Laman Webantu KM2A1: 5256 File Size: 11.8 Kb * |
Detik: PAS Mengail Di daratan? By Dr Mohamad Agus Yusoff 19/8/2001 11:51 pm Sun |
[PAS dan DAP sudah dicampak di dalam dilema oleh Mahathir.
PAS perlu mempertingkatkan penerangan mengenai negara Islam.
DAP pula perlu meningkatkan kesedaran ahli parti kerana jika
mereka pun sangsi, masyarakat cina tentulah lebih sukar lagi
untuk menerima konsep negara islam itu. Tetapi ceramah dan
rapat umum bersama sudahpun dilarang....
Sebenarnya masih ada ruang lain iaitu di laman web. Namun seperti
tidak ada kesungguhan kedua pihak untuk duduk bersama dengan lama
memberi penerangan. Bak kata Dr Agus, politik adalah proses yang
panjang dan pertemuan dan penerangan yang sedikit masih belum
mencukupi untuk menang kerana BA asyik diserang berpanjangan.
Soalnya mengapa PAS dan DAP tidak menggunakan sebaiknya ruang di
alam siber untuk bersekemuka dan memberi kenyataan dan penerangan
bersama? Jangan persiakan pengguna internet Malaysia yang berjumlah
kira-kira 2 juta. Lagipun ramai antara mereka adalah pelajar yang
bakal mewarisi negara. Pertemuan di laman web cukup penting, dan
mungkin sepenting pertemuan di alam nyata kerana ia akan menjadi
bahan tatapan dan rujukan sesiapa yang curiga tanpa perlu jauh
berjalan untuk mendapatkan jawapan semua kecelaruan yang menghantui
minda. Sudah tiba masanya untuk PAS dan DAP aktif BERSAMA di alam
siber jika tidak mereka akan semakin dipandang tidak bermaya,
tidak sekata dan tidak bersama. Wawancara Detik bersama Dr Mohammad Agus
PAS mengail di daratan? Oleh: DR MOHAMAD AGUS YUSOFF Pada pendapat Dr sejauh manakah pendekatan politik PAS dapat
menguatkan gabungan pembangkang untuk menghadapi pilihan raya
akan datang? DR AGUS: Tidak dinafikan PAS memang dilihat sebagai satu parti
yang mengetuai barisan pembangkang. Saya lihat rakyat
mengharapkan PAS dapat mengetuai barisan pembangkang untuk
memberikan cabaran terbaik kepada pemerintah bagi menghadapi
pilihan raya akan datang. Malah terdapat mereka yang bercakap
tentang gabungan pembangkang ini sebagai government in waiting.
Jadi dari segi harapan, saya lihat rakyat meletakkan harapan
kepada PAS dan barisan pembangkang untuk menunjukkan wibawa
sebagai government in waiting. Rakyat mengharapkan barisan pembangkang dapat bekerjasama dengan
baik tanpa ada kekangan yang boleh membatasi keakraban mereka.
Namun, bagi saya barisan pembangkang seperti kek icing, nampak
sahaja comel tetapi hakikatnya rapuh. Kerapuhan asas yang
membatasi kerjasama pembangkang ialah isu Negara Islam.
Di sini PAS harus pandai memainkan peranan untuk menarik
sokongan bukan Melayu. Bagi saya, DAP sama sekali tidak boleh
menerima konsep Negara Islam PAS. KeADILan yang cuba bersikap
fleksibel terperangkap di tengah-tengah - untuk memenuhi
aspirasi PAS dan memenuhi keinginan DAP. Selagi pemimpin PAS
tidak berubah untuk memahami realiti politik masyarakat majmuk
dengan mengurangkan sedikit rigid mereka, agak sukar PAS
mengetuai barisan pembangkang. Justeru, barisan pembangkang ini
masih lagi rapuh jikalau isu besar ini tidak dapat lagi
diselesaikan. Saya berpendapat dalam konteks menubuhkan Negara
Islam, PAS mengail bukan di air tetapi di daratan, seperti ikan
kalau berenang di luar kolamnya maka ia akan lemas. Inilah
realiti PAS. Saya faham PAS tidak boleh mengugurkan pembentukan Negara Islam
dalam perjuangannya. Begitupun, bagi memenangi pilihan raya,
penting bagi PAS berunding dengan barisan pembangkang untuk
menjelaskan bagaimana Negara Islam yang hendak dibentuk. PAS
harus memberi penerangan kepada rakan-rakan gabungannya dalam
Barisan Alternatif (BA) supaya DAP khususnya akan lebih
memahami. Selagi DAP tidak faham, gabungan pembangkang dalam BA
tidak akan kekal lama. PAS kena jelaskan kepada rakan-rakan
gabungannya bagaimana dengan kedudukan wanita yang bekerja dalam
sebuah Negara Islam, bagaimana dengan judi, arak dan lain-lain.
