegagalan melenyapkan suara pengkritik, provokasi polis itu
nampaknya telah menaikkan nama PAS di kalangan orang Melayu beragama Islam
dan menarik lebih ramai sokongan mereka yang keluar daripada UMNO sejak
Anwar Ibrahim dipecat oleh Mahathir. Dulu, ramai yang merungut betapa PAS
yang berjaya memenangi dua negeri dengan selesa pada pemilu yang lalu, sudah
menunjukkan petanda keselesaan tanpa mahu mengambil sebarang risiko. Ada
yang runsing bahawa PAS sudah semakin kurang bertenaga dengan pergerakan
Islamiahnya. Tetapi, serangan mengganyang PAS yang terbaru itu telah
menyedarkan beberapa pemimpin PAS bahana bersikap sambil lewa membiarkan
sistem pemerintahan yang ada. Sejak memenjarakan Anwar Ibrahim pada September 1998, Mahathir telah
menunjukkan tipu muslihat politiknya dengan pelbagai strategi putarbelit,
dengan tujuan yang berbeza; untuk menarik kembali sokongan orang Melayu dan
memperkasakan sokongan masyarakat Cina, yang telah memberikan undi mereka
pada 1999 dulu dan menentukan kemenangan kerajaan pimpinannya. Kepada orang
Melayu, dia menakutkan mereka berasaskan ketuanan Melayu dan unsur-unsur
perkauman; kepada orang Cina dia menakutkan mereka akan bahaya Islam dan
bahaya yang menggugat budaya Mereka seandainya PAS berkuasa. Inilah yang
memberi dalil yang paling baik untuk orang Melayu lebih menyokong PAS dan
untuk pemimpin Cina kebebasan memperlekehkan Islam.
Cara Mahathir mengubah-ubah taktik hapraknya memang amat menarik. Satu
ketika dulu dia mencabar aktivis Cina sambil menempelak mereka kerana
mempersoalkan apa yang disebutnya sebagai hak keistimewaan orang Melayu.
UMNOpun melancarkan satu kempen anti-Cina dengan berdemo dan selaran media,
sambil mengingatkan orang Melayu bahawa tanpa UMNO mereka sudah lama
kehilangan hak itu. Namun, di sebalik semua itu, sokongan orang Melayu kepada kerajaan terus
menggelonsor. Ini diperteguhkan oleh sokongan padu di kalangan pelajar,
golongan muda-mudi dan warga perundangan yang semakin berubah. Inilah yang
membuatkan Mahathir mengumumkan betapa sistem pendidikan yang memberikan
keutamaan kepada pelajar Melayu diubah kepada sistem meritokrasi. Walaupun
tindakan itu diterima-pakai, tindakannya itu bukannya beasaskan kesaksamaan
tetapi disebabkan dendam kesumat terhadap pelajar Melayu, yang kerap
dituduhnya sebagai 'pemalas' dan 'tidak tahu bersyukur'.
Bukan UMNO sahaja yang runsing akan kemaraan PAS. MCA yang memang mempunyai
semangat anti-Islam yang kuat, telahpun menubuhkan satu unit khas untuk
memberi penjelasan kepada masyarakat Cina yang bukan-Islam, mengenai 'bahaya
sebuah negara Islam'. Parti itu tidak pernah menyorokkan hasrat untuk
'mendidik dan memberikan penerangan kepada rakyat kecemaran yang akan
berlaku kepada satu negara Islam terhadap masyarakat majmuk'. Tidak berapa
lama dulu, seorang ahli politik yang bukan beragama Islam tidak berani
celupar secara terbuka akan perkara begini. Tetapi, apabila Mahathir sendiri
kerap memperlekehkan keutuhan 'Ad-din' Islam hampir setiap hari, mereka
mengambil iktibar untuk terus celupar.
Walaupun demikian, kita boleh ketawa juga apabila melihatkan Mahathir
didampingi oleh beberapa tokoh asentrik Islam. Baru-baru ini Mahathir di
istyiharkan sebagai seorang pemimpin Islam tulen oleh seorang 'guru sufi'
daripada Scotland, yang memakai nama Abdulqadir Jilani. Beliau telah
menziarahi Mahathir untuk mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam.
Beliau telah mengkritik ulama tempatan dengan mendakwa mereka adalah
'Shi'ah' yang tidak ada 'wawasan kewangan.' Jilani menjadi bangga apabila
Mahathir bertindak dengan postifnya kepada cadangan beliau untuk menggunakan
apa yang dikatakan 'dinar emas' yang dikeluarkan oleh syarikatnya untuk
menggantikan dollar AS. Apa juga martabat keIslaman yang ada pada regim Mahathir, sudah lama
menghilang. Beberapa tokoh Islam terkenal seperti Yusuf Qardawi dan Taha
jaber Alwani yang satu ketika dulu memuji kerajaan kerana mempunyai sikap
keIslaman yang progresif, kini mahukan Mahathir diadili mengikut hukum
Syariah, dan inilah yang memudahkan Mahathir membelakangi isu Islam itu sama
sekali. Itu juga membuatkan Mahathir semakin gian untuk dijemput oleh Rumah
Putih. Malangnya, dia amat kecewa kerana tidak diberi muka. Duta Amerika di
Malaysia telah memberitahu beliau dengan berterus-terang, agar mengembalikan
sistem 'demokrasi' yang menunjangi Malaysia sebelum 'perhubungan lama dapat
dibaiki semula'. Yang paling terdaya dilakukannya untuk mengabui kerajaan Amerika ialah
menunjuk-nunjuk betapa dia memainkan satu peranan kecil untuk memerangi apa
yang difikirkannya sebagai satu keganasan Islam
Catatan Penterjemah: Asal: http://www.muslimedia.com/my-repress.htm
atau KM2: 5248
|