Laman Webantu KM2A1: 5255 File Size: 8.8 Kb * |
TJ DK FEER: Hutang, Daim dan Kemelesetan Ekonomi By S. Jayasankaran 19/8/2001 11:38 pm Sun |
FEER Ogos 9, 2001 http://detik.daily.tripod.com/ogosa/18ogos_6.htm
(Debts, Daim And Downturn) Oleh: S. Jayasankaran Sewaktu ekonomi berkembang dengan rancak dalam tahun-tahun
1990-an, Malaysian Recources atau MRCB cukup banyak mendapat
faedah melalui pertalian politik. Tapi kini, masa depannya
tidak lagi menentu apabila terdapat cadangan kerajaan akan
mengambil-alih Renong bulan lepas. Beban hutang yang ditanggung MRCB tidaklah seberat Renong
tapi ia tetap menjadi sasaran atas dua sebab: pertama, kerana
pemilik terbesar sahamnya mempunyai kaitan dengan bekas
Menteri Kewangan, Daim Zainuddin dan kedua, kerana
hutang-hutangnya melibatkan institusi dana pencen yang
dimiliki kerajaan. Orang yang perlu diperhatikan dalam MRCB ialah Abdul Rahman
Maidin, yang memiliki 25% MRCB menerusi sebuah syarikat
persendirian, Realmild. Bekas eksekutif MRCB berkata Realmild
berhutang dengan dana pencen negara, iaitu Kumpulan Wang
Simpanan Pekerja (KWSP), kira-kira RM600-700 juta.
Hutang-hutang ini dan hubungannya dengan Daim telah
menjadikannya sasaran utama untuk diambil-alih oleh kerajaan
dalam langkahnya cuba meyakinkan pasaran kewangan bahawa
peraturan yang ada akan dikuatkuasakan.
Renong juga mempunyai hutang yang banyak dengan negara dan
cadangan untuk mengambil-alihnya mula ditimbulkan pada 25
Julai lalu apabila kerajaan tidak sanggup lagi melihat
syarikat itu terus gagal melakukan pengstrukturan semula, dan
ini merupakan salah satu faktor yang melemahkan sentimen
pasaran. Pengambilalihan yang melibatkan RM3.8 bilion ini, merupakan
isyarat kepada pasaran kewangan bahawa kerajaan tidak
bertolak ansur lagi terhadap karenah-karenah seperti ini.
Cadangan kerajaan untuk mengambil-alih Renong, sekaligus
menyingkirkan Halim Saad - seorang lagi anak didik Daim -
dari syarikat itu, mendapat reaksi yang cukup baik daripada
pasaran dan telah mencetuskan banyak usaha-usaha penggabungan
serta pengambil-alihan di Malaysia. Berbanding Renong, MRCB lebih kukuh dari segi kewangan tapi
tokoh-tokoh politik yang menjadi pendokongnya sering sahaja
gugur setelah berseteru dengan Perdana Menteri Mahathir
Mohamad. Penglibatan KWSP dalam kes ini pula, dari segi
politiknya, merupakan satu isu yang agak sensitif.
Bahkan Mahathir sendiri pernah memberi jaminan kepada
kesatuan-kesatuan sekerja bahawa dana KWSP tidak akan
disalahgunakan. KWSP melabur cukup banyak dalam MRCB. Selain
pinjaman yang diberikan kepada Realmild, KWSP menguasai 12%
saham MRCB. Apa yang berlaku pada MRCB jelas melukiskan bentuk pertalian
yang terdapat antara perniagaan dan politik di Malaysia, dan
menceritakan bagaimana besarnya kekayaan boleh dicipta jika
mendapat kelulusan menteri. Ia juga menunjukkan bagaimana
mudahnya sesuatu perniagaan itu jatuh semata-mata disebabkan
menyokong kumpulan-kumpulan politik yang salah.
MRCB, dari sudut politiknya boleh dianggap satu kumpulan yang
sangat penting kerana ia menguasai dua syarikat media utama
negara yang banyak mempengaruhi pengundi: penerbit akhbar
harian New Straits Times Press atau NSTP dan syarikat
penyiaran Sistem Televisyen Malaysia, atau TV3.
MRCB mula menonjol sejak 1993 apabila Menteri Kewangan pada
waktu itu, Anwar Ibrahim, telah mengusahakan pengambilalihan
kedua-dua syarikat itu daripada Renong. Seperti yang
dilakukan Daim sebelumnya, Anwar juga mahu mempunyai kumpulan
perniagaan yang terdiri daripada orang-orangnya. Di antara
'orang-orangnya' itu ialah empat orang eksekutif NSTP yang
diketuai Nazri Abdullah, yang pada ketika itu merupakan
pengarang sebuah akhbar harian utama berbahasa Melayu.
Keempat-empat orang ini kemudian menubuhkan Realmild dan
mencadangkan supaya NSTP dan TV3 dibeli dengan harga RM600
juta. Renong tidak begitu gembira dengan pembelian itu tetapi
memandangkan Anwar pada masa itu dilihat sebagai orang kuat
Mahathir, kedua-dua syarikat itu dilepaskan.
Beberapa orang eksekutif kewangan berkata keempat-empat orang
itu tidak perlu bekerja keras untuk menjayakan pembelian
tersebut. Seorang lagi rakan perniagaan Anwar, Quek Leng
Chan, ketua konglomerat Hong Leong, telah menyediakan
semuanya; nasihat, kewangan dan jentera: dia memiliki MRCB.