PAS juga kena terangkan bagaimana rupa bentuk Negara Islam yang
hendak ditubuhkan. Ini kena jelas, supaya nantinya DAP dan orang
bukan Islam boleh faham. Bila DAP sudah faham dan orang bukan
Islam sudah faham, maka barulah hasrat PAS untuk mewujudkan
Negara Islam dapat diterima oleh DAP dan dengan itu kuranglah
bangkangan. Sekarang ini saya lihat PAS sendiri masih belum
konsisten dengan konsep negara Islam yang hendak dibentuknya.
PAS sedar perjuangannya dalam politik adalah untuk menang
pilihan raya. Dan PAS juga faham untuk menang pilihan raya dalam
sebuah negara yang masyarakatnya heteregenous, satu caranya
ialah menonjolkan imej perpaduan. Dalam istilah politik ini
dipanggil consociational politics, iaitu politik permuafakatan,
satu istilah yang pertama kali digunakan Profesor Arend Lijphart
dalam persidangan ahli--ahli sains politik sedunia di Brussels
pada 1967. Lijphart menyatakan sesebuah parti dalam negara yang
mempunyai anakeragam masyarakat sukar untuk menang dan
mengekalkan kestabilan politik jika ia gagal untuk membentuk
grand coalition pattern of government. PAS sedar keadaan ini,
jika bertanding sendirian dan hanya bergantung kepada undi
Melayu untuk menang, ia tidak ke mana. Atas alasan itulah PAS
bersedia bergabung dengan DAP biarpun ia mempunyai fahaman
politik yang berbeza. Ringkasnya, PAS sedar ia tidak boleh menang tanpa sokongan bukan
Melayu. DAP juga sedar konsep 'Malaysian Malaysia' juga tidak
akan ke mana-mana jikalau ia gagal mendapat sokongan Melayu.
Kedua-dua parti saling sedar, namun dalam kesedaran itulah
mereka memenjarakan parti masing-masing dengan retorik yang
tidak memungkinkan mereka menang dalam pilihan raya. Pada saya,
dua parti ini sekadar hanya bertemu tetapi tidak bersatu.
Bagaimana mungkin mereka boleh membina sebuah keluarga yang
bahagia dalam satu barisan jikalau mereka sekadar bertemu untuk
berbincang tetapi akhirnya mereka gagal untuk bersatu.
Konsep menerima itu, setelah ada fahaman atau gambaran. Selagi
belum ada kefahaman, tentunya DAP dan masyarakat Cina menolak
konsep Negara Islam. Di sinilah PAS harus memainkan peranan
untuk menperjelaskan lagi konsep Negara Islamnya. Perlu
dijelaskan bagaimana rupa bentuk sebuah Negara Islam, kedudukan
bukan Islam di bawah pemerintahan Islam dan bagaimana dengan hak
bukan Islam dalam soal adat dan budaya dalam sebuah negara
Islam. PAS perlu jelaskannya supaya apabila ia bercakap tentang
negara Islam, DAP boleh mempertahankannya. Bila DAP pula
bercakap tentang 'Malaysian Malaysia', PAS boleh mempertahankan.
Selain itu, risalah-risalah memperjelaskan soal negara Islam
sudah sepatutnya mula ditaburkan mulai sekarang untuk memberikan
penerangan kepada rakyat. Ini perlu dibuat kerana politik is a
long process, bukan hanya sekadar perancangan tiga bulan. Tetapi
sekarang ini apa yang kita lihat ialah pemimpin hanya bertemu
dalam mesyuarat BA dan selepas itu mereka tidak turun
menjelaskan kepada rakyat isu sebenar yang mendepani mereka.
Kalau mereka menjelaskannya pun, ia adalah secara berasingan
bukan secara bersama. Selepas bermesyuarat, pemimpin kembali
kepada parti masing-masing dan melaksanakan strategi dan
keputusan mesyuarat secara berasingan.
