Laman Webantu KM2A1: 5260 File Size: 9.7 Kb * |
TJ SP MGG: Antara Menteri Besar dan Hutan Simpan By M.G.G. Pillai 20/8/2001 7:54 pm Mon |
[Majlis Perhutanan Negara ditubuhkan sejak tahun 1971 lagi manakala FRIM
pula pada tahun 1985. Dasar perhutanan Negara digubal pada tahun 1978
dan Aktanya pada 1984. Pendeknya sudah lama ada peraturan mengenai hutan
simpan tetapi ia telah dilanggar tanpa apa-apa tindakkan. Jawapan tidak tahu
menahu tidak boleh diterima kerana adalah menjadi tugas MB untuk memastikan
semua tindakkannya tidak becanggah dengan akta yang ada. Lagipun, bukankah
ada pegawai khas perundangan dalam pejabat MB?
Kekayaan MB BN terlalu luar biasa dan tidak padan dengan jawatan mereka. Ini
sudah cukup buat BPR untuk menyiasat tetapi ia sengaja memejam mata. Patutlah
kes ini berulang semula. Sepatutnya hutan simpan dijaga kerana ia adalah
penapis udara semulajadi. Lihatah daun yang gugur merata kerana itu petanda
betapa bisanya racun dari pencemaran udara. Kalau manusia bagaimana?
- Editor] (The Menteris Besar And Forest Reserve)
Tapak Universiti Kebangsaan Malaysia (di Bangi) satu ketika dulu, merupakan
satu hutan simpan yang lebih setengah abad usianya dengan keluasan beberapa
ratus ekar. Menteri Besar Selangor ketika itu, Dato' Harun Idris, dengan
persekongkolan ahli exco negeri telah membenarkan hutan simpan itu
ditebas-tebang sehingga semua balak di situ habis dibalun sebelum seluruh
kawasan diserahkan sebagai tapak universiti. Orang ramai hanya tersedar akan
pencabulan ekologi itu, setelah hutan rimba bertukar menjadi belukar. Dato'
Harun pura-pura membuat pengakuan bahawa beliau tidak tahu betapa kawasan
itu adalah kawasan hutan simpan dan menyalahkan anggota exco negeri dan
pegawai tinggi kerajaan kerana tidak memberitahu perkara ini. Jabatan hutan
tidak pernah dirujuk dulu, apabila ada wang yang terlindung di sebalik pokok
yang mesti ditebang. Lagipun, menteri besar yang mana sanggup menerima
pesanan yang dia tidak boleh menebang hutan simpan?
Dua puluh satu tahun kemudiannya, pencabulan ekologi yang serupa berulang
semula, di Selangor juga; kali ini di bawah menteri besar lain tetapi yang
mempunyai nafsu politik yang tidak kurang besarnya. Antara dua zaman
pemerintahan bekas menteri besar itu, sudah wujud di negara ini satu
kesedaran betapa orang politik harus mengamalkan sistem politik yang bersih.
Hutan simpan kini dilihat sebagai sarang perlindungan hidupan liar. Orang
ramai kini mudah menempelak kerajaan kalau menidakkan hidupan liar hidup
bebas, tetapi tidak pula kerana menggondolkan hutan simpan. Apa juapun,
dua-dua perkara ini adalah lambang amalan korupsi. Zoo Negara akan dialihkan
daripada tapaknya yang sedia ada di Ulu Klang kerana kerajaan Selangor
menyedari berapa mahalnya tanah di situ; dan memungkin usaha mewujudkan
beberapa orang jutawan kalau mereka mengusahakannya menjadi kawasan
perumahan. Muhammad Muhammad Taib, merupakan naib presiden UMNO dan menteri besar
Selangor pada 1992. Pada waktu itu sekitar 305 hektar daripada kawasan hutan
simpan seluas 575 hektar di Bukit Sungai Putih, telah diisytiharkan keluar
daripada status hutan simpan. Seperti semua menteri besar, dia memang
bersikap autokratik, dan tidak pernah menyenangi sesiapa yang
membangkangnya. Untuk menentukan semua pihak menyokongnya, dia membenarkan
setiap ahli exco mengatur rencana sampingan mereka. Tidak ada seorang ahli
exco negeri, sudah tentulah seorang menteri besar kerajaan negeri BN yang
harus dibiarkan hidup dalam kemiskinan. Kerana itu, sikap membisu menjadi
budaya Melayu baru apabila hutan simpan digondolkan dan balaknya dikebas
seperti yang berlaku di Bangi dan Cheras.
Perkara semacam ini bukannya khusus di Selangor sahaja. Menteri besar negeri
yang paling kecil, Perlis, turut menggondolkan hutan simpan negerinya.
Tuduhan yang dikemukakan oleh Fauzi Abdul Rahman terhadap bekas Menteri Besar
Pahang, Khalil Yaakub adalah tertumpu kepada pembahagian hutan simpan juga.
Muhiyuddin Yassin adalah seorang kaya hari ini kerana dia pernah menjadi
menteri besar di Johor dan mempunyai kuasa mengagihkan kawasan hutan simpan.
Pernah terjadi satu ketika dulu, seorang menteri besar Perak, yang merupakan
bapa menteri besar yang sedia ada, menjadi begitu kaya raya sehinggakan
sultan naik murka seperti yang pernah ditunjukkan oleh Sultan Johor terhadap
Muhiyuddin. Beliau dipindahkan menjadi duta Malaysia di Mesir. Begitulah
juga halnya kepada menteri besar Terengganu, Wan Mokhtar Ahmad yang kini
menjadi duta ke Arab Saudi. Keadaan adalah lebih teruk lagi di Sabah dan Sarawak, di mana hutan simpan
memang luas dan korupsi adalah satu cara hidup bebas. Ada satu permohonan
mendapatkan hutan simpan oleh satu syarikat di Sabah sebagai usaha
mengelakkan syarikat membuang sekitar 2,000 pekerjanya secara terpaksa.