Melalui Quek, Realmild diberi pinjaman RM267 juta untuk
membeli MRCB semata-mata atas asas politik.
Dan kemudian, dengan menggunakan saham baru serta pinjaman,
MRCB membeli kedua-dua syarikat media itu.
Sebulan selepas itu, MRCB mula menjadi tumpuan utama pelabur.
Harga sahamnya meningkat dengan mendadak dari RM1.8 kepada
RM12. Dan Anwar telah membuatkan syarikat itu cukup berbangga
kerana dapat memiliki projek-projek awam yang besar, lesen
telekomunikasi, dua buah penjana kuasa terbesar di Malaysia,
kontrak transmisi mewah dan RM5 bilion konsesi untuk membina
pusat perhentian keretapi di pinggir bandaraya Kuala Lumpur.
Pada waktu itu, yakni dalam tahun-tahun ekonomi berkembang
begitu rancak, semangat dan optimisme begitu tinggi
sehinggakan beberapa kegagalan dianggap remeh. Sebagai
contoh, dalam Jun 1996, syarikat telekomunikasi negara,
Telekom Malaysia membayar 640 juta untuk membeli syarikat
telefon mudah alih MRCB yang rugi, Emartel.
Dan sementara MRCB semakin banyak menimbun hutang untuk
melaksanakan projek-projek yang semakin besar, Realmild pula
berjaya melangsaikan keseluruhan RM267 juta hutangnya melalui
pinjaman yang dibuatnya dalam 1996 itu setelah menjual anak
syarikatnya. Tapi kesilapan yang dilakukan Realmild lewat 1997 kini datang
menghantuinya semula. Pada waktu itu MRCB membayar hampir 1.5
bilion ringgit untuk memiliki 27% saham dalam syarikat
perkhidmatan kewangan Rashid Hussin. Bank Negara kemudiannya
mengeluarkan arahan bahawa sebagai pemilik saham dalam bank,
Realmild perlu mempunyai jumlah saham yang lebih besar dalam
MRCB. Untuk mendapatkan saham-saham itu, Realmild meminjam
500 juta ringgit dari KWSP. Tiba-tiba krisis ekonomi Asia berlaku. Harga saham jatuh
menjunam. Anwar disingkirkan dan MRCB terperangkap dalam
hutang lebih 2 bilion ringgit. Pasukan Nazri pula
disingkirkan dalam 1999. Menurut seorang pegawai kanan Umno,
Daim yang pada waktu itu telah dilantik semula sebagai
Menteri Kewangan, berusaha mencari pemegang saham yang baru.
Dia pernah menawarkannya kepada Kadir Jasin, salah seorang
tokoh Realmild yang masih rapat dengannya, dan kepada Razali
Ismail, bekas duta Malaysia. Tapi akhirnya saham-saham itu diberikan kepada Rahman,
seorang tokoh perniagaan yang kurang dikenali di luar Pulau
Pinang. Di atas kertas, Rahman memiliki semua saham kecuali
saham Realmild berjumlah 7.1 juta ringgit dalam bentuk
equiti. Tapi adalah tidak jelas sama ada dia benar-benar
memiliki MRCB atau tidak. Kata Anwar dari penjara dalam 1998, sebahagian besar equiti
MRCB dipegang sebagai amanah Umno. Rahman bagaimanapun enggan
mengulas mengenainya apabila diminta Review. Menurut beberapa
orang pegawai Umno, Mahathir sendiri pernah membangkitkan
persoalan mengenai pemilikan MRCB dalam satu mesyuarat
bersama menteri-menteri besar lewat Jun lalu. "Tidak ada
siapa tahu siapa yang memiliki MRCB," kata seorang pegawai
kanan Umno. "Saya rasa perkara ini perlu disemak."
Walaupun keadaan masa depan nampaknya sangat tidak menentu,
namun Rahman, kata beberapa orang penganalisis kewangan,
serius berusaha untuk melangsaikan hutang-hutang itu dan
telahpun mengambil beberapa tindakan bagi tujuan itu.
Setakat ini, projek-projek janakuasa dan saham-saham MRCB
dalam Rashid Husain telah dijual, dan hasilnya lebih 1.2
bilion ringgit diperolehi. Kini MRCB telah berjaya
mengurangkan hutangnya kepada 800 juta ringgit. Sebahagian
besar daripada hutang ini adalah disebabkan oleh pembangunan
projek Sentral. Sementara itu, MRCB masih memiliki NSTP - yang mengalami
masalah kewangan dan beroperasi dalam keadaan rugi - dan
sebahagian besar saham dalam TV3 yang tidak mampu bayar dan
terpaksa mengalami pengurangan modal. NSTP dijangka akan
dijual selepas ini, dengan Munir Majid, bekas banker dan
regulator, diramalkan besar kemungkinan akan
mengambil-alihnya. Ramai penganalis ragu apakah Realmild membayar balik
hutangnya pada KWSP mengikut jadual memandangkan bayaran
dividen daripada syarikat-syarikat MRCB dijangkakan begitu
rendah. Walaupun MRCB telahpun mengurangkan perbelanjaannya
begitu drastik sekali, namun ia masih belum kebal selagi
masalah Realmild belum diselesaikan. Terjemahan: Muhammad Nor Samad Asal: FEER: FEER Debts Daim and Downturn
atau KM2: 5144 |