Keadaan sebeginilah yang menyebabkan ramai rakyat Cina masih
belum memahami konsep Negara Islam secara menyeluruh kerana DAP
tidak menjelaskan persoalan ini kepada penyokongnya dan PAS pula
tidak menjelaskan konsep 'Malaysian Malaysia' DAP kepada
ahli-ahlinya. Kalaulah perkara asas sebegini pun gagal mereka
selesaikan, maka apa yang mereka inginkan hanyalah sebagai
ilusi, bukan realiti. Antara kedua-dua parti ini terdapat satu persamaan nyata, iaitu
keadilan. Masing-masing dapat berjuang bersama atas dasar
keadilan, demokrasi dan membantah penyelewengan. Negara Islam
mahukan keadilan dan 'Malaysian Malaysia' juga mahukan keadilan.
Cuma masalahnya, Negara Islam hanya difahami oleh orang Islam
dan tidak begitu difahami oleh orang bukan Islam. PAS perlu
mempergiatkan lagi usaha-usaha penerangannya. Sebagai contoh,
PAS perlu menjelaskan kenapa kita memerlukan sebuah Negara Islam
dalam masyarakat majmuk? Apa kebaikannya kalau kita sokong,
bukan sahaja untuk orang Melayu yang beragama Islam atau bukan
sahaja kerana tuntutan Tuhan, bahkan juga negara Islam memberi
kebaikan kepada bukan Islam. PAS perlu menyakinkan masyarakat
bukan Melayu dan Islam tentang konsep negara Islamnya.
DAP juga haruslah jelaskan apa kebaikannya ia memperjuangkan
konsep 'Malaysian Malaysia' ini? DAP perlu tegaskan bahawa sudah
sampai masanya kita meninggalkan konsep mementingkan politik
untuk hanya satu kaum sahaja. Sudah sampai masanya kita
menganggap rakyat Malaysia adalah orang Malaysia dan bukannya
rakyat yang terbahagi kepada Melayu, Cina dan India. Ini yang
DAP perlu perjelaskan Ringkasnya, tidak bolehlah DAP hanya
bercakap tentang 'Malaysian Malaysia' dan PAS pula hanya
bercakap tentang Negara Islam. Kerana ia tetap tidak boleh
menyatukan orang Melayu dan bukan Melayu di dalam satu barisan
yang kukuh. Oleh itu, adalah perlu bagi PAS, DAP dan KeADILan
mencari satu slogan yang serupa yang boleh menyatukan mereka.
Mereka hendaklah bercakap dalam 'bahasa' yang sama dan
diterjemahkan dengan cara yang sama. Inilah yang boleh
meyakinkan rakyat. Sebab satu cara untuk meyakinkan rakyat bagi
meraih sokongan mereka dalam pilihan raya yang akan datang ialah
apabila mereka bercakap dalam satu bahasa dan nada yang serupa.
Jadi imej perpaduan itu adalah sesuatu yang amat penting.
Sebagai contohnya, kenapa PAS tewas di Kelantan pada tahun 1978?
Ini kerana PAS gagal menunjukkan imej perpaduan di saat Berjasa
dan Umno mampu bersatu. Kenapa undi Umno merosot pada 1990? Ini
kerana barisan pembangkang telah muncul dengan APU dan Gagasan
Rakyat. Kenapa undi Umno sekali lagi merosot sembilan tahun
kemudian? Kerana BA telah muncul sebagai barisan alternatif
kepada rakyat. Tetapi mengapa BA masih lagi tewas biarpun dikatakan mendapat
sokongan generasi muda? Ini kerana BA masih digoyangkan dengan
isu kerjasama PAS dan DAP. Maka, selagi imej perpaduan antara
parti PAS dan gabungannya masih belum wujud, maka rakyat tidak
akan yakin untuk menukar kerajaan, biarpun mereka berhasrat
untuk berbuat demikian. Usaha ini telah bermula sekian lama. Itu jelas. Kita boleh lihat
dalam pilihan raya umum 1990 dan 1999, barisan pembangkang cuba
bersatu dan membentuk gabungan. Namun, dari segi strategi saya
kira ia perlu diperkemaskan supaya gabungan ini kelihatan
berkesan. Peluang barisan pembangkang terbuka luas kerana
sekarang ini BN sendiri berada dalam keadaan yang goyah kerana
terlalu banyak isu yang mendepani mereka. Misalnya, terdapat
jurang pelaksanaan, strategik dan generasi yang dihadapi oleh
Umno khasnya, dan BN amnya. Biarpun BN berada dalam keadaan
lemah, keupayaan pembangkang masih lagi terbatas kerana imej
perpaduan yang mereka cipta sesama mereka masih lagi belum boleh
meyakinkan rakyat. |