Permohonan itu menjadi satu skandal: wang berjuta sudah 'didermakan' tetapi
lesen pembalakan belum diluluskan, dan fail skandal ini ada di pejabat
perdana menteri. Sistem menukar-nukar ketua menteri membawa kesan di mana
wang sogokan yang dikutip oleh seseorang ketua menteri untuk kelulusan
sesuatu projek, berakhir dengan projek itu terpaksa diluluskan oleh
penggantinya. Tentu ketua menteri yang baru enggan meluluskan projek itu
kerana dia tidak menerima bayarannya pula. Adalah satu amalan di Sabah dan
Sarawak, setiap menteri yang berkhidmat menerima satu peruntukan kawasan
balak, setiap tahun, dan menjadikan mereka jutawan ekspres. Saya tidak tahu
apakah amalan itu masih dikekalkan lagi. Tetapi, ketua menteri Sarawak,
Abdul Taib Mahmud, merupakan salah seorang pemimpin politik yang terkaya di
negara ini. Begitu juga bapa saudara yang menjawat jawatan yang sama dan
kemudiannya menjadi Yang Dipertua Negeri, Abdul Rahman Yaakob. Apabila
seorang bapa saudara dan anak buahnya menjadi ketua menteri lebih dari tiga
puluh tahun, kita boleh bayangkan betapa korupsi dapat membiak dengan
dahsyat sekali. Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Zulkipli Mat Nor, pernah ditanya
mengenai tanah Cheras itu, tetapi dia menjawab: "Saya tidak ada komen, tidak
ada komen, tidak ada komen......." Kenapa agaknya? Apakah kerana semua orang
yang terlibat beranggapan mereka mempunyai peluang dan peranan yang cerah
dalam politik persekutuan? Apakah layak BPR enggan membuat sebarang komen
sedangkan ia menjalankan siasatan berbulan-bulan lamanya? BPR seperti juga
Suhakam adalah satu pertubuhan yang mengaibkan kerajaan, walupun ia
ditubuhkan untuk menentukan rakyat tidak rapat dengan kerajaan. Bisa BPR
pernah ditumpulkan pada 1969, selepas ia berjaya menghenyak menteri besar
Perak dan Terengganu sehingga kehilangan jawatan mereka. Ironisnya, ketua
pengarah BPR pada ketika itu ialah insan yang sama kini menjadi timbalan
pengerusi Suhakam - Tan Sri Harun Hashim. BPR yang sedia ada, tidak boleh
dan tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat gejala korupsi di bahagian atasan
kerajaan dan Barisan Nasional - kecuali orang yang akan disiasat itu sudah
menjadi orang yang mahu dinyahkan oleh pemimpin yang ada.
Kerana itu Anwar Ibrahim disiasat tetapi orang lain seperti.... ...tak
apalah. Almarhum Tun Sardon Jubir yang pernah menjadi orang kuat UMNO, dan
pernah menjadi menteri kabinet, sebelum ditukarkan menjadi duta di PBB dan
Amerika Syarikat dan akhirnya menjadi gabenor Pulau Pinang. Beliau pernah
memberitahu saya betapa dia bersara daripada politik apabila UMNO
bahagiannya di Johor mahukan dia meletakkan jawatan untuk memberi peluang
orang lain membuat harta. Inilah ragam dunia. Korupsi semakin berleluasa
kini berbanding dulu. Tetapi, tidak ada sesiapa, termasuk perdana menteri
yang serius memeranginya walaupun itu tugas utamanya. Politik negara ini
sudah tunggang-langgang. Seandainya seseorang pemimpin politik disiasat
kerana korupsi, ini bererti dia sudah tidak sebulu dengan perdana menteri.
Bekas timbalannya boleh menulis buku mengenai hal ini.
Apabila kerajaan yang ada ini terus menggelongsor disebabkan pelbagai bentuk
tentangan dalam kabinet, parti, dan kerajaan itu dianggap sebagai satu
penderhakaan dan anti-kerajaan. Kerana itu penggelongsoran akan berterusan.
Penggelongsoran itu tidak akan dapat dihentikan dengan cara menahan dan
menangkap beberapa anggota polis kerana menerima sogokan sebanyak beberapa
ratus ringgit - kerana kalau disogok kurang pada itu, si penyogok akan
ditangkap kerana memberi rasuah. Semua tindakan pemberentasan mesti
dimulakan dari atas. Muhammad Muhammad Taib masih lagi gagal memberikan
penjelasan bagaimana dia memiliki RM2.4 juta dalam bentuk matawang asing di
Darwin beberapa tahun yang lalu. Ataupun bagaimana dia mampu membayar
jandanya yang juga puteri sultannya sejumlah USD 5 juta. Ataupun
bagaimanakah beliau bersama jandanya itu memiliki satu kawasan tanah yang
luas dan mewah di Shah Alam. Ataupun apakah menjadi satu syarat kelayakan
jawatan seseorang menteri besar agar tidak mengetahui mana satu kawasan luas
yang menjadi hutan simpan ataupun kawasan lindungan hidupan liar? Segala
gembar-gembur kisah ini adalah laksana menutup pintu kandang selepas semua
kuda lama menghilang. M.G.G. Pillai Asal: |